Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

BAYAN LINNAS SIRI KE 182: BAHAYA FITNAH

Download PDF

 BAHAYA FITNAH.JPG

Mukadimah

Alhamdulillah, kami rafakkan setinggi kesyukuran kepada-Nya, selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW. Begitu juga kepada kaum keluarganya, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari Akhirat.

Mutakhir ini, negara kita dikejutkan dengan pelbagai berita yang belum dipastikan akan kesahihannya di media sosial. Hal ini amat membimbangkan kerana ia mampu memecah belahkan perpaduan sesama manusia secara umumnya dan umat Islam itu sendiri secara khususnya. Justeru, agama kita telah menggariskan beberapa panduan kepada kita dalam berinteraksi dengan perkara sebegini. Oleh itu, kami terpanggil untuk menulis sebuah artikel di dalam ruangan Bayan Linnas yang bertajuk “Bahaya Fitnah.” Semoga Allah SWT selamatkan kita dari sebarang fitnah.

 

Definisi Fitnah

Fitnah berasal daripada perkataan bahasa arab yang mengandungi beberapa makna. Antaranya disebutkan oleh al-Azhari, Ibn Faris, dan Ibn Manzur bahawa fitnah yang membawa makna seperti ibtila’ atau ujian. [Lihat: Tahzib al-Lughah, 14/296] [Lihat: Maqayis al-Lughah, 4/472].

Ibn Athir pula menambah bahawa asalnya fitnah digunakan oleh kebanyakan bangsa arab sebagai ujian, kemudian penggunaanya juga masyhur bagi menunjukkan makna kufur, pembunuhan serta kebakaran. [Lihat: al-Nihayah, 3/410]

Untuk itu, fitnah dari segi istilah mempunyai pelbagai maksud sesuai dengan situasi ia digunakan. Ibn Hajar menyebut bahawa:

إِنَّ الفِتَنَ غَالِبًا إِنَّما تُنْشَأُ عَنِ التَّبْدِيْلِ وَالإِحْدَاثِ

Maksudnya: “Sesungguhnya fitnah itu kebiasaannya dibuat untuk mengubah (sesuatu) dan mereka-reka.” [Lihat: Fath al-Bari 27/3]

Dalam masyarakat Melayu perkataan fitnah memberi makna yang lebih spesifik. Ia hanya merujuk kepada sebarang tuduhan yang diada-adakan untuk memburukkan atau membencanakan seseorang atau sesuatu pihak yang membawa kepada porak-peranda. [Lihat: Kamus Dewan Edisi Keempat] Berdasarkan takrifan ini, hukum fitnah jelas haram dan ditegah. Ini kerana perbuatan fitnah dikecam dengan keras oleh Nabi SAW dalam hadith yang diriwayatkan Huzaifah R.A:

‏ لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ ‏

Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).” [Riwayat Muslim (105)]

Ciri-Ciri Fitnah Dalam Konteks Semasa

Pada hari ini, fitnah berleluasa dengan cara yang lebih mudah berbanding pada masa lampau. Hal ini kerana, perkembangan teknologi yang semakin rancak menjadikan amalan fitnah ini semakin mudah tersebar. Fitnah berlaku dalam dua keadaan:

Pertama, apabila seseorang mengada-adakan suatu berita mengenai seseorang lalu menyebarkannya kepada orang lain dengan tujuan untuk memburuk-burukkan atau menjatuhkan maruah orang tersebut.

Kedua, apabila seseorang menerima berita mengenai seseorang tanpa menyelidiki kesahihannya lalu menyebarkannya kepada orang lain sama ada dengan niat untuk memburuk-burukkan atau tidak.

Dalam kedua-dua situasi inilah fitnah berlaku dan ia dilihat berleluasa sekali dalam masyarakat kita pada hari ini. Sebagai contoh, Kasim mereka cerita kononnya Harun telah berzina dengan teman wanitanya, lalu cerita itu disebarkan ke dalam laman blognya dengan tujuan untuk menjatuhkan maruah Harun. Lalu apabila berita itu dibaca oleh Abu, tanpa sebarang usul periksa tentang kesahihannya, Abu menyebarkannya di dalam facebook tanpa apa-apa niat tetapi sekadar menukil dan menyampaikan berita. Dalam situasi ini, kedua-duanya iaitu Kasim dan Abu telah menjadi pelaku dan penyebar fitnah terhadap Harun.  

Tidak dapat dinafikan bahawa dalam era masa kini, dengan kemudahan serba canggih, sebarang bentuk maklumat amat mudah sekali disebarluaskan terutamanya menerusi whatsapp dan internet. Walau bagaimanapun, kaedah-kaedah konvensional dilihat masih lagi menjadi penyumbang tersebarnya berita fitnah seperti menerusi laporan akhbar dan televisyen yang tidak tepat, ceramah-ceramah yang semberono, sembang-sembang santai di warung atau kedai kopi, perbualan sesama rakan sepejabat dan sebagainya. Kesemua medium ini dilihat masih lagi menjadi pilihan bagi mereka yang berkenaan melakukan fitnah disebabkan ianya mudah membentuk persepsi tanpa akan dinilai atau dipersoal kesahihannya oleh sesiapa.

Faktor-Faktor Yang Menyumbang Kepada Gejala Fitnah

Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada fitnah sesuai dengan kategori orang itu, sama ada dia adalah pereka fitnah atau semata-semata sebagai penyebar. Bagi pereka fitnah, banyak faktor yang boleh diandaikan seperti persaingan dalam merebut sesuatu sama ada meraih jawatan, mendominasi perniagaan, kepentingan politik, kedengkian terhadap kelebihan orang lain dan pelbagai lagi. Pokok pangkalnya fitnah terbit daripada hati seseorang yang kotor, bermasalah dan tidak dibenteng dengan iman yang teguh. Sesungguhnya syaitan sememangnya tidak pernah berdiam agar manusia sentiasa berbalah dan berkonflik antara satu sama lain. Ia sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu.” [Surah al-Maidah : 91]

Oleh itu, fitnah adalah salah satu perbuatan yang amat disukai syaitan lantaran ia boleh memecahbelahkan umat Islam sehingga tiada lagi kesatuan sesama mereka.

Bagi kategori penyebar fitnah pula, faktor utama daripada perbuatan mereka ini adalah cuai dalam menukilkan berita atau cerita yang didengar tanpa meneliti kesahihannya terlebih dahulu. Orang yang melakukan perbuatan seperti ini dianggap oleh Rasulullah SAW sebagai pembohong. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda:

كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

Maksudnya: “Cukuplah seseorang dikatakan pendusta apabila dia menyampaikan apa sahaja yang didengarinya”. [Riwayat Muslim (4482)]

Malah perbuatan menyebarkan berita tanpa usul periksa ini pernah ditempelak oleh Allah SWT di dalam kisah fitnah terhadap Sayyidah Aishah R.Anha, firman Allah SWT dalam surah al-Nur:

إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنكُمْ ۚ لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَّكُم ۖ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ لِكُلِّ امْرِئٍ مِّنْهُم مَّا اكْتَسَبَ مِنَ الْإِثْمِ ۚ وَالَّذِي تَوَلَّىٰ كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ ﴿١١﴾ لَّوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ الْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بِأَنفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا هَـٰذَا إِفْكٌ مُّبِينٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya, dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar. Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: “Ini adalah suatu berita bohong yang nyata.” [Surah al-Nur : 11-12]

Balasan Bagi Orang Yang Membuat Fitnah

Di dalam al-Quran Allah SWT telah berfirman di dalam Surah al-Nur berkaitan balasan bagi orang yang suka membuat fitnah:

إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۚ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).[Surah al-Nur:19]

Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini, mengatakan ayat ini membawa makna orang-orang yang mendengar berita buruk, kemudian menyampaikan dan menyebarkan berita tersebut. [Lihat: Tafsir al-Quran al-‘Azim (10/195)]

Demikian juga hadith yang diriwayatkan oleh Samurah Bin Jundub R.A, bahawa Nabi SAW telah bersabda:

وَأَمَّا الرَّجُلُ الَّذِي أَتَيْتَ عَلَيْهِ يُشَرْشَرُ شِدْقُهُ إِلَى قَفَاهُ، وَمَنْخِرُهُ إِلَى قَفَاهُ، وَعَيْنُهُ إِلَى قَفَاهُ، فَإِنَّهُ الرَّجُلُ يَغْدُو مِنْ بَيْتِهِ فَيَكْذِبُ الْكَذْبَةَ تَبْلُغُ الآفَاقَ

Maksudnya: “Berkata malaikat yang mengiringi Rasulullah S.A.W.); “Adapun orang yang diseksa dengan penyangkut besi yang menembusi pipi sehingga ke belakang lehernya dan disengkut lubang hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan disengkut mata sehingga menembusi batang lehernya ialah kerana kerjanya sejak pagi menyebarkan pembohongan ke sehingga seluruh ufuk penjuru dunia” [Riwayat Ibn Hibban di dalam Sahihnya (655)]

Selain itu, Nabi SAW juga bersabda seperti mana yang diriwayatkan oleh Abdullah R.A:”

هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ“.‏ قَالَهَا ثَلاَثًا ‏‏”

Maksudnya: “Celakalah golongan-golongan pelampau. Baginda SAW mengucapkannya sebanyak tiga kali” [Riwayat Muslim (2670)]

Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadith ini menyebut golongan-golongan pelampau yang disebutkan di dalam hadith ialah golongan melampaui batas dalam pengucapan mereka. [Lihat: Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim (16/461)]

Pandangan Ulama Berkaitan Fitnah

Berikut adalah beberapa pandangan berkaitan dengan fitnah:

  • Syeikh Azhar Dr. Sheikh Ahmad Tayyib Hafizahullah berkata: “Fitnah yang berlaku di kalangan umat Islam telah melahirkan golongan yang berfahaman keras dan melahirkan gejala kafir-mengkafirkan antara umat Islam dan terrorisme[1]
  • Sheikh Dr. Yusof al-Qaradhawi Hafizahullah berkata: “Para Sahabat akan melarikan diri jika terzahirnya fitnah pada sesuatu tempat seperti yang dilakukan oleh Abu Darda’ R.A”[2]
  • Sheikh Saad bin Turki al-Khaslan Hafizahullah berkata: “Hendaklah umat Islam mengetahui jalan-jalan yang membawa kepada kejahatan dan menjauhinya seperti mana kita dikehendaki untuk mengetahui jalan-jalan yang membawa kepada kebaikan. Kejahilan terhadap perkara ini akan membawa kepada berlakunya kejahatan, seterusnya akan berlaku fitnah dalam keadaan dia tidak menyedarinya”[3]
  • Sheikh Abdul ‘Aziz bin Baz Rahimahullah berkata: “Fitnah terjadi disebabkan syubhat dan syahwat, berapa banyak fitnah yang terjadi pada kebanyakan manusia disebabkan oleh syubhat-syubhat yang tiada padanya asas seperti mana yang telah menimpa kumpulan-kumpulan sesat seperti Jahmiyyah, Muktazilah, Syiah dan Murji’ah dan jalan untuk menyelamatkan diri daripada pelbagai jenis fitnah adalah dengan berpegang teguh dengan al-Qur’an dan sunnah Rasulullah SAW.[4]

Kesan Daripada Fitnah

Perbuatan fitnah ini akan menatijahkan pelbagai kesan buruk dan membawa kerosakan yang amat dahsyat ke atas masyarakat dan negara. Antaranya ialah:

  • Perasaan cemburu yang diakhiri dengan pembunuhan seperti mana yang berlaku dalam peristiwa pembunuhan Khalifah Uthman Bin Affan R.A.
  • Memecahkan perpaduan masyarakat hingga melahirkan golongan yang terpengaruh dengan fitnah yang disebarkan dengan golongan yang mempertahankan. Ini secara tidak langsung akan menatijahkan perpecahan yang jelas sehingga merugikan umat Islam itu sendiri.
  • Perbuatan fitnah akan menjadikan seseorang itu buta daripada kebenaran dalam menilai sesuatu perkara dari kebenaran yang hakiki.
  • Fitnah akan menyebabkan muslim itu tenggelam dalam konspirasi kuffar yang bercita-cita memecahbelahkan umat Islam.
  • Orang yang termakan dengan fitnah itu adalah orang-orang yang menjadikan syaitan sebagai sahabat mereka.
  • Fitnah itu akan menjauhkan seseorang itu daripada agamanya.

Langkah-Langkah Dalam Menangani Fitnah

Antara langkah-langkah yang perlu diambil bagi memastikan diri, keluarga dan masyarakat terhindar daripada fitnah, adalah seperti berikut:

  • Mendalami ilmu agama secara berterusan seterusnya mempraktikkan segala ilmu yang dipelajari.
  • Sentiasa mengingatkan diri bahawa segala perbuatan kita akan dicatat dan dihisab oleh Allah SWT.
  • Memotivasikan diri bahawa fitnah adalah suatu pendustaan dan pendusta balasannya adalah neraka Allah SWT, maka menolaknya adalah wajib.
  • Mendekati para alim ulama’ dan orang-orang soleh serta menjauhi orang-orang yang suka menyebarkan fitnah.
  • Melakukan tabayyun dan bertanya setiap isu yang berbangkit kepada ahlinya.
  • Memastikan kesahihan setiap maklumat yang diperolehi sebelum disebarkan.
  • Sentiasa mengasihi orang lain sebagaimana kita mengasihi diri kita sendiri supaya timbul keinsafan untuk memelihara keaiban orang lain tanpa mengira kawan atau lawan.

Kenyataan Mufti

Alhamdulillah, berdasarkan kepada kenyataan kami di atas, kami ulangi agar kita sentiasa menghindari sebarang bentuk fitnah serta sentiasa menginsafi bahawa saudara-saudara kita adalah sejuzuk daripada diri kita semua. Justeru, selagimana kita menyayangi saudara kita, maka Allah SWT akan menyayangi kita. Semoga Allah menyayangi diri kita semua dan menempatkan diri kita semua di syurga-Nya. Kami akhiri artikel kali ini dengan doa:

رَبَّنَا لَا تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِّلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ وَنَجِّنَا بِرَحْمَتِكَ مِنَ الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas. Dan selamatkanlah kami dengan rahmatMu dari angkara kaum yang kafir.”[Surah Yunus: 85-86]

[1]https://bit.ly/2IbBglM

[2]https://bit.ly/2XGKMml

[3] https://saadalkhathlan.com/1930

[4] https://binbaz.org.sa/old/28803

Source: BAYAN LINNAS

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-395: DIKENCING OLEH SYAITAN

      Soalan: Benarkah hadith yang mengatakan bahawa orang yang tidak bangun untuk solat …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *