Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #978: SELIDIK DAHULU BERITA DI MEDIA SOSIAL
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #978: SELIDIK DAHULU BERITA DI MEDIA SOSIAL

media sosial.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apakah nasihat Dato’ apabila mendengar isu yang boleh jadi benar atau tidak dalam media sosial?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Soalan ini kami telah terangkan dalam Bayan Linnas berkenaan isu tabayyun. Justeru, kami syorkan untuk merujuk kepada kedua-dua Bayan Linnas tersebut, iaitu:

Terdapat kaedah masyhur yang berdasarkan nas Ilahi, Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

(Surah al-Hujurat: 6)

Al-Sobuni berkata: Jika datang kepada kamu seorang lelaki fasiq yang mana ia tidak boleh dipercayai dengan kebenaran dan keadilannnya, dengan apa yang diberitaka, maka hendaklah kamu menyemak akan kesahihan berita. Ini supaya kamu tidak mengenakan hukuman atau musibah kepada satu-satu kaum sedangkan kamu jahil tentang hakikat sebenar. Ketika itu, jadilah kamu menyesal tak sudah atas perbuatan kamu. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 3/216)

Secara ringkasnya, kami menambah, amat perlu semak dan tashih dahulu maklumat di samping hendaklah kita menjadi pembawa berita gembira dan bukan menakutkan orang ramai. Inilah yang diajar oleh Nabi SAW. Sebagai contohnya, apabila Baginda SAW menziarahi orang sakit, makanya Baginda memberi semangat kepadanya dengan berkata:

لَا بَأْسَ طَهُورٌ إِنْ شَاءَ اللَّهُ

Maksudnya: Tidak mengapa, semoga kesucian dan kesembuhan dengan kehendak Allah.

Riwayat al-Bukhari (5656)

Begitu juga, boleh jadi cakapan kita atau pemberitaan kita kepada orang ramai mengikut apa yang kita dengar dan kita tahu boleh membawa kepada pendustaan dan kesilapan. Benarlah sabda Nabi SAW, daripada Hafs bin ‘Asim:

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

Maksudnya: Cukuplah seorang itu dianggap berdusta apabila dia bercakap segala apa yang dia dengar.

Riwayat Muslim (7)

Imam al-Nawawi berkata: Di sini menunjukkan larangan daripada bercakap setiap apa yang dia dengar kerana boleh jadi dia dengar pada adatnya benar atau dusta. Justeru, apabila dia berbicara setiap apa yang dia dengar, maka sesungguhnya dia telah mendustakan dengan berita-beritanya yang boleh jadi bukan begitu. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 1/75)

Oleh itu, marilah sama-sama kita menginsafi supaya jangan kita menjadi penyebab ke arah ketidakbaikan.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *