Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-FATWA 275: TAFSIRAN ULAMA’ BERKENAAN MAKSUD ‘AL-MANN WA AL-SALWA’
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-FATWA 275: TAFSIRAN ULAMA’ BERKENAAN MAKSUD ‘AL-MANN WA AL-SALWA’

Download PDF

Capture.PNG

 

Soalan

Apakah tafsiran makna al-Mann wa al-Salwa sepertimana yang disebut di dalam Surah al-Baqarah?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Firman Allah SWT:

وَأَنزَلْنَا عَلَيْكُمُ الْمَنَّ وَالسَّلْوَىٰ

Maksudnya: Kami turunkan kepada kamu “Mann” dan “Salwa”,

(Surah al-Baqarah: 57)

Dalam ayat ini terdapat dua jenis makanan yang menjadi perbahasan dalam kalangan ulama akan maksud sebenarnya, iaitu al-Mann dan al-Salwa. Kami kemukakan perbahasan para ulama’:

Al-Mann

  1. Ibn Kathir dalam mentafsirkan ayat ini berkata: Ali bin Abi Talhah menyebut, daripada Ibn Abbas: al-Salwa ialah sejenis burung yang menyerupai al-summani, adalah mereka memakan daripadanya. Daripada Ikrimah: al-Salwa ialah burung seperti burung yang berada di syurga. Ia lebih besar daripada al-‘usfur atau yang sepertinya. Wahab bin Munabbih berkata, al-Salwa adalah seekor burung yang banyak dagingnya seperti burung merpati. Burung itu mendatangi mereka dan mereka pun mengambilnya seminggu sekali pada hari Sabtu. Ibnu ‘Athiyyah berkata, menurut kesepakatan para mufassir, salwa itu ialah burung. Sedangkan al-Hudzali telah melakukan suatu kesalahan dengan menyatakan salwa itu adalah madu. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/414)
  1. Imam al-Qurtubi menyebut, al-mann ini dikenali sebagai “al-Taranjabin” dan ada mengatakan sebagai “al-Toronjabin” dengan huruf (ط) dan ini adalah yang dipegang oleh kebanyakan ahli mufassir. Al-mann ini dikatakan juga sebagai gam yang manis dan dikatakan sebagai madu . (Rujuk Tafsir al-Qurtubi, 1/405-407)
  1. Imam al-Baidhawi menyatakan, al-mann ialah “al-Taranjabin” dan diturunkan kepada mereka seperti salji dari terbit sehingga terbenam matahari (Rujuk Anwar Al-Tanzil wa Asrar al-Takwil, 1/94)
  1. Imam Abu Hayyan al-Andalusi, menukilkan pendapat-pendapat seperti berikut:
  2. Ibn Abbas dan al-Sya’bi : Sesuatu yang turun dari pokok, lebih manis daripada madu dan lebih putih daripada salji.
  3. Mujahid : Gam yang manis lagi baik.

iii. Rabi’ Bin Anas dan Abi al-‘Aliyyah : Sejenis minuman yang diturunkan kepada mereka dan mereka meminumnya selepas dicampurkan dengan air.

  1. Ibn Zaid : Madu yang diturunkan kepada mereka.
  2. Wahab : Roti yang dibuat daripada jagung.
  3. Al-Sa’di : Halia.

vii. Kebayakan ahli mufassirin : al-mann ialah “al-Taranjabin

viii. Amru Bin Isa : Madu yang masam.

  1. Imam al-Alusi menyebut al-mann lebih dikenali sebagai “al-Taranjabin” iaitu sesuatu yang menyerupai gam yang manis dan bersamanya sedikit masam. (Rujuk Ruh al-Maani, 1/418)
  1. Syeikh Rashid Redha menyebut: Al-Mann itu sejenis bahan yang mengalir turun seperti embun, dan ia sejenis cecair melekit yang manis seperti madu. Ia boleh ditemui pada batu dan daun pokok yang lembab, kemudian ia mengeras dan mengering dan dikutip oleh manusia. Antara jenis yang terletak di bawah kategori ini ialah التَّرَنْجَبِينُ )Al-Taranjabin) dan inilah yang dimaksudkan dengan al-Mannu menurut sebahagian mufassir. (Lihat Tafsir al-Manar, 1/268)
  1. Syeikh Mutawalli Sya’rawi menyatakan, al-mann ialah butir-butir merah yang berkumpul di atas daun-daun pokok yang ada diantara waktu fajar sehingga terbit matahari. Dan ianya masih wujud sehingga sekarang di kawasan Iraq. Pada awal subuh, manusia akan datang dengan membawa kain-kain putih dan menghamparkannya di bawah-bawah pokok tersebut. Kemudian, mereka akan menggoncangkan pokok itu dengan sekuatnya sehingga jatuhlah titisan yang terdapat pada daun-daun pokok ke atas kain putih yang telah dihamparkan. Lalu mereka mengumpulkannya, menjadikan titisan tersebut daripada manisan yang sangat hebat. Rasanya seperti krim dan manisan madu lebah. Ianya tergolong dalam kalangan manisan yang sangat lazat hidangannya lagi mudah untuk dicernakan serta mudah untuk diserap oleh badan manusia. (Rujuk Tafsir al-Sya’rawi, 1/193)
  2. Syeikh Muhammad al-Thahir Ibn ‘Asyur berkata: Al-Mannu merupakan satu bahan seperti gam yang ada dipokok-pokok di kawasan padang pasir. Ia mempunyai rasa manis dan masam, berwarna kekuning-kuningan, dan ia banyak didapati di lembah-lembah Turkistan. Kitab Taurat mensifatkannya sebagai bahan yang kecil seperti sekam, dan ia jatuh ke tanah seperti embun menitis ke bumi dalam bentuk yang keras dan beku. Dan ia diberi nama al-Mann oleh kaum Bani Israel. (Lihat Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, 1/509-510)
  1. Imam as-Syaukani meriwayatkan beberapa pandangan dalam tafsir beliau tentang makna al-Mann, antaranya:
  2. Dikatakan ia bermaksud At-Taranjabin, At-Tharanjabin (dengan huruf Tho’)
  3. Dikatakan juga al-Mann bermaksud madu, minuman manis dan kepingan-kepingan seperti roti.

iii. Ia merupakan satu kalimah masdar yang meliputi semua jenis kurniaan Allah SWT kepada hamba-Nya tanpa melalui penanaman atau perusahaan. Pandangan ini disandarkan kepada hadith Nabi SAW:

أَنَّ الْكَمْأَةَ مِنَ الْمَنِّ الَّذِي أُنْزِلَ عَلَى مُوسَى

Maksudnya: Sesungguhnya kulat itu daripada kurniaan yang diturunkan kepada Nabi Musa.

Riwayat Muslim (2049)

  1. Prof. M. Quraisy Shihab berkata: “Al-mann ialah butir-butir warna merah yang terhimpun pada dedaunan, biasanya turun saat fajar menjelang terbitnya matahari. Sampai saat ini, menurut Syeikh Mutawalli Sya’rawi, al-mann masih ditemukan di Iraq. Rasanya manis bercampur masam, berwarna kekuning-kuningan. Dalam kitab Perjanjian Lama, al-mann ialah suatu yang datang bersama embun pagi di sekeliling perkhemahan mereka (Bani Israel). Ia membeku dan halus seperti sisik. Ia juga seperti ketumbar dan kelihatan seperti getah. Bani Israel memungut dan menggilingnya dengan batu kilangan atau menumbuknya dalam lesung. Mereka memasaknya dalam periuk dan membuatnya menjadi roti; rasanya sama seperti sejenis kuih yang digoreng. (Lihat Tafsir al-Misbah, 1/203)

Al-Salwa

Adapun tentang makna al-Salwa, beberapa pandangan juga dikemukakan:

  1. Ibn Kathir dalam mentafsirkan ayat ini berkata: Ali bin Abi Talhah menyebut, daripada Ibn Abbas: al-Salwa ialah sejenis burung yang menyerupai al-summani, adalah mereka memakan daripadanya. Daripada Ikrimah: al-Salwa ialah burung seperti burung yang berada di syurga. Ia lebih besar daripada al-‘usfur atau yang sepertinya. Wahab bin Munabbih berkata, al-Salwa adalah seekor burung yang banyak dagingnya seperti burung merpati. Burung itu mendatangi mereka dan mereka pun mengambilnya seminggu sekali pada hari Sabtu. Ibnu ‘Athiyyah berkata, menurut kesepakatan para mufassir, salwa itu ialah burung. Sedangkan al-Hudzali telah melakukan suatu kesalahan dengan menyatakan salwa itu adalah madu. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/414)
  1. Imam al-Syaukani menukilkan beberapa pandangan, dan antaranya ia merujuk kepada burung puyuh. Ibn ‘Athiyyah pula mendakwa bahawa para mufassir telah bersepakat bahawa Al-Salwa bermaksud burung, namun ia disanggah oleh Imam al-Qurthubi. Beliau berdalilkan dengan pandangan Al-Mu’arrij, seorang ulama’ bahasa Arab bahawa ia bermaksud madu dengan bersandarkan kepada sya’ir Al-Huzali dan lahjah Kinanah. (Lihat Tafsir Fath al-Qadir, 1/103-105)
  1. Syeikh Rashid Redha menyebut: Al-Salwa ialah burung puyuh السُّمَّانِيِّ dan ia merupakan sejenis burung yang dikenali, dan kalimah nuzul yang digunakan dalam ayat ini juga menepati karakteristik burung puyuh itu sendiri. (Lihat Tafsir al-Manar, 1/268)
  1. Syeikh Muhammad al-Thahir Ibn ‘Asyur berkata: Al-Salwa ialah sejenis burung darat liar yang lazat dagingnya dan senang diburu. Burung ini juga diberi nama السُّمَّانِيِّ . (Lihat Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, 1/509-510)
  1. Syeikh Muhammad Amin al-Syanqiti menyebut, al-Salwa ialah burung yang menyerupai burung puyuh. Dan dikatakan ialah burung puyuh. Dan ini adalah pendapat jumhur. (Rujuk Adhwa’ al-Bayan Fi Idhah al-Quran bi al-Quran, 4/74)
  1. Syeikh al-Maraghi menyebut bahawa merujuk kepada burung puyuh. (Rujuk Tafsir al-Maraghi , 1/70)
  1. Syeikh al-Sobuni dalam menafsirkan ayat ini pula menyebut al-salwa merujuk kepada burung yang menyerupai burung puyuh yang sedap dimakan. (Rujuk Sofwah al-Tafasir, 1/59)
  1. Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili berkata: “al-Salwa ialah burung yang dikenal dengan nama al-sumaani (burung puyuh), yang di wilayah Syam dikenal dengan nama al-farri.” Beliau kemudian mentafsirkan firman Allah SWT tersebut: “Kemudian kami mengurniakan kamu dengan pelbagai jenis makanan dan minuman seperti al-mann yang seperti madu (mereka mencampurnya dengan air lalu meminumnya) dan al-salwa yang seperti burung puyuh dan rasanya lazat. Al-mann turun kepada mereka seperti turunnya kabus sejak terbit fajar hingga terbit matahari, sedangkan burung puyuh datang sendiri kepada mereka sehingga setiap orang dapat mengambil secukupnya sehingga keesokan harinya.” (Lihat Tafsir al-Munir, 1/126)
  1. Syeikh Mutawalli Sya’rawi berkata, al-Salwa ialah sejenis burung dari langit dan dikatakan ianya adalah burung puyuh. Burung ini datang dalam segerombolan yang besar dan tidak diketahui asal sebenar burung ini. Burung ini kekal di bumi sehingga mereka menangkap, menyembelih serta memakannya. Maka Allah SWT lah yang memberikan rezeki yang baik untuk mereka sepertimana Allah SWT memberikan mendung kepada mereka daripada panas teriknya matahari. Dan “al-mann” ini memberikan kepada mereka tenaga untuk terus bergerak, dan al-salwa ini pula adalah hidangan untuk mereka. Kedua-kedua ini datang dari langit tanpa perlu mereka bersusah payah. (Rujuk Tafsir al-Sya’rawi, 1/193)
  1. Syed Qutb berkata: “Berbagai-bagai riwayat menyebut bahawa Allah telah membekalkan kepada mereka makanan “من” yang boleh didapati di atas pokok-pokok kayu. Rasanya manis seperti madu, dan mengadakan untuk mereka burung salwa yang boleh didapati mereka dengan banyak dan mudah” (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 1/150)
  1. Dr Hamka berkata: “Kemudian di masa itu juga mereka diberi makanan yang bernama mann dan salwa. Menilik erti sahaja, manna adalah kurnia, salwa boleh diertikan penawar hati. Tetapi yang dimaksud ialah dua macam makanan enak yang dianugerahkan Tuhan kepada mereka. Menurut riwayat Ibnul Mundzir dan Ibnu Abi Hatim dari Ibnu Abbas, beliau berkata bahawa manna adalah suatu makanan manis, berwarna putih yang mereka dapati tiap-tiap pagi telah melekat pada batu-batu dan daun-daun kayu. Rasanya manis dan enak; semanis madu, sehingga ada penafsir yang memberinya erti madu. Apabila makanan itu mereka makan, mereka kenyang. Mereka boleh membawa keranjang setiap pagi untuk memungutnya. Adapun salwa ialah burung putih sebesar burung puyuh. Terbang berbondong-bondong dan mudah mereka tangkap. Dagingnya lazat dan empuk. Sewaktu burung itu datang berbondong, sehingga mereka tidak kekurangan daging. (Lihat Tafsir al-Azhar, 1/205-206)
  1. M. Quraisy Shihab berkata: “Al-Salwa adalah sejenis burung. Sebahagian riwayat menginformasikan bahawa ia sebangsa puyuh dan datang berbondong-bondong berhijrah dari satu tempat yang tidak dikenali dan mudah ditangkap untuk disembelih dan dimakan. (Lihat Tafsir al-Misbah, 1/203)

Kesimpulan

Kami simpulkan di sini pendapat-pendapat ulama berkenaan al-mann dan al-salwa.

Pertama: Al-Mann

  1. al-Taranjabin” dan ada yang mengatakan sebagai “al-Toronjabin” dengan huruf (ط) dan ini adalah yang dipegang oleh kebanyakan ahli mufassir.
  2. Sesuatu yang turun dari pokok, lebih manis daripada madu dan lebih putih daripada salji.
  3. Gam yang manis lagi baik.
  4. Sejenis minuman yang diturunkan kepada mereka dan mereka meminumnya selepas dicampurkan dengan air.
  5. Madu yang diturunkan kepada mereka.
  6. Roti yang dibuat daripada jagung.
  7. Madu yang masam.
  8. Seperti salji, ia lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu.
  9. Sejenis cecair melekit yang manis seperti madu. Ia boleh ditemui pada batu dan daun pokok yang lembab, kemudian ia mengeras dan mengering dan dikutip oleh manusia.
  10. Sejenis bahan seperti gam yang ada dipokok-pokok di kawasan padang pasir. Ia mempunyai rasa manis dan masam, berwarna kekuning-kuningan, dan ia banyak didapati di lembah-lembah Turkistan.

Kedua: Al-Salwa

  1. Seekor burung yang banyak dagingnya seperti burung merpati.
  2. Burung puyuh.
  3. Burung darat liar yang lazat dagingnya dan senang diburu. Burung ini juga diberi nama السُّمَّانِيِّ .
  4. Madu (menurut satu pendapat yang ganjil)

Demikianlah antara pendapat para ulama’ dalam menafsirkan maksud al-mann wa al-salwa. Semoga ia memberi kefahaman yang baik kepada kita berkenaan al-Quran al-Karim yang menjadi petunjuk dan pedoman kepada kita semua.

Wallahu a’lam.

Source: IRSYAD FATWA

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-318 : ADAKAH MATI KERANA SAKIT PERUT TIDAK AKAN DI AZAB DI KUBUR?

Soalan : Assalamualaikum ustaz. Semoga dalam keadaan yang sihat. Saya mahu bertanya dan ingin clarify …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *