Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / BAYAN LINNAS SIRI KE-194: KONSEP SEDEKAH JARIAH MENJANA KESATUAN UMMAH
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

BAYAN LINNAS SIRI KE-194: KONSEP SEDEKAH JARIAH MENJANA KESATUAN UMMAH

Download PDF

 

BL194.PNG

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW hingga hari kesudahan.

Alhamdulillah, saya pernah membentangkan satu kertas kerja di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi dengan tajuk Konsep Sedekah Jariah Menjana Kesatuan Ummah. Memandangkan ia sesuai untuk dikongsi dengan khalayak masyarakat, maka kami kemukakan sekali lagi dalam laman rasmi kami untuk manfaat semua.

Bayan Linnas kali ini bertujuan untuk memberi satu pengenalan yang jelas berkaitan kepentingan sedekah jariah yang akan membawa kepada peningkatan ekonomi ummah, seterusnya mudah-mudahan menjadikan masyarakat bersatu padu antara satu sama lain. Justeru, kami tajukkan dengan Konsep Sedekah Jariah Menjana Kesatuan Ummah.

Dengan memahami konsep ini, mudah-mudahan ia akan membawa sinar kefahaman yang mendalam serta memberi satu dorongan kepada kita untuk terus menyumbang dalam menjana kemajuan ummah. Amin.

Takrif Sedekah Jariyah

Berkenaan dengan takrif sedekah pada bahasa, ia dengan maksud kebenaran atau pemberian ikhlas dari hati yang bersih. Manakala pada istilah pula, ulama’ menyebut sebagai pemberian semata-mata untuk mendekatkan kepada Allah dan mencari keredhaan Allah SWT. Hal ini selaras dengan firman Allah SWT:

إِن تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ ۖ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُمْ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Maksudnya: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

(Surah al-Baqarah: 271)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Jika kamu mengeluarkan derma secara terbuka, maka cara seperti itu adalah lebih baik kerana ia akan menjadi teladan yang baik kepada orang lain, sehingga ada antara mereka yang akan menirunya. Di samping itu, zakat menjadi salah satu sendi ajaran Islam yang andaikata jika dia lakukan dengan sembunyi-sembunyi, maka orang yang enggan mengeluarkannya akan berasa bimbang untuk melakukannya. Tetapi jika kamu memberi kepada orang fakir secara diam-diam, maka itulah yang terbaik kerana ia dapat menjauhkan diri dari sifat riyak, bahkan sejajar dengan keterangan dalam hadith-hadith dan contoh-contoh perbuatan sahabat.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/620)

Sedekah secara umumnya adalah merangkumi sama ada yang sunat mahupun yang fardhu. Jika yang fardhu, ia dikenali dengan zakat.

Berkenaan dengan sedekah jariah pula ia memberi maksud mengalir kerana sedekah tersebut bersifat kekal dan manfaatnya boleh digunakan walaupun penyumbangnya sudah meninggal dunia.

Dalam al-Qamus al-Fiqhi (1/318) sedekah jariah juga dikenali sebagai wakaf berdasarkan beberapa hadith Nabi SAW.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ ‏

Maksudnya: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.” 

Riwayat Muslim (1631), al-Nasa’i (3651), al-Tirmizi (1376) dan Abu Daud (2880)

Imam Nawawi dalam menjelaskan hadith ini menyebut: Ulama berkata, makna hadith ini adalah bahawa amalan si mati akan terputus dengan sebab kematiannya dan terputus juga pembaharuan pahala baginya kecuali dengan tiga amalan ini. Ini kerana ia menjadi penyebabnya. Anak yang soleh daripada usahanya. Manakala ilmu yang ditinggalkannya adalah dengan sebab pengajaran atau karangannya. Begitu juga sedekah jariyah iaitu wakaf.

Dalam hadith ini juga terdapat galakan supaya berkahwin untuk mendapat anak yang soleh. Pada hadis ini juga menunjukkan sahnya asal wakaf dan besar pahalanya. Di samping itu, diterangkan kelebihan ilmu serta galakan untuk memperbanyakkannnya. Begitu juga menggalakkan untuk mewariskan ilmu dengan cara pengajaran dan karya serta penerangan. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim ibn al-Hajjaj, 11/85)

Al-Khatib al-Syarbini berkata: Ulama telah mentafsirkan perkataan ‘sedekah jariah’ dalam hadis yang tersebut di atas itu dengan maksud wakaf, seperti mana kata Imam al-Rafi’i. Hal ini kerana pahala sedekah jariah terus menerus mengalir kepada orang yang melakukannya, sedangkan sedekah yang lain, pahalanya tidak berterusan mengalir sepertimana sedekah amal jariah atau wakaf. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 10/87)

Oleh itu, dapat difahami bahawa sedekah jariyah adalah sedekah yang dilakukan di mana pahalanya berterusan mengalir sekalipun seseorang telah meninggal dunia seperti amalan wakaf.

Bentuk-bentuk Sedekah Jariyah

Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ مِمَّا يَلْحَقُ الْمُؤْمِنَ مِنْ عَمَلِهِ وَحَسَنَاتِهِ بَعْدَ مَوْتِهِ عِلْمًا عَلَّمَهُ وَنَشَرَهُ وَوَلَدًا صَالِحًا تَرَكَهُ وَمُصْحَفًا وَرَّثَهُ أَوْ مَسْجِدًا بَنَاهُ أَوْ بَيْتًا لِابْنِ السَّبِيلِ بَنَاهُ أَوْ نَهْرًا أَجْرَاهُ أَوْ صَدَقَةً أَخْرَجَهَا مِنْ مَالِهِ فِي صِحَّتِهِ وَحَيَاتِهِ يَلْحَقُهُ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya yang didapati oleh orang yang beriman dari amalan dan kebaikan yang dia lakukan setelah dia mati adalah:

  • Ilmu yang dia ajarkan dan sebarkan.
  • Anak soleh yang dia tinggalkan.
  • Mushaf al-Qur’an yang dia wariskan.
  • Masjid yang dibina.
  • Rumah bagi ibnu sabil (musafir yang terputus perjalanan) yang dia bina
  • Sungai yang dia alirkan.
  • Sedekah yang dia keluarkan dari harta ketika dia sihat dan hidup.

Semua itu akan dihubungkan dengannya setelah dia mati.”

Riwayat Ibn Majah (242), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (3174). Hadith ini disahihkan oleh Ibn Khuzaimah dan dihasankan oleh al-Munziri.

Imam al-Suyuti dalam kitabnya al-Dibaj ‘ala Sahih Muslim ibn al-Hajjaj (4/227) menyebut antara amalan-amalan bermanfaat bagi seseorang setelah kematiannya dalam satu syair:

اِذَا مَاتَ ابْنُ ادَمَ يَجْرِي               عَلَيْهِ مِنْ فِعَالٍ غَيْرِ عَشْرٍ

عُلُوْمٍ بَثَّهَا وَدُعَاءِ نَجْلٍ                 وَغَرْسِ النَّخْلِ وَالصَّدَقَاتُ تَجْرِي

وَرَاثَةِ مُصْحَفٍ وَرِبَاطِ ثَغْرٍ            وَحَفْرِ الْبِئْرِ أَوْ إِجْرَاءِ نَهْرٍ

وَبَيْتٍ لْلْغَرِيْبِ بَنَاهُ يَأْوِى             إلِيْهِ أَوْ بِنَاءِ مَحَلِّ ذِكْرٍ

“Apabila anak Adam meninggal,

maka mengalirlah kepadanya sepuluh perkara;,

Ilmu yang disebarkannya, doa anak yang soleh,

pohon kurma yang ditanamnya serta sedekahnya yang mengalir,

Mushaf yang diwariskan dan menjaga perbatasan sempadan,

Menggali telaga, mengalirkan sungai,

Rumah untuk musafir yang dibangunnya

atau mendirikan tempat ibadah.”

Fadhilat dan Kelebihan Amalan Sedekah

Antara fadhilatnya ialah, firman Allah SWT:

وَمَثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّـهِ وَتَثْبِيتًا مِّنْ أَنفُسِهِمْ كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبْوَةٍ أَصَابَهَا وَابِلٌ فَآتَتْ أُكُلَهَا ضِعْفَيْنِ فَإِن لَّمْ يُصِبْهَا وَابِلٌ فَطَلٌّ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya: “Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang kamu lakukan.”

(Surah al-Baqarah: 265)

Ibn Kathir berkata: Firman Allah SWT “كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبْوَةٍ” (seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi) Maksudnya seperti sebuah kebun di dataran tinggi. Demikian menurut jumhur ulama’. Rabwah bermaksud tanah tinggi. Ibn Abbas dan al-Dahhak menambah, padanya mengalir sungai-sungai. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/328)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut: Gambaran infaq mereka ini sama ada yang banyak mahupun sedikit adalah bagaikan kebun yang memiliki tanah yang baik dan subur. Pepohondan tumbuhannya berkembang dengan baik. Kebun ini terletak di dataran yang tinggi, yang memperoleh sinar matahari dan pengudaraan yang baik serta disirami oleh hujan yang lebat sehingga tumbuh-tumbuhannya menghasilkan buah dua kali ganda lebih banyak berbanding yang lain. Jika kebun itu disirami oleh hujan gerimis, maka hal itu pun sudah mencukupi dan mampu menjadikan pohon-pohonnya tumbuh dengan baik dan tetap menghasilkan buah yang melimpah. Hal ini disebabkan tanahnya yang subur dan kedudukannya yang strategik. Manakala sebab kenapa kebun yang dijadikan perumpamaan di sini adalah kebun yang berada di rabwah (dataran tinggi), kerana pohon dan tumbuhan yang ada di kawasan tinggi lebih baik dan buah yang dihasilkannya juga lebih baik.

Allah SWT dengan kemurahan-Nya mengembangkan infaq yang dikeluarkan oleh orang-orang yang ikhlas dan memberi mereka balasan yang lebih banyak seperti sebuah kebun yang menghasilkan buah dua kali ganda lebih banyak berbanding buah yang dihasilkan kebun-kebun yang lain. Hal ini bertujuan memujuk hati dan fikiran kita. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 2/80)

Nabi SAW pernah bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يَقْبَلُ الصَّدَقَةَ ، وَيَأْخُذُهَا بِيَمِينِهِ ، فَيُرَبِّيهَا لأَحَدِكُمْ كَمَا يُرَبِّي أَحَدُكُمْ مُهْرَهُ ، حَتَّى إِنَّ اللُّقْمَةَ لَتَصِيرُ مِثْلَ أُحُدٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menerima amalan sedekah dan mengambilnya dengan tangan kanan-Nya. Lalu Allah mengembangkan pahalanya untuk salah seorang dari kamu, sebagaimana kamu membiakkan seekor anak kuda. Sehingga sedekah yang hanya sebiji boleh berkembang hingga sebesar gunung Uhud.”

Riwayat al-Tirmizi (662). Beliau berkata, hadis hasan sahih.

Firman Allah SWT:

الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُم بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ سِرًّا وَعَلَانِيَةً فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya: Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.

(Surah al-Baqarah: 274)

Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Allah SWT menjelaskan tentang pahala orang-orang yang berinfaq dan pahala berinfaq dalam setiap keadaan dan waktu. Barangsiapa yang bersedekah – baik pada waktu malam atau siang hari, dengan cara sembunyi-sembunyi atau terang-terangan, dalam keadaan dirinya sendiri memerlukan atau tidak – maka baginya pahala yang sempurna di sisi Tuhan. Tidak ada ketakutan baginya di akhirat dan tidak pula dia merasa khuatir dan bersedih. Maksudnya tidak ada ketakutan baginya ketika menghadapi kedahsyatan hari Kiamat dan tidak pula dia bersedih dan khuatir terhadap keadaan anak-anaknya setelah dia meninggal dunia. Dia juga tidak merasa sedih dan menyesali atas apa yang dia tidak mampu raih dari kehidupan dunia dan keindahannya. Ini kerana dia telah menjumpai apa yang jauh lebih baik daripada itu semua. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 2/105)

Sementara hadith pula, antaranya:

Pertama: Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW bersabda:

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنيَا نَفَّسَ اللهُ عنهُ كربَةً مِنْ كُرَبِ يومِ القيَامَةِ ومنْ يسَّرَ عَلى مُعسِرٍ يسَّرَ اللهُ عليهِ فِي الدُنيَا والآخِرَةِ ومَنْ سَتَرَ مُسْلِماً سَتَرَهُ اللهُ فِي الدُّنيَا والآخِرَةِ واللهُ فِي عَوْنِ العَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عونِ أخيهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang meringankan daripada seorang mukmin satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah SWT akan meringankan daripadanya satu kesusahan daripada kesusahan di Hari Kiamat. Sesiapa yang memudahkan kepada orang yang kesempitan, Allah akan memudahkan kepadanya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup (aurat atau keaiban) seorang muslim, Allah akan menutup (aurat atau keaiban) nya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa menolong seseorang hamba selama mana hamba itu menolong saudaranya.

Riwayat Muslim (2699)

Masyarakat yang mengamalkan sikap tolong-menolong dalam kalangan mereka, maka sudah pasti pertolongan Allah SWT buat mereka. Sesungguhnya masyarakat tidak akan lurus dan stabil, tidak akan kuat dan kukuh kecuali jika ia dibina di atas dasar tolong-menolong ataupun bantu-membantu di antara individu. Oleh itu, setiap individu hendaklah berusaha memenuhi keperluan orang lain dengan jiwa, harta dan kedudukannya, sehinggalah semuanya merasakan bahawa mereka adalah seperti satu tubuh. Inilah yang dianjurkan oleh Islam dan diperintahkan oleh al-Quran. Manakala al-Sunnah pula menjadikannya sebagai lambang kepada masyarakat beriman. (Lihat al-Kafi Syarah Hadith 40, hlm. 338)

Kedua: Diriwayatkan daripada Mu’az bin Jabal RA, beliau berkata: Wahai Rasulullah SAW, beritahu kepada saya suatu amalan yang akan memasukkan saya ke dalam syurga dan menjauhkan saya dari neraka. Baginda lalu bersabda:

لَقَدْ سَأَلْتَنِي عَنْ عَظِيمٍ ، وَإِنَّهُ لَيَسِيرٌ عَلَى مَنْ يَسَّرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ ، تَعْبُدُ اللَّهَ وَلاَ تُشْرِكْ بِهِ شَيْئًا ، وَتُقِيمُ الصَّلاَةَ ، وَتُؤْتِي الزَّكَاةَ ، وَتَصُومُ رَمَضَانَ ، وَتَحُجُّ البَيْتَ, ثُمَّ قَالَ : أَلاَ أَدُلُّكَ عَلَى أَبْوَابِ الخَيْرِ : الصَّوْمُ جُنَّةٌ ، وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ

Maksudnya: “Demi Allah! Sesungguhnya kamu telah bertanya padaku tentang sesuatu yang besar. Sesungguhnya ia memang mudah bagi sesiapa yang dimudahkan oleh Allah kepadanya. Kamu menyembah Allah tanpa menyekutukan sesuatu dengan-Nya, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji di Baitullah. Kemudian Baginda bersabda lagi: Tidakkah kamu mahu aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan? Puasa itu perisai. Sedekah memadam dosa sepertimana air memadam api.”

Riwayat al-Tirmizi (2616), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (11394) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (103)

Al-Mubarakfuri berkata: Ungkapan “وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ” (Sedekah memadam dosa sepertimana air memadam api) dengan maksud menghilangkannya dan menghapuskan kesannya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/237)

Ketiga: Diriwayatkan daripada Abu Malik al-Asy’ari RA, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ تَمْلأُ الْمِيزَانَ. وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ تَمْلآنِ – أَوْ تَمْلأُ – مَا بَيْنَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ وَالصَّلاَةُ نُورٌ وَالصَّدَقَةُ بُرْهَانٌ وَالصَّبْرُ ضِيَاءٌ وَالْقُرْآنُ حُجَّةٌ لَكَ أَوْ عَلَيْكَ كُلُّ النَّاسِ يَغْدُو فَبَائِعٌ نَفْسَهُ فَمُعْتِقُهَا أَوْ مُوبِقُهَا

Maksudnya: “Bersuci itu separuh iman. Alhamdulillah memenuhi neraca timbangan (di akhirat). Subhanallah dan Alhamdulillah kedua-duanya atau setiap satunya memenuhi ruangan di antara langit dan bumi. Sembahyang itu cahaya. Sedekah itu bukti (keimanan). Sabar itu sinaran cahaya. Al-Quran menjadi hujah kepada kamu (menyebelahi dan membela kamu) ataupun hujah ke atas kamu (mendakwa dan menentang kamu). Setiap manusia keluar pada awal pagi, lalu dia menjual dirinya (kepada Allah dengan melakukan ketaatan, atau kepada syaitan dan hawa nafsunya dengan melakukan maksiat), lalu dia membebaskan dirinya (daripada mendapat kehinaan di dunia dan azab di akhirat), atau dia membinasakannya (dengan melakukan maksiat).”

Riwayat Muslim (556)

Sedekah tersebut dengan maksud membelanjakan harta kepada mereka yang memerlukan dengan tujuan semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Harta yang disayangi diberikan semata-mata kerana wujudnya iman bagi orang yang bersedekah. Disebabkan itu, Rasulullah SAW menamakan sedekah itu sebagai bukti (بُرْهَانٌ). (Lihat al-Kafi Syarah Hadith 40, hlm. 220)

Gambaran Keistimewaan Bagi Mereka yang Berinfaq dan Bersedekah

Kami kemukakan di sini tafsiran ayat 261-262 daripada Surah al-Baqarah bagi menjelaskan lagi gambaran tentang kelebihan serta keistimewaan bagi mereka yang bersedekah dan berinfaq pada jalan Allah.

Firman Allah SWT:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ ﴿٢٦١﴾ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ثُمَّ لَا يُتْبِعُونَ مَا أَنفَقُوا مَنًّا وَلَا أَذًى ۙ لَّهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya. Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

(Surah al-Baqarah: 261-262)

Ibn Kathir berkata: Ini merupakan perumpamaan yang diberikan Allah mengenai gandaan pahala untuk orang yang bernafkah hartanya pada jalan Allah kerana mencari keredaan-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/526)

Al-Imam al-Nasafi berkata: “Allah membuktikan kekuasaannya dalam menghidupkan yang mati seterusnya Allah menggesa supaya menginfak pada jalan Allah kerana pahalanya yang amat besar.” (Lihat Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil, 1/216)

Syeikh al-Maraghi berkata: Ringkasnya orang yang mendermakan hartanya demi mencari keredaan Ilahi dan meninggikan agama-Nya adalah ibarat sebutir biji yang baik ditanam di tanah yang subur. Lalu ia tumbuh dengan subur serta menumbuhkan hasil tujuh ratus kali ganda. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/601)

Firman Allah SWT: Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang dia kehendaki. Dan Allah Maha luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.

Sayyid Qutub berkata: “Perlembagaan Islam tidak dimulakan dengan menyebut kewajipan dan tugas, tetapi ia dimulakan dengan pemberangsangan dan penjinakan hati. Ia memberangsangkan perasaan-perasaan dan emosi-emosi yang hidup di dalam diri manusia seluruhnya. Ia memaparkan satu gambaran dari gambaran-gambaran hidup yang segar, subur dan memberi hasil, iaitu gambaran satu tanaman yang merupakan hadiah bumi dan pemberian Allah, tanaman yang memberi berganda-ganda lebih banyak dari apa yang diambil olehnya dan tanaman yang hasilnya berganda-ganda lebih banyak dari benihnya. Ia memaparkan gambaran yang menarik itu sebagai perbandingan bagi mereka yang menginfaqkan harta mereka untuk jalan Allah.” (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/103)

Firman Allah SWT: Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap butir seratus biji.

Ibnu al-Qayyim berkata: “Yang dikehendaki dengan jalan Allah disini dengan dua pendapat. Pertama, jihad. Kedua, segala jalan kebaikan daripada segenap kebajikan.” (Lihat al-Dhau’ al-Munir ‘ala al-Tafsir, 1/444)

Sayyid Qutub berkata: “Pengertian secara mental bagi ayat ini berakhir dengan satu kiraan hisab yang menggandakan sebutir benih dengan tujuh ratus biji buah, tetapi (pengertian yang disampaikan oleh) pemandangan fizikal yang hidup yang dipaparkan oleh ayat ini adalah lebih luas dan lebih indah dari pengertian ini lagi. Ia lebih membangkitkan perasaan dan lebih memberi kesan kepada hati nurani. Itulah pemandangan hidup yang subur, pemandangan alam yang hidup, pemandangan tanaman yang memberi hasil. Kemudian itulah pemandangan yang menarik di alam tumbuhan-tumbuhan, iaitu pemandangan sebatang pokok gandum membawa tujuh tangkai buah dan pemandangan setangkai gandum yang mengandungi seratus biji.

Dalam angkatan hidup tanaman yang subur dan memberi hasil itu al-Quran mengajak hati nurani manusia berkorban dan memberi, kerana (pada hakikatnya) dia tidak memberi, tetapi mengambil dan dia tidak kurang tetapi bertambah. Kemudian gelombang pemberian dan kesuburan meneruskan perjalanannya dan menambahkan lagi perasaan ingin memberi yang dirangsangkan oleh pemandangan tanaman yang banyak memberi hasil itu. Sesungguhnya Allah memberi ganjaran yang berlipat ganda kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, iaitu ganjaran yang berlipat ganda yang tidak terhingga dan terkira. Allah melipatgandakan rezekinya yang tiada sesiapapun mengetahui batasnya dan melipatgandakan rahmat-Nya yang tiada siapa mengetahui sempadannya.” (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/103-104)

Kami nukilkan riwayat Abi Mas’ud al-Ansari yang berkata:

جَاءَ رَجُلٌ بِنَاقَةٍ مَخْطُومَةٍ فَقَالَ هَذِهِ فِى سَبِيلِ اللَّهِ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- : لَكَ بِهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ سَبْعُمِائَةِ نَاقِةٍ كُلُّهَا مَخْطُومَةٌ

Maksudnya: Bahawa seorang lelaki telah menginfakkan seekor unta yang bercucuk hidungnya (tali) pada jalan Allah, lantas Rasulullah SAW bersabda: “Bagi kamu dengannya pada Hari Kiamat nanti tujuh ratus unta yang telah diikat tali pada hidungnya.”

Riwayat Muslim (5005), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (3187), Ahmad (17222) dan Ibn Hibban (4649)

Firman Allah SWT: “Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.”

Sayyid Qutub berkata: “Perbuatan mengungkit-ungkit pemberian itu adalah satu sifat yang amat dibenci dan satu perasaan yang hina dan rendah. Seseorang itu tidak akan mengungkit pemberiannya melainkan kerana ingin menunjukkan kelebihannya yang palsu atau kerana ingin menghinakan penerimaannya atau kerana ingin menarik perhatian orang ramai. Di sini jelaslah bahawa tujuan pemberiannya ialah kerana manusia bukannya kerana Allah. Seluruh perasaan yang buruk ini tidak timbul di dalam hati yang baik dan tidak terlintas di dalam hati yang mukmin. Oleh sebab itulah perbuatan mengungkit-ungkit pemberian itu mengubahkan sedekah menjadi pemberian yang mendatangkan kemudharatan sama ada pemberi atau kepada pemberi. Ia mendatangkan kemudharatan kepada pemberi kerana ia menimbulkan di dalam hatinya perasaan sombong dan takbur dan kerana ia ingin melihat penerimanya hina dina di sisinya dan kerana ia mengisi di dalam hatinya sikap bermuka-muka, menunjuk-nunjuk dan jauh daripada Allah. Ia mendatangkan mudharat kepada kepada penerima kerana ia menimbulkan di dalam hatinya perasaan kalah dan tewas dan mencetuskan reaksi dendam dan membalas dendam.”

Islam tidak mahu infaq itu dilakukan semata-mata untuk tujuan menutup kejahatan, mengisi perut dan memenuhi keperluan. Tidak! Sekali-kali tidak! Malah Islam mahu infaq itu dilakukan untuk tujuan membersihkan akhlak dan hati pihak pemberi, iaitu merangsangkan perasaan kemanusiaannya dan pertalian dengan saudaranya yang miskin kerana Allah dan kerana kemanusiaan, juga mengingatkannya terhadap nikmat Allah yang dikurniakan kepadanya dan terhadap janjinya dengan Allah dalam menggunakan nikmat-nikmat ini, iaitu janji memakannya tanpa membazir dan menunjukkan keangkuhan dan janji menginfaqkan sebahagian darinya ke jalan Allah tanpa bakhil dan mengungkitkan pemberiannya. Yakni ia menginfaqkannya tepat seperti yang dikehendaki Allah iaitu untuk memberi kegembiraan dan mententeramkan hati penerima, untuk mengukuhkan hubungan dengan saudaranya kerana Allah dan kerana kemanusiaan dan untuk memenuhi keperluan seluruh kelompok muslimin agar (kehidupan kelompok ini) tegak di atas asas takaful dan saling bantu-membantu, iaitu asas kehidupan yang mengingatkan mereka kepada kesatuan dasar, kesatuan kehidupan, kesatuan tujuan dan kesatuan tugas.

Perbuatan mengungkitkan pemberian akan menghapuskan semua kebaikan ini dan mengubah infaq itu menjadi racun dan api. Perbuatan itu adalah satu perbuatan yang mudharat walaupun tidak disertai dengan perbuatan mudharat yang lain seperti memukul dan mencaci maki. Ia adalah salah satu perbuatan mudharat yang menghapuskan pahala infaq, memecah belahkan masyarakat dan menimbulkan dendam kesumat. Sesetengah ahli psikologi pada hari ini berpendapat bahawa reaksi tabiat jiwa manusia terhadap bantuan ihsan ialah lahirnya permusuhan di suatu hari yang akan datang. Mereka memberi sebab kerana si penerima itu merasa dirinya rendah dan kurang di hadapan si pemberi dan perasaan ini akan terus menghiriskan hatinya lalu ia berusaha mengatasi perasaan ini dengan mengambil sikap bermasam muka tehadap si pemberi dan memendam perasaan permusuhan terhadapnya, kerana pada hematnya pemberi inilah yang menyebabkan dia selalu merasa lemah dan kurang di hadapannya, juga kerana si pemberi ini mahu supaya penerima selalu merasa bahawa dia berhutang budi kepadanya. Inilah perasaan yang menambahkan kepedihan hati penerima dan akhirnya perasaan ini berubah kepada permusuhan.

Semuanya ini mungkin betul berlaku di dalam masyarakat jahiliyah, iaitu masyarakat yang tidak dikuasai semangat Islam dan diperintahkan oleh Islam, tetapi agama Islam telah mengatasi masalah ini dengan suatu cara yang lain. Iaitu dengan cara menanamkan di dalam hati manusia bahawa harta itu ialah harta Allah dan segala rezeki yang ada di dalam tangan para hartawan itu adalah rezeki Allah belaka. Inilah satu hakikat yang tiada sesiapapun mahu mempertikaikannya kecuali si jahil yang tidak mengetahui punca-punca rezeki yang jauh dan dekat. Seluruh punca rezeki adalah dari limpah kurnia Allah. Tiada suatu pun dari punca rezeki itu dimiliki manusia. (Misalnya) untuk mewujudkan sebiji gandum, pelbagai kuasa dan tenaga alam turut bekerjasama, iaitu dimulai dari matahari kepada bumi, kepada air dan kepada udara. Seluruhnya ini tidak terletak di bahawa kuasa manusia.

Oleh itu apabila seseorang hartawan memberi sedikit hartanya, maka sebenarnya dia memberi harta Allah dan apabila dia meminjamkan sesuatu kepada seseorang, maka sebenarnya ia adalah pinjaman Allah yang akan membalasnya dengan ganjaran yang berlipat ganda. Penerima yang susah dan miskin hanya alat dan sebab sahaja untuk membolehkan pemberi itu menerima ganjaran yang berlipat ganda dari infaq yang telah diberikannya dari harta Allah itu.

Kemudian al-Quran menerangkan peradaban-peradaban yang sedang dibicarakan sekarang untuk menguatkan konsep ini di dalam hati manusia supaya tiada seseorang pemberi pun yang merasa angkuh dan tiada seseorang penerima pun yang merasa terhina kerana kedua-duanya makan dari rezeki Allah belaka. Bagi para pemberi, mereka akan memperolehi ganjaran mereka dari Allah jika mereka memberi harta Allah ke jalan Allah itu dengan menjunjung peradaban-peradaban yang digariskan oleh Allah dan mematuhi perjanjian yang dimeterikannya dengan Allah.” (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/103-106)

Antara yang dapat kita iktibarkan daripada ayat di atas juga ialah, Allah SWT akan mengurniakan tambahan tanpa had kepada orang yang bersedekah pada jalan-Nya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/601)

 

Contoh Amalan Sedekah Jariyah dalam Sejarah

Menekuni sejarah yang panjang, Islam telah menggalakkan umatnya untuk bersedekah dan berwakaf dengan menginfakkan sebahagian hartanya. Maka lahirlah ramai yang berhati mulia dan pemurah telah menginfakkan sebahagian hartanya pada jalan Allah. Antaranya:

  • Saidina Uthman R.A membeli dan menginfakkan telaga Rumah (رومة)

Telaga yang dikenali sebagai Telaga Uthman ini asalnya dimiliki oleh seorang Yahudi yang menjual airnya kepada orang Muslim. Imam al-‘Aini menukilkan daripada al-Kalbi bahawa umat Islam ketika itu biasanya membeli air dari telaga tersebut dengan harga 1 dirham untuk 1 kantung air sebelum Saidina Uthman membeli dan mewakafkannya untuk kaum muslimin. (Lihat Umdah al-Qari, 21/141)

Sewaktu Rasulullah SAW sampai di Madinah , tidak ada air yang lazat untuk diminum kecuali dari telaga ini. Rasullulah SAW bersabda: “Sesiapa yang membeli telaga al-Rumah ini dan mewakafkan airnya kepada orang-orang Islam, dia akan diberikan pahala berdasarkan setiap timba air yang disedekahkan itu dan kelak dia akan meminum air di dalam syurga.”

Menurut riwayat Ibnu Abd al-Bar dalam al-Isti’ab fi Ma’rifat al-Ashab (3/157), Saidina Uthman bin Affan telah menawarkan untuk membeli telaga itu. Tetapi sebaliknya Yahudi tersebut bersetuju untuk menjual separuh daripadanya sahaja dengan harga 12,000 dirham. Giliran untuk ambil air secara berselang hari juga turut dipersetujui.

Maka pada hari giliran Saidina Uthman bin Affan semua orang Islam datang mengambil air percuma itu untuk bekalan selama dua hari supaya mereka tidak perlu membeli air daripada Yahudi itu pada esoknya. Melihat keadaan ini Yahudi itu menyedari bahawa perniagaannya sudah mulai merosot lalu menawarkan untuk menjual kesemua telaga itu kepada Saidina Uthman dengan tambahan sebanyak 8,000 dirham lagi, menjadikannya bernilai 20,000 dirham keseluruhannya. (Lihat juga Tarikh Dimasyq, 39/20, Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, 1/ 323)

Telaga ini masih wujud hingga ke hari ini. Telaga ini terletak kira-kira 1 km dari Masjid al-Qiblatain, iaitu di Jalan Abu Bakar al-Siddiq. Kini ia diletakkan di bawah jagaan Kementerian Air dan Pertanian Arab Saudi. (Lihat Buku Madinah Munawwarah: Kelebihan dan Sejarah oleh Dr. Abdul Basit Abdul Rahman, hlm. 108-111)

  • Kisah Infaq yang Dilakukan oleh Ahmad Dawjee Dadabhoy

Ahmad Dawjee Dadabhoy dilahirkan pada tahun 1907 di Gujerat India. Setelah merantau di banyak negara di dunia, pada tahun 1940an beliau telah datang ke Tanah Melayu dan memilih untuk menetap di Kuala Lumpur. Beliau fasih dalam pelbagai bahasa dan amat gemar pada kitab dan ilmu serta mempunyai rangkaian kenalan di merata dunia. Beliau juga merupakan seorang hartawan dan ahli perniagaan yang sudah pun berjaya tatkala itu. Dari awal lagi, beliau telah menyedekahkan hartanya melalui institusi wakaf. Institusi tersebut pada asalnya merupakan wakaf keluarga tetapi kemudiannya dinamakan Alwaqful Islami ul Alamee.[1]

Pada penghujung usianya, beliau mewakafkan hampir keseluruhan hartanya termasuk sebidang tanah seluas 1.2 hektar di Jalan Perak, Kuala Lumpur.[2] Pada 24 Januari 1987, beliau telah kembali ke rahmatullah. Sebelum meninggal dunia, Allahyarham telah menyatakan hajat untuk memberikan wakaf beliau yang terdiri daripada beberapa harta benda dan juga tabung dana kepada pihak penguatkuasa agama.[3]

Pada 18 September 1991, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengisytiharkan bahawa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Kuala Lumpur adalah pemegang amanah almarhum memandangkan beliau tidak mempunyai waris serta bagi memenuhi wasiat beliau. Fatwa Wilayah Persekutuan yang dikeluarkan menyebut: “Bahawa Ahmad Dawjee Dadabhoy telah mewujudkan satu wakaf di sisi agama Islam. Ini berdasarkan kepada lafaz yang dibuat dalam Surat Ikatan Pengisytiharan Wakaf dan pengakuan bertulis saksinya Syed Mustapha bin Syed Wazir.”

Kesudian Allahyarham untuk mewakafkan hartanah di tapak yang begitu tinggi nilainya ini membolehkan ianya dimajukan dan akhirnya memberi pulangan yang besar kepada umat Islam. Nilai tanah tersebut sebelum dibangunkan adalah RM34 juta dan setelah ianya dibangunkan, nilainya melonjak kepada lebih RM151 juta. MAIWP sebagai pemegang amanah hartanah wakaf berkenaan telah menggalas tanggungjawab membangunkan tanah wakaf tersebut seterusnya menjadi pelopor kepada pembangunan tanah wakaf bagi tujuan komersial di Malaysia. Hasilnya, dengan kerjasama antara MAIWP, Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), maka tanah tersebut berjaya dibangunkan. Dalam perkongsian pintar ini, LTH sebagai pemaju menawarkan pembiayaan 100% bagi membangunkan tanah wakaf MAIWP ini dan BIMB sebagai perintis perbankan Islam di Malaysia menjadi penyewa utama. TH Properties pula memainkan peranan sebagai pengurus projek. Berdasarkan struktur pembiayaan “Build-Operate-Transfer”, MAIWP akan mendapat pulangan sebanyak RM56.6 juta sepanjang tanah tersebut dipajakkan kepada LTH iaitu selama 25 tahun.[4]

Bermula dengan sikap dermawan dan pemurah Allahyarham, ia kini menjadi mercu tanda dan kebanggaan umat Islam. Pulangan yang diterima oleh MAIWP akan dipulangkan untuk manfaat asnaf dan ummah seluruhnya. Betapa besar manfaat yang diperolehi berpunca dari amalan wakaf Allahyarham.[5]

Konsep Sedekah Jariah Menjana Kesatuan Ummah

Dalam melaksanakan konsep sedekah jariah ini, ia sudah pasti dapat menjana pelbagai kelebihan antaranya:

  • Kesatuan ummah dapat dibentuk yang akhirnya menatijahkan kekuatan sesuatu ummah.
  • Meningkatkan penguasaan ekonomi ummah selaras dengan perkembangan masa kini.
  • Menyelesaikan pelbagai kemelut masyarakat dan khalayak umat Islam yang mungkin tertekan dengan ketidaktentuan ekonomi masa kini.
  • Sedikit sebanyak sumbangan ini boleh menyumbang kepada kestabilan negara.
  • Dengan perlaksanaan konsep sedekah ini juga, masyarakat akan merasa lebih terbela dengan wujudnya kemudahan untuk pengaduan seterusnya memperoleh sedikit bantuan.
  • Perkara yang cukup besar kesan daripada perlaksanaan ini, perasaan dan hati menjadi tenang sama ada sifat syukur daripada orang kaya dan sifat menghormati daripada orang miskin. Natijahnya dapat menghakiskan sifat tamak haloba, dendam kesumat, iri hati, dan pelbagai sifat mazmumah yang lain.

Konsep perlaksanaannya yang lebih terperinci bolehlah dirangka oleh pihak berwajib, badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta mereka yang terbabit secara langsung demi menatijahkan penyelesaian yang lebih tuntas.

 

Hikmah Pensyariatan Wakaf

Sebagaimana kami nyatakan sebelum ini, wakaf adalah suatu amalan yang telah disyariatkan, bahkan ia merupakan salah satu amalan yang boleh mendekatkan diri dengan Allah dan mendapat pahala. Sudah pasti banyak hikmah yang terkandung di sebalik pensyariatan ini:

  • Ia membuka pintu untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan cara mengalirkan harta di jalan Allah. Sebagai balasan, pewakaf mendapat ganjaran dan pahala. Tiada amalan yang paling disukai oleh seorang Mukmin selain amalan yang boleh mendekatkan dirinya dengan Allah dan menjadikan dirinya bertambah kasih oleh Allah.
  • Amalan ini menjadikan impian seseorang Mukmin tercapai. Ini kerana dengan amalan wakaf, seseorang berpeluang menzahirkan pengabdiannya serta cintanya kepada Allah. Sesungguhnya perasaan cintakan Allah hanya dapat dizahirkan melalui amalan dan pelaksanaan.

Firman Allah SWT:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ

Maksudnya: Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi.

(Surah Ali-Imran: 92)

  • Wakaf juga dapat menunaikan impiannya untuk melihat kebajikan dan pahalanya sentiasa berterusan, sekalipun selepas kematiannya dan ganjaran pahala sentiasa diperolehinya ketika di dalam kubur, sekalipun telah terputus amalannya di dunia. Dan tiada yang tinggal melainkan apa yang telah diperuntukkan dan diwakafkannya pada jalan Allah semasa hidupnya, anak yang soleh yang mendoakannya atau ilmu yang boleh dimanfaatkan.
  • Akan tercapai banyak kebajikan agama. Sekiranya harta-harta wakaf ini diuruskan dengan baik, ia boleh memberi manfaat yang besar dan faedah yang banyak untuk mencapai maslahah dan kepentingan masyarakat Islam. Contohnya membina masjid, sekolah, menghidupkan ilmu dan syiar-syiar Islam, seperti azan, kepimpinan Islam dan sebagainya.
  • Wakaf dapat memenuhi keperluan fakir miskin, anak-anak yatim dan Ibnu Sabil yang tidak dapat mencari rezeki kerana keadaan tertentu. Harta-harta wakaf ini boleh memenuhi keperluan dan menenangkan perasaan mereka.

 

Penutup

Penulis menutup perbincangan ini dengan memetik daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji (3/230) dalam tajuk Wakaf Suatu Kebanggaan dan Warisan Muslimin yang Mulia, antara lain menyebut: Wakaf adalah antara amalan mendekatkan diri dan beribadat kepada Allah. Wakaf melambangkan kesucian iman pewakaf, kecenderungannya ke arah kebaikan, kesungguhannya menjaga kebajikan orang Islam serta kasih sayangnya kepada umat dan generasi Islam seterusnya. Umat Islam telah menampilkan teladan yang agung sejak zaman Nabi SAW dalam soal ini. Mereka telah mewakafkan harta mereka yang tidak terkira dalam pelbagai bentuk seperti sekolah, masjid, rumah, tanah, hospital, perigi, perpustakaan, senjata dan seumpamanya sama ada untuk saudara-mara, fakir miskin, mujahidin, ulama’ dan sebagainya.

Tiada suatu sudut hidup ini yang tidak menerima bantuan wakaf ini. Tiada satu pun keperluan manusia yang tidak dibantu oleh harta ini. Sekilas pandang kepada dunia Islam akan mempamerkan kepada kita, betapa banyaknya harta wakaf ini dan kekayaan yang diwakafkan di jalan Allah. Tidak kira sama ada rakyat, mahupun pemerintah, panglima tentera, mahupun tentera, peniaga, mahupun usahawan, lelaki, mahupun perempuan hinggakan jumlah harta wakaf yang terhimpun di dalam negara Islam mencapai angka ratusan juta sehinggalah setiap rantau dan pelusuk terpaksa mengadakan kementerian khusus bagi memelihara harta wakaf ini.

Terdapat ribuan keluarga yang ditanggung oleh harta wakaf ini. Terdapat pelbagai kemudahan dan keperluan rakyat yang hidup dan berkembang melalui harta wakaf. Semoga Allah membalas kebaikan orang-orang yang baik ini dan semoga Allah memberi ganjaran dan pahala-Nya. Malangnya, pada masa kini, semangat wakaf di kalangan orang Islam mula berkurangan. Umat Islam mula kedekut untuk mengeluarkan sedekah jariah ini. Fenomena yang menyedihkan ini menunjukkan bahawa keinginan untuk mencapai ganjaran dan pahala daripada Allah mula berkurangan. Ia juga menunjukkan bahawa manusia mula alpa dengan dunia yang fana ini dan lebih mengutamakannya daripada akhirat.

Benarlah apa yang difirmankan oleh Allah SWT:

بَلْ تُؤْثِرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا

Maksudnya: Tetapi kebanyakan kamu tidak melakukan yang demikian, bahkan kamu utamakan kehidupan dunia.

(Surah al-A’la: 16)

Dan seolah-olah kita tidak pernah mendengar firman Allah:

وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ

Maksudnya: Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.

(Surah al-A’la: 17)

Akhir kalam, semoga Allah SWT menjadikan kita dari kalangan mereka lebih cintakan kehidupan akhirat, serta menjadikan kita dari kalangan mereka yang sentiasa bersemangat untuk melakukan infaq dan mengeluarkan sedekah jariah yang akhirnya dapat menyumbang kepada penjanaan ekonomi ummah dalam skala yang besar. Amin.

[1] Lihat Buletin MAIWP, Bil. 10/2011/September – Oktober 2011, hlm. 6-7.

[2] Lihat akhbar Kosmo, 14 April 2018. http://www.kosmo.com.my/jurnal/jutawan-rela-miskin-demi-saham-akhirat-1.648799

[3] Lihat Buletin MAIWP, Bil. 10/2011/September – Oktober 2011, hlm. 6-7.

[4] Lihat Buletin MAIWP, Bil. 10/2011/September – Oktober 2011, hlm. 6-7.

[5] Lihat juga laman rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada bahagian Irsyad Al-Fatwa #274: Wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy. [muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2824-irsyad-al-fatwa-274-wakaf-ahmad-dawjee-dadabhoy]

Source: BAYAN LINNAS

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-395: DIKENCING OLEH SYAITAN

      Soalan: Benarkah hadith yang mengatakan bahawa orang yang tidak bangun untuk solat …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *