Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #904: PERLUKAH MENGIKUT IMAM SUJUD SAHWI
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #904: PERLUKAH MENGIKUT IMAM SUJUD SAHWI

sahwi 2.JPG

Soalan

Saya terlewat sampai solat Subuh. Selepas membaca tahiyat, imam sujud sahwi. Adakah wajib saya ikut imam sujud sahwi atau bangun menambah rakaat?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Sujud sahwi ialah sujud yang dilakukan kerana kecacatan solat yang dilakukan seseorang ketika bersolat sama ada disengajakan atau terlupa. Ia dilakukan pada akhir solat sebelum salam dengan cara sujud sebanyak dua kali sepertimana sujud-sujud di dalam solat dengan niat sujud sahwi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/443)

Menjawab soalan di atas, boleh ikut sujud sahwi kerana tujuan makmum ialah mengikut imam. Imam itu adalah untuk diikuti. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ

Maksudnya“Sesungguhnya dijadikan imam untuk diikuti.”

Riwayat al-Bukhari (378) dan Muslim (948)

Guru kami, al-Syeikh ‘Atiyyah Salim berkata: Pada permasalahan sujud sahwi, ketika mana imam sujud dan makmum sujud bersamanya, sedangkan imam sujud kerana lupanya tetapi makmum tidak lupa, mereka juga hendaklah sujud bersama imam. (Lihat Syarh Bulugh al-Maram oleh Syeikh ‘Atiyyah Muhammad Salim, 1/464)

Dalam menjawab isu ini, kami kemukakan hadis yang diriwayatkan daripada Umar R.A, daripada Nabi SAW, sabda Baginda:

لَيْسَ عَلَى مَنْ خَلْفَ الإِمَامِ سَهْوٌ فَإِنْ سَهَا الإِمَامُ فَعَلَيْهِ وَعَلَى مَنْ خَلْفَهُ

MaksudnyaTiadalah seseorang yang sembahyang di belakang imam sujud sahwi. Jika sekiranya imam lupa, maka hendaklah imam dan makmum sujud sahwi.

Riwayat al-Bazzar, al-Baihaqi (2/532) 
dan al-Daraqutni (1/377)

Hadis ini seperti kata al-Baihaqi adalah dha’if. Kata al-Syaukani, salah seorang pada sanadnya Kharijah bin Mus’ab, sedangkan beliau dha’if. Dan juga Abu al-Husin al-Madini sedangkan beliau majhul.

Hadis ini menjadi dalil bahawa imam menanggung di atas lupanya makmum. Jika makmum lupa, sedangkan imam tidak lupa, maka makmum tidak perlu sujud sahwi. Inilah yang dinyatakan oleh Ibn al-Munzir secara ijma’. Usul syariat menyokong hukum ini. Ini kerana makmum hendaklah mengikut imam sehingga mutaba’ah (ikutan hendaklah didahulu mengatasi tasyahhud awal). (Lihat Taudhih al-Ahkam oleh al-Bassam, 2/351)

Hadis ini juga menunjukkan jika sekiranya makmum tidak lupa tetapi yang lupa ialah imam sedangkan makmum hanya sempat pada tahiyyat akhir, maka hendaklah dia sujud bersama imam ketika sujud sahwi kerana nas:

وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا

Maksudnya: “Apabila imam sujud, maka hendaklah kamu (makmum) bersujud.”

Riwayat al-Bukhari (378)

Ibn Munzir telah menyebutnya secara ijma’.

Kadang-kadang makmum itu tidak melakukan kesilapan manakala imam melakukan kesilapan. Sebagai contoh, imam terlupa membaca doa qunut sedangkan makmum tidak terlupa dan sempat membaca doa qunut walaupun yang ringkas. Kemudian di akhir solat, imam sujud sahwi kerana tidak membaca qunut, maka makmum mesti sujud bersama imam. Ianya tidak menjadi masalah dan tidak semestinya makmum juga lupa baru perlu sujud sahwi bersama imam.

Lihat juga artikel kami dalam siri Al-Kafi #694: Perlukah Sujud Sahwi Jika Imam Meninggalkannya?[1] untuk menambahkan kefahaman dan penjelasan.

Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita. Amin.

Nota Hujung:

[1] Lihat http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2252-al-kafi-694-perlukah-sujud-sahwi-jika-imam-meninggalkannya?highlight=WyJzdWp1ZCIsInNhaHdpIiwic3VqdWQgc2Fod2kiXQ==

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *