Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / BAYAN LINNAS SIRI KE-195: HIKMAH MUSAFIR ATAU BERKELANA UNTUK MENUNAIKAN HAJI
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

BAYAN LINNAS SIRI KE-195: HIKMAH MUSAFIR ATAU BERKELANA UNTUK MENUNAIKAN HAJI

Download PDF

 

BA195.PNG

 

Mukadimah

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Bersempena dengan kehadiran bulan Zulhijjah 1440/2019 kali ini, kami terdetik untuk mengulas berkenaan satu isu yang sememangnya sinonim iaitu hikmah permusafiran jemaah haji ke tanah suci Mekah. Artikel ini pernah dikeluarkan dalam ruangan majalah terbitan YADIM. Namun sebagai mengambil iktibar serta pengajaran, maka kami terbitkan kembali artikel ini dengan menambahbaik poin-poin serta isi-isi yang lebih tuntas dan terkini.

Kami memilih untuk mengambil satu atau dua ayat untuk ditafsirkan tanpa mengikut tertib atau mengikut surah. Tetapi memadai dengan hanya mengambil satu atau dua ayat. Kemudian, cuba direnung dan digali tafsirannya berdasarkan hikmah dan falsafah berkenaan ayat tersebut. Kami sengaja memuqadimahkan artikel kali ini dengan isu berkenaan musafir dalam menunaikan ibadah haji. Ini kerana, kadang-kadang kita terkhilaf dalam memahami maksud dan kehendak Ilahi, seruan dan arahan-Nya berkenaan dengan kefardhuan haji atau lainnya. Justeru itu, pada edisi bayan linnas kali kami tajukkan sebagai “Hikmah Musafir Atau Berkelana Untuk Menunaikan Haji”. Semoga ia memberi manfaat kepada semua. Amin.

Seruan Menunaikan Haji

Dalam al-Quran, Allah SWT telah berfirman:

وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ

Maksudnya: “Dan serulah umat manusia untuk mengerjakan Ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari pelbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”

(Surah al-Hajj: 27)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Allah SWT berfirman kepadanya (Ibrahim): Serulah manusia agar menunaikan ibadah haji dan ziarahi rumah yang kamu diperintahkan untuk membinanya. Nescaya mereka datang kepadamu dengan berjalan kaki ataupun berkenderaan unta walaupun menempuh perjalanan yang jauh.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 17/107)

Dalam kitab Mausu’ah al-I’jaz al-‘Ilmi fi al-Quran wa al-Sunnah, Yusuf al-Hajj Ahmad berkata: Ayat suci ini menunjukkan tanda mukjizat dan keagungan yang memberi manfaat yang cukup besar. Ini menunjukkan mukjizat al-Quran sejak 1400 tahun yang lalu bahawa bumi ini bulat. Sekiranya bumi ini mendatar ketika turunnya al-Quran, maka uslub ayatnya akan menggunakan yang jauh kerana ia menunjukkan jarak antara dua hala dalam satu pusingan. Namun, kerana bumi itu bulat dan orang yang datang ke Makkah dari pelbagai bentuk penjuru bumi, maka Allah SWT menggunakan melalui firman-Nya: “Dari segala penjuru yang dalam atau jauh.

Mekah adalah pusat bumi di alam semesta. Fakta ini memerlukan kajian selama beratus-ratus tahun untuk membuktikannya. Selain itu, Mekah merupakan paksi graviti magnetik yang boleh dipastikan dengan fenomena aneh yang pasti dirasakan oleh setiap orang yang datang ke Mekah dengan hati yang ikhlas, baik pada waktu haji, mahupun umrah. Secara naluri, ia akan merasa tertarik dengan sesuatu yang ada di sana, seperti tanah pergunungannya dan lain-lain lagi. Ini merupakan perasaan yang mendalam sudah wujud sejak awal kewujudan bumi.

Dalam kalangan perubatan mengkaji bahawa perjalanan ibadah haji merupakan cara penyucian dan ketenangan diri yang mengandungi manfaat dari segi jasmani, mahupun rohani. Tidak mungkin seseorang yang melakukan haji tidak merasai nikmat ketenteraman dan ketenangan kerana ia menjadi tetamu Allah SWT yang menguasai alam semesta ini.

Haji mengandungi unsur tekanan fizikal dan mental yang berat. Ini kerana setiap jemaah haji dituntut berjalan dengan cepat secara bergantian. Dunia kedoktoran menyatakan berjalan merupakan kaedah yang paling baik khusus untuk orang berumur kerana boleh menambah oksigen, mengurangkan kadar kolesterol dalam darah dan mengurangkan risiko penyakit jantung. Ketika di Mekah, jemaah yang lemah, sakit, mahupun yang sudah berusia akan merasa kekuatan yang luar biasa kurniaan Allah SWT. Itu semua bukanlah perkara yang aneh apabila berada di Mekah, tempat yang penuh dengan keberkatan. Sesungguhnya, segala-galanya yang berlaku itu, semuanya adalah kuasa Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. (Lihat Mausu’ah al-I’jaz al-‘Ilmi fi al-Quran al-Karim wa al-Sunnah al-Mutahharah, hlm. 958)

Kami nukilkan di sini kenyataan Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum al-Din berkenaan dengan keluar musafir untuk menunaikan ibadah haji. Katanya:

  • Ketahuilah, apabila kamu bermusafir bagi menunaikan haji, kamu meninggalkan ahli keluarga dan watan, tawajjuh menghadap Allah SWT dalam perjalanan yang tidak sama dengan perjalanan musafir di dunia, maka hendaklah kamu hadirkan dalam hati kamu apa yang kamu kehendaki dan ke mana yang kamu tuju, dan menziarahi siapa yang dituju. Sesungguhnya kamu sedang menuju Raja segala Raja dalam kumpulan rombongan yang diseru (bagi menunaikan haji) lalu mereka menyahut seruan itu, mereka dikurniakan kerinduan, lalu mereka rindukan (melakukannya), mereka dibangkitkan semangat untuknya, lalu mereka bersemangat untuknya, lalu mereka menghilangkan hubungan-hubungan (yang menghalangnya), mereka berpisah dengan khalayak ramai, lalu menuju ke Baitullah yang sangat agung urusan-Nya, lagi besar hebat perintah suruhan-Nya, lagi Maha Tinggi terangkat kemuliaan kadar-Nya, dengan terhibur bagi bertemu dengan Kaabah dan dikurniakan rezeki yang bernilai sampai ke darjah penghabisannya.

Hendaklah dia menghadirkan dalam hatinya agar sampai kepada-Nya dan diterima baik oleh-Nya. Tidak perlu berbangga dengan amalan dan berjauhan dari keluarga dan harta miliknya, tetapi percaya dengan kurniaan Allah SWT dan berharap bahawa kalau pun ia tidak sampai kepada-Nya, ia akan mencapai niat sucinya dalam perjalanan. Justeru, Allah SWT akan menemuinya sebagai rombongan kepada-Nya, seperti firman Allah SWT:

وَمَن يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً ۚ وَمَن يَخْرُجْ مِن بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّـهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّـهِ ۗ وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: Dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.[1]

(Surah al-Nisa’: 100)

  • Tentang keluar dan memasuki padang pasir (kalau zaman dahulu setengah tempat masih ada suasana demikian), Imam al-Ghazali menyebut pengajarannya: Adapun kamu memasuki kawasan padang pasir (tempat orang Badwi berpindah randah) hingga kamu menemui miqat-miqat dan perkara yang disaksikan pada tahap perjalanan itu (sekarang perjalanan menggunakan pesawat dan alternatif lain yang memungkinkan sampai ke tempat tersebut), maka hendaklah kamu ingat tentangnya, iaitu umpama keluar daripada dunia dengan berlakunya maut sampai ke miqat-miqat Hari Kiamat, dan apa-apa yang berlaku antara keduanya itu dengan perompak dan yang sepertinya seumpama munkar nakir. Begitu juga bertembung dengan haiwan liar, seperti kala jengking di kubur, dengan ulat-ulatnya, ular berbisa. Keadaannya terpisah daripada ahli keluarga dan sahabat handai dalam keadaan sunyi seorang diri di kubur dengan kesusahan dan keseorangan. Hendaklah dia jadikan perkara yang menakutkan (dan menyusahkan) dalam amalan dan kata-katanya sebagai persiapan mendepani di alam kubur nanti. (Lihat Ihya’ Ulum al-Din (1/364) pada Kitab Asrar al-Haj)
  • Perkataan safar (pelayaran) atau pengembaraan bermaksud, dalam hal yang sebenarnya, sebagai “mendedah, membersihkan.” Para ulama’ memberitahu, kita bahawa perjalanan itu dipanggil safar di dalam bahasa Arab kerana di dalam masa perjalanan, peribadi seseorang itu akan terdedah dan menjadi bersih.

Hikmah Haji Sama ada Individu atau Jama’ie

Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu menyebut tentang faedah bagi seseorang yang menunaikan haji. Antaranya:

  • Menghapuskan dosa kecil. Sebahagian ulama’ Hanafi berkata, termasuk dosa besar.
  • Membersihkan jiwa daripada maksiat.
  • Jiwa menjadi bersih, ikhlas dalam tajdid
  • Menambahkan lagi ma’nawiyat
  • Meneguh dan menguatkan cita-cita serta keazaman.
  • Mengukuhkan lagi husnu al-zan dengan Allah SWT.
  • Menambah dan meningkatkan iman serta keyakinan.
  • Memperbaharui tajdid perjanjian ketaatan dan kepatuhan kepada Allah SWT.
  • Bertaubat dengan penuh keikhlasan dan harapan kepada keampunan-Nya.
  • Mendidik jiwa serta melembutkan perasaan kemanusiaan.
  • Menambahkan lagi sifat dan tingkatan ihsan dalam ibadat.
  • Mengimbau kembali nostalgia keagungan Islam.
  • Membaca sejarah salaf al-soleh yang penuh gemilang dengan amalan soleh dan jihad.
  • Mengajar erti sebuah kesabaran dan pengorbanan.
  • Memahami keperluan iltizam dan istiqamah yang mesti disebatikan dalam jiwa.
  • Menzahirkan kesyukuran di atas pelbagai kurniaan nikmat-Nya: Antaranya, nikmat harta, kesihatan, ilmu, ukhuwah, iman, taqwa, tauhid, akal, dan lain-lain.
  • Menanam dalam lubuk hati ruh ubudiah yang sempurna.

Hikmah Haji dan Faedah untuk Jemaah

Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu menyebut tentang faedah bagi jamaah yang menunaikan haji. Antaranya:

  • Taa’ruf ummah yang merentasi pelbagai bangsa, bahasa, tanah air, watan dan taraf serta darjat kehidupan sesama Muslim.
  • Memungkinkan untuk mendapat manfaat iqtisadiyyah dan ekonomi ummah, seperti transaksi perniagaan, kenderaan atau kapal terbang, perhotelan atau tempat tinggal, pengangkutan di tanah suci, makanan, minuman, buah-buahan, ubat-ubatan, farmasi, mata wang, binatang qurban, dam, fidyah, khidmat atau servis, khemah, kitab atau buku, hingga kepada perkara yang remeh-temeh
  • Muzakarah ummah berkenaan maslahah agama Islam, politik, ekonomi, kebudayaan dan lain-lain antara cendikiawan ulama’ pemimpin dan pembesar negara.
  • Bersatu dalam perbincangan menangani isu musuh Islam.
  • Mengikat dan mengutuhkan lagi Rabitah Ukhuwwah Islamiyah sesama ummah di seluruh pelusuk dunia.
  • Merasakan kebersamaan ummah yang pelbagai berasal daripada manusia yang satu, iaitu Nabi Adam AS.
  • Melahirkan perasaan setaraf dan sama kedudukan sifat kemanusiaannya di hadapan Allah yang dijelmakan melalui: Pakaian ihram, warnanya yang putih, slogan talbiah yang sama, menuju ke tempat yang sama, mengadap kiblat yang sama, solat pada waktu yang sama, berjemaah dengan imam yang satu, tawaf di tempat yang sama, sa’ie pada tempat yang sama, wukuf pada hari, waktu, tempat yang serentak, melontar ke lubang jamarat yang sama dengan bilangan batu yang sama dan peraturan yang juga sama.
  • Membuahkan perasaan cinta kepada Rasulullah SAW, keluarga dan para sahabatnya.
  • Melatih dan mendidik jiwa untuk saling bekerjasama sebagai team building yang benar-benar mantap. (Lihat al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu,3/402)

Penutup

Sesungguhnya musafir menunaikan haji mempunyai banyak kelebihan dan terpahat dalam nostalgia seseorang sehingga ke akhir hayat sesorang sekalipun berlangsung begitu lama. Haji mengajar erti persahabatan dan pengorbanan. Ibadat haji juga membuka tembelang serta sifat sebenar seseorang sahabat terhadap sahabatnya yang lain. Haji juga menjadikan seseorang mendapat begitu banyak manfaat, faedah dan pengalaman baru takkala bertemu pelbagai jenis manusia, ragam dan tabiat masing-masing. Cukuplah firman Allah SWT berkenaan dengan tujuan haji :

لِيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ

Maksudnya: “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.”

(Surah al-Haj: 28)

Imam Ibn Kathir menakalkan kata-kata Ibn Abbas R.A bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah faedah adalah merangkumi di dunia dan akhirat. Adapun faedah di akhirat adalah mendapat reda daripada Allah SWT dan faedah di dunia pula adalah mereka mendapat manfaat dari kesihatan tubuh badan dan lain-lain. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/414)

Imam al-Maraghi menafsirkan ayat ini dengan menyebut: “Agar mereka datang menyaksikan memperoleh laba dalam perdagangan dan manfaat-manfaat di akhirat seperti mengerjakan pekerjaan yang diredai oleh Allah SWT, dan memujiNya dengan segala nikmat yang dilimpahkan kepada mereka, serta rezeki yang berupa hadiah dan unta gemuk yang dihadiahkan kepada mereka pada tiga hari korban iaitu hari raya dan dua hari sesudahnya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4547)

Sesungguhnya bermusafir dalam menunaikan ibadah haji mempunyai hikmah yang besar. Bagi yang merenung dan tafakkur akan hikmahnya, nescaya akan memperoleh hikmah-hikmah yang besar ini lantas menjadikan permusafiran mereka lebih bererti.

Oleh itu, sewajarnya bagi setiap jemaah haji untuk sentiasa mentajdid nawaitu semasa musafir mereka menjadi tetamu Allah yang Agung. Mudah-mudahan mereka akan beroleh haji yang mabrur dan diterima di sisi Allah SWT.

Semoga ia memberi manfaat kepada kita semua ketika melaksanakan ibadah haji dan dapat menghayati pengalaman rehlah imaniyah ini sebagai Duyuf al-Rahman.

[1] Imam Ibn Kathir berkata: Maksudnya barangsiapa yang keluar dari rumahnya dengan niat hijrah, lalu mati di tengah perjalanan, maka dia telah memperoleh di sisi Allah pahala orang yang berhijrah. Ini sebagaimana yang ditegaskan dalam kitab al-Sahihain dan kitab-kitab lain seperti kitab-kitab Sahih, Musnad dan Sunan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/180)

Source: BAYAN LINNAS

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-395: DIKENCING OLEH SYAITAN

      Soalan: Benarkah hadith yang mengatakan bahawa orang yang tidak bangun untuk solat …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *