Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-FATWA SIRI KE 263: HUKUM MENIPU UNTUK TUJUAN MARKETING
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE 263: HUKUM MENIPU UNTUK TUJUAN MARKETING

Download PDF

Screen Shot 2018 10 30 at 4.39.33 PM

Soalan

Bolehkah menipu untuk tujuan marketing dalam perniagaan atau mempromosikan sesuatu?

 

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat serta salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW, juga ahli keluarga, isteri-isteri dan sahabat baginda seterusnya mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke hari akhirat.

 

Pengenalan kepada Marketing

Marketing atau pemasaran menurut Philip Kotler[1] ialah aktiviti manusia dalam memenuhi keperluan dan kehendak melalui proses pertukaran.

Menurut Business Dictionary,[2] pemasaran merangkumi empat perkara utama:

  • Penentuan, pemilihan dan pengembangan sesebuah produk.
  • Penentuan harga barang.
  • Pemilihan saluran untuk mempromosikan barang dan sampai kepada pelanggan.
  • Pengembangan dan perlaksanaan strategi pemasaran

Antara tujuan pemasaran ialah sebagai cara untuk memperkenalkan suatu perniagaan kepada masyarakat, melalui produk yang dibuat oleh perniagaan tersebut. Maka di atas tujuan inilah, para peniaga melakukan aktiviti pemasaran untuk memperkenalkan produk atau barang jualan kepada masyarakat. Pemasaran juga dilakukan bagi melonjakkan hasil pendapatan daripada suatu keadaan kepada suatu keadaan.

Atas tujuan ini beberapa penipuan dilakukan bagi mencapai tujuan di atas. Penipuan ini sama ada dilakukan secara lisan, atau melalui penulisan di sosial media. Antara kaedah yang digunakan ialah menulis kisah-kisah rekaan di media sosial tentang sesuatu perkara, sama ada kisah rumah tangga, atau kemalangan yang direka-reka. Terdapat juga kaedah mempamerkan bahawa perniagaannya di kunjungi ramai orang, dengan mengupah orang untuk melakukan fake review dan pelbagai lagi bentuk penipuan.

Berdasarkan permasalahan di atas, kami akan mengupas bagaimana Islam memandang isu ini.

 

Hukum Marketing (Secara Umum)

Islam menghalalkan segala urusan jual beli secara umumnya yang tidak berkait dengan riba. Firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ اللَّـهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Maksudnya: Dan Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba

(Surah al-Baqarah: 275)

Berdasarkan nas Al-Quran di atas, hukum melakukan aktiviti marketing adalah harus berdasarkan kaedah fiqh:

الوَسَائِل لَها أَحْكَام المَقَاصِد

Maksudnya: Wasilah (medium untuk mencapai sesuatu tujuan)akan mengambil hukum maqasid (tujuan)


 

Hukum Najsh

 

Ada sejenis amalan dalam urusan jual beli yang diharamkan oleh Nabi SAW iaitu najsh[3]. Najsh ialah orang yang sengaja menawarkan harga belian yang tinggi sedangkan dia tidak berniat membelinya. Tujuannya supaya orang lain merasakan barangan tersebut bernilai tinggi dan mereka akan membelinya dengan harga yang lebih mahal. Najsh pada asalnya bermaksud menyembunyi kerana perbuatan orang ini menyembunyikan niatnya.

Perbuatan ini adalah haram berpandukan hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar R.Anhuma katanya:

نَهَى النَّبِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ النَّجْشِ

Maksudnya: “Nabi SAW melarang najsh.” (Jika jual beli tersebut berlangsung, ia tetap sah).

Riwayat al-Bukhari (2035) dan Muslim (1516)

Jika terdapat bukti perbuatan tersebut adalah hasil perancangan penjual dan najsh (orang yang sengaja menawarkan harga belian yang tinggi sedangkan dia tidak berniat membelinya), mereka berdua telah melakukan perkara yang haram.

Penjual dianggap telah menipu pembeli dan dengan itu pembeli berhak menuntut khiyar. Jika tiada bukti penjual dan penjuak merancang perbuatan tersebut, pembeli tidak berhak menuntut khiyar kerana dia sendiri cuai membuat penelitian. Lihat al-Fiqh al-Manhaji, (4/15-16)

 

Kedudukan Peniaga yang Jujur dalam Islam

 

Secara umumnya Islam sangat mementingkan nilai kejujuran dalam semua urusan seharian. Namun begitu, terdapat begitu banyak nas-nas yang menyebut secara khusus sekaligus memperlihatkan betapa pentingnya kejujuran dalam urusan perniagaan dan jual beli. Antaranya:

وَأَقِيمُوا الْوَزْنَ بِالْقِسْطِ وَلَا تُخْسِرُوا الْمِيزَانَ

Maksudnya: Dan tegakkanlah timbangan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi neraca itu.

(Surah al-Rahman: 9)

Syeikh Tantawi dalam menafsirkan ayat ini menegaskan bahawa Allah telah mensyariatkan keadilan dan melarang sama sekali untuk melanggar batasan. Seruan ini adalah untuk diaplikasikan sepanjang kehidupan terutama dalam timbangan (urusan perniagaan) yang mana urusanya sering berlaku sesama manusia. (Lihat Tafsir al-Wasit, 14/131)

Sebagai balasan terhadap kejujuran yang diamalkan dalam perniagaan, peniaga bukan sahaja mendapat keuntungan di dunia dengan keuntungan berlipat kali ganda dan mendapat kepercayaan daripada pelanggan, namun turut diberi keistimewaan secara khusus di akhirat seperti mana hadis yang diriwayatkan daripada Rifa’ah RA, katanya:

أَنَّهُ خَرَجَ مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم إِلَى الْمُصَلَّى فَرَأَى النَّاسَ يَتَبَايَعُونَ فَقَالَ ‏”‏ يَا مَعْشَرَ التُّجَّارِ ‏”‏‏.‏ فَاسْتَجَابُوا لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَرَفَعُوا أَعْنَاقَهُمْ وَأَبْصَارَهُمْ إِلَيْهِ فَقَالَ ‏”‏ إِنَّ التُّجَّارَ يُبْعَثُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فُجَّارًا إِلاَّ مَنِ اتَّقَى اللَّهَ وَبَرَّ وَصَدَقَ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ ‏.‏ وَيُقَالُ إِسْمَاعِيلُ بْنُ عُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ رِفَاعَةَ أَيْضًا ‏.‏

Maksudnya: “Suatu ketika dia keluar bersama Nabi SAW ke tempat sembahyang lalu Baginda ternampak orang ramai sedang berjual beli. Baginda bersabda: Wahai para peniaga! Mereka menyahut penggilan Nabi SAW itu sambil menjenguk ke arah Baginda. Nabi SAW bersabda: Pada hari kiamat kelak para peniaga akan dibangkitkan sebagai orang-orang yang jahat kecuali orang yang takutkan Allah, berbuat baik dan jujur.”

Riwayat al-Tirmizi (1210)

Berbuat baik yang disebutkan di dalam hadis di atas bermaksud berbuat baik ketika berurusan. Selain itu, Islam mengangkat nilai kejujuran secara khusus kepada para peniaga dengan mengangkat martabat mereka. Hal ini jelas apabila disebut di dalam hadis yang diriwayat daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, Nabi SAW bersabda:

التَّاجِرُ الصَّدُوقُ الأَمِينُ مَعَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ

Maksudnya: “Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama-sama dengan para nabi, siddiqin dan para syahid.”

Riwayat al-Tirmizi (1208)

 

Kedudukan Peniaga yang Melakukan Penipuan Menurut Islam

Islam sangat tegas dalam hal penipuan. Hal ini boleh kita lihat dengan jelas bagaimana kemurkaan Allah hingga adanya sebuah surah khusus di dalam Al-Quran yang mencela dan mencelakakan golongan melakukan penipuan. Firman Allah SWT pada awal surah berbunyi:

وَيْلٌ لِّلْمُطَفِّفِينَ

Maksudnya: Kecelakaan besar bagi orang-orang yang berlaku curang.

Kemudian di dalam surah yang sama Allah berfirman dengan menyebut secara jelas:

وَإِذَا كَالُوهُمْ أَو وَّزَنُوهُمْ يُخْسِرُونَ 

Maksudnya: Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.

Selain itu, amaran yang keras dalam hal ini ini boleh dilihat melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi bersabda:

مَنْ حَمَلَ عَلَيْنَا السِّلاَحَ فَلَيْسَ مِنَّا وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: “Siapa yang mengangkat senjata ke atas kami, bukanlah daripada golongan kami, dan siapa yang menipu kami, bukan daripada golongan kami”

 

Para fuqaha’ bersepakat bahawa hadis ini tidak diambil maknanya secara zahir iaitu pada frasa “bukan daripada golongan kami”. Frasa ini tidak membawa maksud terkeluar daripada Islam. Mereka bersepakat bahawa maksud frasa “bukan daripada golongan kami” ialah bukan cara seorang muslim untuk melakukan penipuan. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/544)

 

 

Kesimpulan

Daripada perbincangan di atas, dapat disimpulkan beberapa perkara:

  • Marketing hukumnya adalah harus jika bebas daripada perkara yang diharamkan.

  • Kejujuran dalam perniagaan adalah satu perkara yang tinggi akhlaknya dalam Islam hingga disebutkan secara khusus kedudukan para peniaga di dalam syurga.
  • Penipuan adalah satu perkara yang ditegah di sisi Islam dalam sebarang urusan khususnya perniagaan.

Semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada perkara-perkara yang dilarang serta memberi kefahaman dalam mengamalkan syariat-Nya. Amin.

[1] Philip Kotler ialah penulis American Marketing dan juga Profesor di Northwestern University.

[2] Lihat http://www.businessdictionary.com/definition/marketing.html

[3] Penjuak atau penghasut. Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat.

Source: IRSYAD FATWA

Download PDF

Check Also

BAYAN LINNAS SIRI KE- 154 : PENDIRIAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN BERHUBUNG ISU POLIS EVO 2

Mukadimah Sekitar seminggu yang lalu, saya didatangi YBhg. Dato’ Khairul Anwar Salleh, Naib Presiden Bahagian …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *