Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-FATWA #260: HUKUM MANDI DI KOLAM MANDI TERBUKA
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-FATWA #260: HUKUM MANDI DI KOLAM MANDI TERBUKA

Download PDF

KOLAM MANDI 2.png

 

Soalan

Bolehkah mandi di kolam mandi bersama keluarga di tempat terbuka?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

 

Kewajipan Menutup Aurat

Islam telah mewajibkan setiap Muslim supaya menutup auratnya. Islam sentiasa menyuruh umatnya menutup aurat walaupun bersendirian dan jauh daripada pandangan masyarakat supaya sifat kesopanan diri itu menjadi akar umbi peribadi dan moralnya. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm.142)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Bahz bin Hakim, datuknya berkata:

يا رسول الله، عَوْرَاتُنَا، مَا نَأْتِي مِنْهَا وَمَا نَذَرُ؟ قَالَ: “احْفَظْ عَوْرَتَكَ إِلَّا مِنْ زَوْجَتِكَ أَوْ مَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ” قال: قُلْتُ: يا رسول الله! أَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ الْقَوْمُ بَعْضُهُمْ فِي بَعْضٍ؟ قَالَ: “إِنْ اسْتَطَعْتَ أَنْ لَا تُرِيَهَا أَحَدًا، فَلَا تُرِيَنَّهَا” قُلْتُ: يا رسول الله، فَإِنْ كَانَ أَحَدُنَا خَالِيًا؟ قَالَ: “فَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ يُسْتَحْيَا مِنْهُ مِنْ النَّاسِ”

Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Tentang aurat kita, apa yang patut dipakai dan apa pula yang mesti ditinggalkan? Nabi SAW menjawab: “Tutuplah auratmu itu, kecuali kepada isterimu atau jariah yang kamu miliki dirinya!” Tanyaku lagi: “Bagaimana kalau orang ramai itu, apabila mereka bercampur gaul antara satu dengan yang lain?” Baginda SAW menjawab: “Kalau boleh sampai tiada orang yang dapat melihatnya, maka jagalah ianya.” Aku bertanya lagi: “Kalau kita duduk sendiri sahaja?” Baginda SAW menjawab: “Allah itu lebih berhak manusia malu kepadanya.”

Riwayat Ahmad (20034), Abu Daud (4019),
al-Tirmizi (2769), Ibn Majah (1920),dan
al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (7362)

Seorang lelaki dilarang melihat aurat lelaki yang lain sebagaimana seorang perempuan dilarang melihat aurat perempuan yang lainnya. Diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلىَ عَوْرَةِ الرَّجُلِ وَ لاَ اْلمــَرْأَةُ إِلىَ عَوْرَةِ اْلمــَرْأَةِ

Maksudnya: “Janganlah seorang lelaki memandang aurat lelaki yang lain dan janganlah pula seorang perempuan memandang aurat perempuan yang lain.

Riwayat Muslim (338), Abu Daud (4018),
al-Tirmizi (2793) dan Ibnu Majah (661)

Adab-Adab Berkaitan Mandi

Islam juga telah menetapkan adab-adab antaranya berkaitan mandi, hendaklah setiap Muslim itu bersembunyi daripada penglihatan orang lain agar tidak nampak atau kelihatan auratnya.

Hal ini disebut dalam hadis-hadis Nabi SAW, antaranya daripada Ya’la bin Umayyah R.A, Rasulullah SAW pernah melihat seorang lelaki mandi di tanah lapang. Lalu Baginda naik ke atas mimbar, memuji dan menyanjung Allah SWT, dan bersabda:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ حَلِيمٌ حَيِيٌّ سِتِّيرٌ يُحِبُّ الْحَيَاءَ وَالسّتْرَ فَإِذَا اغْتَسَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْتَتِرْ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla Maha Penyayang, Maha Pemalu lagi Maha Penutup aib, menyukai sifat pemalu dan menutup (aib). Apabila seseorang di antara kamu hendak mandi, maka dia hendaklah menutup diri.“

Riwayat al-Nasa’i (406), Abu Daud (4012)
dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (956)

Islam turut menetapkan larangan daripada memasuki tempat permandian umum yang akan terlihat auratnya kecuali dengan memakai kain. Begitu juga seseorang dilarang membiarkan isteri atau anak perempuannya untuk memasuki tempat permandian umum kecuali jika aman dari penglihatan dan pandangan orang lain. Diriwayatkan daripada Jabir R.A, Nabi SAW bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلاَ يَدْخُلِ الْحَمَّامَ إِلاَّ بِمِئْزَرٍ مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلاَ يُدْخِلْ حَلِيلَتَهُ الْحَمَّامَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka janganlah seorang lelaki memasuki bilik mandi umum kecuali dengan memakai kain. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka janganlah dia mengizinkan isterinya masuk ke tempat permandian umum.”

Riwayat Ahmad (14706), al-Tirmizi (2953),
al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (5596)
dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (7779)

Manakala dalam hadis daripada Abu al-Mulaih al-Hazali, para perempuan dari penduduk Hims atau penduduk Syam pernah menemui Aisyah R.Anha, lalu Aisyah R.Anha berkata:

أَنْتُنَّ اللاَّتِي يَدْخُلْنَ نِسَاؤُكُنَّ الحَمَّامَاتِ ؟ سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : مَا مِنْ امْرَأَةٍ تَضَعُ ثِيَابَهَا فِي غَيْرِ بَيْتِ زَوْجِهَا إِلاَّ هَتَكَتِ السِّتْرَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ رَبِّهَا.

Maksudnya: “Apakah kamu yang biasa membiarkan wanita-wanita kamu masuk ke tempat permandian (umum)? Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada seorang wanita pun yang melepas pakaiannya di selain rumah suaminya melainkan dia telah mengoyak tirai penutup (rasa malu) antara dia dan Tuhannya.”

Riwayat Abu Daud (4010), al-Tirmizi (2803),  
dan Ibnu Majah (3750)

Turut diriwayatkan daripada Ummu al-Darda’ R.Anha, beliau berkata, “Aku pernah keluar dari permandian umum lalu bertemu Nabi SAW. Baginda bersabda, “Dari manakah engkau wahai Ummu al-Darda’?” Aku menjawab, “Dari tempat permandian umum.” Lalu Baginda SAW bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ ، مَا مِن امْرَأَةٍ تَضَعُ ثِيَابَهَا فِي غَيْرِ بَيْتِ أَحَدٍ مِنْ أُمَّهَاتِهَا ، إِلاَّ وَهِيَ هَاتِكَةٌ كُلَّ سِتْرٍ بَيْنَهَا وَبَيْنَ الرَّحْمَنِ

Maksudnya: “Demi Zat yang jiwaku ada pada tangan-Nya, tidaklah seorang perempuan menanggalkan pakaiannya di selain rumah seorang daripada ibunya melainkan dia telah mengoyak setiap tirai penutup antara dirinya dan Allah SWT.”

Riwayat Imam Ahmad (27578) dan al-Tabarani
dalam al-Mu’jam al-Kabir (179)

Yang demikian kerana Allah menurunkan pakaian supaya mereka menutup aurat mereka dan ia adalah pakaian takwa. Maka apabila mereka (wanita) tidak bertakwa kepada Allah nescaya mereka mendedahkan aurat mereka, maka akan koyaklah tirai antara mereka dan Allah SWT. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 9/33)

 

Kesimpulan

Nas-nas yang dinyatakan di atas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW menyuruh agar kita berhati-hati apabila pergi ke tempat mandi yang terbuka khususnya terhadap golongan wanita.

Menjawab isu yang timbul, kami berpandangan bahawa yang lebih utamanya carilah tempat-tempat yang sesuai untuk mengelakkan pendedahan aurat yang berlaku.

Sebagai contoh usaha yang dilakukan oleh pihak Hotel Tabung Haji yang memisahkan kolam mandi lelaki dan wanita dari satu segi amat baik kerana dapat mengelakkan percampuran antara lelaki dan perempuan sementelahan lagi dengan pakaian-pakaian yang sukar dikawal. Apatah lagi membabitkan dengan orang bukan Islam atau mereka yang merasa hak kebebasan.

Begitu juga kawasan kolam mandi wanita ditutup dengan dinding yang tinggi dan seolah-olah kolam mandi dalam sebuah bangunan.

Mutakhir ini, Alhamdulillah kami dapati sudah ada usaha-usaha daripada pereka fesyen Islam yang cuba membuat pakaian dengan bentuk-bentuk yang sifatnya amat baik serta patuh syari’ah. Kami memandangnya sebagai satu usaha yang sangat baik dan kami amat menyokong industri seperti ini hendaklah dikembangkan dengan lebih meluas.

Justeru, marilah sama-sama kita cuba mengimplementasikan minat berenang sebagai contoh di kolam mandi boleh juga dilibatkan dengan wanita tetapi penuh dengan kesopanan dan tatasusila serta menutup aurat sehingga dapat mengelak sebarang bentuk fitnah sebagaimana yang kami cadangkan di atas.

Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman dalam agama untuk mengikutinya dengan sebaik mungkin. Amin.

Source: IRSYAD FATWA

Download PDF

Check Also

BAYAN LINNAS SIRI KE- 154 : PENDIRIAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN BERHUBUNG ISU POLIS EVO 2

Mukadimah Sekitar seminggu yang lalu, saya didatangi YBhg. Dato’ Khairul Anwar Salleh, Naib Presiden Bahagian …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *