Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-FATWA SIRI KE 280 : HUKUM MEMBERI HADIAH KEPADA PENDERMA DARAH
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE 280 : HUKUM MEMBERI HADIAH KEPADA PENDERMA DARAH

Download PDF

if 280 compressed

Soalan :

Salam ustaz. Saya nak tanya, apakah hukum beri hadiah apa sahaja bentuk hadiah kepada penderma darah?. Boleh ke? Mohon pencerahan ustaz.

Jawapan :

Assalamualaikum.Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Hukum menderma darah adalah harus. Ini kerana ia dapat memberi bantuan kepada orang lain ketika mereka berada di dalam waktu kecemasan dan darurat. Ini berdasarkan firman Allah :

وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ

Maksudnya :” Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

(Surah al-Maidah : 2)

Imam Al-Qurtubi menukilkan pandangan Al-Akhfash berkenaan ayat ini. Kata beliau ini adalah perintah Allah kepada kesemua makhluknya untuk saling tolong menolong dengan perkara kebaikan dan ketaqwaan. Iaitu saling membantu antara satu sama lain. Saling menggalakkan antara satu sama untuk melakukan apa yang telah diperintahkan oleh Allah dan saling berpesan untuk meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah.

Rujuk Jami’ Li Ahkam Al-Quran (6/46)

Sheikh Ali Al-Sabuni berkata :

“Iaitu saling membantu pada perkara kebaikan dan meninggalkan perkara munkar. Lakukanlah apa yang mendekatkan diri kalian kepada Allah.”

Rujuk Sofwah al-Tafasir (1/212)

Di samping itu, keadaan sekarang amat darah tambahan sebagai satu alternatif untuk membantu pesakit yang memerlukan khususnya ketika pembedahan dan lain-lain.

Untuk perbahasan yang lebih lanjut dan mendalam berkenaan hukum derma darah, kami pernah mengulas tentang hukum tersebut di ruangan Irsyad Al-Fatwa siri ke 276[1] pada 10 Disember 2018.

Sebelum menjawab persoalan yang dikemukakan, suka kami nyatakan sedikit sebanyak perbahasan berkenaan hukum jual beli darah manusia. Ini kerana ada perkaitan dengan soalan yang ditanya.

Ada dua pandangan ulama berkenaan hukum jual beli darah :

  1. Tidak dibenarkan jual beli darah

Ini merupakan pandangan jumhur para ulama. Mereka mengatakan bahawa tidak boleh berjual beli darah dengan berlandaskan dan berasaskan dalil daripada Al-Quran dan Al-Sunnah.

Mereka berhujahkan firman Allah SWT :

قُل لَّآ أَجِدُ فِى مَآ أُوحِىَ إِلَىَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُۥٓ إِلَّآ أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُۥ رِجْسٌ

Maksudnya :” Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor…”

(Surah al-‘An’am : 145)

Begitu juga firman Allah :

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ ٱلْمَيْتَةَ وَٱلدَّمَ وَلَحْمَ ٱلْخِنزِيرِ وَمَآ أُهِلَّ بِهِۦ لِغَيْرِ ٱللَّـهِ

Maksudnya :”Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah…”

(Surah al-Baqarah : 173)

Wajah Istidlal daripada dua ayat al-Quran tersebut ialah darah merupakan najis dan haram jual beli barang-barang yang najis.

Nabi SAW pernah bersabda daripada Abu Juhaifah. Kata beliau :

رَأَيْتُ أَبِي فَقَالَ إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ ثَمَنِ الدَّمِ وَثَمَنِ الْكَلْبِ وَآكِلِ الرِّبَا وَمُوكِلِهِ وَالْوَاشِمَةِ وَالْمُسْتَوْشِمَةِ

Maksudnya :”Aku melihat ayahku. Lalu ayahku berkata sesungguhnya Nabi SAW melarang dari berjual beli darah, juga anjing. Nabi juga melarang orang dari memakan hasil riba dan perantaranya. Juga melarang orang yang bertatu dan meminta tatu.”

Riwayat Al-Bukhari (5945)(5962)(2238)

Ibnu Hajar al-Asqalani menyebut bahawa yang dimaksudkan di dalam hadis tersebut ialah pengharaman jual beli darah sama seperti haramnya jual bangkai dan babi. Ia adalah haram secara ijmak.

Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (16/205)

Begitu juga dengan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda :

ثَلَاثَةٌ أَنَا خَصْمُهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ رَجُلٌ أَعْطَى بِي ثُمَّ غَدَرَ وَرَجُلٌ بَاعَ حُرًّا فَأَكَلَ ثَمَنَهُ وَرَجُلٌ اسْتَأْجَرَ أَجِيرًا فَاسْتَوْفَى مِنْهُ وَلَمْ يُعْطِهِ أَجْرَهُ

Maksudnya :”Tiga orang yang mana aku merupakan musuhnya pada hari kiamat kelak. Lelaki yang berjanji dan bersumpah dengan nama-Ku kemudian khianat. Lelaki yang menjual orang yang bebas dan memakan hasil jualannya dan juga lelaki yang mengupah seseorang lantas dia berjanji untuk membayar lelaki tersebut akan tetapi kemudiannya tidak memberika apa-apa upah.”

Riwayat al-Bukhari (2109)

Wajah istidlal daripada hadis ini ialah jika menjual keseluruhan orang yang merdeka sudah dilarang apatahlagi menjual sebahagian daripadanya seperti darah, anggota tubuh dan lain-lain.

Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan :

“Barangsiapa yang menjual orang yang merdeka (bebas) sesungguhnya dia telah menghalang perkara yang diharuskan oleh Allah dan dia layak mendapat kehinaan daripada Allah.”

Rujuk Fath al-Bari (16/190)

Kata Ibnu Abidin :

“Begitu juga jual beli darah yang mengalir atau sebiji gandum. Jual beli keduanya adalah jual beli yang batil.”

Rujuk Radd al-Mukhtar ‘ala Durar al-Ahkam (1/159)

 Ibnu Qudamah al-Maqdisi meyebut :

“Tidak harus jual beli darah, mahupun baja najis. Ini kerana telah disepakati akan pengharaman dan kenajisannya. Ianya lebih menyerupai bangkai

Rujuk al-Kafi Fi Fiqh al-Imam Ahmad (8/4)

Kata Imam al-Ramli :

“Tidak boleh jual beli sesuatu yang najis yang tidak mungkin boleh dihilangkan kenajisannya.”

Rujuk Nihayah al-Muhtaj Ila Syarh al-Minhaj (11/209)

Menurut beliau tidak boleh jual beli sesuatu yang najis dan darah tergolong daripada perkara yang najis. Ini bermakna tidak boleh jual beli darah.

Sheikh Dr Wahbah al-Zuhali menyebut bahawa tidak harus untuk jual beli darah iaitu dengan maksud ditukarkan darah yang diberikan dengan harga tertentu kecuali jika darah yang diberikan dibalas dengan hadiah atau saguhati. Itu harus.

Rujuk Fiqh al-Islam wa Adillatuhu (4/161)

  1. Harus jual beli darah.

Pandangan ini dikemukakan berdasarkan maslahat dan darurat yang berlaku. Ini berdasarkan ayat :

وَقَدْ فَصَّلَ لَكُم مَّا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ إِلَّا مَا ٱضْطُرِرْتُمْ إِلَيْهِ

Maksudnya :” Padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkanNya atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya.”

(Surah al-‘An’am : 119)

Sheikh Amin al-Syanqiti menyebut bahawa ayat ini dan seterusnya adalah satu kaedah memudahkan dan meringankan. Ayat ini bermaksud untuk menghilangkan kemudaratan. Meringankan merupakan salah satu kaedah yang lima yang ada di dalam syariat. Di mana Fiqh dibina di atas kaedah yang lima ini. Kaedah tersebut ialah :

  1. الضرار يزال (kemudaratan dihilangkan)
  2. المشقة تجلب التسيسر (Kepayahan membawa kepada kemudahan)
  3. الأمور تبع المقاصد (Perbuatan mengikut tujuan)

Rujuk Adwa’ al-Bayan (5/306)

Pandangan ini juga berdasarkan kepada kaedah yang masyhur iaitu الضَرُورَا تُبِيحُ المَحْظُورَات yang bermaksud keadaan darurat (terpaksa) mengharuskan perkara yang haram. Mereka mengatakan dalam keadaan yang sangat memerlukan darah tambahan bagi tujuan perubatan dan juga kekurangan bekalan darah maka harus untuk menukarkan darah yang diberi dengan harga tertentu.

Mereka juga mengatakan larangan dan kenajisan darah bahawa ayat أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا adalah dikhususkan untuk darah yang mengalir adapun yang tidak mengalir seperti hati tidak termasuk dalam larangan tersebut. Begitu juga darah yang tidak mengalir yang digunakan di dalam perubatan tidak termasuk di dalam ayat tersebut.

Mereka juga mengatakan bahawa illah di sebalik larangan berjual beli darah oleh para fuqaha adalah disebabkan tiada manfaat padanya. Maka, mafhum mukhalafahnya jika ada manfaat maka ianya dibenarkan.

Kesimpulan

Kami lebih cenderung untuk mengatakan tetap tidak boleh untuk berjual beli darah kerana dalil dan pandangan yang dikemukakan oleh jumhur lebih kuat dan jelas. Dan pada ketika ini tidak ada keperluan sehingga perlu berjual beli darah. Cuma kami katakan bahawa harus untuk memberi ganjaran atau saguhati kepada penderma darah. Ini sebagai galakan dan penghargaan di atas kesudian mereka meluangkan masa dan kesudian menderma darah mereka untuk membantu pesakit-pesakit yang sangat memerlukan darah dan ganjaran yang diberikan itu sebaiknya tidak berbentuk bayaran wang. Ini ditakuti termasuk dalam larangan berjual beli darah.

Semoga rakyat Malaysia khususnya lebih proaktif untuk membantu menambahkan bekalan darah yang ada bagi membantu mereka yang memerlukan. Jadikan ini sebagai amal jariah yang akan menjadi peneman kita ketika mati nanti. Wallahu’alam

[1] http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2861-irsyad-al-fatwa-276-hukum-menderma-darah

Source: IRSYAD FATWA

Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1158: SOLAT JENAZAH GHAIB KEPADA WARGA MUSLIM NEW ZEALAND

Soalan Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti, bolehkah kita solat jenazah ghaib kepada warga Muslim New …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *