Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-335 : HUKUM MEMFITNAH ORANG KAFIR
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-335 : HUKUM MEMFITNAH ORANG KAFIR

Download PDF

IF 335

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t.

Saya ada satu soalan. Apakah hukumnya jika kita memfitnah orang kafir ?

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.

(Surah al-Hujurat : 6)

Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam mentafsirkan ayat di atas menyatakan: Allah SWT menyeru kepada umatnya yang beriman, apabila datang orang fasik menyampaikan berita sebaiknya mencari kebenaran berkenaan dengan berita itu dan janganlah terlalu cepat menghukumnya dan menyebarnya. Ini kerana takut akan keburukan dan perkara yang tidak diingini berlaku di atas keputusan yang salah serta memberi kemudharatan ke atas orang lain. [Lihat : al-Tafsir al-Munir, (26/227)]

Definisi Fitnah

Fitnah berasal daripada perkataan bahasa arab yang mengandungi beberapa makna. Antaranya disebutkan oleh al-Azhari, Ibn Faris, dan Ibn Manzur bahawa fitnah yang membawa makna seperti ibtila’ atau ujian. [Lihat : Tahzib al-Lughah (14/296) dan Maqayis al-Lughah, (4/472)]

Ibnu Hajar ada menyebutkan bahawa:

إِنَّ الفِتَنَ غَالِبًا إِنَّما تُنْشَأُ عَنِ التَّبْدِيْلِ وَالإِحْدَاثِ

Maksudnya: “Sesungguhnya fitnah itu kebiasaannya dibuat untuk mengubah (sesuatu) dan mereka-reka”. [Lihat : Fath al-Bari (13/4)]

Dalam masyarakat Melayu perkataan fitnah memberi makna yang lebih spesifik. Ia hanya merujuk kepada sebarang tuduhan yang diada-adakan untuk memburukkan atau membencanakan seseorang atau sesuatu pihak yang membawa kepada porak-peranda. [Lihat : Kamus Dewan Edisi Keempat]

Berdasarkan takrifan ini, hukum fitnah jelas haram dan ditegah. Ini kerana perbuatan fitnah dikecam dengan keras oleh Nabi SAW dalam hadis yang diriwayatkan Huzaifah R.A :

‏ لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ ‏

Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba)” [HR al-Bukhari (6056) dan Muslim (105)]

Di dalam riwayat yang lain disebut dengan kalimah (قتات). Dr. Yusuf al-Qaradawi menyatakan bahawa Nammam itu ialah orang yang duduk bersama-sama dalam satu kumpulan yang ramai, dan berakap-akap tentang sesuatu perkara, lalu mereka menambah-nambah (mereka-reka) perkara tersebut dengan tujuan untuk memfitnah. Tetapi Qattat ialah orang yang mencuri dengar perbualan suatu kumpulan itu sedang mereka tidak tahu, dan kemudian menokok-tambah dengan sesuka hati cerita tersebut untuk tujuan memfitnah. [Lihat : al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, m/s : 369 ]

Kami katakan, termasuklah juga dengan cara tulisan yang disebarkan seperti dalam media massa dan lain-lain.

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan isu fitnah ini, bolehlah merujuk kepada 4 buah artikel kami yang telah ditulis di dalam Bayan Linnas iaitu :

  1. Bayan Linnas Siri ke-181 : Peristiwa al-Ifki (fitnah) terhadap Aisyah R.Anha : Pengajaran dan petunjuk menghadapi fitnah semasa.
  2. Bayan Linnas Siri ke-182 : Bahaya fitnah
  3. Bayan Linnas Siri ke-183 : Isu Qazaf : Adakah termasuk tuduhan liwat?
  4. Bayan Linnas Siri ke-184 : Tabayyun dalam penerimaan dan penyampaian berita.

Berbalik kepada soalan di atas, Islam ada meletakkan garis panduan bagaimana berinteraksi dengan orang bukan Islam.

Memfitnah bukan daripada akhlak seorang Muslim

Sebagai seorang Muslim yang beriman dengan Allah dan rasulNya, kita mengakui bahawa budaya memfitnah bukan daripada akhlak Islam dan nilai-nilai yang baik. Malah Allah SWT telah berfirman :

وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا

Maksudnya : “dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik”

(Surah al-Baqarah : 83)

Syeikh Sa’di mengulas ayat berkenaan dengan menyatakan bahawa termasuk di dalam perkataan-perkataan yang baik itu ialah menyeru mereka kepada kebaikkan dan mencegah mereka daripada kemungkaran, mengajarkan mereka ilmu pengetahuan, menyebarkan salam serta senyuman, dan lain-lain lain (perkara) yang termasuk di dalam (lingkungan) kata-kata yang baik. Apabila tidak semua manusia mampu membantu manusia (yang lain) dengan hartanya, mereka diperintahkan untuk berbuat baik (ihsan) kepada setiap makhluk dengan perkara yang mereka mampu iaitu berbicara dengan kata-kata yang baik. Termasuk di dalamnya, larangan daripada berbicara kepada sesama manusia dengan perkataan yang buruk sekalipun kepada orang kafir. [Lihat : Tafsir al-Sa’di, m/s : 57]

Rasulullah SAW bersabda :

شِرَارُ عِبَادِ اللهِ الْمَشَّاءُونَ بِالنَّمِيمَةِ، الْمُفَرِّقُونَ بَيْنَ الْأَحِبَّةِ، الْبَاغُونَ الْبُرَآءَ الْعَنَتَ

Maksudnya : “Sejahat-jahat hamba Allah ialah mereka yang berjalan membawa mulut, iaitu mengadu domba, yang suka memecah-belahkan antara orang-orang yang berkasih sayang, yang mencacatkan orang-orang yang suci dengan kata-kata yang jahat” [HR Ahmad (17998)]

Dr. Yusuf al-Qaradawi menyebut di dalam kitabnya bahawa Islam sangat marah terhadap orang yang gemar mendengar perkataan yang buruk, lalu segera menyampaikan kepada orang lain untuk bermusuh-musuhan atau kerana ingin menimbulkan fitnah, atau bertujuan untuk memporak-perandakan hubungan antara satu sama lain supaya hancur dan binasa. [Lihat : al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, m/s : 369]

Larangan daripada menzalimi orang bukan Islam

Nabi SAW ada meninggalkan pesanan yang lengkap dan menyeluruh berkenaan bagaimana berinteraksi dengan golongan bukan Islam (kafir zimmi dan kafir mu‘ahad), serta mengancam sesiapa yang melanggar pesanan ini dengan ancaman yang dahsyat.

Sebagaimana sabda Nabi SAW berkenaan kehormatan darah kafir zimmi (yang tinggal di bawah naungan negeri Islam) dan mu‘ahad (ada perjanjian dengan negeri Islam) :

مَنْ قَتَلَ مُعَاهَدًا لَمْ يَرِحْ رَائِحَةَ الجَنَّةِ، وَإِنَّ رِيحَهَا تُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ أَرْبَعِينَ عَامًا

Maksudnya : “Sesiapa yang membunuh kafir mu‘ahad, dia tidak akan mencium bau syurga, sedangkan bau syurga itu dapat dikesan baunya dari sejauh perjalanan empat puluh tahun” [HR al-Bukhari (3166)]

Dalam riwayat lain dengan lafaz :

مَنْ قَتَلَ رَجُلًا مِنْ أَهْلِ الذِّمَّةِ، لَمْ يَجِدْ رِيحَ الْجَنَّةِ، وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ سَبْعِينَ عَامًا

Maksudnya : “Sesiapa yang membunuh seorang lelaki dari kafir zimmi, dia tidak akan mencium bau syurga sekalipun bau syurga itu dapat dikesan baunya dari sejauh perjalanan tujuh puluh tahun” [HR Ahmad (18072)]

Begitu juga Nabi SAW bersabda :

مَنْ ظَلَمَ مُعَاهِدًا، أَوِ انْتَقَصَهُ، أَوْ كَلَّفَهُ فَوْقَ طَاقَتِهِ، أَوْ أَخَذَ مِنْهُ شَيْئًا بِغَيْرِ طِيبِ نَفْسٍ، فَأَنَا حَجِيجُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya : “Sesiapa yang menzalimi seorang kafir mu‘ahad, atau mengurangi haknya, atau membebaninya sesuatu yang tidak tertanggung olehnya, ataupun mengambil daripadanya sesuatu tanpa senang hati, maka aku akan menjadi pembelanya kelak pada hari Kiamat”[HR Abu Daud (3052)]

Syeikh al-‘Azim Abadi menyatakan bahawa termasuk di dalam erti al-Mu‘ahid ialah kafir zimmi dan mustakman (yang diberi jaminan keamanan). Di antara perkara yang menzalimi mereka, sekiranya mengutip bayaran jizyah atau kharaj bukan kepada sesiapa yang diwajibkan ke atasnya atau mengambil lebih daripada sepatutnya. [Lihat : ‘Aun al-Ma’bud (8/211)]

Syihabuddin al-Qarafi telah menyatakan bahawa :

أنَّ عَقْدَ الذِّمَّةِ يُوجِبُ حُقُوقًا عَلَيْنَا لَهُمْ لِأَنَّهُمْ فِي جِوَارِنَا وَفِي خَفَارَتِنَا وَذِمَّةِ اللَّهِ تَعَالَى وَذِمَّةِ رَسُولِهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – وَدِينِ الْإِسْلَامِ فَمِنْ اعْتَدَى عَلَيْهِمْ وَلَوْ بِكَلِمَةِ سُوءٍ أَوْ غِيبَةٍ فِي عِرْضِ أَحَدِهِمْ أَوْ نَوْعٍ مِنْ أَنْوَاعِ الْأَذِيَّةِ أَوْ أَعَانَ عَلَى ذَلِكَ فَقَدْ ضَيَّعَ ذِمَّةَ اللَّهِ تَعَالَى وَذِمَّةَ رَسُولِهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – وَذِمَّةَ دِينِ الْإِسْلَامِ

Maksudnya : “Sesungguhnya terdapat janji setia daripada golongan zimmi yang mewajibkan beberapa hak yang mesti dijaga. Ini kerana mereka hidup di dalam lindungan kita serta berada dalam naungan Allah SWT dan RasulNya serta di bawah naungan Islam. Sesiapa yang mengganggu mereka sekalipun dengan suatu perkataan yang buruk, atau melakukan penghinaan terhadap kehormatan salah seorang daripada mereka, atau apa jua jenis daripada penganiayaan, maka mereka itu telah mensia-siakan naungan Allah SWT dan RasulNya serta naungan agama Islam”. [Lihat : al-Furuq (3/14)]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada persoalan di atas, setelah diteliti dalil-dalil serta pandangan para ulama, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :

  • Hukum memfitnah orang bukan Islam adalah haram kerana ianya termasuk di dalam perbuatan menzalimi mereka. Dan perbuatan tersebut ditegah di dalam Islam dan mendapat ancaman daripada Rasulullah SAW.
  • Budaya fitnah memfitnah bukan daripada akhlak seorang Muslim.
  • Budaya fitnah memfitnah akan membawa kepada runtuhnya keharmonian dan keamanan sesebuah negara.
  • Supaya agama Islam dan penganutnya tidak difitnah semula. Ini juga bertepatan dengan kaedah Saddu al-Zarai’ iaitu menutup jalan yang membawa kepada kemudaratan yang lebih besar sebagaimana firman Allah SWT :

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّـهِ فَيَسُبُّوا اللَّـهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ

Maksudnya : “Dan janganlah kamu mencerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan”

(Surah al-An’am : 108)

  • Berwaspada dengan doa orang yang dizalimi. Nabi SAW telah bersabda :

اتَّقِ دَعْوَةَ المَظْلُومِ، فَإِنَّهَا لَيْسَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ

Maksudnya : “Dan berhati-hatilah kepada doa orang yang dizalimi kerana tidak ada penghalang antara doanya dengan Allah SWT” [HR al-Tirmizi (2014)]

Di dalam hadis tersebut, tidak mensyaratkan bahawa mesti orang yang dizalimi tersebut adalah orang Islam, bahkan orang bukan Islam termasuk di dalam hadis tersebut sekiranya dia dizalimi sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik R.A, dengan lafaz tambahan :

وَإِنْ كَانَ كَافِرًا

Maksudnya : “Sekalipun orang kafir” [HR Ahmad (12549)]

Syeikh al-Mubarakfuri menukilkan daripada al-Munawi di dalam at-Taisir bahawa sanadnya adalah sahih. [Lihat : Tuhfah al-Ahwazi (6/131)]

  • Agama Islam juga menyeru penganutnya supaya berbuat baik dan berlaku adil walaupun kepada orang bukan Islam. Firman Allah SWT :

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya : “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”

(Surah al-Mumtahinah : 8)

Akhir sekali, marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah SWT agar dijauhi serta diselamatkan daripada dosa fitnah.

Source: IRSYAD FATWA

Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1464: APAKAH MAKSUD NIKAH TAHLIL / MUHALLIL?

  Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *