Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-FATWA 271: HUKUM NON MUSLIM MASUK KE DALAM MASJID
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-FATWA 271: HUKUM NON MUSLIM MASUK KE DALAM MASJID

NON MUSLIM MASJID.PNG

 

Soalan:

Apakah hukum seorang non-Muslim masuk ke dalam masjid?

Jawapan:

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Dalam isu ini, kami bahagikan kepada dua isu, iaitu:

  1. Non-Muslim Masuk ke Masjid al-Haram

Majoriti ulama mengharamkan orang Musyrik memasuki Masjid al-Haram. Dalil bagi jumhur ulama’ ialah firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلاَ يَقْرَبُواْ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَذَا

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis. Karena itu, janganlah mereka mendekati Masjidil Haram sesudah tahun ini (tahun 9 H).

Surah al-Taubah (28)

Al-Qurthubi menukil penjelasan Imam al-Syafi’e yang mengatakan bahawa ayat ini melarang orang kafir daripada memasuki Masjid al-Haram, dan tidak masjid selainnya. Ia juga menunjukkan orang Yahudi dan Nasrani boleh masuk ke masjid yang lain selain Masjid al-Haram. (Rujuk Tafsir al-Qurthubi 8/105)

Pandangan yang sama juga dikemukakan oleh Ibn Hazm dan Imam al-Nawawi (Rujuk al-Muhalla 3/162 dan Raudhah al-Thalibin 1/296)

Para ulama mazhab Hanafi pula mengharuskan orang Yahudi dan Nasrani memasuki masjid secara mutlak, iaitu samada Masjid al-Haram mahupun masjid yang lain, namun tidak dibenarkan bagi orang musyrik. (Rujuk Tafsir al-Qurthubi 8/105)

  1. Hukum non-Muslim masuk ke masjid selainnya

Asas rujukan hukum bagi persoalan ini diambil dari ayat berikut :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلاَ يَقْرَبُواْ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَـذَا

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu kotor, maka janganlah mereka mendekati Masjidil haram sesudah tahun ini..

Surah Al-Taubah (28)

PANDANGAN PERTAMA: HARUS

Ini merupakan pandangan majoriti ulama dan fuqaha’, antaranya ialah

  1. Mazhab Hanafi: Abu Hanifah, Abu Yusof (Rujuk Tafsir al-Qurthubi 8/105)
  2. Mazhab Maliki: Al-Abi dan Imam Dusuqi (Rujuk Jawahir al-Iklil 1/23 dan Hasyiyah al-Dusuqi 1/138)

iii. Mazhab Syafi’e: Imam al-Syafi’e, Imam al-Nawawi, Imam Khatib Syarbini dan Imam Fakhruddin al-Razi (Rujuk Al-Hawi al-Kabir 2/268, Raudhah al-Thalibin 1/296, Mughni al-Muhtaj 6/68 dan Tafsir Mafatih al-Ghaib 8/27

  1. Mazhab Hanbali: Ibn Qudamah dan Ibn al-Qayyim (Rujuk Al-Mughni 9/359 Zad al-Ma’ad 3/79
  2. Mazhab Zahiri: Ibn Hazm al-Andalusi (Rujuk Al-Muhalla 4/245)
  3. Para ulama kontemporari seperti Syeikh ‘Athiyyah Saqar juga mengharuskan non Muslim memasuki masjid, samada untuk tujuan lawatan mahupun pelancongan. (Rujuk Fatawa Dar al-Iftaa’ Misriyyah 8/492)

Mereka juga meletakkan beberapa syarat, antaranya hendaklah mempunyai tujuan yang baik-baik seperti untuk mempelajari agama Islam, lawatan dan hendaklah mendapat kebenaran orang Islam (yakni pihak pengurusan masjid).

Dalil-Dalil Keharusan

Imam Al-Bukhari ada membawakan sebuah hadis yang menyebut bagaimana seorang bukan Islam bernama Thamamah ibn Athal, diikat oleh Rasulullah SAW di dalam masjid yang ditangkap atas satu kesalahan:

بعث رسول اللَّهِ خَيْلًا قِبَلَ نَجْدٍ فَجَاءَتْ بِرَجُلٍ من بَنِي حَنِيفَةَ يُقَالُ له ثُمَامَةُ بن أُثَالٍ فَرَبَطُوهُ بِسَارِيَةٍ من سَوَارِي الْمَسْجِدِ

Maksudnya : Rasulullah SAW menghantar seorang berkuda di arah Najd, maka terlihat seorang lelaki dari Bani Hanfiah ( sedang mengintip) yang bernama Thumamah Bin Uthal, lalu diikatnya di satu tiang dari tiang-tiang masjid

Sahih Bukhari (469) dan Sahih Muslim (1764)

Selepas tiga hari, akhirnya setelah dia melihat bagaimana umat islam beribadah dan keramahan umat Islam kepadanya yang sentiasa bertanya keadaannya, dia akhirnya memeluk Islam kerana tertawan melihat keindahan kehidupan dan ibadah umat Islam.

Baginda juga pernah menerima orang Kristian dari Najran didalam masjid baginda di Madinah. Apabila tiba waktu sembahyang mereka, mereka akan bersembahyang di masjid menghadap ke arah timur. Rasululllah SAW bersabda, yang bermaksud: “Biarkan mereka.” (Rujuk Ibn Ishaq dalam karya agung Sirah Ibn Ishaq, Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 2/42; Ibn al-Qayyim dalam Ahkam Ahl al-Zimmah, 1/397 dan Zad al-Ma’ad, 3/549.

Berdasarkan kisah ini, dapat difahami bahawa Kristian Najran pernah bersembahyang di Masjid Nabawi atas keizinan Nabi SAW. Dalam masa yang sama, terdapat juga beberapa hal yang penting untuk diteliti pada kisah ini:

  1. Riwayat ini sebenarnya daif kerana sanadnya terputus. Ia diriwayatkan oleh Ibn Ishaq daripada perawi yang bernama Muhammad bin Jaafar bin al-Zubair daripada Nabi SAW. Muhammad bin Jaafar bukan merupakan seorang sahabat bahkan beliau hanya sempat berguru dengan tabien kecil sahaja. (Rujuk Taqrib al-Tahzib, 2/471)
  2. Ibn Qayyim meletakkan syarat supaya ia tidak menjadi adat atau rutin harian dan kebiasaan. (Rujuk Zad al-Ma’ad, 3/557)

iii. Tidak ada riwayat lain yang menyatakan Nabi SAW membenarkan orang bukan Islam melakukan ibadat di Masjid Nabawi melainkan riwayat ini sahaja.

PANDANGAN KEDUA: HARAM

Menurut Imam al-Nawawi, Umar Abdul Aziz, Qatadah dan Imam Malik mengharamkan non-Muslim masuk ke masjid. (Rujuk Syarah Sahih Muslim, 12/87)

Imam al-Mawardi memetik pandangan Imam al-Muzani yang menyatakan bahawa non-Muslim tidak boleh masuk ke masjid kerana mereka sentiasa dalam keadaan hadas dan berjunub. (Rujuk Al-Hawi Al-Kabir, 2/268)

Menurut Imam al-Buhuti daripada mazhab Hanbali, haram hukumnya non-Muslim masuk ke mana-mana masjid meskipun dengan keizinan orang Muslim, berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ

Maksudnya: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat.

Surah al-Taubah (18)

Ini juga pandangan yang paling rajih dalam mazhab Hanbali sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Mardawi (Rujuk Kasyaf al-Qina’ 2/370-371 dan Al-Insaf 4/241)

Terdapat juga riwayat bahawa Ali bin Abi Thalib R.A pernah melihat ada seorang majusi di dalam masjid ketika beliau sedang berkhutbah di atas mimbar. Kemudian Ali turun, dan memukulnya serta menyuruhnya keluar. Pendapat ini juga yang menjadi pendapat Umar bin Khatab radhiyallahu ‘anhu. (Rujuk Mathalib Uli al-Nuha 2/617)

Kesimpulan

Secara tuntasnya, kami mentarjihkan pandangan yang mengharuskan non-Muslim masuk ke dalam masjid kecuali Masjid al-Haram, dan inilah pandangan majoriti ulama terdahulu mahupun kontemporari. Pandangan ini lebih menepati dalil-dalil dari al-Qur’an dan al-Sunnah, selain meraikan konteks masyarakat majmuk dan hubungan antara agama.

Inilah juga fatwa yang oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 di bawah tajuk ‘Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid’. Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab. Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.

Inilah pandangan yang diamalkan oleh masyarakat Muslim di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Masjid-masjid di Malaysia menjadi tumpuan pelancong dari seluruh pelusuk dunia kerana kecantikan dan kehalusan seni bina.

Namun demikian, adab-adab di dalam masjid mestilah dipelihara dan petugas-petugas masjid mestilah mengambil tanggungjawab bagi memastikan tiada salahlaku dan perlakuan tidak sopan terjadi di dalam masjid dan perkarangannya.

Wallahu a’lam.

Source: IRSYAD FATWA

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *