Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-301: BACAAN DALAM SOLAT UNTUK ORANG YANG MENGHIDAPI HIPERSALIVASI
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-301: BACAAN DALAM SOLAT UNTUK ORANG YANG MENGHIDAPI HIPERSALIVASI

 Screen Shot 2019 04 18 at 12.59.38 PM

SOALAN

Saya ingin bertanya kepada Mufti, saya menghidapi penyakit di mulut yang amat kronik, iaitu air liur saya keluar sangat banyak dan tidak berhenti. Jadi saya tidak boleh bercakap seperti biasa, lalu bagaimanakah saya ingin membaca bacaan di dalam solat?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT tuhan sekalian alam, selawat serta salam ke atas junjungan Nabi SAW dan ahli keluarga Baginda, sahabat-sahabat, seterusnya mereka yang mengikut jejak Baginda hingga ke hari kiamat.

Bagi menjawab persoalan ini, terlebih dahulu perlu untuk kita teliti tentang hipersalivasi.

Untuk memahami lebih lanjut, kami nukilkan penerangan hal ini daripada seorang journalis kesihatan, Kanna Ingleson melalui artikelnya yang bertajuk: Everything you need to know about hypersalivation[1].

Menurut beliau hipersalivasi atau dikenali di dalam sains sebagai sialorrhea atau ptyalism, ialah keadaan di mana air liur terlalu banyak dalam mulut seseorang dengan kuantiti yang luar biasa. Hipersalivasi bukanlah suatu penyakit, namun boleh dianggap sebagai simptom kepada keadaan tubuh manusia itu sendiri. Hipersalivasi ini berkemungkinan berlaku akibat penghasilan air liur yang terlalu banyak, seseorang yang mempunyai masalah untuk menelan dengan baik, dan seseorang yang tidak mampu untuk menutup mulut dengan sempurna. Antara punca yang menyebabkan seseorang itu menghidapi hipersalivasi ialah:
 

  • Alahan ketika hamil atau wanita yang mengalami masalah nausea atau mual
  • Menghidapi selsema, sakit tekak atau keradangan tonsil
  • Gigitan serangga atau keracunan akibat cendawan
  • Kesakitan dalam mulut, atau ulser, dan sebagainya.

Solat adalah suatu perbuatan yang diperintahkan oleh Allah SWT yang mana perbuatannya diambil daripada Nabi SAW seperti mana sabda Baginda yang diriwayatkan oleh Malik bin Huwairith RA:

صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya: Solatlah kamu sepertimana kamu lihat aku solat

Riwayat al-Bukhari (6008)

Maka berpandukan cara solat yang diajarkan oleh Baginda SAW, para fuqaha’ menyusun panduan untuk solat yang terdiri daripada rukun, syarat-syarat serta perkara sunat. Oleh itu, dalam menjawab persoalan ini, yang mana ianya termasuk dalam perkara rukun, kami akan perincikan isu ini agar dapat kita fahami bersama.

Secara asasnya, rukun adalah sesuatu yang diwajibkan sekiranya gagal untuk melaksanakan maka terbatal perbuatan atau ibadat tersebut. Rukun dibahagikan kepada tiga iaitu rukun qalbi (hati), rukun qauli (pertuturan atau bacaan) dan rukun fi’li (perbuatan).

Syeikh al-Sayid Abdullah al-Hadrami menyebutkan di dalam kitabnya Safinah al-Solat (44) bahawa:

القولية، وهي خمسة: تكبيرة الإحرام أول الصلاة، وقراءة الفاتحة في كل ركعة وقراءة التشهد والصلاة على النبي والسلام آخر الصلاة، ثلاثتها في القعدة الأخيرة

Maksudnya: (rukun) Qauliah, mempunyai lima: Takbiratul Ihram pada awal solat, membaca surah al-Fatihah pada setiap rakaat, tasyahud dan selawat ke atas Nabi SAW serta salam, ketiga-tiganya pada duduk yang terakhir

Maka, kelima-lima ini hendaklah dibacakan oleh setiap orang yang mendirikan solat, dan kegagalan untuk membaca salah satu daripada lima ini, akan menyebabkan solat itu tidak sah. Oleh itu, dalam menerangkan bagaimana seseorang itu dikira membaca, maka fuqaha’ memperincikan hal ini.

Dalam kitab I’anah al-Thalibin disebutkan bahawa: “(Dan wajib mendengar) yakni takbiratul ihram oleh orang yang solat bersolat sendiri, sekiranya pendengarannya baik dan tidak dihalang dengan benda yang mendatang, contohnya bunyi bising, (seperti seluruh rukun qauli) daripada al-Fatihah, tasyahud akhir dan salam”. (Lihat kitab I’anah al-Thalibin 3/295).

Rukun Qauli hendaklah dibaca sehingga orang tersebut mendengar apa yang dibacakan dan sampai ke telinganya. Inilah maksud membaca bacaan dalam solat yang diinginkan oleh syarak. Disebutkan pula oleh Dr. Muhammad al-Zuhaily dalam hal ini:

أن يسمع نفسه إذا كان صحيح السمع، ولا عارض عنده من لغط أو غيره، فإن كان بلسانه خبل (فساد) أو خرس، حرکه بما يقدر عليه، ويحرك شفتيه ولهاته بالتكبير بقدر الإمكان

Maksudnya: Hendaklah dia mendengar (apa yang dibaca) dirinya sendiri, sekiranya mempunyai pendengaran yang baik, dan tidak ada padanya gangguan bunyi dan sebagainya. Sekiranya mempunyai masalah pada lisannya (pertuturan) atau bisu, maka hendaklah digerakkan apa yang termampu baginya. Digerakkan kedua bibirnya dan anak tekaknya dengan kadar yang termampu. (Lihat kitab al-Mu’tamad,1/241).

Maka, seperti yang disebutkan di atas, asalnya hendaklah bacaan itu sampai kepada pendengaran sendiri, namun bagi yang tidak berkemampuan untuk menuturkan atau membacakan, maka Islam tidaklah memaksa untuk tetap melakukan apa yang diperintahkan. Ini jelas seperti mana yang disebutkan oleh Baginda Nabi SAW melalui riwayat Abu Hurairah RA;

إِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: Sekiranya Aku mengarahkan kamu sesuatu perintah, maka lakukan setakat mana yang kamu mampu.

Riwayat al-Bukhari (7288)

Selain itu, dalam kes ini tidaklah menjadi permasalahan untuk meludah atau membuang air liur itu dengan menyapu pada tisu atau kain. Hal ini sebagaimana yang diajarkan Nabi SAW berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم رَأَى نُخَامَةً فِي الْقِبْلَةِ، فَشَقَّ ذَلِكَ عَلَيْهِ حَتَّى رُئِيَ فِي وَجْهِهِ، فَقَامَ فَحَكَّهُ بِيَدِهِ فَقَالَ ‏”‏ إِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا قَامَ فِي صَلاَتِهِ، فَإِنَّهُ يُنَاجِي رَبَّهُ ـ أَوْ إِنَّ رَبَّهُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْقِبْلَةِ ـ فَلاَ يَبْزُقَنَّ أَحَدُكُمْ قِبَلَ قِبْلَتِهِ، وَلَكِنْ عَنْ يَسَارِهِ، أَوْ تَحْتَ قَدَمَيْهِ ‏”‏‏.‏ ثُمَّ أَخَذَ طَرَفَ رِدَائِهِ فَبَصَقَ فِيهِ، ثُمَّ رَدَّ بَعْضَهُ عَلَى بَعْضٍ، فَقَالَ ‏”‏ أَوْ يَفْعَلْ هَكَذَا

Maksudnya: Bahawasanya Nabi SAW terlihat kahak di (dinding) kiblat, dan Nabi tidak menyukai akan hal itu sehingga terpapar (kemarahan) pada wajahnya. Lalu Baginda SAW pun bangun dan membuang (kahak) dengan tangannya. Lalu Baginda bersabda “Apabila seseorang daripada kamu mendirikan solat, sesungguhnya dia sedang bermunajat kepada tuhan-Nya, atau Tuhan-Nya berada di antara dirinya dan qiblat, maka tidak patut seorang pun meludah ke arah kiblat, tetapi (ludahlah) disebelah kirinya atau di bawah kakinya”. Kemudian Baginda SAW mengambil hujung selendangnya, dan meludah kemudian melipat bahagian itu kemudian bersabda “ Atau hendaklah orang itu melakukan seperti ini”

Riwayat al-Bukhari (405)

Imam al-Nawawi mengatakan bahawa meludah ketika solat hanyalah bagi mereka yang mendirikan solat di luar masjid (di tanah lapang). Bagi yang mendirikan solat di masjid, maka hendaklah menggunakan cara menyapu di baju seperti mana yang dianjurkan oleh Baginda. (Lihat kitab al-Minhaj,5/39).

Imam al-Munawi mengatakan bahawa hadith ini sekaligus menunjukkan keharusan pergerakan yang sedikit seperti menyapu air liur atau kahak pada selendang. (Lihat kitab Faidh al-Qadir, 2/413).

 

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan hujah di atas, kami nyatakan untuk mereka yang mengalami masalah hipersalivasi ini kami cadangkan untuk membuang air liur tersebut pada kain atau tisu kemudian meneruskan bacaan di dalam solat terutamanya yang termasuk di dalam rukun. Begitu juga boleh disediakan bekas di sisi ketika solat dan meludah air liur masuk ke dalam bekas tersebut.

Sekiranya air liur itu keluar tidak berhenti sehingga selesai solat dan  menyebabkan kesukaran untuk bertutur serta membaca bacaan ketika solat, hendaklah melakukan setakat yang termampu sahaja. Sekiranya tidak mampu untuk mengeluarkan suara cukuplah menggerakkan bibir atau menggerakkan anak tekak sahaja.

Semoga Allah memberi kita kefahaman dalam mengamalkan syariat-Nya. Amin.

[1] https://www.medicalnewstoday.com/articles/318728.php

Source: IRSYAD FATWA

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *