Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #880 : HUKUM SOLAT TIDAK MEMANDANG KE TEMPAT SUJUD
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #880 : HUKUM SOLAT TIDAK MEMANDANG KE TEMPAT SUJUD

Download PDF

 

AL KAFI 880

Soalan:

Bolehkah tuan jelaskan berkenaan hukum seseorang itu solat dalam keadaan matanya tidak memandang ke tempat sujud ?

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Dalam isu ini kita hendaklah mengetahui bahawa terdapat larangan ke atas perbuatan memandang ke langit semasa solat. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَا بَالُ أَقْوَامٍ يَرْفَعُونَ أَبْصَارَهُمْ إِلَى السَّمَاءِ فِي صَلاَتِهِمْ

Maksudnya: Apalah masalahnya dengan kelompok manusia yang mengangkat pandangan mereka ke langit di dalam solat mereka.

Baginda menegaskan kenyataan ini dengan katanya:

لَيَنْتَهُنَّ عَنْ ذَلِكَ أَوْ لَتُخْطَفَنَّ أَبْصَارُهُمْ

Maksudnya: Hendaklah mereka berhenti dari melakukan hal tersebut atau akan dihilangkan penglihatan mereka (menjadi buta).

Riwayat Al-Bukhari (750)

Hadis di atas ini secara jelas menunjukkan penegahan yang kuat terhadap perbuatan memandang ke langit semasa sedang mendirikan solat. Cumanya para ulama berbeza dalam menetapkan larangan tersebut adakah menunjukkan kepada haram ataupun membawa hukum makruh.

Imam Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani dalam syarahan beliau ke atas hadis ini menukilkan kata-kata dari Imam Ibn Battal yang menyebut: Para ulama telah ijma’ ke atas kemakruhan mengangkat pandangan ke atas semasa sedang solat. Lihat Fath Al-Bari, Ibn Hajar (2/272).

Kami menyatakan, dakwaan Imam Ibn Battal berkenaan ijma’ di situ tidaklah membawa erti bahawa tiada ulama lain yang menetapkan hukum yang berbeza. Bahkan Syeikh Syams Al-Haq Al-Azhim Abaadi berkata: ‘’Secara zahirnya mengangkat pandangan dalam keadaan sedang bersolat hukumnya adalah haram. Ini kerana, hukuman menjadi buta itu tidaklah berlaku melainkan terhadap perbuatan yang haram. Pendapat yang masyhur di sisi Syafi’eyyah menyebut hukumnya adalah makruh. Manakala Ibn Hazm telah berlebihan sehingga mengatakan perbuatan tersebut membatalkan solat’’. Lihat ‘Aun Al-Ma’bud, Al Azhim Abaadi (3/134).

Hikmah larangan di dalam hadis tersebut adalah seperti yang disebutkan oleh Al-Qadhi Iyadh Rahimahullah: ‘’Mengangkat pandangan di dalam solat padanya sedikit makna berpaling dari kiblat, dan terkeluar dari hai’ah (pergerakan) solat’’. Lihat Fath Al-Bari, Ibn Hajar (2/272).

Selain itu, para ulama juga berbahas mengenai tempat pandangan dihalakan semasa seseorang sedang solat. Kebanyakan mereka berpandangan bahawa disunatkan untuk seseorang yang solat itu menghadapkan pandangan mereka ke tempat sujud. Ini seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn Hajar yang menukilkan kenyataan Muhammad Ibn Sirin yang berkata:

‘’Mereka dahulu (para sahabat) berpaling-paling dalam solat mereka sehinggalah turunnya firman Allah S.W.T:

قَد أفْلَحَ المُؤمِنُون الَّذِينَ هُم فِي صَلاتِهِم خَاشِعُون

Maksudnya: Telah berjayalah golongan yang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyu’ di dalam solat mereka.

Surah Al-Mu’minuun (1-2)

Maka mereka pun beralih semula ke arah solat mereka (iaitu solat dengan tekun) dan melihat ke arah hadapan mereka. Dan mereka menggalakkan untuk salah seorang mereka tidak melepasi pandangan mereka dari tempat sujud mereka’’. Rujuk Fath Al-Bari, Ibn Hajar (2/272).

Kesimpulan

Sebagai penutup, setelah kami menekuni beberapa hujahan yang dikemukakan di atas, kami menyatakan bahawa makruh hukumnya seseorang itu tidak memandang ke tempat sujudnya semasa solat. Dalam erti kata dia memandang ke kiri dan ke kanan, atau dia mengangkat pandangannya ke atas. Kerana hal sebegini adalah amat berjauhan dengan konsep solat yang memerlukan seseorang itu untuk khusyuk, khudu’ (tunduk), serta tekun. Manakala disunatkan untuk mereka yang solat menundukkan pandangan mereka menghadap ke tempat sujud.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

BAYAN LINNAS SIRI KE- 154 : PENDIRIAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN BERHUBUNG ISU POLIS EVO 2

Mukadimah Sekitar seminggu yang lalu, saya didatangi YBhg. Dato’ Khairul Anwar Salleh, Naib Presiden Bahagian …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *