Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #881 : MENGANGKAT SUARA BERSELAWAT SEMASA KHUTBAH JUMAAT
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #881 : MENGANGKAT SUARA BERSELAWAT SEMASA KHUTBAH JUMAAT

Download PDF

af881 compressed

Soalan:

Apakah hukum mengangkat suara membaca selawat ketika khatib menyebut nama Rasulullah ﷺ semasa khutbah?

Jawapan:

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Hari Jumaat dan malamnya adalah waktu yang digalakkan bagi kita untuk berselawat. Hal ini berdasarkan hadith Aus bin Aus RA, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

إِنَّ مِنْ أَفْضَلِ أَيَّامِكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ فَأَكْثِرُوا عَلَىَّ مِنَ الصَّلاَةِ فِيهِ فَإِنَّ صَلاَتَكُمْ مَعْرُوضَةٌ عَلَىَّ

Maksudnya: “Antara hari yang paling mulia adalah hari Jumaat. Justeru, banyakkanlah berselawat kepadaku pada hari tersebut kerana selawat kamu akan dikemukakan kepadaku.”

Riwayat Abu Daud (1047)

Namun begitu, terdapat larangan umum ke atas makmum semasa khatib sedang berkhutbah, untuk bercakap-cakap dan disunatkan ke atas mereka diam mendengar khutbah. Ini berdasarkan firman Allah ﷻ:

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”

(Surah al-A`raf : 204)

Berkata Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari: “Ramai ahli tafsir menyebut bahawa ayat ini diturunkan pada hukum khutbah dan dinamakan “Qur’anan” kerana kebanyakan isi khutbah ialah tentang al-Quran.” Rujuk Asna al-Matolib (1/258)

Begitu juga hadis, daripada Abu Hurairah RA, Nabi ﷺ bersabda:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَنْصِتْ وَالإِمَامُ يَخْطُبُ فَقَدْ لَغَوْتَ

Maksudnya: “Apabila kamu berkata ‘diam’ kepada sahabat kamu pada hari Jumaat ketika imam membaca khutbah maka sia-sialah Jumaat kamu.”

Riwayat al-Bukhari (892) dan Muslim (851)

Justeru, adakah mengangkat suara semasa berselawat ke atas Nabi ﷺ semasa khutbah apabila mendengar nama baginda atau gelarannya yang mulia disebut termasuk dalam larangan di atas?

Para ulama berkhilaf kepada tiga pandangan:

  • Makruh: Bahkan sebaiknya tidak perlu berselawat, Ini adalah pandangan ikhtiyar Imam Ibn al-Mundzir. Begitu juga pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Sufyan al-Thauri.
  • Harus sekiranya dibaca perlahan: Mazhab Maliki dan Hanbali: “Sunat dia berselawat secara perlahan dan tidak mengangkatkan suaranya.” Qadhi Abu Tayyib daripada Syafeiyyah juga menyatakan hukum makruh menguatkan suara kerana memutuskan istima` (mendengar khutbah).
  • Harus walaupun dibaca kuat: Bahkan disunatkan. Inilah padangan rajih dalam Mazhab Syafie. Mereka mengatakan diharuskan untuk menguatkan suara bagi berselawat semasa khatib membaca firman Allah:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

(Surah al-Ahzab : 56)

Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhazzab (4/592).

Berkata Imam Abu Hussein al-Imrani: “Sekiranya hukum mustahab (sunat) ke atas seseorang untuk berdoa mendapatkan rahmat semasa dibaca ayat tentang rahmat, dan memohon perlindungan ketika dibaca ayat azab, maka begitu juga hal ini (yakni selawat). “

Rujuk al-Bayan (2/600)

Namun diharamkan untuk menguatkan suara secara melampau. Berkata Imam al-Azraie: “Bukanlah maksud boleh menguatkan suara ketika selawat itu sehingga melampau, seperti yang dilakukan oleh sebahagian orang awam. Malah, perbuatan menguatkan suara secara melampau itu adalah bid`ah perlu diingkari!”

Rujuk Asna al-Matolib (1/270)

Berkata Syeikh al-Jamal dalam Hasyiah-nya (2/32): “Inilah pendapat yang rajih, yakni apabila dilakukan hanya orang yang berdekatan sahaja yang mendengarnya. Berkata Imam al-Ramli: meninggikan suara secara melampau itu seperti yang dibuat oleh orang awam itu adalah bidaah yang perlu diingkari.”

Adapun di sisi Imam al-Nawawi, hukumnya cukup diharuskan sahaja. Ini berdasarkan zahir kenyataan beliau dalam Raudhah al-Talibin (2/48), bahkan lebih aula (utama) ialah mendengar khutbah. Rujuk Mughni al-Muhtaj (1/573) oleh Imam al-Syirbini al-Khatib.

Berdasarkan kenyataan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa berselawat, dan mengangkat suara untuk berselawat, semasa khatib sedang berkhutbah dan menyebut Nabi ﷺ, adalah diharuskan, seperti mana yang biasa dilakukan dalam masyarakat kita. Namun begitu, hendaklah dielakkan membaca dengan terlalu kuat, apatahlagi sehingga mengganggu orang lain, kerana hal berkenaan sepakat para ulama mengharamkannya. Wallahua’lam.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

BAYAN LINNAS SIRI KE- 154 : PENDIRIAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN BERHUBUNG ISU POLIS EVO 2

Mukadimah Sekitar seminggu yang lalu, saya didatangi YBhg. Dato’ Khairul Anwar Salleh, Naib Presiden Bahagian …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *