Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #983: NABI SAW MENGALAMI KESAKITAN BERAT KETIKA WAFATNYA?
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #983: NABI SAW MENGALAMI KESAKITAN BERAT KETIKA WAFATNYA?

NABI SAKIT.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Adakah benar Baginda SAW ketika wafat mengalami kesakitan yang amat berat?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, beliau berkata:

دَخَلْتُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يُوعَكُ ، فَقُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّكَ لَتُوعَكُ وَعْكًا شَدِيدًا ، قَالَ : أَجَلْ إِنِّي أُوعَكُ كَمَا يُوعَكُ رَجُلَانِ مِنْكُمْ ، قُلْتُ : ذَلِكَ أَنَّ لَكَ أَجْرَيْنِ ، قَالَ : أَجَلْ ذَلِكَ كَذَلِكَ مَا مِنْ مُسْلِمٍ يُصِيبُهُ أَذًى شَوْكَةٌ فَمَا فَوْقَهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا سَيِّئَاتِهِ كَمَا تَحُطُّ الشَّجَرَةُ وَرَقَهَا

Maksudnya: “Aku pernah menemui Rasulullah SAW ketika beliau sedang sakit, lalu aku berkata: “Wahai Rasulullah, engkau sedang mengalami sakit yang amat berat.” Baginda bersabda: “Benar, rasa sakit yang menimpaku ini sama sepertimana rasa sakit yang menimpa dua orang daripada kamu.” Aku kemudian berkata: “Sebab itu engkau mendapat dua pahala?” Baginda menjawab: “Benar, seperti itulah. Tidaklah seorang muslim yang tertimpa suatu musibah (penyakit) atau yang lain, melainkan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya sepertimana pohon menggugurkan dedaunannya.”

Riwayat al-Bukhari (5648) dan Muslim (6724)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam mensyarahkan hadis di atas, menukilkan daripada Ibn al-Jauzi, katanya: Pada hadis tersebut menunjukkan bahawa mereka yang kuat, menanggung mengikut apa yang dimampunya. Sedangkan yang lemah diberi keringanan, melainkan tatkala seseorang itu bertambah makrifah kepada yang mengujinya, maka dirasakan ujian tersebut adalah sedikit dan ringan.

Ada dalam kalangan mereka yang melihat kepada pahala ujian, maka terasa ringanlah bala tersebut. Yang paling tinggi kedudukan ialah sesiapa yang melihat perlakuan Yang memiliki pada kerajaannya secara bebas, maka ia berserah tanpa bantahan. Yang paling tinggi daripada itu pula, sesiapa yang disibukkan dengan cinta mengatasi daripada permohonan menolak bala. Dan martabat yang paling tinggi adalah sesiapa yang berlazatan dengannya kerana dia tahu ia adalah daripada kehendak Tuhan. Wallahu a’lam. (Lihat Fath al-Bari, 10/112)

Ibn Battal dalam Syarh Sahih al-Bukhari berkata: Allah mengkhususkan para nabi-Nya dengan ujian sakit dan lebih benar daripada itu, Allah khususkan mereka kerana kuatnya keyakinan dan tingginya kesabaran untuk dia mendapat kesempurnaan pahala dan juga ganjaran. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 9/374)

Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW bersabda:

أَشَدُّ النَّاسِ بَلاَءً الأَنْبِيَاءُ ، ثُمَّ الصَّالِحُونَ، ثُمَّ الأَمْثَلُ فَالأَمْثَلُ

Maksudnya: “Manusia yang paling berat ujiannya adalah para nabi, lalu orang-orang soleh dan seterusnya.”

Riwayat al-Nasa’ie (7440) dan al-Baihaqi
dalam Syu’ab al-Iman (9776)

Begitu juga Baginda SAW bersabda:

يُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ، فَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ صَلَابَةٌ زِيدَ فِي بَلَائِهِ

Maksudnya: “Seseorang diuji sesuai dengan kadar keagamaannya. Apabila agamanya kuat, maka ujiannya akan ditambah.”

Riwayat Ahmad (1481)

Rasulullah SAW adalah manusia yang sudah tentu mengalami sakit dan juga kehidupannya sama seperti kehidupan manusia kerana sifat basyari yang harus bagi Rasul. Cumanya, oleh kerana Rasulullah SAW berada pada kedudukan yang termulia di kalangan makhluknya, maka ujiannya juga berbeza dengan yang lain.

Akhir sekali, marilah sama-sama kita berdoa supaya Allah selamatkan kita daripada bala dan Allah rahmati kita dalam menempuh ranjau dan kehidupan dengan penuh kemudahan dan ketenangan. Kami tutup perbincangan ini dengan berdoa:

اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الغَلاَء وَالوَبَاء وَالرِّبَا وَالزِّنَا والزَّلاَزِلَ وَالمِحَنَ وَسُوْءَ الْفِتَنِ مَاظَهَرَ مِنْهَا وَمَابَطَنَ

Maksudnya: Ya Allah lindungilah kami daripada harga barang yang melambung, waba’, riba, zina, gempa bumi, ujian, fitnah yang buruk, dari apa yang zahir dan yang terlindung.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *