Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #975: SUAMI BERHUTANG MAS KAHWIN KEMUDIAN MENINGGAL DUNIA
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #975: SUAMI BERHUTANG MAS KAHWIN KEMUDIAN MENINGGAL DUNIA

HUTANG MAS KAHWIN.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Mohon penjelasan. Masa akad nikah, mas kahwin secara hutang. Tetapi sudah lama suami lupa. Kemudian beliau meninggal. Bagaimana penyelesaiannya?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan dengan kenyataan bahawa mas kahwin hukumnya adalah wajib. Ia adalah wajib ke atas suami sebaik sahaja sempurna aqad nikah sama ada mas kahwin itu disebut dengan kadar tertentu ataupun tidak semasa aqad tersebut. Jika terdapat permuafakatan menafikannya atau tidak menyebutnya, persetujuan tersebut batal dan mas kahwin tetap wajib diserahkan.

Dalil mas kahwin wajib adalah berdasarkan al-Quran, al-Sunnah dan ijma’.

Firman Allah SWT:

وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً

Maksudnya: Berikanlah maskawin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan.

(Surah al-Nisa’: 4)

Orang yang diperintahkan untuk memberi mas kahwin ini ialah para suami. Begitu juga firman Allah SWT:

فَمَا اسْتَمْتَعْتُم بِهِ مِنْهُنَّ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ فَرِيضَةً

Maksudnya: Maka isteri-isteri yang telah kamu nikmati (campuri) di antara mereka, berikanlah kepada mereka maharnya (dengan sempurna), sebagai suatu kewajipan.

                                                                                             (Surah al-Nisa’: 24)

Seterusnya, Allah SWT berfirman:

لَّا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِن طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ مَا لَمْ تَمَسُّوهُنَّ أَوْ تَفْرِضُوا لَهُنَّ فَرِيضَةً

Maksudnya: Tidak ada kewajiban membayar (mahar) atas kamu, jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu bercampur dengan mereka dan sebelum kamu menentukan maharnya.

                                                                                    (Surah al-Baqarah: 236)

Adapun hadith pula, daripada Sahl bin Sa’ad RA katanya:

أَتَتِ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ امْرَأَةٌ فَقَالَتْ إِنَّهَا قَدْ وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلَّهِ وَلِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: مَا لِى فِى النِّسَاءِ مِنْ حَاجَةٍ. فَقَالَ رَجُلٌ زَوِّجْنِيهَا. قَالَ: أَعْطِهَا ثَوْبًا. قَالَ لاَ أَجِدُ. قَالَ: أَعْطِهَا وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ. فَاعْتَلَّ لَه. فَقَالَ: مَا مَعَكَ مِنَ الْقُرْآنِ. قَالَ كَذَا وَكَذَا. قَالَ: فَقَدْ زَوَّجْتُكَهَا بِمَا مَعَكَ مِنَ الْقُرْآنِ

Maksudnya: “Seorang perempuan menyerahkan dirinya untuk dikahwini oleh Nabi SAW kerana Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: Aku tidak berhajat kepada perempuan. Lalu seorang lelaki berkata: Kahwinkanlah aku dengan perempuan itu. Sabda Baginda: “Engkau berikan perempuan itu sehelai pakaian.” Dia menjawab: “Aku tidak memilikinya. Lalu Baginda bersabda lagi: “Engkau berikanlah dia walaupun sebentuk cincin besi.” Lelaki itu menjawab: “Dia tidak memilikinya. Baginda bersabda: “Adakah ayat-ayat al-Quran yang engkau hafal?” Dia menjawab: “Ada begian-begian.” Baginda pun bersabda: “Aku kahwinkan engkau dengan perempuan itu dengan mengajarkannya ayat-ayat al-Quran yang engkau hafal.”

Riwayat al-Bukhari (4741)

Sedangkan ijma’ pula, para ulama’ bersepakat mengatakan bahawa mas kahwin adalah wajib tanpa seorang pun yang menafikannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/583-585)

Justeru dalam isu di atas, kami nyatakan bahawa selepas berlaku kematian maka harta suami sebelum difaraidkan hendaklah diambil untuk pelaksanaan pembayaran mahar yang sudah tertangguh sekian lama. Itu adalah hak yang dimiliki oleh isteri berdasarkan nas.

Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman dalam melaksanakan kehidupan mengikut neraca Syariah. Amin.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *