Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #935 : ADAKAH TAHNIK BAYI ITU WAJIB ?
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #935 : ADAKAH TAHNIK BAYI ITU WAJIB ?

Download PDF

af935 34830167 compressed

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Apakah tahnik bayi itu sesuatu yang wajib?. Kalau tak buat berdosa ke?

Jawapan :

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berkenaan dengan tahnik telah disebut di dalam satu riwayat daripada Saidatina Aisyah. Kata beliau :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- كَانَ يُؤْتَى بِالصِّبْيَانِ فَيُبَرِّكُ عَلَيْهِمْ وَيُحَنِّكُهُمْ فَأُتِىَ بِصَبِىٍّ فَبَالَ عَلَيْهِ فَدَعَا بِمَاءٍ فَأَتْبَعَهُ بَوْلَهُ وَلَمْ يَغْسِلْهُ

Maksudnya :” Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah didatangi dengan kanak-kanak. Lalu Baginda memberkati mereka dan mentahnikkan mereka. Kemudian Baginda didatangi dengan seorang kanak-kanak lalu kanak-kanak itu kencing di atas Baginda. Lantas Baginda meminta air dan memercikkan air tersebut ke atas kencing itu. Baginda tidak membasuhnya,”

Riwayat Muslim (688)

Yang dimaksudkan dengan tahnik adalah mengunyah tamar atau selainnya kemudian disapukan kepada lelangit bayi.

Hukum mentahnik bayi merupakan satu sunnah. Perkara ini telah dijelaskan oleh Imam al-Nawawi. Kata beliau :

“Adapun berkaitan hukum hakam yang terdapat di dalam hadis ini, terdapatnya hukum sunat mentahnikkan anak yang baru lahir. Juga berkaitan keharusan mengambil berkat daripada orang yang soleh dan baik. Di dalam hadis itu juga terdapat hukum sunatnya membawa kanak-kanak menemui orang yang soleh untuk bertabarruk dengan mereka.

Rujuk Syarh Sahih Muslim (14/143)

Bahkan tahnik ini juga merupakan sesuatu yang masyhur dan makruf di kalangan para sahabat. Di dalam satu kisah yang diceritakan oleh Asma’ ketika mana beliau mengandungkan Abdullah Bin Zubair. Kata beliau :

فَخَرَجْتُ وَأَنَا مُتِمٌّ فَأَتَيْتُ الْمَدِينَةَ فَنَزَلْتُ بِقُبَاءٍ فَوَلَدْتُهُ بِقُبَاءٍ ثُمَّ أَتَيْتُ بِهِ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَوَضَعْتُهُ فِي حَجْرِهِ ثُمَّ دَعَا بِتَمْرَةٍ فَمَضَغَهَا ثُمَّ تَفَلَ فِي فِيهِ فَكَانَ أَوَّلَ شَيْءٍ دَخَلَ جَوْفَهُ رِيقُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ حَنَّكَهُ بِتَمْرَةٍ ثُمَّ دَعَا لَهُ وَبَرَّكَ عَلَيْهِ وَكَانَ أَوَّلَ مَوْلُودٍ وُلِدَ فِي الْإِسْلَامِ

Maksudnya :” Aku keluar dan pada ketika aku dah hampir melahirkan. Aku singgah di Quba dan aku telah melahirkan anak di Quba. Kemudian aku pergi menemui Rasulullah SAW. Lalu aku meletakkan anakku di bilik Baginda. Kemudian Baginda memohon untuk dibawakan tamar. Lantas Baginda mengunyah tamar tersebut kemudian meludah kunyahan tersebut di mulutnya. Benda pertama yang masuk ke tubuhnya ialah air liur Rasulullah SAW. Baginda kemudiannya mentahnikkan dengan sebiji tamar dan memberkatinya. Anak aku adalah bayi yang pertama yang dilahirkan pada zaman Islam (iaitu anak kaum muhajirin yang pertama dilahirkan selepas hijrah).”

Riwayat al-Bukhari ( 3909) & Muslim (5741)

Pengarang Al-Fiqh Al-Manhaji menyatakan bahawa disunatkan untuk membawa anak yang baru lahir kepada orang yang soleh untuk ditahnikkan. Dan supaya bayi tersebut boleh didoakan dengan doa yang baik dan berkat.

Rujuk Al-Fiqh Al-Manhaji (3/62)

Kesimpulannya, tahnik bayi adalah satu sunnah. Ia tidaklah sampai ke tahap wajib. Dan jika seseorang itu meninggalkan perkara tersebut tidaklah dikira berdosa. Seelok-eloknya yang mentahnikkan bayi itu adalah dari kalangan orang yang berilmu dan soleh seperti mana yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi. Berkenaan kaedah tahnik anak yang baru lahir telah kami jelaskan di ruangan Al-Kafi Lil Al-Fatawi siri ke 367.[1]

Semoga Allah memberikan kita kefahaman di dalam agama-Nya. Wallahu’alam.

[1] http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1320-al-kafi-367-kaedah-tahnik-anak-yang-baru-lahir

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-318 : ADAKAH MATI KERANA SAKIT PERUT TIDAK AKAN DI AZAB DI KUBUR?

Soalan : Assalamualaikum ustaz. Semoga dalam keadaan yang sihat. Saya mahu bertanya dan ingin clarify …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *