Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #923 : HUKUM SOLAT JAMAK DAN QASAR DI STESEN ETS SEBELUM BERTOLAK KE DESTINASI
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #923 : HUKUM SOLAT JAMAK DAN QASAR DI STESEN ETS SEBELUM BERTOLAK KE DESTINASI

Download PDF

af923 34552628 compressed

Soalan :

Saya dari Kuala Lumpur hendak balik ke Perak naik ETS yang di jadualkan bertolak pukul 4 petang dan di jangka sampai Perak pukul 6 petang. Tapi saya bergerak dari kolej saya sebelum zuhur dengan tujuan untuk berjalan-jalan bersama kawan di mall stesen ETS tersebut. Soalan saya, boleh ke saya solat zuhur dan asar secara jamak taqdim dan qasar surau mall tersebut?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Allah SWT memberikan rukhsah iaitu keringanan bagi umat islam yang bermusafir untuk memendekkan solat 4 rakaat kepada 2 rakaat. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِى ٱلْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا۟ مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ إِنْ خِفْتُمْ أَن يَفْتِنَكُمُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ ۚ

Maksudnya :” Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir..”

(Surah al-Nisa’ :101)

Ibnu al-Arabi ketika menafsirkan ayat ini beliau mengatakan ;

“Dan yang berkata yang dimaksudkan mengqasarkan ialah memendekkan jumlah daripada empat kepada dua.”

Rujuk Ahkam al-Quran (2/459)

Ibnu Kathir menyatakan ayat ini bermaksud mengurangkan jumlahnya. Iaitu memendekkan solat yang empat rakaat kepada dua rakaat.

Rujuk Tafsir al-Quran al-Azim (1/672)

Bahkan Nabi SAW menyatakan bahawa rukhsah qasar merupakan pemberian dari Allah SWT. Sabda Nabi SAW daripada Saidina Umar bin al-Khattab :

صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللَّهُ بِهَا عَلَيْكُمْ فَاقْبَلُوا صَدَقَتَهُ

Maksudnya :” Ia ada sedekah yang diberikan oleh Allah ke atas kalian. Maka terimalah pemberiannya.”

Riwayat Muslim (1605)

Syarat-syarat bagi membolehkan solat qasar dilakukan ketika bermusafir ada 11. Di antara syarat-syarat tersebut ialah jarak perjalanan atau permusafiran melebihi 2 marhalah iaitu dianggarkan sejauh 82 kilometer. Para ulama membincangkan juga bilakah bermulanya permusafiran seseorang sehingga dibenarkan kepadanya untuk mengqasarkan dan menjamakkan solatnya.

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa jika seseorang bermusafir dari satu negeri, maka awal permusafirannya adalah ketika mana dia melepasi tembok kawasan. Jika di belakangnya ada bangunan, mengikut qaul al-asah dia perlu melepasi bangunan tersebut. Jika tiada tembok, maka awal permusafirannya adalah ketika mana dia melepasi bangunan. Bukannya kebun-kebun.Kawasan kampung atau daerah adalah sama seperti negeri.

Rujuk Minhaj al-Talibin wa Umdah al-Muftin( hlm. 128)

Maka dapat difahami daripada kenyataan Imam al-Nawawi bahawa bermula permusafiran seseorang itu adalah ketika mana dia keluar melepasi kawasan dia bermukim.

Ibnu Naqib al-Misri menyebut jika sekiranya satu-satu negeri itu ada tembok maka boleh diqasarkan solat dengan hanya melepasi tembok tersebut. Sama ada di luar tembok tersebut ada bangunan ataupun tidak. Jika tidak ada tembok, maka perlulah melepasi bangunan keseluruhannya. Tidak disyaratkan melepasi kebun-kebun, ladang-ladang dan tanah perkuburan yang ada.

Rujuk ‘Umdah al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik (hlm 138)

Oleh itu, berdasarkan penjelasan di atas, kami berpandangan bahawa boleh untuk melakukan solat zohor dan asar secara qasar dan jamak di surau mall yang disebutkan kerana saudara telah melepasi kawasan atau daerah permukiman. Ditambah pula jarak permusafiran di antara tempat mula ke destinasi yang ingin dituju melebihi 2 marhalah.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman di dalam agama-Nya. Wallahu’alam.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-318 : ADAKAH MATI KERANA SAKIT PERUT TIDAK AKAN DI AZAB DI KUBUR?

Soalan : Assalamualaikum ustaz. Semoga dalam keadaan yang sihat. Saya mahu bertanya dan ingin clarify …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *