Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #926 : PERKIRAAN HARI MASUK DAN HARI KELUAR DALAM HUKUM SOLAT MUSAFIR (JAMAK DAN QASAR)
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #926 : PERKIRAAN HARI MASUK DAN HARI KELUAR DALAM HUKUM SOLAT MUSAFIR (JAMAK DAN QASAR)

Download PDF

af926 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wbt,

Seperti yang kita maklum, hukum jamak dan qasar solat bagi musafir boleh dilakukan dalam tempoh tidak lebih tiga hari, tidak termasuk hari masuk dan hari pulang. Apa yang dimaksudkan dengan hari masuk dan hari pulang dalam hukum hakam jama’ qasar solat? Boleh ustaz jelaskan.

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT tuhan sekalian alam, selawat serta salam buat Nabi SAW, ahli keluarga baginda, isteri-isteri, para sahabat baginda, seterusnya mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke hari akhirat.

Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/186) menyebut salah satu daripada syarat sah solat jamak dan qasar bagi musafir:

“Tidak berniat menetap selama empat hari di tempat yang dituju selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar.”

Ini berdasarkan hadis al-`Ala’ bin al-Hadhrami bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يُقِيمُ الْمُهَاجِرُ بِمَكَّةَ بَعْدَ قَضَاءِ نُسُكِهِ ثَلَاثًا

Maksudnya: “Orang Muhajirin bermukin di Mekkah selepas selesai menunaikan manasik selama tiga hari.”

Riwayat Muslim (no.1352)

Sebahagian orang mungkin akan keliru; apakah yang dimaksudkan dengan hari masuk dan hari pulang? Adakah hari masuk dan pulang itu merangkumi 24 jam hari pertama dan terakhir atau bukan? Bagi menjawab isu ini, kami nukil perkataan Imam al-Nawawi:

وَلَا يُحْسَبُ مِنْهَا يَوْمَا دُخُولِهِ وَخُرُوجِهِ عَلَى الصَّحِيحِ

Maksudnya: “Tidak dikira daripada empat hari itu dua siang masuknya dan keluarnya mengikut pendapat yang sahih.”

Rujuk Minhaj al-Tolibin (hlm. 44)

Dalam syarahnya, kitab Hasyiah al-Syirwani `ala Tuhfah al-Muhtaj (2/377) disebut:

(وَلَا يُحْسَبُ مِنْهَا أَيْ الْأَرْبَعَةِ يَوْمَا دُخُولِهِ إلَخْ) أَيْ وَتُحْسَبُ اللَّيْلَةُ الَّتِي تَلِي يَوْمَ الدُّخُولِ وَكَذَا الْيَوْمُ الَّذِي يَلِي لَيْلَةَ الدُّخُولِ

Maksudnya: “[(Dan tidak dikira daripada empat hari itu dua siang masuknya)[1] ertinya dikira malam yang berikutan siang masuk itu. Begitu juga dikira siang yang berikutan malam masuk itu].

[2]

(قَوْلُهُ: أَوْ لَيْلَتَا دُخُولِهِ إلَخْ) أَيْ أَوْ يَوْمُ دُخُولِهِ وَلَيْلَةُ خُرُوجِهِ أَوْ بِالْعَكْسِ

Maksudnya: “[(atau dua malam masuknya) yakni tidak dikira siang masuknya dan malam masuknya, atau begitu juga kalau keadaan yang terbalik].”

Berdasarkan keterangan di atas, terdapat perbezaan antara penggunaan hari selama 24 jam dan yang “hari“ dalam konteks hukum jamak dan qasar. “Hari” dalam hukum itu bermaksud waktu siang dan waktu malam apabila seorang musafir itu sampai atau ingin pulang. Contohnya, jika seseorang itu sampai siang hari Isnin, maka dia hendaklah berniat untuk pulang semula ke tempat asalnya, atau keluar daripada tempat itu untuk musafir jauh ke tempat lain pula, pada siang hari Jumaat. Andai kata dia pulang malam Sabtu, maka tidak sah hukum solat jama` dan qasar yang dibuat kerana tidak cukup syarat.

Selain itu, perlu difahami juga bahawa pertukaran hari dalam fiqh Islam adalah selepas waktu Maghrib (senja) dan bukan 12.00 tengah malam. Antara hikmah diberikan keringanan pada siang hari sampai dan siang hari pulang ialah kerana seorang musafir itu pastinya disibukkan dengan perkara-perkara yang keperluan ketika musafir (seperti pengangkutan, penginapan dan persediaan pulang) pada dua siang hari tersebut. Rujuk Mughni al-Muhtaj (1/519) oleh Imam al-Khatib al-Syarbini.

Kami nyatakan rajah berikut untuk memudahkan kefahaman:

 

 

Isnin

Selasa

Rabu

Khamis

Jumaat

Malam

 #

Siang

Masuk

 #  #

Keluar

Rajah 1 : Jika musafir itu sampai pada waktu siang

Huraian Rajah 1: Contohnya, Ali sampai ke Ipoh (destinasi musafir jauh) daripada Kuala Lumpur (tempat asal) pada jam 11.00 pagi hari Isnin. Dia hendaklah berniat untuk pulang semula ke tempat asalnya, atau keluar musafir jauh ke tempat lain, pada siang Jumaat. Jika dia berniat keluar Jumaat malam Sabtu maka dia tidak boleh melakukan solat jamak dan qasar selama tinggalnya dia di Ipoh. Adapun semasa perjalanan, maka tiada masalah.

 

Isnin

Selasa

Rabu

Khamis

Jumaat

Malam

Masuk

 #

Keluar

Siang

 #  #  #

Rajah 2 : Jika musafir itu sampai pada waktu malam

Huraian Rajah 2: Contohnya, Ali sampai ke Ipoh daripada Kuala Lumpur (tempat asal) pada jam 11.00 malam Ahad malam Isnin. Dia hendaklah berniat untuk pulang semula ke tempat asalnya, atau keluar musafir jauh ke tempat lain, pada Khamis malam Jumaat. Jika dia berniat keluar siang Jumaat maka dia tidak boleh melakukan solat jamak dan qasar selama tinggalnya dia di Ipoh. Adapun semasa perjalanan, maka tiada masalah.

Pendapat di atas ialah pendapat muktamad dan sahih dalam mazhab al-Syafie. Inilah pendapat kami dan lebih memudahkan pada perkiraan. Terdapat pendapat lain dalam mazhab seperti mana yang disebutkan oleh Imam al-Khatib al-Syirbini: “Imam al-Subki (alim mazhab Syafie) memilih pendapat mazhab Imam Ahmad bahawa rukhsah (untuk qasar solat sewaktu musafir) tidak berkait dengan bilangan hari, sebaliknya berkait dengan bilangan solat. Justeru, orang yang bermusafir boleh mengambil rukhsah itu dengan bilangan 21 kali perlaksanaan solat yang fardhu. Ini kerana perkara itu dilakukan secara tahqiq oleh Baginda apabila bermusafir di kawasan al-Abtoh. Mengikut pendapat yang sahih, rukhsah itu sebanyak 23 kali solat.”

Rujuk Mughni al-Muhtaj (1/520)

Isnin

Selasa

Rabu

Khamis

Jumaat

Subuh

 #  #  #  #

Zuhur

 #  #  #  #  #

Asar

 #  #  #  #

Maghrib

 #  #  #  #

Isyak

 #  #  #  #

Rajah 3 : Jika musafir itu mengikut pendapat Imam al-Subki

Huraian Rajah 3: Contohnya, Ali sampai ke Ipoh daripada Kuala Lumpur (tempat asal) pada jam 11.00 pagi hari Isnin. Dia dibenarkan solat jamak dan qasar bermula daripada Zuhur hari Isnin sehingga Zuhur hari Jumaat.

Kesimpulannya, seseorang yang musafir hendaklah berniat menetap tiga hari di destinasi musafirnya untuk membolehkannya mengambil rukhsah solat jamak dan qasar. Ini tidak termasuk siang hari sampai dan siang hari pulang, atau malam hari sampai dan malam hari pulang. Jika dihimpunkan keseluruhan hari tersebut, ia boleh mencecah lima hari.

Semoga penerangan ini memberikan kefahaman yang baik kepada pembaca.

Nota hujung:

[1] Ini adalah perkataan Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam Tuhfah al-Muhtaj, manakala hasyiah penerangannya diberi oleh Syeikh Abdul Hamid al-Syirwani

[2] Seperti mana yang difatwakan oleh Syeikh Ali Syubramallisi.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-318 : ADAKAH MATI KERANA SAKIT PERUT TIDAK AKAN DI AZAB DI KUBUR?

Soalan : Assalamualaikum ustaz. Semoga dalam keadaan yang sihat. Saya mahu bertanya dan ingin clarify …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *