Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #933: WAKAF TENAGA MANUSIA

Download PDF

wakaf tenaga manusia.PNG

Soalan:

Apakah ada istilah wakaf tenaga manusia? Atau wakaf hanya terhad kepada harta sahaja?

Jawapan:

Alhamdulillah pertama sekali bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T dengan nikmat Iman dan Islam, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga Baginda, para Sahabat Baginda R.A dan kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T.

 

Takrif Wakaf

Dari sudut bahasa, wakaf berasal daripada perkataan Arab الوقف yang pada dasarnya bermaksud menahan, berhenti, atau diam.

Manakala dari sudut istilah syara’ pula, wakaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya, untuk kebajikan dengan niat untuk mendekatkan diri pewakaf kepada Allah SWT.

Dalil-Dalil Pensyari’atan

لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّى تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ

Maksudnya: Kamu tidak akan sekali-kali dapat mencapai (hakikat) kebajikan (yang sempurna) sehinggalah kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi.

           (Surah Ali ‘Imran: 92)

مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِائَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: Perumpamaan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakinya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnianya, lagi Maha Meliputi ‘ilmu pengetahuannya.

                                                                                                                 (Surah al-Baqarah: 261)

عَن أبي هُرَيْرَة رَضِيَ اللَّهُ عَنْه أَن رَسُول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َ قَالَ إِذا مَاتَ ابْن آدم انْقَطع عمله إِلَّا من ثَلَاث صَدَقَة جَارِيَة أَو علم ينْتَفع بِهِ أَو ولد صَالح يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda “apabila mati anak Adam akan terhentilah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkannya atau anak yang soleh yang mendoakannya.”

                                                                       (Hadith Riwayat Muslim: 5/73; Abu Dawud: 2880)

عنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ أَصَابَ عُمَرُ أَرْضًا بِخَيْبَرَ فَأَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْتَأْمِرُهُ فِيهَا فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي أَصَبْتُ أَرْضًا بِخَيْبَرَ لَمْ أُصِبْ مَالًا قَطُّ هُوَ أَنْفَسُ عِنْدِي مِنْهُ فَمَا تَأْمُرُنِي بِهِ قَالَ إِنْ شِئْتَ حَبَسْتَ أَصْلَهَا وَتَصَدَّقْتَ بِهَا قَالَ فَتَصَدَّقَ بِهَا عُمَرُ أَنَّهُ لَا يُبَاعُ أَصْلُهَا وَلَا يُبْتَاعُ وَلَا يُورَثُ وَلَا يُوهَبُ قَالَ فَتَصَدَّقَ عُمَرُ فِي الْفُقَرَاءِ وَفِي الْقُرْبَى وَفِي الرِّقَابِ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَالضَّيْفِ لَا جُنَاحَ عَلَى مَنْ وَلِيَهَا أَنْ يَأْكُلَ مِنْهَا بِالْمَعْرُوفِ أَوْ يُطْعِمَ صَدِيقًا غَيْرَ مُتَمَوِّلٍ فِيهِ

Maksudnya: Daripada Ibn ‘Umar r.’anhuma katanya: ‘Umar r.’anhu telah memperoleh sebidang tanah di Khaibar, dan beliau mendatangi Nabi SAW dan meminta nasihat Baginda SAW berkenaanya. Dia berkata “Wahai Rasulullah SAW, aku memperoleh sebidang tanah di Khaibar yang tidak pernah aku peroleh harta sebaiknya sebelum ini. Menurut kamu, apa yang aku harus lakukakan dengannya?” Rasulullah SAW bersabda: “Jika kamu mahu, kamu boleh mewakafkannya dan sedeqahkan hasilnya“. Maka ‘Umar pun mewakafkannya dengan syarat ia tidak dijual atau dihadiahkan kepada sesiapa, dan tidak juga diwariskan. Hasilnya akan disedeqahkan kepada orang miskin, kaum kerabat, untuk membebaskan hamba, membantu jihad di jalan Allah SWT, membantu para musafir dan tetamu. Dan tidak mengapa sekiranya penjaganya memakan sedikit dari hasilnya sekadar menurut keperluan, atau memberi makan kepada orang lain tanpa menyimpannya untuk masa hadapan.

   (Hadith Riwayat al-Bukhari: 2586; Muslim: 1633)

 

Hukum Wakaf Manfa’ah

Wakaf manfa’ah bermaksud wakaf suatu perkara- samada ‘ainiyyah atau ghairu ‘ainiyyah– yang boleh dimanfaatkan dengannya.

Jumhur ulama’ mazhab Hanafi, Syafi’e dan Hanbali tidak membolehkan perbuatan wakaf manfaat, sementara ulama’ mazhab Malik mengharuskannya. (Rujuk Al-Bada’ie al-Sona’ie, 6/220; Mughni al-Muhtaj, 2/377, Hasyiyah Ibn ‘Abidin, 3/359; Syarh Muntaha al-Iradat, 2/492 dan Al-Syarh Al-Kabir wa Hasyiyah al-Dusuqi, 4/76)

Pendapat yang terpilih disisi kami, dan yang menjadi amalan institusi wakaf di Malaysia adalah mengharuskan wakaf manfa’ah. Antara hujahnya adalah tiada dalil yang mengharamkan amalan wakaf manfa’ah ini, selain maslahah yang besar untuk umat Islam melalui aplikasinya.

Wakaf Tenaga Manusia

Istilah ‘wakaf tenaga manusia’ ini dalam pengetahuan kami tidak pernah disebut dalam mana-mana kitab fiqh, samada kitab turath mahupun kitab kontemporari, dan ia merupakan satu perkara baharu.

Cuma menurut pembacaan dan pencarian yang telah dijalankan, ia pernah disebut dalam satu kertas kerja cadangan yang ditulis oleh Dr. ‘Athiyyah as-Sayyid Fayyadh, pensyarah Fakulti Syari’ah dan Undang-undang Universiti al-Azhar. Kertas kerja bertajuk ‘Waqful Manafi’ fil Fiqh al-Islamiy’ ini telah dibentangkan di Muktamar Waqaf Kedua di Universiti Ummul Qura pada tahun 2006.[1] Beliau mencadangkan bahawa manfaat tenaga kerja yang meliputi pelbagai bidang seperti kedoktoran, kejuruteraan dan administratif dimasukkan juga dalam kategori waqaf manfa’ah demi kemaslahatan umum umat Islam.[2]

Maka dengan ini kami berpendapat, wakaf tenaga manusia ini dari sudut konsep dan istilahnya, adalah bertepatan dengan konsep, rukun dan syarat wakaf itu sendiri. Wakaf tidak harus dihadkan kepada perkara-perkara ‘ainiyyah sahaja, bahkan harus juga meliputi tenaga kerja dan kemahiran manusia, selaras dengan perkembangan semasa demi kemaslahatan umat Islam itu sendiri. Dalam hal ini, wakaf tenaga manusia boleh diqiyaskan kepada konsep waqf manfa’ah yang diharuskan oleh pengamalannya oleh mazhab Hanafi.

Hal ini boleh dilihat pada syarat al-mauquf (perkara yang diwaqafkan) yang telah dibahaskan oleh ulama’, antaranya:

( وَ ) شَرْطُ ( الْمَوْقُوفِ ) كَوْنُهُ عَيْنًا مُعَيَّنَةً مَمْلُوكَةً مِلْكًا يَقْبَلُ النَّقْلَ يَحْصُلُ مِنْهَا مَعَ بَقَاءِ عَيْنِهَا فَائِدَةٌ أَوْ مَنْفَعَةٌ.. [3]

Maksudnya: Dan syarat al-mauquf itu haruslah ianya satu ‘ain yang dimiliki, dan boleh pula dipindahkan serta diperoleh daripadanya faedah dan manfaat dengan ‘ainnya kekal tanpa berubah.

Dalam keadaan ini, al-mauquf adalah tenaga, kepakaran dan kemahiran manusia yang mahu diwakafkan itu. Maka sifat tenaga, kepakaran dan kemahiran manusia adalah dimiliki oleh pewakaf itu sendiri, boleh diperoleh manfaat dan faedah apabila ianya digunakan, dan dalam masa yang sama, ia kekal dan tidak hilang meskipun digunakan berkali-kali.

Namun harus diperhatikan juga bahawa pewakaf yang mahu mewakafkan dirinya itu haruslah menepati syarat yang telah ditetapkan untuk membolehkan sahnya sesuatu ‘aqad waqaf, iaitu dia seorang yang baligh, berakal, melakukannya secara pilihan bebas tanpa paksaan oleh mana-mana pihak.[4] Selain itu dalam kes ini, haruslah juga ditambah bahawa pewakaf mestilah berkemampuan untuk melaksanakan tugas yang diberi.

Kesimpulan

Sebenarnya, konsep wakaf tenaga manusia yang dicadangkan ini telahpun sedia diamalkan diseluruh dunia, iaitu melalui konsep yang kita kenali sekarang sebagai ‘kesukarelawanan’ (volunteerism). Maka amalannya sudah lama wujud dan diaplikasikan, cuma penamaan istilah ‘wakaf tenaga manusia’ itu sahaja yang belum ada.

Wallahu a’lam.

[1] Kertas kerja ini boleh dibaca dan dimuat turun di: http://www.kantakji.com/media/5043/210120.pdf

[2] Athiyyah as-Sayyid Fayyadh, 2006, Waqful Manafi’ fil Fiqh al-Islamiy, hal. 44

[3] Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfatul Muhtaj fi Syarhil Minhaj, 6/238

[4] Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 44/ 124

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-318 : ADAKAH MATI KERANA SAKIT PERUT TIDAK AKAN DI AZAB DI KUBUR?

Soalan : Assalamualaikum ustaz. Semoga dalam keadaan yang sihat. Saya mahu bertanya dan ingin clarify …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *