Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #934 : SOLAT MAGHRIB DENGAN IMAM SOLAT ISYAK
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #934 : SOLAT MAGHRIB DENGAN IMAM SOLAT ISYAK

Download PDF

AF934 compressed

Soalan:

Jika makmum solat maghrib di belakang imam solat Isyak, contohnya makmum musafir bersolat di masjid yang sedang dilaksanakan solat isyak berjemaah, bagaimanakah keadaan makmum tersebut pada rakaat ketiga? Adakah dia perlu duduk tasyahhud menunggu imam atau berpisah daripada imam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam diucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, para keluarga, sahabat, serta golongan yang mengikuti baginda sehingga hari kiamat.

Di dalam fiqh mazhab al-Syafie, diharuskan makmum untuk bersolat jemaah dengan imam dalam solat-solat yang bersesuaian nazmnya, yakni formatnya, sekalipun jika berbeza bilangannya seperti seperti makmum bersolat isyak mengikut imam maghrib, atau sebaliknya. Jika berbeza nazamnya, seperti makmum solat subuh mengikut solat jenazah, maka tidak sah jemaahnya, mengikut pendapat muktamad.

Berkata Imam al-Nawawi dalam Raudhah al-Tolibin (1/368):

إِذَا اتَّفَقَتِ الصَّلَاتَانِ فِي الْأَفْعَالِ الظَّاهِرَةِ فَيُنْظَرُ إِنِ اتَّفَقَ عَدَدُهُمَا كَالظُّهْرِ خَلْفَ الْعَصْرِ أَوِ الْعِشَاءِ جَازَ الِاقْتِدَاءُ. وَإِنْ كَانَ عَدَدُ رَكَعَاتِ الْإِمَامِ أَقَلَّ كَالظُّهْرِ خَلْفَ الصُّبْحِ جَازَ. وَإِذَا تَمَّتْ صَلَاةُ الْإِمَامِ، قَامَ الْمَأْمُومُ وَأَتَمَّ صَلَاةَ نَفْسِهِ كَالْمَسْبُوقِ. وَيُتَابِعُ الْإِمَامَ فِي الْقُنُوتِ. وَلَوْ أَرَادَ مُفَارَقَتَهُ عِنْدَ اشْتِغَالِهِ بِالْقُنُوتِ جَازَ. وَإِذَا اقْتَدَى فِي الظُّهْرِ بِالْمَغْرِبِ، وَانْتَهَى الْإِمَامُ إِلَى الْجُلُوسِ الْأَخِيرِ، تَخَيَّرَ الْمَأْمُومُ فِي الْمُتَابَعَةِ وَالْمُفَارَقَةِ كَالْقُنُوتِ. وَإِنْ كَانَ عَدَدُ رَكَعَاتِ الْمَأْمُومِ أَقَلَّ كَالصُّبْحِ خَلْفَ الظُّهْرِ، فَالْمَذْهَبُ جَوَازُهُ ….وَقَامَ الْإِمَامُ إِلَى الثَّالِثَةِ، تَخَيَّرَ الْمَأْمُومُ، إِنْ شَاءَ فَارَقَهُ وَسَلَّمَ، وَإِنْ شَاءَ انْتَظَرَهُ لِيُسَلِّمَ مَعَهُ.قُلْتُ: انْتِظَارُهُ أَفْضَلُ. وَاللَّهُ أَعْلَمُ.وَإِنْ أَمْكَنَهُ أَنْ يَقْنُتَ فِي الثَّانِيَةِ، بِأَنْ وَقَفَ الْإِمَامُ يَسِيرًا، قَنَتَ. وَإِلَّا فَلَا شَيْءَ عَلَيْهِ. وَلَهُ أَنْ يَخْرُجَ عَنْ مُتَابَعَتِهِ لِيَقْنُتَ. وَلَوْ صَلَّى الْمَغْرِبَ خَلْفَ الظُّهْرِ، فَإِذَا قَامَ الْإِمَامُ إِلَى الرَّابِعَةِ، لَمْ يُتَابِعْهُ بَلْ يُفَارِقُهُ، وَيَتَشَهَّدُ وَيُسَلِّمُ

Maksudnya: “Sekiranya bersepakat dua solat (imam dan makmum) pada perbuatan yang zahir maka ditilik;

  • jika sepakat bilangannya seperti solat zuhur di belakang orang solat isyak, maka diharuskan untuk mengikutinya;
  • jika bilangan rakaat solat imam kurang (berbanding solat makmum) seperti makmum solat zuhur di belakang imam solat subuh, maka diharuskan Justeru, apabila selesainya solat imam, kemudian hendaklah makmum bangkit untuk menyempurnakan solat dengan sendiri seperti hukum masbuq. Hendaklah dia mengikuti imam pada membaca doa qunut, namun sekiranya dia mufaraqah (berpisah daripada imam) ketika imam itu sedang sibuk dengan qunut, maka itu diharuskan.
  • Jika makmum bersolat zuhur tetapi mengikut imam solat maghrib, apabila imam berada pada duduk terakhir (tasyahhud akhir) pada rakaat ketiga, dia diberi pilihan untuk mengikut imam atau mufaraqah daripad imam, seperti hukum doa qunut.[1]
  • Sekiranya bilangan solat makmum kurang daripada solat imam, seperti solat subuh di belakang imam solat zuhur, maka pendapat mazhab menyatakan hukumnya adalah harus. Apabila imam bangkit pada rakaat ketiga, maka makmum diberi pilihan;
    • jika dia mahu dia boleh mufaraqah (tanpa makruh) kemudian memberi salam (yakni menyelesaikan solatnya bersendirian), atau jika dia mahu dia boleh menunggu imam sehingga memberi salam bersama dengannya. Aku (Imam al-Nawawi) berkata: menunggu itu lebih afdhal (baik). Wallahua`lam.
    • Jika dia memiliki kesempatan berqunut pada rakaat kedua, seperti imam berdiri sebentar, disunatkan dia berqunut. Jika tidak sempat, maka tiada ke atasnya apa-apa.[2] Dia juga boleh untuk keluar daripada mengikuti imam untuk berqunut.[3]
  • Sekiranya seseorang itu bersolat maghrib di belakang orang yang bersolat zuhur, maka apabila imam bangkit untuk rakaat keempat, tidak boleh makmum itu mengikutinya, bahkan hendaklah dia bermufaraqah daripada imam itu,[4] kemudian bertasyahhud dan memberi salam.”

Justeru, untuk menjawab soalan di atas, wajib bagi makmum yang bersolat maghrib di belakang imam bersolat isyak melakukan salah satu daripada dua perkara berikut:

  • Berniat mufaraqah daripada mengikut imam sebelum duduk untuk tasyahhud akhir, semasa sujud terakhir.
  • Menunggu imam semasa sujud terakhir bagi makmum sehingga imam sampai ke duduk terakhir untuk bertasyahhud dan salam bersama imam.

Semoga penjelasan ini memberikan manfaat kepada penanya.

 

Nota hujung: 

[1] Lebih afdhal dia mengikut imam.

[2] Menurut Imam al-Mahalli, ertinya tidak perlu sujud sahwi kerana imam sudah menanggungnya. Rujuk Syarh al-Mahalli ala al-Minhaj (1/325).

[3] Berkata Imam al-Khatib al-Syiabini dalam Mughni al-Muhtaj (1/504), ertinya harus baginya untuk berniat mufaraqah, jika terdapat keuzuran, kerana meraikan sunnah Rasulullah SAW yang membaca qunut. Jika tiada keuzuran, maka lebih afdhal tinggalkan qunut. Boleh juga lambat sedikit daripada imam untuk membaca qunut tanpa perlu mufaraqah.

[4] ‘Hendaklah” disini bermaksud wajib mufaraqah, kerana jika makmum itu duduk bertasyahud sedangkan dia masih mengikut imam, dia telah menambah satu duduk yang tidak dilakukan oleh Imam. Rujuk Hasyiah al-Jamal (1/565) oleh Syeikh Sulaiman al-Jamal. Justeru hendaklah dia berniat mufaraqah semasa sujud kedua sebelum duduk tasyahhud akhir jika dia mengkehendaki mufaraqah, dan itu lebih afdhal. Jika dia mengkehendaki memberi salam bersama imam, maka hendaklah dia tunggu dalam keadaan sujud. Rujuk Syarh al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah (hlm. 349) oleh Syeikh al-Habib Sa`id Ba`isyn.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-318 : ADAKAH MATI KERANA SAKIT PERUT TIDAK AKAN DI AZAB DI KUBUR?

Soalan : Assalamualaikum ustaz. Semoga dalam keadaan yang sihat. Saya mahu bertanya dan ingin clarify …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *