Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-328: MENGECAT RUMAH DENGAN BERUS YANG DISANGKA DARIPADA BULU KHINZIR
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-328: MENGECAT RUMAH DENGAN BERUS YANG DISANGKA DARIPADA BULU KHINZIR

Download PDF

IF328.png

SOALAN

Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti. Saya telah mengecat rumah saya hampir 100% dengan menggunakan berus cat yang saya khuatiri ia diperbuat daripada bulu khinzir. Walaupun saya cuba berpura-pura bahawa ia bukan, namun jauh di sudut hati berat saya merasakan bahawa ia haram selepas memeriksa dan membuat carian di internet. Saya menjadi tidak tenteram kerana memikirkan, adakah dinding rumah saya tersebut bernajis, dan juga apakah ibadat saya dan keluarga selama ini tidak sah disebabkan menyentuh dan memegang dinding tersebut?

Mohon penjelasan Tuan Mufti, terima kasih.

JAWAPAN:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Allah SWT mengharamkan umat Islam untuk memanfaatkan apa sahaja bahan yang diambil daripada khinzir. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّـهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ وَأَن تَسْتَقْسِمُوا بِالْأَزْلَامِ ۚ ذَٰلِكُمْ فِسْقٌ ۗ

Maksudnya: Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik.

(Surah al-Maidah: 3)

Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan daging khinzir tersebut adalah secara umum (aghlabiyyah), bahkan ia juga termasuk kesemua anggota khinzir hatta lemaknya sekalipun. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 2:36)

Disamping itu, dalam satu hadith Rasulullah SAW pernah bersabda:

إِنَّ الله وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ الْخَمْرِ وَالْمَيْتَةِ وَالْخِنْزِيرِ وَالْأَصْنَامِ، فَقِيلَ: يَا رَسُولَ الله، أَرَأَيْتَ شُحُومَ الْمَيْتَةِ، فَإِنَّهَا يُطْلَى بِهَا السُّفُنُ، وَيُدْهَنُ بِهَا الْجُلُودُ، وَيَسْتَصْبِحُ بِهَا النَّاسُ، فَقَالَ: لَا هُوَ حَرَامٌ، ثُمَّ قَالَ رَسُولُ الله صلى الله عليه وسلم عِنْدَ ذَلِكَ: قَاتَلَ الله الْيَهُودَ إِنَّ الله لَمَّا حَرَّمَ شُحُومَهَا، جَمَلُوهُ، ثُمَّ بَاعُوهُ، فَأَكَلُوا ثَمَنَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT dan rasul-Nya telah mengharamkan jual-beli arak, bangkai, khinzir dan patung berhala. Lalu ditanya kepada Rasulullah SAW, “Adakah kamu tahu bahawa lemak daripada bangkai haiwan tersebut, sedangkan ia digunakan untuk mengecat kapal-kapal dan kulit binatang serta digunakan oleh manusia. Maka Rasulullah SAW menjawab, “Bahkan, ia tetap haram.” Kemudian, Rasulullah SAW bersabda pada ketika tersebut, “Semoga Allah SWT menghancurkan golongan Yahudi. Sesungguhnya Allah SWT telah mengharamkan lemak haiwan tersebut, namun mereka memperelokkannya dan menjualnya serta mengambil keuntungan daripadanya!”

Hadith riwayat al-Bukhari (2082) dan Muslim (2960)

Imam al-Nawawi juga telah menukilkan ijma’ pengharaman memakan sebarang bahagian daripada khinzir: Telah berlaku ijma` umat Islam ke atas pengharaman lemak, darah dan setiap bahagian khinzir.” (Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzdzab, 9:5)

Daripada nas-nas di atas jelas kepada kita bahawa hukum menggunakan dan mengambil manfaat daripada mana-mana bahagian tubuh khinzir adalah haram sama sekali. Walaubagaimanapun, jika seseorang itu berada dalam keadaan yang darurat seperti membawa kepada kematian dan kecelakaan, maka dibolehkan baginya untuk mengambil manfaat daripada khinzir berdasarkan kepada firman Allah SWT:

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ الله بِهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَإِنَّ الله غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah, maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu, maka tidaklah ia berdosa), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Surah al-Nahl: 115)

Justeru itu, kaedah fiqh menyebutkan bahawa:

الضَّرُورَات تُبِيْحُ المَحْظُورَات

Maksudnya: Keadaan-keadaan darurat itu mengharuskan perkara-perkara yang terlarang.

Begitu juga, ia juga hendaklah diikat dengan kaedah:

الضَّرُورَةُ تُقَدَّر بِقَدَرِهَا

Maksudnya: Darurat itu ditentukan mengikut kadarnya sahaja.

Berbalik kepada soalan yang ditanya, persoalan ini berlegar berkaitan dengan berus yang digunakan untuk mengecat rumah yang dikhuatiri diperbuat daripada bulu khinzir. Dalam perkara tersebut, ia masih tidak jelas sama ada berus itu betul dibuat daripadanya ataupun tidak. Jika sekiranya perkara tersebut pada peringkat syak, maka hendaklah tidak dihirau syak-wasangka tersebut berdasarkan kaedah yang menyebutkan:

اليقين لا يزول بالشكّ

Maksudnya: Keyakinan tidak terluput dengan syak.

Begitu juga, kaedah lain menyebutkan bahawa:

اليقين لا يزول إلاَّ باليقين

Maksudnya: Apa yang ditetapkan dengan yakin tidak diangkat melainkan dengan suatu yang yakin juga.

Hal ini kerana perkara yang dzan tidak memberi apa-apa kesan terhadap satu keyakinan. Firman Allah SWT:

وَإِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا

Maksudnya: Padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad).

(Surah al-Najm: 28)

Justeru itu, janganlah terlalu khuatir dan mencari-cari sesuatu yang belum pasti yang akan membebankan kita sekiranya kelak. Firman Allah SWT di dalam al-Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَسْأَلُوا عَنْ أَشْيَاءَ إِن تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu.

(Surah al-Maidah: 101)

Walau bagaimanapun, seelok-eloknya hendaklah menukar berus tersebut dengan berus yang diyakini halal bagi mengecat baki bahagian yang belum dicat. Sabda Rasulullah SAW:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لَا يَرِيبُكَ

Maksudnya: Tinggalkanlah apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan kamu.

Hadith riwayat al-Tirmidzi: (2442)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyatakan bahawa dinding yang dicat dengan berus yang dikhuatiri diperbuat daripada bulu khinzir merupakan sesuatu perkara yang disyaki sahaja kerana ia bukan sesuatu benar-benar pasti dengan bukti yang nyata. Oleh itu, hendaklah meninggalkan perasaan syak-wasangka tersebut dan meyakini dengan berpegang asal kesuciannya. Sesungguhnya Allah SWT tidak memberatkan seseorang hambaNya daripada syariat yang telah ditetapkan olehNya. Firman Allah SWT:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ ۚ

Maksudnya: Dan DIA tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.

(Surah al-Hajj: 78)

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman terhadapnya serta memberikan kita taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’at-Nya dengan sebaiknya. Amin.

Source: IRSYAD FATWA

Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1425 : HUKUM DAGING KAMBING YANG MENYUSU DENGAN SUSU ANJING

Soalan : Didapati kambing tu menyusu pada seekor anjing, apakah hukum jika makan daging kambing …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *