Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #955: BERNAZAR MENUNAIKAN IBADAH WAJIB
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #955: BERNAZAR MENUNAIKAN IBADAH WAJIB

nazar.jpg

 

SOALAN

Assalamualaikum WBT, S.S. Tuan Mufti, saya ada sedikit persoalan mengenai nazar. Saya telah bernazar, jika sekiranya saya dinaikkan pangkat saya akan mengerjakan umrah. Walaubagaimanapun, saya berhasrat untuk mengerjakan umrah dalam masa terdekat ini kerana ada sedikit kemampuan untuk mengerjakannya walaupun masih belum dinaikkan pangkat. Untuk pengetahuan Tuan Mufti, ini merupakan umrah yang pertama kali bagi diri saya. Soalan saya, adakah nazar saya terbayar jika saya mengerjakan umrah meskipun belum dinaikkan pangkat?. Mohon pandangan Tuan mufti. Jazakkallah khair.

Begitu juga soalan lain;

Apakah hukum seorang bernazar hendak menunaikan Haji pada tahun ini padahal ia belum menunaikan Haji Fardhunya?

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Nazar dari sudut bahasa memberi makna janji untuk melakukan sebarang perkara sama ada baik ataupun buruk. Manakala sudut syara’ pula nazar membawa maksud janji untuk melakukan sesuatu yang baik sahaja.

 

ٍاِلْتِزَامُ قُربُةِ لَم تَتَعَيَّن فِي الشَّرْعِ، إِمَّا مُطْلَقًا، أَوْ مُعَلَّقًا عَلَى شَيْء

Maksudnya: Mewajibkan atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syara’, sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (yakni mengkaitkan) dengan suatu perkara.

(Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie karangan Syeikh Muhammad al-Zuhaili (2/501)

 

Nazar adalah satu amalan ibadah yang pada asalnya ia tidak wajib dilakukan. Sheikh Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa Nazar boleh diketogorikan kepada dua bahagian iaitu Nazar Mutlak dan Nazar Muqayyad. Nazar Mutlak bermaksud Nazar yang berupa kesyukuran kepada Allah SWT disebabkan sesuatu nikmat yang didapati ataupun tanpa sebarang sebab musabab. Contohnya “aku bernazar untuk melakukan ibadah puasa dan solat sunat dengan banyaknya seumur hidupku”. Nazar Muqayyad pula bermaksud nazar yang terikat dengan syarat seperti contoh “jika aku dapat anak lelaki aku akan tunaikan umrah” (Fiqh Islami Wa Adillatuhu, 3/537).

Pada dasarnya, perkara yang dinazarkan merupakan perbuatan atau ibadah yang tidak membawa kepada kewajipan pada seseorang itu untuk melakukan. Seperti contoh berpuasa sunat, menunaikan umrah, menginfakkan harta dan sebagainya. Namun begitu, perkara-perkara tersebut dibolehkan untuk bernazar bahkan telah menjadi perkara wajib kepada orang yang bernazar kerana perkara tersebut telah menjadi perjanjiannya ke atas nikmat Allah SWT yang diterima selama pernantiannya. Maka bernazar melakukan perkara-perkara sebegini adalah dibolehkan. Hukum untuk menunaikannya adalah wajib.

Firman Allah SWT,

 

وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُوْلاً

Maksudnya: “Dan penuhilah janji, sesungguhnya janji itu pasti akan dipersoalkan kelak”

(Surah Al-Isra’ : 34)

Adapun begitu bernazar dalam melakukan perkara-perkara yang sememangnya merupakan perkara-perkara yang diwajibkan oleh syara’ ke atas orang Islam tidak boleh dilakukan. Seperti contoh bernazar untuk berpuasa di bulan Ramadhan dan bernazar untuk bersolat lima waktu pada esok hari. Nazarnya itu menjadi tidak sah kerana ia adalah sememangnya perkara-perkara yang disyariatkan kepada umat Islam. Jika tidak ditunaikan akan membawa kepada dosa. 

 

Nabi SAW bersabda:

عَنْ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَبْدِ اللهِ بْنِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَابِ رضي الله عنهما قال: سَمِعْتُ رسولَ الله صلى الله عليه وسلم: بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ اَنْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ الله وَ اَنَ مُحَمَّدًا الرَّسُولُ اللهِ وَ اِقَامِ الصَّلاَةِ وَ اِيْتَاءِ الزَّكَاةِ وَحِجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Dari Abu Abdurrahman, Abdullah bin Umar bin Al-Khattab radiallahuanhuma dia berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Islam bangun di atas lima perkara; Bersaksi bahwa tiada Tuhan selain Allah SWT dan bahawa Nabi Muhammad SAW utusan Allah SWT, Mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan Haji dan puasa di bulan Ramadhan”.

(Hadis riwayat Bukhari , No.7)

 

Hadis tersebut menerangkan diantara kewajipan syara’ yang telah difardhukan kepada setiap orang Islam yang tidak boleh untuk dinazarkan. Berbalik kepada persoalan yang dibincangkan di atas, nazar yang dilakukan itu adalah nazar yang berjenis Muqayyad. Nazar Muqayyad bermaksud nazar yang terikat dengan syarat seperti contoh “jika saya dinaikkan pangkat saya akan menunaikan umrah”.  Harus diketahui Nazar adalah satu amalan ibadah yang pada asalnya ia tidak wajib. Ibadah Umrah atau Haji yang pertama kali ditunaikan merupakan umrah atau haji wajib. Nazar tidak akan berlaku kepada perkara-perkara yang wajib, maka nazar yang dibuat adalah tidak sah dan tidak perlu untuk membayar kafarah.

Wallhua’lam.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *