Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #894 : TOMPOKAN DARAH KURANG DARIPADA 24 JAM SEWAKTU UMRAH
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #894 : TOMPOKAN DARAH KURANG DARIPADA 24 JAM SEWAKTU UMRAH

 af894 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wbt. ustaz,

Saya mohon pencerahan dari ustaz tentang permasalahan saya ini. Ibadah umrah ini saya lakukan pada tahun 2012. Secara ringkasnya setelah selesai tawaf, saie, bergunting saya balik ke hotel, saya melihat masih ada sedikit sahaja tompok warna coklat di pad. Saya beranggapan itu bukanlah darah haid, tetapi mungkin tompokan itu keluar kerana saya melalui aktiviti fizikal yang lama kerana melakukan tawaf, saie sebelum itu kerana selepas itu tiada lagi tompok warna coklat seperti itu untuk jam-jam seterusnya. Sewaktu di Miqat Bir Ali saya niat bersyarat. Tempoh masa period saya kering kadang-kadang 5 hari dan kadang-kadang 6 hari. Saya mandi wajib dan lakukan tawaf pada hari ke-5 period saya, sebab sebelum itu saya lihat di pad sudah tiada kesan haid. Kemudian saya pulang ke Malaysia. Adakah tawaf saya itu sah keran tompok itu kelihatan dalam tempoh kurang dari 24 jam? Apa yang perlu saya lakukan sekiranya ibadah saya ini belum selesai? Pada tahun 2016 saya mengerjakan ibadat umrah untuk kali ke-2 dan alhamdulillah, urusan saya dipermudahkan oleh Allah SWT. Tetapi bagaimana dengan ibadat umrah saya untuk tahun 2012, kerana saya akui kurangnya ilmu saya ketika itu dan kekhilafan ini datang dari diri saya sendiri tapi saya bertekad untuk perbetulkan kesilapan ini. Saya mohon bantuan ustaz,terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda, isteri-isteri dan para sahabat seterusnya mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke hari akhirat.

Berdasarkan soalan di atas; kami bahagikan jawapan kepada beberapa isu:

  • Mendapati darah selepas menyelesaikan ibadah tawaf ifadhah.
  • Melaksanakan tawaf semasa fatrah al-naqa’

Isu pertama: mendapati darah selepas menyelesaikan ibadah tawaf ifadhah.

Pada asalnya, seorang yang melaksanakan tawaf perlu berada dalam keadaan suci daripada hadas kecil dan besar, dan najis. Jika dia mendapati dirinya berhadas, seperti kedatangan haid, atau dihinggapi najis yang tidak dimaafkan, semasa sedang bertawaf, maka batallah tawafnya. Namun jika didapati darah tersebut muncul selepas dia menunaikan ibadah tawaf, contohnya selepas pulang ke hotel, maka boleh diihtimal (terdapat lebih daripada satu kemungkinan) darah tersebut keluar selepas selesai menunaikan ibadah tawaf. Imam al-Suyuti menyebut kaedah dalam kitabnya:

الِاحْتِمَالُ فِي وَقَائِعِ الْأَحْوَالِ يُسْقِطُ الِاسْتِدْلَالَ

Maksudnya: “Jika berlaku ihtimal pada keadaan-keadaan, maka batallah istidlal (pendalilan untuk satu hipotesis hukum).”

Rujuk al-Asybah wa al-Nazair (hlm. 263)

Ini juga selari dengan kaedah al-istishab (yakni status quo suatu hukum itu kekal sehingga datang dalil yang menunjukkan sebaliknya) dan kaedah:

الْيَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ

Maksudnya: “Suatu hukum yang dibina dengan keyakinan tidak akan dihilangkan hanya kerana keraguan.”

Rujuk al-Asybah wa al-Nazair (hlm. 50)

Kaedah lain menyebut:

الْأَصْلُ فِي كُلِّ حَادِثٍ تَقْدِيرُهُ بِأَقْرَبِ زَمَنٍ

Maksudnya: “Hukum asal bagi suatu perkara yang berlaku ketentuannya berdasarkan masa yang paling hampir.”

Contohnya; seorang itu berwuduk dengan air perigi (yang sedikit) untuk beberapa hari dan bersolat dengan wuduk tersebut. Kemudian dia mendapati selepas itu ada bangkai tikus di dalamnya. Dia tidak diwajibkan qadha’ melainkan setelah dia yakin bahawa dia solat dalam keadaan bernajis.

Rujuk al-Asybah wa al-Nazair (hlm. 59)

Berdasarkan kaedah-kaedah di atas, kami menyatakan bahawa sekiranya wanita yang bertanya yakin bahawa dia berhaid ketika menunaikan tawaf maka tawafnya tidak sah. Namun jika, dia tidak yakin dan terdapat kemungkinan bahawa darah itu keluar selepasnya, maka tawafnya mengikut pendapat al-laqt, yang akan dihuraikan selepas ini.

 

Isu kedua: melaksanakan tawaf semasa fatrah al-naqa’

Mengikut pendapat muktamad dalam mazhab al-Syafie, darah yang keluar semasa tempoh kebiasaan haid adalah dianggap sebagai darah haid. Manakala darah yang datang pada hari-hari bukan kebiasaan haid, jika tidak mampu dibezakan sifat darah berkenaan, dan bersambung sehingga melebihi 15 hari, adalah dianggap sebagai darah istihadah. Adapun jika tidak melebihi 15 hari, maka dianggap sebagai darah haid kerana adat kebiasaan haid seorang wanita boleh berubah. Mengikut pendapat ini juga, fatrah al-naqa` yakni waktu sucinya faraj daripada darah, pada waktu selang antara keluarnya dua darah haid, dianggap sebagai haid juga. Ini dipanggil sebagai qaul al-sahb.

Manakala pendapat tidak muktamad, yakni qaul al-laqt, menganggap fatrah al-naqa itu adalah waktu suci yang mengesahkan amalan puasa, solat dan tawaf yang dilakukan dalam tempoh tersebut. Inilah pendapat yang difatwakan oleh ramai ulama dalam konteks zaman sekarang apabila perlaksanaan haji dan umrah terikat dengan kemampuan ekonomi daripada segi nafkah, visa dan kebersamaan dengan rombongan.

Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah (hlm. 166)

Sebelum ini, warga Malaysia yang melaksanakan ibadah haji dan umrah diberitahu bahawa apabila ingin beramal dengan pendapat al-laqt, wanita tersebut perlu menunggu sehingga 24 jam kemudian jika didapat masih lagi tidak keluar darah, barulah boleh menunaikan ibadah tawaf. Pendapat ini telah ditinjau semula dalam Muzakarah Haji Kebangsaan kali ke-35 yang diadakan pada 10 November 2018 sebagai pendapat yang tidak kuat di dalam mazhab al-Syafie, bahkan tidak diketahui sumbernya secara pasti. Pendapat yang benar adalah tidak perlu menunggu sehingga 24 jam fatrah al-naqa’ untuk menyelesaikan ibadah tawaf, sebaliknya boleh terus dilaksanakan tawaf apabila wanita tersebut yakin dia boleh melaksanakan ibadat tawaf dalam tempoh al-naqa’ tersebut (kira-kira dalam tempoh 4 jam). Jika wanita tersebut tidak mendapati darah setelah selesai melaksanakan tawaf, maka sahlah ibadah tawaf itu sekalipun jika beberapa ketika selepas itu kembali pula darah, kerana berpegang dengan pendapat al-Laqt. Ini juga pendapat dalam mazhab Maliki dan Hanbali.

 

Kesimpulan

Berdasarkan penghujahan di atas, kami berpendapat bahawa seorang wanita yang menunaikan umrah itu diharuskan menggunakan pendapat al-laqt bahawa fatrah al-naqa’ itu adalah waktu suci. Hendaklah dia mandi dan bolehlah dia menyelesaikan tawafnya, sekalipun apabila sudah selesai tawaf, darah haid tersebut kembali. Tidak disyaratkan menunggu 24 jam berhentinya darah untuk memulakan ibadah tawaf. Sekiranya darah itu didapati selepas selesai menunaikan tawaf, maka boleh diihtimal bahawa darah berkenaan keluar selepas menunaikan tawaf, dan bukan sebelum atau semasa ibadah berkenaan dilaksanakan, jika tiada tanda atau alamat yang meyakinkan.

Wallahua’lam.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *