Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / BAYAN LINNAS SIRI KE-165: LALAT DALAM AL-QURAN DAN AL-HADITH: AMTHAL, KAJIAN SAINTIFIK DAN JAWAPAN TERHADAP SALAH FAHAM
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

BAYAN LINNAS SIRI KE-165: LALAT DALAM AL-QURAN DAN AL-HADITH: AMTHAL, KAJIAN SAINTIFIK DAN JAWAPAN TERHADAP SALAH FAHAM

Download PDF

lalat dlm quran.JPG

Mukadimah

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami merasa terpanggil untuk menjawab isu lalat sekalipun amat remeh pada sebahagian orang. Tetapi sebenarnya isu ini dinyatakan dalam nas al-Quran dan Hadis sama ada dalam bentuk amthal atau perumpamaan. Begitu juga berkaitan hukum yang ada kena mengena dengan kehidupan manusia. Justeru, dalam menjelaskan salah faham berkenaan dengan fakta lalat yang dilihat semata-mata membawa virus atau penyakit kepada manusia, pada saat yang sama penyelesaian yang ditunjukkan oleh Hadyun Nabawi agak berbeza dengan prasangka dan fahaman orang ramai pada zaman kini yang sebenarnya. Justeru kami tajukkan Bayan Linnas pada kali ini dengan Lalat Dalam Al-Quran Dan Al-Hadith: Amthal, Kajian Saintifik Dan Jawapan Terhadap Salah Faham.

Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman dalam melihat agama bukan semata-mata berdasarkan kaca mata akal dan sains tetapi juga perlu disuluh dengan nas Ilahi dan Hadyun Nabawi agar kehidupan kita sentiasa terbimbing dan terpandu mengikut neraca Syari’ah. Amin.

  

Definisi Lalat dan Habitatnya

Dalam membincangkan isu ini, kami sengaja memulakan dengan pengenalan lalat dan habitatnya secara umum. Lalat merupakan sejenis serangga yang boleh terbang, yang makan dengan memuntahkan air liurnya keluar dan menyerap kembali makanan yang separuh hadam masuk kedalam perutnya melalui belalainya.

Ia merupakan sejenis serangga yang mampu menyebarkan penyakit, disebabkan cara permakanannya dan sifatnya yang sering terbang ketempat yang kotor seperti dalam tandas, tempat sampah dan sebagainya. Ia juga termasuk dalam salah satu jenis serangga makhluk perosak yang paling mudah dijumpai.

Namun begitu jenis lalat buah dan bunga tidak di kategorikan sebagai pembawa penyakit. Walaupun semua lalat suka menghinggapi tempat yang kotor, tong sampah dsbnya, lalat askar hitam umpamanya hanya terbang di persekitaran kompos untuk tujuan mengawan dan bertelur.

 

Jenis-Jenis Lalat

Terdapat pelbagai jenis lalat, antaranya adalah:

  • Lalat rumah atau biasanya dikenali sebagai lalat sahaja.
  • Lalat hijau
  • Lalat tsetse (sejenis lalat daripada genus Glossina yang berasal dari Afrika, biasanya menghisap darah manusia dan binatang dan menyebarkan penyakit tidur.
  • Lalat bunga
  • Lalat buah
  • Lalat askar hitam (hermetia illucens)[1]

 

Tafsir Ayat 73 Surah al-Haj

Dalam menjawab persoalan ini, kami banyak juga mengambil dari Jurnal Darul Quran, Bil. 17, Tahun 2013M/1434H antara lain menyebut:

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ ضُرِبَ مَثَلٌ فَاسْتَمِعُوا لَهُ ۚ إِنَّ الَّذِينَ تَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّـهِ لَن يَخْلُقُوا ذُبَابًا وَلَوِ اجْتَمَعُوا لَهُ ۖ وَإِن يَسْلُبْهُمُ الذُّبَابُ شَيْئًا لَّا يَسْتَنقِذُوهُ مِنْهُ ۚ ضَعُفَ الطَّالِبُ وَالْمَطْلُوبُ

Maksudnya: Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya).

Surah al-Haj (73)

Dalam ayat ini, Allah SWT memulakan perumpamaan dengan perkataan ‘duriba’ iaitu “يَا أَيُّهَا النَّاسُ ضُرِبَ مَثَلٌ فَاسْتَمِعُوا لَهُ”. Sesungguhnya terdapat hikmah tertentu apabila Allah SWT memulakan amthal dengan ‘duriba’ (ضُرِبَ).

Maksud asal perkataan ’duriba’ atau ’darb’ dalam bahasa Arab ialah pukul atau ketuk. Jadi, apakah kesesuaian penggunaan perkataan ini dalam ayat perumpamaan dalam al-Qur’ān? Menurut Muhammad Qutb, lafaz ’duriba’ atau ’darb’ disebut ketika ingin meninggalkan kesan dan membangkitkan tindakan, iaitu seolah-olah perumpamaan yang didatangkan itu mengetuk dan memukul telinga pendengar dengan suatu ketukan dan pukulan yang berbekas di hatinya, malah menusuk ke sanubarinya. (Lihat al-Amthal fi al-Quran oleh Muhammad Qutb, hlm. 7)

Amthal di dalam ayat ini mengandungi ‘I’jaz al-Qasr[2], yang telah diutarakan tanpa menerangkan dan menghuraikan dengan panjang lebar perkara sebenarnya yang perlu difahami. Penerangan yang ringkas ini sebenarnya sudah cukup untuk difahami oleh manusia mengenai penyekutuan yang dilakukan oleh manusia kepada Allah dengan melakukan pengabdian kepada berhala-berhala yang pelbagai, sedangkan mereka sendiri telah mengetahui kelemahan dan kehinaan yang terdapat pada berhala-berhala tersebut. (Lihat al-Surah al-Fanniyyah fi al-Mathal al-Qur’aniy, hlm. 222) Jelasnya, keistimewaan gaya bahasa perumpamaan dalam ayat ini begitu terserlah apabila penggunaan perkataan yang sedikit sudah mampu untuk menghuraikan sesuatu yang mengandungi makna yang luas.

Perkataan (لن) dalam ayat di atas yang bermaksud “tidak sekali-kali’ yang menunjukkan kepada penafian untuk selamanya, memberi erti di sini ‘nafi ta’kid’ iaitu penafian secara pasti. Justeru, ia membawa maksud secara pasti kemustahilannya bagi golongan musyrikin itu untuk menciptakan lalat walaupun mereka berkumpul dan saling bekerjasama untuk menciptakannya. (Lihat Tafsir al-Kabir oleh al-Razi, 8/251) Justeru, sungguh tidak wajar dan tidak layak bagi orang yang berakal untuk menjadikan berhala sebagai sembahan. Ini merupakan ayat yang amat mendalam maknanya yang diturunkan oleh Allah bagi menggambarkan kejahilan golongan musyrikin Quraisy yang tidak menggunakan langsung akal mereka. (Lihat Tafsir al-Kassyaf, 3/167)

Ayat 73 surah al-Haj ini dimulakan dengan seruan (النداء) kepada semua manusia, agar mereka dapat mengambil pengajaran dan pengiktibaran daripada apa yang akan diperkatakan oleh Allah SWT. Perumpamaan mengenai lalat dalam ayat ini mengandungi rahsia i’jaz yang begitu hebat. Ketidakmampuan manusia untuk mencipta lalat samalah dengan ketidakupayaan mereka untuk mencipta unta dan gajah. Namun uslub al-Quran memilih lalat yang kecil dan hina untuk dibuat cabaran kepada manusia yang engkar. Hal ini kerana cabaran untuk mencipta lalat lebih ‘terasa’ kelemahannya berbanding cabaran untuk mencipta gajah dan unta. Menurut Sayyid Qutb, inilah yang dinamakan sebagai kesenian dalam uslub al-Quran. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/2444)

Seterusnya ditambah lagi rasa ‘lemah’ apabila sesiapa pun tidak mampu menghalang lalat yang mengambil sesuatu atau menghinggap pada mana-mana tempat. Di sini sekali lagi terserlahnya kehebatan dan keunikan uslub al-Quran yang mengandungi i’jaz yang nyata. Sekiranya al-Quran menyatakan bahawa yang mengambil sesuatu itu yang tidak dapat dihalang ialah haiwan yang buas dan ganas, maka ia akan menunjukkan sememangnya haiwan tersebut ada kekuatan. Akan tetapi, apabila dibawakan contoh seekor lalat yang lemah sebagai perumpamaan, namun manusia masih lemah untuk menghadapinya, maka ia membawa makna yang lebih mendalam yang menunjukkan kelemahan berhala dan golongan penyembah berhala. Di sinilah datangnya perasaan kehinaan yang amat sangat pada kelemahan yang wujud pada sembahan selain Allah.

Syeikh al-Maraghi berkata: Mereka tidak berkuasa menciptakan walaupun seekor lalat bahkan lebih menghairankan, mereka tidak berkuasa melawannya jika ia mengambil sesuatu daripada mereka seperti minyak wangi dan sebagainya. Pada ayat ini terdapat tanda yang menunjukkan mereka telah mencapai puncak kejahilan dengan menyekutukan Allah Yang Maha Kuasa bersama berhala dan patung yang tidak berkuasa mencipta makhluk yang paling hina dan paling kecil walaupun seekor lalat. Walaupun mereka bersatu untuk menciptakannya, mereka tidak akan dapat melawannya jika ia merampas sesuatu daripada mereka. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4602)

Mukjizat al-Quran amat terserlah kerana sehingga ke hari ini manusia bukan sahaja tidak dapat mencipta seekor lalat, bahkan manusia juga gagal untuk membuat sesuatu alat yang setanding dengan keunikan yang ada pada lalat. Manusia mencipta kapal terbang dan helikopter dengan mengambil lalat sebagai model, namun seekor lalat adalah terlalu unggul berbanding setiap teknologi yang direka oleh manusia. Apa yang hebat, ia adalah seekor ‘makhluk hidup’. Kapal terbang dan helikopter hanya bermanfaat untuk seketika waktu. Sebaliknya lalat sentiasa menghasilkan generasi yang sama. (Lihat Rekabentuk Alam Semulajadi,hlm. 37)

 

Hikmah Amthal Lalat

Terdapat hikmah tersendiri yang hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui dengan sebenarnya tentang pemilihan lalat dalam amthal dan amthal dalam ayat di atas. Sekiranya sekadar untuk memberikan suatu contoh meminta manusia menciptakan sesuatu, Allah boleh sahaja mengungkapkan atau memberikan contoh dengan haiwan-haiwan lain atau serangga-serangga yang lain. Namun, apabila lalat dipilih, sudah tentu ia mempunyai hikmah yang tersirat yang sewajarnya difikirkan oleh manusia yang beriman kepada Allah SWT.

Menurut mufassir yang terkenal, Imam al-Qurtubi, lalat dipilih dalam amthal ini berdasarkan empat faktor khusus yang terdapat padanya iaitu hina, lemah, kotor dan jumlah yang banyak. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, 12/65) Oleh itu, penciptaan lalat yang kecil itu dengan sifatnya yang sedemikian pun tidak dapat ditandingi oleh sesiapa pun jua dari sudut penciptaannya, maka tidak sewajarnyalah seseorang itu mensyirikkan Allah SWT.

Pemilihan lalat sebagai amthal dalam al-Quran juga adalah seumpama pemilihan nyamuk. Hal ini kerana lalat merupakan serangga yang umum dan mempunyai taburan yang meluas di seluruh pelusuk muka bumi. Oleh yang demikian, sekiranya serangga umum yang mudah didapati pun tidak dapat dicipta oleh manusia, apatah lagi untuk mencipta sesuatu yang lebih ganjil. Ia sekaligus menunjukkan kelemahan manusia dan menzahirkan mukjizat yang terdapat di dalam al-Quran.

Lalat memang dikenali di seluruh dunia. Pada tahun 1964, ahli-ahli sains ada yang berpendapat bahawa terdapat 80,000 jenis spesies lalat di seluruh dunia. (Lihat Bukti-Bukti Sains dan Sejarah Kerasulan Muhammad, hlm. 134) Lalat rumah dikenali sebagai Musca Domestica. Lalat jinak ini mudah ditemui dan ia berada di mana-mana dan ia dapat hidup dalam keadaan dan persekitaran yang pelbagai. (Lihat The Natural History of Flies, hlm. 203)

Menurut Mohamed Saleh, pemilihan lalat dalam ayat 73 surah al-Haj ini memberikan maksud yang besar dan mendalam kerana lalat mempunyai pengaruh yang besar kepada kesihatan manusia. Sehingga kini, lalat merupakan antara serangga yang menjadi punca utama masalah kesihatan manusia dan haiwan ternakan di seluruh dunia. Pelbagai jenis penyakit yang melibatkan lalat terdapat di seluruh dunia atau khususnya di satu-satu kawasan geografi dunia. Menurutnya lagi, sememangnya banyak mikroorganisma yang bersekutu dengan lalat, dan mikroorganisma terdiri daripada jenis-jenis bakteria, virus, protozoa, kulat dan juga cacing-cacing nematod menyebabkan pelbagai jenis penyakit kepada manusia dan haiwan ternak.

Penemuan perkaitan lalat dengan kesihatan manusia baru diketahui di akhir abad ke-19 dan di awal abad ke-20. Pada tahun1869, Raimbert telah membuktikan bahawa lalat merupakan agen pemindah bakteria Bacillus Anthracis, penyebab penyakit antraks. Pada tahun 1895, Bruce telah membuktikan bahawa penyakit tidur (nagana) pada haiwan ternak di Afrika adalah disebabkan oleh sejenis tripanosoma yang dibawa oleh lalat tsetse, Glossina Morsitans. Kemudian pada tahun 1903 Bruce dan Nabarro telah membuktikan bahawa satu lagi spesies lalat iaitu Glossina Palpalis merupakan vektor utama bagi penyakit tidur pada manusia dan haiwan ternakan. Pada 1913, Mitzmain telah membuktikan bahawa penyakit surra pada kerbau di Filipina adalah disebabkan oleh sejenis protozoa, Trypanosoma Evansi. Serangga yang menjadi pembawa protozoa tersebut ialah sejenis lalat kuda iaitu Tabanus Striatus. Manakala pada tahun 1922, Connals telah membuktikan bahawa dua spesies lalat rusa (Chrysops Silacea dan Chrysops Discalis) merupakan vektor penyakit loaisis. (Lihat Serangga dan Manusia, hlm. 13)

 

Hadis Nabi Berkenaan Lalat

Oleh kerana lalat merupakan agen yang membawa penyakit, maka nabi SAW menyuruh agar di’neutral’kan racun yang ada pada lalat sekiranya ia terjatuh di dalam air. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ كُلَّهُ، ثُمَّ لِيَطْرَحْهُ، فَإِنَّ فِي أَحَدِ جَنَاحَيْهِ شِفَاءً، وَفِي الآخَرِ دَاءً

Maksudnya: “Apabila lalat termasuk ke dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah kesemuanya (lalat) kemudian buanglah ia. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penawar dan sebelah lagi adalah penyakit.”

Riwayat al-Bukhari (5782)

Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata: Meskipun hadith ini dinilai sebagai hadith sahih oleh para ulama’ Islam, tetapi ia juga adalah hadith yang dikategorikan sebagai hadith ahad[3]. Ia bukan hadith mutawatir[4] yang menunjukkan kepastian dan keyakinan.

Para ulama’ berselisih pandangan terhadap hadith-hadith ahad yang direkodkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, ataupun seorang daripada mereka berdua. Sama ada hadith ini memberi maksud yang pasti ataupun sekadar sangkaan yang kuat? Ataupun ia memberi makna yang pasti, di samping perlu memenuhi syarat-syarat tertentu?

Perselisihan yang berlaku dalam hal ini sudah memadai menunjukkan sesiapa yang meragui kesahihannya daripada Rasulullah SAW tidak menjejaskan akidahnya. Ini kerana, seseorang itu dianggap terkeluar daripada agama apabila dia menolak sesuatu yang jelas dan pasti, serta tiada sebarang keraguan mahupun perselisihan. Perkara seperti ini disebut oleh para ulama’ sebagai perkara yang sedia dimaklumi dalam urusan agama (مَعْلُومٌ مِنَ الدِّيْنِ بِالضَّرُوْرَةِ).

Sebaliknya, tindakan mencetuskan keraguan terhadap hadith ini dengan tujuan mengkritik dan mencemuh agama, itu yang menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada agama. Bahkan secara jelasnya, dia dianggap sebagai kafir. (Lihat Fatawa Mu’asirah (terjemahan), 1/126-127)

Antara fiqh al-Hadith yang boleh difahami daripada hadith di atas:

Pertama: Lalat ini suci ketika ia hidup dan mati dan ia juga tidak najis jika terjatuh ke dalam sesuatu yang berair (cecair) atau keras.

Kedua: Digalakkan merendam keseluruhannya di dalam sesuatu yang berair (cecair) dan kemudian dikeluarkannya berdasarkan nas hadith di atas.

Ketiga: Pada hadith tersebut terdapat I’jaz Ilmi (إعجاز العلمي) kerana ilmu moden telah membuktikan bahawa wujudnya penyakit di salah satu daripada sayap lalat dan wujud juga penawar di sebelah lagi sayap yang lain.

Keempat: Para ulama’ mengqiyaskan kesucian lalat dengan setiap nyawa yang mengalir (darah) daripada serangga hukumnya adalah suci. Ia juga tidak menjadi najis apabila ia terjatuh ke dalam makanan dan minuman samada ia sedikit atau banyak. Ini kerana, sebab najisnya sesuatu itu adalah darah yang terkurung di dalam haiwan selepas kematiannya. Oleh itu, sebab ini tidak wujud pada lalat atau lebah maka ia dihukum suci oleh para ulama’. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 148/1)

Berdasarkan hadith yang telah dinyatakan oleh nabi SAW di atas juga, menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang rapat antara lalat dan air. Hal ini kerana lalat memerlukan air secara berterusan. Menurut Luther S. West (1951), lalat sering mengeluarkan najis berbentuk cecair dan apabila air ini tidak digantikan dengan segara maka lalat akan mati. Justeru, lalat seringkali berada di kawasan berair dan mudah jatuh dalam bekas yang berair.

Daripada hadith yang telah dinyatakan oleh nabi SAW itu menunjukkan bahawa lalat adalah agen pembawa penyakit, oleh yang demikian nabi SAW menegaskan bahawa salah satu sayapnya itu mengandungi penyakit. Kebenaran kata-kata nabi SAW itu terserlah pada abad ini melalui kajian-kajian saintifik yang dilakukan. Prof J. Leidy seorang pakar dalam bidang ilmu serangga telah menjelaskan bahawa melalui kajian yang dilakukan didapati bahawa lalat adalah pembawa pelbagai kuman dan penyakit kepada manusia. Pada tahun 1929, H.Y. Yao , I.C. Yuan dan D. Huie telah membuat kajian tentang lalat-lalat yang terdapat di Beijing, China. Hasil kajian mendapati bahawa bahagian luar lalat mengandungi 3,683,000 kuman bakteria manakala bahagian dalamannya mengandungi 6 hingga 8 kali ganda kuman berbanding bahagian luarannya. (Lihat Bukti-Bukti Sains dan Sejarah Kerasulan Muhammad, hlm. 136)

Berdasarkan hadith nabi ini juga, Prof. Dr. Mustafa Ibrahim Hasan, Pengarah di Pusat Kajian Serangga Pembawa Penyakit, Universiti al-Azhar, Mesir telah membuat kajian yang bertajuk ‘penyakit dan ubat pada dua sayap lalat’. (Lihat al-Da’ wa al-Dawa’ fi Janahay al-Zubabah, hlm. 83)

Sampel kajian ialah sayap kanan dan sayap kiri empat jenis serangga iaitu Lalat Rumah (Musca Domestica), Lalat Kandang (Muscina Stabulans), Lalat Pasir (Phlebotomus Papatasi) dan Nyamuk Rumah (Culex Pipiens). Kajian beliau mendapati bahawa terdapat sejumlah bakteria yang pelbagai dan banyak pada kedua-dua sayap lalat, tidak seperti sayap nyamuk yang hanya mengandungi sedikit bakteria sahaja.

Didapati juga bakteria baik yang terdapat pada sayap lalat adalah lebih banyak daripada bakteria jahat. Kajian juga mencatatkan bahawa terdapat bakteria baik yang banyak pada sayap kanan semua jenis lalat. Kepelbagaian mikrob yang terdapat pada lalat adalah tindak balas daripada persekitaran di mana ia hidup. Menurut Hassan M, Lutfi (1998), kandungan bakteria baik yang mengatasi jumlah bakteria jahat yang terdapat pada lalat menjelaskan keupayaannya untuk hidup dalam suasana yang sukar seperti persekitaran sejuk, panas, persekitaran bahan kimia dan sinaran cahaya.

Hasil kajian juga mendapati bahawa bakteria yang paling banyak yang terdapat pada lalat ialah dari jenis B. Circulans. Bakteria jenis ini terdapat dengan jumlah yang banyak pada sayap kanan lalat. Kehebatan bakteria B. Circulans ini ialah ia mampu bertindak mematikan segala jenis bakteria lain yang wujud pada lalat termasuk bakteria-bakteria yang memindahkan virus penyakit pada manusia. Kajian juga mendapati bahawa bakteria B. Circulans ini mampu bertindak ‘membunuh’ bakteria lain dalam jangka waktu yang amat pendek. (Lihat al-Da’ wa al-Dawa’ fi Janahay al-Zubabah, hlm. 83)

Sehubungan dengan itu, apabila dirujuk kepada hadith nabi SAW didapati bahawa nabi SAW menyuruh agar ‘segera’ ditenggelamkan lalat yang jatuh ke dalam air dengan menggunakan partikel ‘fa’ (ف ). Partikel ‘fa’ (ف) dalam bahasa Arab membawa maksud ‘segera dilakukan’, manakala partikel ‘thumma’ (ثُمَّ) membawa maksud ‘kemudian’ yang dilakukan dalam keadaan yang tidak segera. Hikmah daripada menenggelamkan lalat itu dengan segera adalah supaya bakteria yang bermanfaat dapat mengeluarkan ‘bahan’ yang boleh mematikan segala bakteria lain yang membawa mudharat yang terdapat pada lalat dan seterusnya dapat menjadi penawar dan ubat.

Rasulullah SAW menyuruh agar ditenggelamkan lalat itu dengan segera dalam air adalah kerana bakteria hanya aktif dan mampu bertindak apabila wujudnya ‘perantaraan’ seperti makanan atau minuman yang terdapat di dalam sesuatu bekas. Melalui ‘perantaraan’ tersebut, bakteria mudarat dan bakteria bermanfaat akan ‘bertarung’ dan natijahnya bakteria bermanfaat akan menghapuskan segala bakteria yang mudarat. Mengikut kajian, bakteria bermanfaat hanya perlu mengeluarkan ‘bahan’ sejumlah 5 gram untuk meneutralkan 1000 liter cecair atau bahan makanan.

Daripada kajian ini juga menunjukkan bahawa ‘setiap penyakit ada ubatnya’. Sesuatu yang lebih menarik ialah penyakit yang dibawa oleh lalat boleh diubati dengan lalat itu juga. Justeru, pelbagai kajian telah dibuat mengenai konsep ‘penyakit dan ubat’ yang terdapat pada lalat ini.

Selain itu, daripada hadith nabi SAW mengenai lalat ini, kajian mendapati bahawa pelbagai ubat dapat dihasilkan daripada lalat. Hal ini kerana terdapat lebih daripada 64 ribu jenis lalat yang bertebaran di atas muka bumi ini. Lalu penyakit yang dibawa atau dipindahkan oleh lalat ke sesuatu kawasan berbeza dengan penyakit di kawasan yang lain. Hal ini adalah disebabkan lalat memindahkan penyakit dan bakteria mengikut kawasan yang didiaminya. Justeru, setiap penyakit yang dibawa oleh lalat tersebut akan diperoleh penawarnya daripada lalat itu juga. Daripada sini, banyak kajian dapat dihasilkan melalui lalat ini dan banyak penawar akan dapat ditemui daripada penyakit-penyakit yang dibawa oleh lalat itu juga.

Sehubungan dengan ini, mukjizat al-Qur’an amat terserlah sekali melalui perumpamaan mengenai lalat ini. Cabaran i`jaz sangat jelas dalam ayat ini. Cabaran i`jāz berlaku disepanjang zaman bermula dari al-Qur’ān diturunkan sehinggalah hari kiamat. Pada zaman sekarang iaitu zaman sains dan teknologi, terdapat ramai dalam kalangan manusia yang berasa hebat dengan pencapaian sains lalu tidak mahu beriman kepada Allah SWT. Lalu, cabaran al-Qur’ān terhadap mereka masih terbuka. Apakah dengan kemajuan sains dan teknologi mereka mampu mencipta serangga sekecil lalat? Jawapan yang pasti ialah mustahil mereka dapat melakukannya. Di sinilah tersematnya rahsia i’jāz al-Qur’ān.

Berdasarkan kepada kajian saintifik juga, Dr. el-Samahy (Pengarah Jabatan Hadis Universiti Kaherah) menyatakan, terdapat sel yang hidup secara membujur di dalam perut lalat. Ia merupakan parasit yang menonjol keluar melalui salur respirasi lalat dan hadir sebagai sebahagian daripada kitar hidup lalat. Apabila lalat ditenggelamkan ke dalam air, perubahan osmotik akan berlaku. Kesannya ia akan menyebabkan sel pecah dan kandungan yang terdapat dalam sel ini menjadi antidot kepada patogen yang dibawa oleh lalat. (Lihat Konsep Kesihatan Melalui Pemakanan: Pendekatan Islam dan Sains, hlm. 51)

 

Jawapan Terhadap Kritikan Kepada Hadith Ini

Saya nukilkan kenyataan Dr Yusuf al-Qaradhawi dan jawapan yang diambil daripada Dr Amin Redha. Kata beliau dalam Fatawa Mu’asirah (terjemahan) (1/127-133):

Hubungkait kandungan hadith ini dengan perubatan moden dipertahankan oleh ramai pakar perubatan terkemuka dan para ilmuwan hebat. Mereka merujuk kepada kajian dan penelitian yang dilakukan oleh pakar-pakar perubatan Barat yang hebat. Kajian ini banyak tersebar dalam ruangan majalah-majalah Islam melalui pelbagai isu yang dikemukakan.

Memadai saya menyatakan jawapan ilmiah terkini terhadap isu ini. Jawapan ini diterbitkan oleh majalah Tauhid keluaran Mesir edisi kelima untuk tahun 1397 hingga tahun 1977. Jawapan ini hasil penulisan Profesor Dr. Amin Redha, profesor pembedahan dan rawatan tulang di Universiti Iskandariah. Penulisan ini dibuat bagi menjawab artikel yang diterbitkan oleh sebahagian akhbar yang ditulis oleh doktor lain, yang menimbulkan keraguan terhadap hadith ini.

Dr. Amin Redha berkata, “Dalam akhbar Al-Jumu’ah bertarikh 18 Mac 1977, seorang rakan daripada kumpulan pakar perubatan menolak kebenaran hadith Rasulullah saw. berkenaan lalat. Ini berdasarkan kepada percanggahan teks hadith itu dengan kajian sains dan logik, serta bukan masalah pada sanad hadith itu. Bagi meneruskan perbincangan yang dimulakan oleh akhbar ini, saya berhasrat membentangkan maklumat berikut kepada rakan yang saya hormati itu:

Pertama: Beliau tidak berhak menolak hadith ini serta mana-mana hadith Nabi SAW yang lain hanya disebabkan wujudnya percanggahan dengan ilmu moden pada hari ini. Ini kerana, ilmu itu sentiasa berkembang dan berubah dari semasa ke semasa. Bahkan kadangkala, ilmu itu berubah kembali kepada keadaan asal. Contohnya, pada hari ini terdapat teori ilmiah yang memutuskan sesuatu perkara itu adalah betul. Kemudian, selepas berlalu tempoh tertentu, ia berubah menjadi salah. Sekiranya seperti ini keadaan sesuatu teori itu, bagaimana mungkin kita menyatakan hadith ini salah hanya semata-mata mengikut kepada teori ilmu terkini. Adakah mungkin suatu hari nanti kita akan kembali memutuskannya sebagai betul apabila berlaku perubahan terhadap teori itu pada masa akan datang?

Kedua: Beliau tidak sepatutnya menolak hadith ini dan hadith-hadith lain hanya disebabkan teksnya yang bertembung dengan logik akal manusia. Percanggahan yang berlaku di sini bukan berpunca daripada hadith itu. Tetapi, ia berpunca daripada kemampuan akal manusia. Setiap orang yang mengambil berat terhadap ilmu-ilmu moden begitu menghormati akal fikiran mereka. Antara cara menghormati akal adalah dengan melakukan perbandingan antara konsep ilmu dengan konsep jahil. Ilmu itu terdiri daripada timbunan-timbunan pengetahuan yang diperoleh manusia hasil daripada kesungguhan mereka dari satu generasi ke generasi bagi menggali sesuatu yang masih belum diketahui.

Sedangkan jahil pula adalah setiap sesuatu yang tidak diketahui ataupun masih belum berada di bawah pengetahuan seseorang. Menurut teori ini, kita dapati ilmu itu masih belum cukup sempurna. Jikalau tidak, sudah tentu kemajuan manusia terhenti. Begitu juga dengan kejahilan yang tiada penghujungnya. Buktinya apabila penemuan demi penemuan baru dibongkar pada setiap hari tanpa kita tahu bilakah kesudahan untuk kejahilan ini.

Orang yang berilmu dan berfikir secara sederhana pasti menyedari ilmu itu luas. Namun, dia juga pasti sedar kejahilan itu adalah jauh lebih luas. Oleh sebab itu, kita tidak wajib (tidak seharusnya) membiarkan diri kita terperdaya dengan ilmu yang berada di hadapan mata kita. Kita juga tidak sepatutnya membiarkan ilmu yang dimiliki membutakan mata kita daripada melihat lautan kejahilan yang sedang kita harungi.

Sekiranya kita menganggap ilmu yang ada pada hari ini adalah segala-galanya yang mampu kita kecapi, kita akan tertipu dengan diri sendiri. Bahkan, anggapan ini menyebabkan kita berhenti daripada maju ke hadapan dan kecelaruan dalam pemikiran kita. Semua ini menyebabkan kebinasaan dan membutakan mata kita daripada melihat sesuatu kebenaran meskipun ia berada di hadapan mata kita. Oleh yang demikian, kita menyatakan sesuatu yang benar itu sebagai sesuatu yang salah, manakala yang salah pula dikatakan benar. Justeru, kita menolak perkara-perkara yang bercanggah dengan akal.

Hakikatnya, jikalau kita menggunakan akal yang selari dengan tuntutan fitrah yang sejahtera dan ditajamkan lagi dengan sifat rendah diri serta sensitif terhadap diri yang jahil berbanding dengan kagum terhadap keceerdikan diri sendiri, sudah tentu tidak berlaku sebarang percanggahan.

Ketiga: Pandangan yang menyatakan, tiada sebarang rawatan penyakit menggunakan lalat dalam bidang perubatan adalah pandangan tidak tepat. Saya sendiri mempunyai sumber-sumber rujukan lampau yang menjelaskan, terdapat rawatan perubatan terhadap beberapa penyakit yang menggunakan lalat.

Menurut perubatan moden pula, para ahli pembedahan yang hidup pada tahun penemuan Sulphonamide, iaitu pada kurun ke-13 melihat sendiri rawatan terhadap masalah Fraktur Multipleks dan kereputan kritikal menggunakan lalat. Oleh itu, serangga ini dipelihara dan diternak untuk tujuan itu. Rawatan ini berdasarkan kepada penemuan virus Bakteriofa) yang berfungsi membunuh kuman. Ini kerana, seekor lalat mampu membawa kuman yang mampu menyebabkan penyakit. Pada masa yang sama, ia juga membawa Bakteriofaj yang berfungsi membunuh kuman itu. Istilah Bakteriofaj itu sendiri bermaksud pemakan kuman.

Perlu disebutkan di sini, kajian-kajian tentang rawatan menggunakan lalat itu terbantut bukan disebabkan rawatan ini gagal. Tetapi, ia berpunca daripada penemuan sulfur yang diformulakan oleh para saintis dan ia menarik perhatian mereka.

Semua maklumat ini dihuraikan dengan mendalam dalam ruangan sejarah yang terdapat dalam tesis Ph.D. yang disediakan oleh Dr. Abu Al-Futuh Mustafa ‘Eid. Penulisan tesis yang mengkaji tentang radang tulang itu dihasilkan oleh beliau di bawah seliaan saya sendiri. Tesis ini diajukan kepada Universiti Iskandariah sejak tujuh tahun.

Keempat: Hadith ini menyatakan kepada kita berkenaan perkara ghaib mengenai kewujudan racun pada lalat. Sedangkan perkara ini masih belum ditemui oleh sains moden secara pasti, melainkan pada dua kurun yang lalu. Sebelum penemuan ini, para saintis mampu sahaja mendustakan hadith Nabi SAW ini kerana mereka tidak menemui sebarang mudarat pada lalat. Kemudian, selepas mereka mendapati kewujudan bakteria-bakteria pada serangga itu, mereka kembali membenarkan hadith ini.

Kelima: Sekiranya kritikan ke atas lalat ini disebabkan oleh bakteria-bakteria yang dibawanya, kita juga perlu menumpukan pada perkara-perkara berikut terlebih dahulu:

  • Tidak semua bakteria yang dibawa oleh lalat memudaratkan dan menyebabkan penyakit.
  • Bilangan bakteria yang dibawa oleh seekor ataupun dua ekor lalat sahaja tidak cukup bagi menyebabkan penyakit ke atas seseorang individu.
  • Tubuh seorang manusia itu tidak mungkin mampu mengelakkan diri daripada bakteria yang memudaratkan dirinya. Sekiranya mampu sekalipun, ia menimbulkan mudarat yang lebih besar. Tanpa bakteria, tubuh badan manusia tidak mampu menghasilkan sistem imun badan yang kuat bagi melawan penyakit.

Keenam: Hadith ini juga menyatakan kepada kita berkenaan perkara ghaib. la perihal kewujudan penawar pada serangga ini yang dapat melawan racun-racun yang dibawa. Sains moden menyatakan, benda-benda hidup yang halus seperti bakteria, virus, dan fungal sentiasa berlawan antara satu sama lain tanpa kesudahan. Satu daripadanya membunuh sebahagian yang lain dengan menghasilkan bahan beracun. Sebahagian daripada bahan itu dapat digunakan untuk rawatan. Perkara ini dikenali sebagai antibiotik seperti Penisilin, Kloromistin, dan lain-lain.

Ketujuh: Kecetekan ilmu dan maklumat para saintis terhadap kajian bakteria hingga ke hari ini mungkin tidak dapat diramalkan. Walau bagaimanapun, sekurang-kurangnya ia mungkin dapat menjelaskan sesuatu perkara itu dengan lebih sempurna. Oleh itu, kita perlu mengambil sedikit masa sebelum memutuskan sesuatu hadith itu tidak shahih tanpa berpandukan kepada sanad melalui perspektif ilmu hadith.

Kelapan: Hadith ini tidak pernah menyuruh sesiapa pun menangkap lalat dan meletakkannya di dalam bekas minuman. Hadith ini juga tidak menggesa kita supaya membiarkan bekasbekas makanan dibiarkan terdedah. Bahkan, hadith ini tidak menyuruh seseorang itu mengabaikan kebersihan rumah dan jalan raya, serta penjagaan tempat tinggal daripada dimasuki serangga itu.

Kesembilan: Sesiapa yang mendapati lalat jatuh ke dalam bekas minumannya, lalu dia berasa jijik menggunakannya, dia tidak perlu meminumnya. Ini kerana, Allah SWT tidak pernah membebankan seseorang itu melainkan terhadap apa yang dia mampu dilakukan.

Kesepuluh: Hadith Nabi SAW ini juga tidak menghalang mana-mana doktor ataupun petugas kesihatan daripada menghapuskan lalat di tempat tinggal mereka. Bahkan, tiada seorang pun ulama’ yang terfikir mahu menggesa orang ramai supaya mendirikan pusat ternakan lalat disebabkan hadith ini. Mereka juga tidak pernah menyatakan hadith ini memandang ringan terhadap pelupusan lalat. Justeru, sesiapa yang berfikir sedemikian, dia sebenarnya tersilap dalam hal ini.

Ini adalah pandangan yang dikemukakan oleh pakar perubatan, iaitu Prof. Dr. Amin Redha. Oleh itu, memadailah dengan pandangan beliau yang berpandukan kepada bidang sains dan perubatan moden ini. Semoga Allah SWT membalas usaha beliau. (Lihat Fatawa Mu’asirah (terjemahan) (1/127-133).

 

Rawatan Melalui Lalat

Sepertimana yang telah disebutkan, dalam perubatan moden, para ahli pembedahan yang hidup pada tahun penemuan Sulphonamide, iaitu pada kurun ke-13 melihat sendiri rawatan terhadap masalah Fraktur Multipleks dan kereputan kritikal menggunakan lalat. Oleh itu, serangga ini dipelihara dan diternak untuk tujuan itu. Rawatan ini berdasarkan kepada penemuan virus Bakteriofa) yang berfungsi membunuh kuman. Ini kerana, seekor lalat mampu membawa kuman yang mampu menyebabkan penyakit. Pada masa yang sama, ia juga membawa Bakteriofaj yang berfungsi membunuh kuman itu. Istilah Bakteriofaj itu sendiri bermaksud pemakan kuman.

M.A. Stewart, pada tahun 1934, mendapati lalat berbentuk larva, ketika ‘dicelupkan’ ke dalam luka-luka, mengeluarkan bahan ammonia dan kalsium karbonat yang menjadikan luka itu alkali. Di dalam keadaan ini kuman-kuman dapat dibunuh di samping meredakan bengkak serta mencegah kematian sel-sel. Di samping itu larva-larva ini berperanan menelan kuman-kuman bakteria dan membunuhnya.

S.W. Simmons pada tahun 1935 pula mendapati, lendir yang dikeluarkan oleh larva mampu membunuh kuman-kuman bahaya seperti Staphylococcus aureus, Haemolytic streptococci dan Clostridium welchii. Tambahan daripada itu, pada tahun yang sama, W. Robinson mendapati larva juga mengeluarkan allantoin. Allantoin merupakan bahan protein yang membantu pertumbuhan sel-sel. Penemuan-penemuan ini dilaporkan dalam buku Insect Immunology karangan Edward Steinhaus.

Penemuan-penemuan ini menjadikan larva lalat begitu popular digunakan bagi merawat luka-luka terutamanya pada tahun 1930-an. Walau bagaimanpun popularitinya mula menurun selepas penemuan ubat-ubat antibiotik. Baru-baru ini, bermula tahun 1982, penggunaan larva menjadi popular semula berdasarkan kajian-kajian saintifik terkini. Hal ini dilaporkan oleh Fakulti Perubatan Universiti Indiana di Sound Medicine: October 10, 2010.

Shope pada tahun 1927 dan Glaser pada 1938 mendapati ada kuman-kuman virus dalam badan lalat yang berfungsi membunuh kuman-kuman bakteria. Kajian ke atas lalat rumah Musca domestica menunjukkan, ia mengandungi virus bacteriophage yang mampu membunuh kuman-kuman Staphylococcus muscae, Escherichia coli, Salmonella paratyphi dan Eberthella typhosa.

Kuman-kuman ini adalah penyebab kepada penyakit cirit birit dan demam kepialu. Inilah penemuan virus bacteriophage yang pertama dalam serangga. Ia merangsang kepada penemuan-penemuan yang lain.

J.I Dunca pada tahun 1926 menemui bahan-bahan aktif pembunuh bakteria dalam usus lalat rumah. Pada tahun 1939, Lal, Ghosal dan Mukherji mendapati, lalat mampu mengubah kuman taun Vibrio cholera kepada bentuk yang lain yang tidak berbahaya.

Sayap lalat juga mempunyai kebaikannya. Dalam buku The Hoousefly terbitan 1951, disebutkan berkenaan penggunaan sayap lalat pada satu alat khas di Pusat Kosmologi di Mount Wilson Observatory. Ia digunakan bagi mengukur kadar suhu yang dikeluarkan oleh bintang-bintang yang boleh memberi kesan kepada manusia di bumi.

Pada hari ini, sains moden masih menggunakan larva lalat untuk rawatan. Dalam artikel bertajuk Magnificient Maggots Are Wonderful Wound Cleaners bertarikh 15 Mei 2012, dilaporkan bahawa Hospital Morriston di Swansea, UK merawat luka-luka dengan menggunakan larva lalat sejak 10 tahun yang lepas. Kesannya amat positif sekali. (Lihat Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden, hlm. 310-313)

 

Penutup

Sayyid Qutb berkata: Lalat adalah serangga yang amat kecil dan hina, namun demikian tuhan-tuhan palsu yang disembah manusia itu tidak sekali-kali berkuasa menciptakan lalat yang kecil dan hina ini walaupun mereka berkumpul dan bekerjasama untuk menciptakannya.

Kerja untuk menciptakan lalat itu adalah suatu kerja mustahil sama seperti mustahilnya kerja untuk mencipta unta dan gajah, kerana lalat mengandungi satu rahsia mukjizat iaitu rahsia hayat. Justeru itu sama sahaja kemustahilan menciptakannya dengan kemustahilan menciptakan unta dan gajah, tetapi uslub al-Quran yang bermukjizat itu memilih lalat yang kecil, kerana kelemahan menciptakan lalat menyarankan di dalam hati bayangan kelemahan yang berganda-ganda dari bayangan yang dapat disarankan oleh kelemahan menciptakan unta dan gajah, sedangkan uslub ini pula tidak merosakkan hakikat ini di dalam pengungkapan itu. Inilah salah satu dari keindahan-keindahan uslub al-Quran yang penuh mukjizat itu. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 11/230)

Walaupun lalat hanyalah seekor serangga yang kecil, namun makhluk ciptaan Allah ini sangat unik. Ia sekaligus membuka ruang kepada manusia untuk berfikir dan merenung kehebatan dan kekuasaan Allah SWT. Inilah antara tujuan perumpamaan itu diungkapkan di dalam al-Qur’ān.

 

 

 

Nota Hujung: 

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Lalat

[2] Iaitu penggunaan perkataan dan olahan yang pendek tetapi mengandungi makna yang banyak

[3] Dari segi bahasa, al-Ahad (الآحاد) adalah jama’ bagi ahad (أحد) yang bermaksud tunggal. Khabar al-Wahid (خَبَرُ الواحد) pula ialah periwayatan seorang individu.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani mentakrifkan Khabar Ahad sebagai khabar yang tidak memenuhi syarat mutawatir. (Lihat Nuzhat al-Nazar, hlm. 55)

Hukumnya: Khabar Ahad menghasilkan ilmu nazari iaitu ilmu yang bergantung kepada pengamatan dan pendalilan.

[4] Dari segi bahasa, ia adalah kata nama pelaku daripada perkataan al-tawatur (التواتر) iaitu yang berturut-turut seperti contoh “تواتر المطر” iaitu hujun turun berturut-turut. Dari segi istilah ia bererti khabar yang diriwayatkan oleh bilangan yang ramai dan pada kebiasaannya mustahil mereka berpakat untuk berdusta.

Al-Khatib al-Baghdadi telah merumuskan hadis mutawatir sebagai:

Apa yang diberitakan oleh satu kaum atau kumpulan yang bilangan mereka itu mencapai satu had (tahap) di mana pada keadaan biasa yang tetap dan diketahui daripada persaksian mereka bahawa mustahil pada mereka kesepakatan untuk berdusta. Kesepakatan itu dalam tempoh tersebar berita daripada mereka itu terhalang dan apa yang mereka khabarkan itu tidak boleh dimasuki oleh kekeliruan dan keraguan dalam khabar sepertinya dan sebab-sebab kekerasan dan perkara-perkara yang mendorong kepada pendusta ternafi daripada mereka. Bila sahaja telah mutawatir (berturut-turut) datangnya berita daripada mereka dengan cara mereka ini maka diputuskan akan kebenarannya dan memestikan terhasilnya ilmu yang daruri. (Lihat al-Kifayah, hlm. 50)

Syarat-syarat al-Mutawatir: Al-tawatur tidak akan ada pada khabar melainkan dengan adanya empat syarat iaitu:

  • Diriwayatkan oleh bilangan perawi yang ramai; terdapat perbezaan pendapat dalam menentukan had minimum bagi bilangan yang ramai ini. Pendapat yang terpilih ialah seramai sepuluh orang.
  • Bilangan yang ramai ini terdapat dalam setiap tabaqah sanad.
  • Pada kebiasaannya mustahil yang mereka berpakat untuk berdusta.
  • Asas bagi khabar ini adalah pancaindera seperti kami mendengar, kami melihat, kami merasai dan sebagainya. Tetapi sekiranya sandaran khabar ini ialah ’aqal seperti pendapat tentang alam ini baru, pada ketika itu khabar tidak boleh dinamakan dengan Al-Mutawatir.

Pembahagian Mutawatir: Mutawatir terbahagi kepada dua:

  • Al-Mutawatir al-Lafzi (المتواتر اللفظي)

Iaitu hadis yang mutawatir pada lafaz dan maknanya seperti hadis:

مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا ، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Sesiapa yang sengaja berdusta atas namaku maka hendaklah dia mempersiapkan tempatnya di dalam api neraka.”

Hadis ini telah diriwayatkan oleh lebih 70 orang sahabat.

  • Al-Mutawatir al-Ma’nawi (المتواتر المعنوي)

Iaitu hadis yang mutawatir pada makna tidak pada lafaz seperti hadis mengangkat dua tangan ketika berdoa. Ianya telah diriwayatkan oleh Rasulullah SAW hampir atau lebih kurang seratus hadis. Setiap hadis menyebutkan baginda mengangkat tangan ketika berdoa cumanya dalam keadaan yang berbeza-beza. Dari segi keadaan ianya tidak mutawatir tetapi masing-masing menyebut mengangkat tangan ketika berdoa. Dengan itu ia menjadikan tawatur berdasarkan kepada keseluruhan atau gabungan jalan-jalan sanad. (Lihat Mabahith fi ‘Ulum al-Hadith oleh Manna’ al-Qattan)

Source: BAYAN LINNAS

Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1110: CARA MENZAHIRKAN RASA SYUKUR KEPADA ALLAH SWT

Soalan Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apakah cara kita menzahirkan rasa syukur kita pada Allah? …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *