Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / BAYAN LINNAS SIRI KE 183: ISU QAZAF: ADAKAH TERMASUK TUDUHAN LIWAT?
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

BAYAN LINNAS SIRI KE 183: ISU QAZAF: ADAKAH TERMASUK TUDUHAN LIWAT?

Download PDF

qazaf liwat.JPG

Mukadimah

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Oleh kerana isu qazaf berbangkit semula dan menjadi hangat, justeru dalam Bayan Linnas pada kali ini, kami tajukkan dengan Isu Qazaf: Adakah Termasuk Tuduhan Liwat? Semoga sebuah kefahaman yang jelas dipandu kepada kita semua. Amin.

 

Takrif Qazaf

Menurut kitab al-Fiqh al-Manhaji, qazaf dari sudut bahasa membawa erti lontaran tuduhan. Dalam Mukhtar al-Sihah, qazaf dengan menggunakan batu adalah melontar menggunakannya. Manakala dari sudut istilah, qazaf adalah tuduhan berzina pada tempat celaan dan mengaibkan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/427)

Manakala sebahagian ulama’ mendefinisikan qazaf sebagai menuduh seseorang melakukan zina, liwat atau menafikan nasab. 

 

Hukum Qazaf

Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (3/427) menyebut: Haram ke atas seorang Muslim untuk menuduh saudara seislamnya dengn tuduhan melakukan perbuatan yang keji (الفاحشة) sama ada tuduhannya itu benar atau pun dusta dari pihak dirinya. Dalam keadaan dusta, sesungguhnya hal tersebut adalah suatu fitnah dan kezaliman dan pendustaan merupakan antara perkara haram yang paling keji. Manakala dalam keadaan tuduhan itu benar, seseorang itu membuka perkara yang tersembunyi serta mencemarkan maruah. Oleh yang demikian, Syarak menganggap perbuatan qazaf termasuk antara dosa-dosa besar. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ قَالَ الشِّرْكُ بِاللَّهِ وَالسِّحْرُ وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَأَكْلُ الرِّبَا وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ الْغَافِلَاتِ

Maksudnya: Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan. Lalu para sahabat bertanya: Apakah perkara-perkara tersebut wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang Allah haramkan melainkan dengan adanya hak, makan riba, makan harta anak yatim, berpaling dari medan perang, dan menuduh wanita yang telah berkahwin yang beriman melakukan zina.

Riwayat al-Bukhari (2766) dan Muslim (89)

Bahkan perbuatan qazaf merupakan antara jenayah yang dikenakan hukuman hudud ke atasnya iaitu pelakunya disebat sebanyak 80 kali sebatan dan gugur penyaksiannya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya: Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.

Surah al-Nur (4)

Antara hikmah disyariatkan hukuman hudud terhadap perbuatan Qazaf adalah kerana Islam menggesa ke arah penjagaan maruah daripada perkara-perkara yang mencemar dan memburukkan maruah.

 

Adakah Qazaf Meliputi Liwat?

Definisi Liwat

Liwat dari sudut bahasa merujuk kepada perbuatan yang dilakukan oleh kaum Nabi Lut disebabkan tidak ada yang melakukan perbuatan jenayah ini sebelum kaum Lut. Ini seperti yang difirman oleh Allah SWT:

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّنَ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?

Surah al-A’raf (80)

Syeikh al-Maraghi berkata: Perbuatan yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun sebelum kamu pada mana-mana zaman pun tetapi perbuatan itu termasuk dalam perkara baru yang kamu buat dalam soal kerosakan sehingga kamu merupakan contoh dan teladan dalam perbuatan yang jahat. Oleh itu kamu akan menerima dosa dan dosa daripada sesiapa sahaja yang mengikut kamu dalam melakukan perbuatan-perbuatan jahat itu sampai hari kiamat.

Ini merupakan keterangan bahawa keburukan-keburukan yang mereka lakukan adalah bertentangan dengan tuntutan-tuntutan fitrah. Keadaan ini sememangnya tidak diingini oleh hati sesiapa pun daripada umat sebelum mereka, malah hal itu bertentangan dengan petunjuk agama. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4/2279)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut: Ungkapan “أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ” adalah istifham pengingkaran dan penghinaan. (Lihat Tafsir al-Munir, 8/514)

 

Hukum Liwat

Para ulama’ telah bersepakat akan pengharaman liwat dan menyatakan bahawa ia merupakan antara sebesar-besar perbuatan yang keji. Antara dalil-dalil yang menunjukkan kepada pengharaman liwat adalah seperti berikut:

  • Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ ، لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ ، لَعَنَ اللَّهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ.

Maksudnya: Allah melaknat mereka yang melakukan perbuatan kaum Lut. Allah melaknat mereka yang melakukan perbuatan kaum Lut. Allah melaknat mereka yang melakukan perbuatan kaum Lut.

Riwayat al-Nasa’ie (7297)

Hadis ini menunjukkan bahawa pelaku perbuatan liwat dilaknat oleh Allah SWT dan amaran laknat ke atas sesuatu perbuatan menunjukkan kepada haram dan dosa besarnya perbuatan tersebut.

  • Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

اقْتُلُوا الْفَاعِلَ وَالْمَفْعُولَ بِهِ

Maksudnya: Bunuhlah peliwat dan yang diliwat.

Riwayat al-Tirmizi (1456)

Berdasarkan hadis di atas, wajah dilalah ke atas pengharaman liwat adalah apabila disertakan hukuman bunuh ke atas pelaku perbuatan tersebut.

Menurut mazhab Jumhur ulama, tuduhan liwat ke atas seseorang adalah kesalahan qazaf, jika tidak dibuktikan dengan empat orang saksi lelaki atau pengakuan ikrar orang yang dituduh. Kami nukilkan daripada kitab al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (33/9):

وَمَنْ قَذَفَ رَجُلاً بِعَمَل قَوْمِ لُوطٍ إِمَّا فَاعِلاً أَوْ مَفْعُولاً، فَعَلَيْهِ حَدُّ الْقَذْفِ؛ لأَِنَّهُ قَذَفَهُ بِوَطْءٍ يُوجِبُ الْحَدَّ، فَأَشْبَهَ الْقَذْفَ بِالزِّنَا، وَهَذَا قَوْل الْحَسَنِ وَالنَّخَعِيِّ، وَالزُّهْرِيِّ وَمَالِكٍ وَالشَّافِعِيِّ، وَأَحْمَدَ وَأَبِي يُوسُفَ، وَمُحَمَّدِ بْنِ الْحَسَنِ وَأَبِي ثَوْرٍ

“Barangsiapa yang menuduh seorang lelaki dengan perbuatan kaum Lut, sama ada dengan tuduhan sebagai peliwat atau yang diliwat, maka ke atas orang yang menuduh itu hukuman had qazaf. Ini kerana dia menuduh seseorang melakukan persetubuhan yang mewajibkan hukuman had, maka ia menyerupai tuduhan qazaf dengan zina. Inilah pendapat al-Hasan, al-Nakhaie, al-Zuhri, Malik, al-Syafie, Ahmad, Abu Yusuf, Muhammad bin Hasan, dan Abu Thaur.”

Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah dalam kitab Raudhah al-Tolibin (10/90):

قَوْلُنَا: إِيلَاجُ الْفَرَجِ فِي الْفَرْجِ، يَدْخُلُ فِيهِ اللِّوَاطُ، وَهُوَ مِنَ الْفَوَاحِشِ الْكَبَائِرِ، فَإِنْ لَاطَ بِذَكَرٍ، فَفِي عُقُوبَةِ الْفَاعِلِ قَوْلَانِ، أَظْهَرُهُمَا: أَنَّ حَدَّهُ حَدُّ الزِّنَا، فَيُرْجَمُ إِنْ كَانَ مُحْصَنًا، وَيُجْلَدُ وَيُغَرَّبُ إِنْ لَمْ يَكُنْ مُحْصَنًا،

“Pendapat kami (mazhab Syafie): tenggelamnya faraj (alat sulit) dalam faraj (alat sulit) termasuk dalamnya ialah perbuatan liwat, yang merupakan salah satu daripada perbuatan keji dan dosa besar. Jika seseorang meliwat seorang lelaki, maka tentang hukuman pelakunya ada dua pendapat; pendapat yang azhar adalah hukumannya sama seperti hukuman zina. Maka direjam sekiranya dia seorang yang muhsan, atau dirotan serta dibuang negeri sekiranya bukan muhsan.”

Beliau berkata jua:

إِذَا رَمَى بِالْإِصَابَةِ فِي الدُّبُرِ، كَقَوْلِهِ: لُطْتِ أَوْ لَاطَ بِكِ فُلَانٌ، فَهُوَ قَذْفٌ، سَوَاءٌ خُوطِبَ بِهِ رَجُلٌ أَوِ امْرَأَةٌ

“Jika seseorang menuduh seseorang mendatangi seseorang pada dubur, seperti dia berkata: “Kamu telah meliwat” atau “Seseorang telah meliwat engkau.”, maka itu adalah qazaf, sama ada jika ia ditujukan kepada lelaki atau wanita.” Rujuk Raudhah al-Tolibin (8/311)

 

Qazaf Liwat Menurut Undang-undang Syariah di Malaysia

Peruntukan berkenaan liwat diperuntukkan di bawah Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997. Seksyen 25 memperuntukkan ‘mana-mana orang lelaki yang melakukan liwat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.’

Manakala Seksyen 41 memperuntukkan bahawa ‘kecuali dalam kes li’an, mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan, mengikut Hukum Syarak, empat orang saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.’ [1]

Semoga sebuah kefahaman berkenaan qazaf kepada kita semua menjadi jelas dan nyata. Kami berdoa kepada Allah agar kita semua mengelakkan diri daripada terjebak kepada qazaf kerana ia termasuk dalam dosa-dosa besar.


[1] Walau bagaimanapun, berdasarkan kes-kes yang diputuskan sebelum ini, Mahkamah Syariah di Wilayah-Wilayah Persekutuan dan Selangor enggan menerima tafsiran bahawa tuduhan liwat untuk dimasukkan di bawah kesalahan qazaf di bawah Seksyen 41. Ini kerana menurut para hakim Syarie, akta atau enakmen berkenaan hanya menafsirkan zina sebagai hubungan kelamin antara lelaki dan wanita sahaja, dan tidak memasukkan perbuatan liwat. Justeru, pihak Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes qazaf melibatkan tuduhan liwat. Wallahua’lam.

 

Source: BAYAN LINNAS

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-395: DIKENCING OLEH SYAITAN

      Soalan: Benarkah hadith yang mengatakan bahawa orang yang tidak bangun untuk solat …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *