Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-243 : HUKUM PENDAPATAN JUAL BELI TENGGILING
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-243 : HUKUM PENDAPATAN JUAL BELI TENGGILING

Download PDF

 

Soalan:

Assalamualaikum Dato`. Apakah hukum mengambil duit daripada menjual binatang yang tidak boleh dimakan seperti tenggiling?

 

Jawapan:

 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Mukadimah

Kamus Dewan (Edisi Keempat) mentakrifkan ‘tenggiling’ sebagai sejenis binatang yang bersisik dan yang panjang muncungnya untuk memakan semut dan anai-anai. Nama saintifiknya adalah Manis javanica dan disebut juga Tenggiling Sunda. Habibat haiwan ini adalah kawasan hutan dan ladang di negara-negara Asia Tenggara  seperti Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia (Kepulauan Jawa dan Sumatra, Sunda Kecil, dan Kalimantan), Laos, Myanmar dan Vitenam.[1] Haiwan ini sedang mengalami kepupusan akibat pemburuan haram kerana permintaan yang tinggi terhadap sisik, daging dan darahnya yang didakwa memiliki nilai perubatan dan rasa yang eksotik.[2]

 

Hukum Memakan Tenggiling

Hukum memakan haiwan tenggiling ini tidak terdapat dalam nas al-Quran atau hadis Nabi SAW. Begitu juga tiada arahan membunuh atau tegahan terhadapnya.  Apabila berlaku begini, status haiwan itu hendaklah diteliti daripada perakuan masyarakat Arab terhadap baik atau buruk memakannya. Sekiranya dalam keadaan biasa (bukan darurat) orang Arab menganggap baik memakannya, maka halallah makannya. Jika mereka menganggap buruk maka haramlah memakannya. Rujuk Matla’ al-Badrain (2/29).

Mengenai tenggiling, kami tidak menemui kenyataan yang jelas dalam kitab-kitab muktamad mazhab Syafie tentang halal atau haramnya. Namun, terdapat ibarat di dalam kitab Sabila al-Muhtadin[3] (hlm. 258) menyebut pengharaman haiwan tenggiling ini: “(dan haram) baghal dan keldai negeri dan tiap-tiap yang mempunyai taring yang kuat yang menguasai dengan dia seperti macan yang besar, dan macan dahan, dan beruang, dan gajah, dan singa dan anjing, dan babi, dan kera, dan badak, dan kubang, dan kucing negeri, dan kucing hutan, berang-berang[4], dan musang, dan tengkalung[5], dan tupai, dan tenggiling, dan katak, dan kongkang, dan cicak, dan teki, dan bengkarung.”

Namun begitu dalam kitab Matla` al-Badrain (2/26), Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fatani, sinjab atau tupai dimasukkan dalam kategori haiwan yang halal dimakan. Ini juga seperti yang dimuktamadkan dalam kitab muktamad mazhab al-Syafie yang lain seperti Tuhfatul Muhtaj dan Nihayatul al-Muhtaj. Jika faktor yang mengharamkan tenggiling ialah ‘mempunyai taring yang kuat yang menguasai dengan dia’ maka apabila kita lihat struktur tengkorak tenggiling, kita mendapati ia tidak mempunyai taring bahkan gigi seperti kenyataan di atas. Sebagai langkah berhati-hati, kami cenderung kepada pendapat Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang mengharamkan makan tenggiling.

 

Hukum Jual Beli Haiwan Yang Haram Dimakan

Islam mensyaratkan lima perkara bagi barang jualan untuk menjadikan jualan itu sah:

  1. Hendaklah barang itu suci dan bukan najis.
  2. Hendaklah barang itu bermanfaat.
  3. Hendaklah barang itu boleh diserahkan kepada pembeli.
  4. Hendaklah barang itu dimiliki oleh penjual.
  5. Hendaklah diketahui jenis, kadar dan sifatnya oleh pembeli dan penjual.

Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah Qism al-Buyu` (hlm. 14-15)

Berdasarkan syarat-syarat ini, jual beli tenggiling itu adalah seperti berikut:

  • Tenggiling adalah suci semasa ia hidup kerana tiada dalil yang menyatakan ia najis seperti anjing dan khinzir. Adapun setelah ia mati, jika kita menganggapnya haram, maka ia adalah najis yang dilarang dijualbeli.
  • Haiwan yang diharamkan memakan, justeru manfaatnya untuk dimakan adalah dinafikan. Para ulama menyebutkan bahawa ular, kala jengking dan kumbang tanduk adalah tidak sah jual belinya kerana tiada manfaat sekalipun perubatan. Gajah dan keldai domestik diharuskan jual beli sekalipun haram dimakan kerana boleh dimanfaatkan untuk ditunggang dan membawa barang. Kucing domestik pula adalah diharuskan jual beli jika diajar untuk menghapuskan tikus. Rujuk Matla` al-Badrayn (2/46-47). Namun, kulit tenggiling bermanfaat kepada manusia. Justeru syarat ketiga ini memadai bagi tenggiling.
  • Jika tenggiling itu telah dibuktikan sebagai bermanfaat, maka hendaklah ia boleh diserahkan kepada pembeli. Begitu juga bagi syarat keempat dan kelima.

Kesimpulannya, tenggiling yang hidup dibolehkan menjadi barang dagangan. Namun, tenggiling yang sudah mati tidak boleh didagangkan kerana bangkai adalah najis yang tidak boleh didagangkan, melainkan selepas disamak kulitnya.

 

Hukum Memburu Tenggiling di Malaysia

Allah SWT memberikan manusia amanah dan tanggungjawab sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi dan menjaganya daripada rosak, termasuklah menjaga fauna daripada pupus. Sebaliknya, ramai manusia yang ingkar dan melakukan kerosakan di atas muka bumi kerana tamak dan mengikut hawa nafsu. Allah SWT menyeru agar golongan ini insaf akan perbuatan khianat mereka ini dengan firman-Nya:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

(Surah al-Rum: 41)

Allah SWT mengingatkan manusia bahawa haiwan juga adalah umat ciptaan-Nya seperti manusia sekalipun dengan hak dan tanggungjawab yang berbeza:

وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا طَائِرٍ يَطِيرُ بِجَنَاحَيْهِ إِلَّا أُمَمٌ أَمْثَالُكُم ۚ مَّا فَرَّطْنَا فِي الْكِتَابِ مِن شَيْءٍ ۚ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِمْ يُحْشَرُونَ

Maksudnya: “Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).”

(Surah al-An`am: 38)

Imam al-Qurtubi pula berkata: “Mereka, yakni haiwan-haiwan, ini adalah kumpulan-kumpulan seperti manusia juga di mana Allah Azza wa Jall mencipta mereka, menjamin rezeki mereka, bersikap adil terhadap mereka, maka tak usahlah kalian menzalimi mereka, dan jangan kalian bersikap melampau terhadap mereka melebihi apa yang telah dibenarkan oleh Allah.”

Rujuk Tafsir al-Qurtubi (6/420)

Di sini jelas kepada kita bahawa manusia memiliki tanggungjawab untuk memelihara haiwan termasuk tenggiling ini daripada pupus kerana ia adalah umat seumpama kita jua yang mendapat rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Jika kita khianat atas tanggungjawab ini, maka mereka akan dibangkitkan di akhirat nanti menuntut keadilab atas kezaliman yang telah dilakukan terhadap mereka. 

Tenggiling adalah haiwan yang sedang mengalami kepupusan akibat tindakan manusia yang memburunya secara zalim dan melampau. Oleh itu, Kerajaan Malaysia telah menyenaraikan tenggiling sebagai haiwan yang dilindungi sepenuhnya, sekalipun oleh pemburu berlesen, oleh undang-undang Malaysia. Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 68(2)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] bagi menyimpan Tenggiling (Manis javanica) iaitu hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kedua [Akta 716] melebihi dua puluh kepala, tanpa permit khas. Jika disabit kesalahan pemburu dan penjual boleh didenda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak lebih RM100,000.00 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Kami berpendapat Kerajaan Malaysia adalah Ulil Amri yang boleh membuat undang-undang berdasarkan maslahat untuk memelihara spesis tenggiling daripada kepupusan. Oleh itu, kami menyokong sepenuhnya usaha Kerajaan Malaysia yang mengharamkan pemburuan dan pemerdagangan tenggiling. menyatakan bahawa hukum mengambil bayaran daripada jualan tenggiling, termasuk haiwan-haiwan lain yang dilindungi sepenuhnya, adalah haram pada sudut Siyasah Syariyyah sekalipun jual beli itu adalah sah pada asalnya, seperti hukum bersolat dengan baju curi dan jual beli ketika azan Jumaat. Ulil Amri memiliki hak untuk mengenakan hukuman ta`zir, termasuklah merampas barang-barang dagangan tersebut, tertakluk kepada tarikh mula pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang berkenaan. Firman Allah Taala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

(Surah al-Nisa: 49)

 

Kesimpulan

Kami menasihatkan agar masyarakat tidak melibatkan diri dengan pemerdagangan item yang diharamkan oleh Kerajaan Malaysia, khususnya bagi haiwan yang dilindungi oleh undang-undang. Ini kerana terdapat maslahat yang diraikan di sini yakni bahaya kepupusan spesis tenggiling. Ini adalah antara perkara yang dipertimbangkan oleh Rasulullah SAW dalam menetapkan polisi negara. Daripada Abdullah bin Mughaffal RA bahawa Baginda SAW bersabda:

لَوْلَا أَنَّ الكِلَابَ أُمَّةٌ مِنَ الأُمَمِ لَأَمَرْتُ بِقَتْلِهَا كُلِّهَا، فَاقْتُلُوا مِنْهَا كُلَّ أَسْوَدَ بَهِيمٍ

Maksudnya: “Kalaulah tidak kerana anjing itu suatu umat (spesis) daripada kalangan umat-umat, nescaya aku akan menyuruh untuk membunuhnya semua, tetapi bunuhlah yang hitam legam sahaja.”

Riwayat al-Tirmidzi (1486). Kata beliau: hadis hasan sahih.

Daripada Jabir bin Abdillah RA berkata:

أمَرَنا رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم بِقَتْلِ الكِلابِ ، حَتَّى إِنَّ المَرْأةَ تَقْدُمُ مِنَ البَادِيَةِ بِكَلْبِهَا فَنَقْتُلُهُ ، ثُمَّ نَهَى النَّبيُّ صلى الله عليه وسلم عَنْ قَتْلِهَا ، وَقَالَ  عَلَيْكُمْ بِالأسْوَدِ البَهِيمِ ذِي النُّقْطَتَيْنِ فَإنَّهُ شَيْطَانٌ

Maksudnya: “Kami diperintah oleh Rasulullah SAW untuk membunuh anjing-anjing, sehingga seorang wanita datang daripada pelusuk kampung dengan anjingnya, maka kami ingin membunuh anjing itu tetapi ditegah oleh Rasulullah SAW daripada membunuhnya lalu bersabda: Hendaklah kamu membunuh anjing yang hitam legam lagi memiliki dua titik (di bawah matanya) sahaja kerana itu adalah syaitan.”

Riwayat Muslim (1572)

Imam al-Nawawi rahimahullah (w.676) menghuraikan hadis ini dalam al-Minhaj, antaranya:

فَقَالَ إِمَامُ الْحَرَمَيْنِ مِنْ أَصْحَابِنَا أَمَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوَّلًا بِقَتْلِهَا كُلِّهَا ثُمَّ نُسِخَ ذَلِكَ وَنُهِيَ عَنْ قَتْلِهَا إِلَّا الْأَسْوَدَ الْبَهِيمَ ثُمَّ اسْتَقَرَّ الشَّرْعُ عَلَى النَّهْيِ عَنْ قَتْلِ جَمِيعِ الْكِلَابِ الَّتِي لَا ضَرَرَ فِيهَا سَوَاءٌ الْأَسْوَدُ وَغَيْرُهُ

Maksudnya: “Berkata Imam al-Haramain daripada ashab kami (ulama Syafieyyah) bahawa Nabi SAW mengarahkan agar dibunuh semua anjing pada permulaan sahaja kemudian arahan itu dimansukhkan lalu ditegah daripada membunuh anjing melainkan anjing hitam legam sahaja. Kemudian Syarak menetapkan larangan membunuh apa jenis anjing yang tidak mendatangkan mudarat sama ada anjing hitam atau selainnya.”

Rujuk Syarh Sahih Muslim (10/235)

Imam Ibn Qutaibah rahimahullah (w.276) dalam Ta’wil al-Mukhtalaf al-Hadith (hlm. 208-209) menghuraikan sabda Rasulullah SAW ini dengan katanya anjing hitam legam adalah sejenis anjing yang paling mudarat dan paling kuat mencederakan. Ia juga paling kurang manfaat dan paling buruk kemahiran menjaga (harta dan ternakan), paling teruk kemahiran memburunya dan banyak mengantuk. Ia dipanggil syaitan juga kerana ia paling keji dan mengacau orang, seperti seseorang dipanggil sebagai syaitan, panggilan itu hanyalah untuk menunjukkan sifat syaitan yang derhaka, atau singa yang menyerang, atau serigala, yakni itu hanyalah permisalan sahaja. Boleh jadi juga itu adalah anjing daripada jenis jin, ataupun dipengaruhi jin, jadi yang dimaksudkan dengan anjing hitam itu adalah syaitan lantas dibunuh kerana mudarat padanya. Sedangkan diketahui bahawa Syaitan itu adalah jenis jin yang derhaka. Adapun kenapa dibunuh semua anjing di Madinah, maka hal itu tidak terbantah kerana tanah Madinah pada zaman Nabi SAW adalah tempat turunnya wahyu Allah Taala bersama malaikat-Nya sedangkan malaikat tidak masuk rumah yang ada padanya anjing atau gambar.

Justeru, kami tegaskan, bahawa hukum jual beli tenggiling yang hidup dan kulitnya selepas disamak adalah sah, cuma undang-undang satu-satu negara boleh mengharamkan jual beli tersebut dan mengambil tindakan mengikut pertimbangan maslahat. Adapun daripada sudut bayaran yang diterima daripada jual beli tersebut, asalnya ia adalah halal tetapi sekurang-kurangnya menjadi syubhah yang mendekati haram jika ia menyumbang kepada kepupusan spesis haiwan terancam. Maka sebaiknya kita tinggalkan aktiviti pendapatan sebegini untuk kehidupan yang lebih diberkati.

Wallahua’lam.

 

Nota hujung: 

[1] https://en.wikipedia.org/wiki/Sunda_pangolin

[2] http://edition.cnn.com/interactive/2014/04/opinion/sutter-change-the-list-pangolin-trafficking/

[3] Kitab karangan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari Rahimahullah yang ditulis pada tahun 1779 M (1193 H) pada zaman pemerintahan Sultan Tamjidullah ini merupakan kitab yang menerangkan ilmu fikih dalam Madzhab Syafi’I dengan syarahan kitab-kitab yang dikarang oleh ulama madzhab Syafi’i, seperti Syarah Minhaj oleh Syaikhul Islam Zakaria al-Ansari, al-Mughni oleh Syeikh al-Khatib al-Syarbini, al-Tuhfah oleh Syekh Ibnu Hajar Al-Haitami, al-Nihayah oleh Syeikh Ar-Ramli dan beberapa buah matan, syarah dan komentar lainnya. Beliau berasal daripada Tanah Banjar, Kalimantan Selatan, Indonesia. Rujuk https://id.wikipedia.org/wiki/Sabilal_Muhtadin.

[4] Nama lain bagi memerang.

[5] Disebut juga sebagai tenggalung; sejenis musang bernama saintifik Viverra tangalunga.

Source: IRSYAD FATWA

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-285: FADHILAT BERCELAK HARI ASYURA’

          Soalan: Apakah status hadith ini?   مَنِ اكْتَحَلَ بِالإِثْمِدِ يَوْمَ …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *