Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #924: HIBAHKAN RUMAH KEPADA ISTERI, KEMUDIAN INGIN MENARIK SEMULA
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #924: HIBAHKAN RUMAH KEPADA ISTERI, KEMUDIAN INGIN MENARIK SEMULA

Download PDF

 hibah rumah.JPG

 

 Soalan

Assalamualaikum SS Mufti, saya telah menghibahkan rumah saya kepada isteri saya. Bolehkah saya menarik semula hibah tersebut kerana saya bercadang ingin menjual rumah tersebut. Apakah hukum sekiranya saya menjual rumah tersebut?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Hibah ialah memberi milik sesuatu barang kepada seseorang yang mana barang itu sah untuk dijual atau diberi hutang, oleh ahli tabarru’ dengan tidak adanya sebarang tukaran atau balasan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 11/396; Fath al-Mu’in, hlm. 84 dan I’anat al-Talibin, 3/142)

Kami katakan dalam masalah hukum hibah ini, ada dua keadaan:

  • Kita sebut hibah tetapi pelaksanaan kehibahan itu belum berlaku lagi. Maka keadaan seperti ini, kita tidak menganggapnya sebagai hibah.
  • Kita sebut hibah dan pelaksanaan hibah itu turut berlaku.

Sebagai contoh, seseorang berkata kepada anaknya: “Motosikal ayah itu, kamu ambillah. Ayah hadiahkan pada kamu.” Dalam contoh ini, pemberian ini belum berlaku secara sempurna.

Pemberian secara sempurna hanya berlaku selepas berlaku pertukaran nama pada geran motosikal tersebut kepada nama anaknya. Selepas berlaku proses tersebut, barulah ia dipanggil hibah. Tetapi sekiranya hanya menyebut hendak memberi tanpa pertukaran nama, maka ia masih belum dikira hibah.

Hal ini kerana apabila dirujuk kepada undang-undang, sekiranya tidak berlaku proses seperti itu melainkan hanya lafazan mulut sahaja, maka ia akan menjadi pertikaian. Hal ini kerana tiada bahan bukti untuk dijadikan sandaran. Meskipun ketika hibah dilafazkan dengan sempurna malah turut bersumpah dengan nama Allah.

Oleh itu, merujuk isu di atas, apabila seseorang menghibah kepada isterinya, maka perlu dilihat setakat mana hibah tersebut berlaku. Adakah hanya lafazan di mulut sahaja atau sudah berlaku proses pertukaran nama kepada nama isteri. Sebab itulah disebut:

التَّبَرُّعُ لَمْ تَتِمّ حَتَّى يَقْبِض

Maksudnya: Tabarru’ itu tidak berlaku sehingga dia memegang.

Memegang tersebut adalah sama ada memegang secara hissi atau secara maknawi. Sebagai contoh kereta dan rumah dipegang dengan adanya geran. Hal ini adalah berdasarkan kepada realiti semasa.

Oleh itu, perkara-perkara kecil seperti wang RM50, apabila dihibah kepada seseorang, apabila yang diterima memegang maka ia sudah dikira sebagai hibah.

Akan tetapi benda-benda besar seperti kenderaan, rumah, tanah, share saham dan seumpamanya maka kesemuanya ini perlu kepada pertukaran pindah milik. Apabila berlaku proses tersebut, maka baru dikira sebagai hibah.

Kami tegaskan di sini dalam isu di atas, jika diambil balik atau ditarik balik hibah selepas sempurnanya maka ia termasuk dalam hadis daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

الْعَائِدُ فِي هِبَتِهِ كَالْعَائِدِ فِي قَيْئِهِ

Maksudnya: Yang mengambil semula apa dihibahkannya adalah seperti menjilat semula muntahnya.

Riwayat al-Bukhari (2621) Ibn Majah (2385)

Kami nyatakan di sini beberapa hukum yang dipetik daripada kitab al-Ruju’ fi al-Hibah fi al-Fiqh al-Islami oleh Prof. Ali Abu al-Basal antara lain menyebut:

  • Ulama’ bersepakat bahawa tidak boleh mengambil kembali barang yang disedekahnya jika telah diterima oleh orang lain atau kaum keluarga. Ini berdasarkan nas Saidina Umar bin al-Khattab R.A yang berkata:

مَنْ وَهَبَ هِبَةً لِصِلَةِ رَحِمٍ ، أَوْ عَلَى وَجْهِ صَدَقَةٍ ، فَإِنَّهُ لاَ يَرْجِعُ فِيهَا

Maksudnya: Siapa yang membuat hibahan kerana silaturrahim atau sebagai sedekah maka janganlah dia ambil kembali.

Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’ (2/754),
al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (12386)

  • Ulama’ bersepakat bahawa tidak boleh mengambil kembali barangan hibah jika adanya gantian antara dua pihak.
  • Ulama’ bersepakat bahawa tidak harus mengambil kembali hibah jika telah mati salah seorang dari kedua selepas telah diterima harta yang dihibah.
  • Tidak harus mengambil kembali jika hibah dari salah seorang suami isteri kepada pasangan masing-masing atau kaum kerabat seperti saudara perempuan. (Lihat al-Ruju’ fi al-Hibah fi al-Fiqh al-Islami oleh Prof. Ali Abu al-Basal)

 

Sebagai kesimpulan, dalam isu di atas, sekiranya telah berlaku proses pindah milik, maka tidak boleh diambil semula.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita serta menjadikan rumahtangga kita sebagai rumahtangga sakinah, mawaddah dan rahmah. Amin.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-318 : ADAKAH MATI KERANA SAKIT PERUT TIDAK AKAN DI AZAB DI KUBUR?

Soalan : Assalamualaikum ustaz. Semoga dalam keadaan yang sihat. Saya mahu bertanya dan ingin clarify …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *