Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-FATWA #274: WAKAF AHMAD DAWJEE DADABHOY
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-FATWA #274: WAKAF AHMAD DAWJEE DADABHOY

Download PDF

WAKAF DAWJEE.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti, boleh terangkan kepada kami wakaf yang dilakukan Ahmad Dawjee Dadabhoy yang sering kali kami dengar. Siapakah beliau dan apa wakaf yang dilakukan olehnya?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan jawapan ini dengan takrif wakaf. Menurut bahasa, wakaf bermaksud tahan. Manakala menurut syara’, wakaf ialah menahan sesuatu harta yang boleh digunakan tanpa susut fizikalnya dengan cara menyerahkan hak miliknya kepada seorang pengguna yang harus dan wujud.

Wakaf adalah suatu amalan yang telah disyariatkan, bahkan ia merupakan salah satu cara mendekatkan diri dengan Allah. Amalan ini amat digalakkan oleh syara’. Al-Quran dan al-Sunnah telah menyebut dalil-dalil tentang amalan ini. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّـهَ بِهِ عَلِيمٌ

Maksudnya: Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan, maka sesungguhnya Allah Mengetahuinya.[1]

(Surah ali-Imran: 92)

Apabila Abu Talhah R.A mendengar ayat ini, beliau pun bercadang untuk mewakafkan hartanya, lalu beliau datang dan meminta pendapat lanjut daripada Nabi SAW.

Anas R.A berkata: “Ketika turunnya ayat al-Quran di atas, Abu Talhah terus datang menemui Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, Allah SWT telah berfirman di dalam kitab-Nya yang bermaksud (Surah ali-Imran: 92): “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”[2]

“Bagiku, harta yang paling aku kasihi adalah di Bairaha’,” (Perawi berkata: “Ia merupakan sebuah kebun yang sering diziarahi Rasulullah SAW. Baginda sering berteduh atau berehat dan minum air di dalamnya). Maka, ia kini adalah hak Allah SWT dan Rasulullah SAW. Aku mohon semoga beroleh kebaikan dan ganjarannya. “Wahai Rasulullah, gunakanlah harta ini di mana sahaja yang kamu mahu.” Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Alangkah bagus wahai Abu Talhah, tetapi harta tersebut amat berharga. Kami menerima pemberianmu, tetapi kami serahkannya semula kepada kamu. Berilah kepada kaum kerabatmu.” Lalu Abu Talhah pun sedekahkan harta tersebut kepada kaum keluarganya. Kata perawi: “Antara mereka ialah Ubay dan Hassan.

 

Begitu juga dengan firman Allah SWT:

وَمَا يَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ فَلَن يُكْفَرُوهُ ۗ وَاللَّـهُ عَلِيمٌ بِالْمُتَّقِينَ

Maksudnya: Dan apa sahaja kebajikan yang mereka kerjakan, maka mereka tidak sekali-kali akan diingkari (atau disekat dari mendapat pahalanya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan keadaan orang-orang yang bertakwa.

(Surah ali-Imran: 115)

Apa sahaja kebajikan” di dalam ayat ini, membawa maksud umum. Ia merangkumi segala bentuk kebaikan, termasuklah wakaf.

Manakala dalam sunnah pula, terdapat beberapa hadith, antaranya:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya:Apabila seseorang manusia mati, segala amalannya akan terputus kecuali daripada tiga sumber, iaitu sedekah jariah, ilmu yang boleh dimanfaatkan dan anak soleh yang sering mendoakannya.

Riwayat Muslim (1631)

Para ulama’ mentafsirkan (sedekah jariah) sebagai wakaf. Anak yang soleh pula adalah anak yang melaksanakan hak-hak Allah SWT dan menjaga hak-hak sesama manusia.

Ibn Umar RA berkata:

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ أَصَابَ أَرْضًا بِخَيْبَرَ، فَأَتَى النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم يَسْتَأْمِرُهُ فِيهَا، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنِّى أَصَبْتُ أَرْضًا بِخَيْبَرَ، لَمْ أُصِبْ مَالاً قَطُّ أَنْفَسَ عِنْدِى مِنْهُ، فَمَا تَأْمُرُ بِهِ قَالَ: إِنْ شِئْتَ حَبَسْتَ أَصْلَهَا، وَتَصَدَّقْتَ بِهَا. قَالَ: فَتَصَدَّقَ بِهَا عُمَرُ: أَنَّهُ لاَ يُبَاعُ وَلاَ يُوهَبُ وَلاَ يُورَثُ، وَتَصَدَّقَ بِهَا فِى الْفُقَرَاءِ وَفِى الْقُرْبَى، وَفِى الرِّقَابِ، وَفِى سَبِيلِ اللَّهِ، وَابْنِ السَّبِيلِ، وَالضَّيْفِ، لاَ جُنَاحَ عَلَى مَنْ وَلِيَهَا أَنْ يَأْكُلَ مِنْهَا بِالْمَعْرُوفِ، وَيُطْعِمَ غَيْرَ مُتَمَوِّلٍ

Maksudnya:Umar bin al-Khattab telah menerima sebidang tanah di Khaibar, lalu beliau menemui Nabi SAW dan bertanya apa yang sepatutnya dilakukan dengan harta itu. Beliau bertanya: “Wahai Rasulullah, aku telah menerima sebidang tanah di Khaibar, dan aku tidak pernah menerima harta yang lebih berharga daripada itu. Apakah yang perlu aku lakukan dengannya?” Baginda bersabda: “Sekiranya mahu, kamu wakaflah ia dan sedekahkan hasilnya.” Ibn Umar RA berkata lagi: Lalu Umar sedekahkan tanah ini sambil berkata: “Tanah ini sama sekali tidak akan dijual atau dihibahkan atau diwariskan. Hasilnya akan disedekahkan kepada fakir miskin, kaum keluarga, pembebasan hamba-hamba, orang yang berada di jalan Allah, Ibn Sabil dan para tetamu. Tidak salah bagi penjaga tanah tersebut memakan hasilnya ataupun memberi makan orang lain tanpa menyimpan harta.

Riwayat al-Bukhari (2586) dan Muslim (1632)

Ibn Sirin Rahimahullah berkata: “Iaitu tidak membolot harta.

Sebagaimana yang dimaklumi bahawa tindakan Umar RA ini merupakan wakaf yang pertama di dalam Islam.

Amalan wakaf telah menjadi budaya di kalangan para sahabat sehinggakan Jabir RA pernah berkata: “Tidak ada seorang pun dalam kalangan sahabat yang berkemampuan, yang tidak mewakafkan hartanya.”

Imam al-Syafie Rahimahullah berkata: “Aku mendapat tahu bahawa lapan puluh orang sahabat di kalangan Ansar telah melakukan sedekah muhramat.” Imam al-Syafie menggunakan istilah sedekah muhramat untuk wakaf. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/183-187)

 

Biografi Ringkas dan Wakaf oleh Ahmad Dawjee Dadabhoy

Ahmad Dawjee Dadabhoy dilahirkan pada tahun 1907 di Gujerat India. Setelah merantau di banyak negara di dunia, pada tahun 1940an beliau telah datang ke Tanah Melayu dan memilih untuk menetap di Kuala Lumpur. Beliau fasih dalam pelbagai bahasa dan amat gemar pada kitab dan ilmu serta mempunyai rangkaian kenalan di merata dunia. Beliau juga merupakan seorang hartawan dan ahli perniagaan yang sudah pun berjaya tatkala itu.[3] Dari awal lagi, beliau telah menyedekahkan hartanya melalui institusi wakaf. Institusi tersebut pada asalnya merupakan wakaf keluarga tetapi kemudiannya dinamakan Alwaqful Islami ul Alamee.[4]

Pada penghujung usianya, beliau mewakafkan hampir keseluruhan hartanya termasuk sebidang tanah seluas 1.2 hektar di Jalan Perak, Kuala Lumpur.[5] Pada 24 Januari 1987, beliau telah kembali ke rahmatullah. Sebelum meninggal dunia, Allahyarham telah menyatakan hajat untuk memberikan wakaf beliau yang terdiri daripada beberapa harta benda dan juga tabung dana kepada pihak penguatkuasa agama.[6]

Pada 18 September 1991, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengisytiharkan bahawa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Kuala Lumpur adalah pemegang amanah almarhum memandangkan beliau tidak mempunyai waris serta bagi memenuhi wasiat beliau.

Fatwa Wilayah Persekutuan yang dikeluarkan menyebut: “Bahawa Ahmad Dawjee Dadabhoy telah mewujudkan satu wakaf di sisi agama Islam. Ini berdasarkan kepada lafaz yang dibuat dalam Surat Ikatan Pengisytiharan Wakaf dan pengakuan bertulis saksinya Syed Mustapha bin Syed Wazir.”

Kesudian Allahyarham untuk mewakafkan hartanah di tapak yang begitu tinggi nilainya ini membolehkan ianya dimajukan dan akhirnya memberi pulangan yang besar kepada umat Islam. Nilai tanah tersebut sebelum dibangunkan adalah RM34 juta dan setelah ianya dibangunkan, nilainya melonjak kepada lebih RM151 juta.

MAIWP sebagai pemegang amanah hartanah wakaf berkenaan telah menggalas tanggungjawab membangunkan tanah wakaf tersebut seterusnya menjadi pelopor kepada pembangunan tanah wakaf bagi tujuan komersial di Malaysia. Hasilnya, dengan kerjasama antara MAIWP, Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), maka tanah tersebut berjaya dibangunkan. Dalam perkongsian pintar ini, LTH sebagai pemaju menawarkan pembiayaan 100% bagi membangunkan tanah wakaf MAIWP ini dan BIMB sebagai perintis perbankan Islam di Malaysia menjadi penyewa utama. TH Properties pula memainkan peranan sebagai pengurus projek. Berdasarkan struktur pembiayaan “Build-Operate-Transfer”, MAIWP akan mendapat pulangan sebanyak RM56.6 juta sepanjang tanah tersebut dipajakkan kepada LTH iaitu selama 25 tahun.[7]

Bermula dengan sikap dermawan dan pemurah Allahyarham, ia kini menjadi mercu tanda dan kebanggaan umat Islam. Pulangan yang diterima oleh MAIWP akan dipulangkan untuk manfaat asnaf dan ummah seluruhnya. Betapa besar manfaat yang diperolehi berpunca dari amalan wakaf Allahyarham.

Semoga ramai lagi pewakaf yang menggerakkan wakaf dalam kalangan rakyat Malaysia bagi manfaat kepada ummah dan ekonomi Islam pada masa akan datang. Amin.

 

Nota Hujung:

[1] Al-Maraghi berkata: “Kamu tidak akan memperoleh sebarang amalan kebajikan yang dilakukan terhadap Allah SWT, selaku orang yang taat kepadanya, mendapat keredhaan dan anugerahnya dengan cara merahmati mereka, mendapat ganjaran pahala, memasuki syurga dan terhindar daripada seksaannya. (Kamu akan memperoleh semua yang di atas) sekiranya kamu mahu mendermakan harta yang amat kamu sayangi.

[2] Riwayat al-Bukhari (607) kitab al-Wasiat: Bab Orang yang bersedekah pada wakilnya, kemudian wakil itu memulangkan kepadanya.

[3] Lihat http://swadd.com.my/maklumat/allahyarham-ahmad-dawjee-dadabhoy

[4] Lihat Buletin MAIWP, Bil. 10/2011/September – Oktober 2011, hlm. 6-7.

[5] Lihat akhbar Kosmo, 14 April 2018. http://www.kosmo.com.my/jurnal/jutawan-rela-miskin-demi-saham-akhirat-1.648799

[6] Lihat Buletin MAIWP, Bil. 10/2011/September – Oktober 2011, hlm. 6-7.

[7] Lihat Buletin MAIWP, Bil. 10/2011/September – Oktober 2011, hlm. 6-7.

Source: IRSYAD FATWA

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-318 : ADAKAH MATI KERANA SAKIT PERUT TIDAK AKAN DI AZAB DI KUBUR?

Soalan : Assalamualaikum ustaz. Semoga dalam keadaan yang sihat. Saya mahu bertanya dan ingin clarify …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *