Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #944: TUJUAN MENANAM MAYAT

tanam mayat.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Mufti. Boleh jelaskan, apakah tujuan menanam mayat?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Mayat diertikan sebagai tubuh orang yang telah meninggal. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)

Justeru, apakah yang sepatutnya kita lakukan terhadap mayat yang telah meninggal dunia dan terbujur kaku itu. Dalam Islam, perlu dimandikannya, dikafankannya, disolatkannya dan yang terakhirnya dikebumikannya.

Firman Allah SWT:

ثُمَّ أَمَاتَهُ فَأَقْبَرَهُ

Maksudnya: Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan;

(Surah ‘Abasa: 21)

Imam al-Qurtubi berkata: “Allah SWT menjadikan untuk manusia itu kubur yang menutupi mayatnya sebagai satu kemuliaan baginya, kalau mayat itu dibiar maka ia akan menjelekkan dan dimakan oleh haiwan. Ayat ini juga memberi maksud bahawa Allah mengarahkan supaya mayat manusia itu ditanam dan tidak dibakar selepas kematiannya.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 19/219)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Kemudian Allah SWT menggenggam nyawanya dan tidak membiarkan begitu sahaja berbaring di atas bumi untuk dimakan oleh binatang buas. Tetapi dimuliakannya dan jenazahnya ditanam sebagai penghormatan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/7440-7441)

Daripada ayat di atas, dapat difahami bahawa menanam mayat manusia adalah sunnah Allah pada makhluk-Nya. Oleh yang demikian, mayat manusia tidak boleh dibuang sewenang-wenangnya di atas muka bumi seperti binatang atau dibakar sepertimana yang dilakukan oleh sesetengah agama. Ini adalah kemuliaan kepada manusia.

Allah SWT berfirman:

أَلَمْ نَجْعَلِ الْأَرْضَ كِفَاتًا ﴿٢٥﴾ أَحْيَاءً وَأَمْوَاتًا

Maksudnya: Bukankah Kami telah menjadikan bumi (sebagai tempat) penampung dan penghimpun (penduduknya)? – Yang hidup dan yang mati?

(Surah al-Mursalat: 25-26)

Para ulama’ menjelaskan bahawa antara tujuan dan hikmat menanam mayat adalah:

  • Menjaga kehormatan mayat dengan mengelakkan pandangan dan baunya yang akan menjijikkan. Ini akan menutup keaiban, memelihara maruah mayat dan ahli keluarganya. (Lihat Hasyiah al-Jamal ‘ala Syarh al-Minhaj, 3/217)
  • Memberi pengajaran praktikal kepada orang yang masih hidup berkenaan hakikat kehidupan dunia dan kematian.
  • Kerja-kerja mengurus dan menanam mayat ini akan mewujudkan hubungan yang baik antara sesama masyarakat serta meringankan beban tanggungan fizikal dan emosi keluarga yang ditimpa musibah tersebut.

Tempat mayat ditanam dikenali sebagai kubur. Ia berasal daripada perkataan arab, qabara (قبر) yang bermaksud tanam dan nama terbitannya ialah maqbarah (مقبرة) yang bererti tempat menanam mayat. Allah SWT berfirman:

ثُمَّ أَمَاتَهُ فَأَقْبَرَهُ

Maksudnya: Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan;

(Surah ‘Abasa: 21)

Semoga Allah SWT menjadikan akhiran hidup kita dengan husnul khatimah dan menempatkan kita bersama para Nabi, siddiqin, para syuhada’ dan orang-orang yang soleh. Amin.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *