Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #873 : DOSA YANG KERAP MEMBELENGGU

Download PDF

af873 33913627 compressed

Soalan :

Assalamualaikum Datuk. Saya amat memerlukan penjelasan daripada Datuk. Saya telah berkahwin. Selepas saya berkahwin, saya telah beberapa kali melakukan maksiat. Kini saya telah bertaubat dan tidak melakukan perkara itu lagi. Akan tetapi, dosa yang telah saya lakukan itu kerap kali membelengu fikiran saya. Jikalau menurut hukum, kesalahan yang saya telah lakukan itu saya haruslah direjam sehingga mati. Subhanallah…Allahuakbar. Adakah saya perlu menjalani hukum hudud supaya Allah mengampunkan dosa saya?. Kerana saya pernah mendengar cerita tentang seorang wanita yang telah berkahwin kemudian berzina. Beliau bertemu dengan Nabi dan Nabi mengarahkannya pergi dan kembali setelah melahirkan anak. Kemudian wanita itu datang lagi. Nabi perintahkan untuk dia besarkan dahulu anaknya. Kemudian wanita itu kembali dan direjam. Bagaimana situasi saya Datuk?. Saya betul-betul berharap Allah dapat mengampunkan dosa saya yang lepas. Mohon penjelasan Datuk.

Jawapan :

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Saudara,

Perkara pertama yang perlu kita muhasabahkan dan ambil perhatian adalah jangan sesekali berbangga dengan dosa yang telah dilakukan ataupun memperkecilkannya sehingga bercerita apa yang telah kita lakukan kepada orang lain.Itu adalah rahsia di antara kita dengan Allah. Ini dijelaskan oleh Nabi saw yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a :

كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلَّا الْمُجَاهِرِينَ وَإِنَّ مِنْ الْمُجَاهَرَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلًا ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ فَيَقُولَ يَا فُلَانُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ

Maksudnya :” Setiap daripada umatku diampunkan melainkan golongan mujahirin. Antara perbuatan mujaharah ialah di mana seorang lelaki melakukan satu amalan pada waktu malam kemudian dia bangun pada waktu pagi dalam keadaan Allah telah menutup apa yang dilakukannya pada waktu malam. Lalu dia berkata : Wahai fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan ini dan perbuatan itu. Sesungguhnya dia tidur dalam keadaan Allah menutup aib yang telah dia lakukan lalu dia bangun pagi dan mendedahkan apa yang Allah tutup darinya.”

Riwayat al-Bukhari(6069)

al-‘Aini menyatakan bahawa perbuatan mendedahkan dosa yang dilakukannya adalah perbuatan yang gila.

Rujuk ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari (32/225)

Ini bermakna, jangan sesekali mendedahkan dosa yang dilakukan jika ianya bertujuan untuk berbangga dan memperkecilkan dosa.Simpan dan sembunyikanlah ia. Biar ia menjadi rahsia antara kita dengan Allah. Namun jika ingin meminta bimbingan Imam al-Nawawi menyatakan harus untuk menyatakan kefasikan yang dibuat hanya menyebut apa yang telah dia lakukan.

Rujuk Fath al-Bari (10/486)

Begitu juga jika dosa tersebut melibatkan orang lain, maka caranya selepas dari memohon ampun kepada Allah, mohon lah kemaafan dari orang yang kita sakiti itu.

Yang kedua, Allah swt berfirman :

إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُوا۟ مِنۢ بَعْدِ ذَٰلِكَ وَأَصْلَحُوا۟ فَإِنَّ ٱللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya :”Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah (ingkar) itu, serta memperbaiki keburukan mereka, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah ali Imran : 89)

Sheikh al-Maraghi ketika menafisrkan ayat ini, beliau berkata bahawa taubat yang tidak mendatangkan kesan pada amalan, tidak dipandang sebagai taubat dari sudut pandang agama. Kebanyakan orang menzahirkan taubat dengan cara menyesal dan istighfar akan tetapi kemudiannya kembali melakukan dosa. Ini kerana taubat tidak mendatangkan kesan terhadap mereka dan sepatutnya ia menjadi peringatan ketika mana mereka lalai. Taubat itu sepatutnya memandu mereka menuju jalan islah dan memperbaiki kehidupan mereka. Jika mereka melakukan sedemikian rupa, mereka akan memperoleh pengampunan Tuhan dan melayakkan mereka untuk masuk ke dalam syurga.

Rujuk Tafsir al-Maraghi (3/207)

Ayat ini memberi makna bahawa taubat yang dilakukan mesti disertai dengan pembuktian iaitu melalui amalan-amalan soleh yang mana ia boleh menjadi benteng agar tidak kembali terjerumus dalam lembah dosa.Tidak cukup dengan menyesal ia mesti disusuli dengan amal. Antara amalan yang boleh dilakukan :

  1. Memperbanyakkan istighfar. Mohonlah keampunan daripada Allah sebanyak-banyaknya. Tiada dosa yang Allah tidak ampunkan melainkan dosa syirik. Allah swt berfirman :

نَبِّئْ عِبَادِىٓ أَنِّىٓ أَنَا ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ

Maksudnya :” Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh).”

(Surah al-Hijr :49)

  1. Lazimi dan istiqamah menunaikan solat fardu 5 waktu. Ia merupakan salah satu dari penghapus dosa. Nabi saw bersabda :

أَرَأَيْتُمْ لَوْ أَنَّ نَهَرًا بِبَابِ أَحَدِكُمْ يَغْتَسِلُ فِيهِ كُلَّ يَوْمٍ خَمْسًا مَا تَقُولُ ذَلِكَ يُبْقِي مِنْ دَرَنِهِ قَالُوا لَا يُبْقِي مِنْ دَرَنِهِ شَيْئًا قَالَ فَذَلِكَ مِثْلُ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسِ يَمْحُو اللَّهُ بِهِ الْخَطَايَا

Maksudnya :” Adakah kalian melihat kalaulah di hadapan pintu salah seorang dari kalian ada sungai yang mana dia mandi di dalamnya pada setiap hari 5 kali. Apa pandangan kamu. Adakah berbaki kotoran. Para sahabat menjawab :tidak berbaki kotoran padanya. Begitulah umpama bagi solat 5 waktu Allah swt menghapuskan dosa dengannya.”

Riwayat al-Bukhari (528) & Muslim (1555)

  1. Memperbanyakkan sedekah. Bersedekalah walaupun sedikit. Ianya merupakan amalan yang boleh menarik rahmat Allah swt dan seterusnya menjadi penghapus terhadap dosa yang pernah dilakukan. Ini bertepatan dengan sabdaan Nabi saw :

إِنَّ الصَّدَقَةَ لَتُطْفِئُ غَضَبَ الرَّبِّ وَتَدْفَعُ مِيتَةَ السُّوءِ

Maksudnya :” Sesungguhnya sedekah itu memadamkan kemarahan Tuhan dan menghalang dari mendapat kematian yang buruk.”

Riwayat al-Tirmizi (664). Imam al-Tirmizi mengatakan bahawa hadis ini adalah hadis hasan gharib.

  1. Lazimi Qiyamullail. Waktu inilah yang paling sesuai untuk mengadu dan memohon pengampunan dari Allah swt. Di dalam sebuah hadis qudsi, Allah swt berfirman :

: أَنَا الْمَلِكُ ، أَنَا الْمَلِكُ ، مَنْ ذَا الَّذِي يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ ، مَنْ ذَا الَّذِي يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ ، مَنْ ذَا الَّذِي يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ ، فَلاَ يَزَالُ كَذَلِكَ حَتَّى يُضِيءَ الْفَجْرُ

Maksudnya :” Aku lah Raja. Aku lah Raja. Sesiapa yang memohon kepada-Ku maka Aku akan kabulkan. Siapa yang meminta kepada-Ku maka Aku akan beri. Siapa yang memohon keampunan daripada-Ku maka Aku akan ampunkannya. Ia akan berterusan sehinggalah fajar menyingsing.”

  1. Sentiasa menghadiri majlis ilmu. Ini boleh menambahkan lagi kefahaman berkenaan dengan islam.

Akhir kata, kami menyatakan bahawa jangan sesekali pernah putus asa. Sentiasalah melazimi amal-amal dan berdoa agar diberi kekuatan.Sekali lagi, Tiada dosa yang tidak diampunkan oleh Allah. selagi mana kita bersungguh-sungguh untuk berubah, selagi itu rahmat Allah sentiasa bersama. Ini berdasarkan firman Allah :

قُلْ يَـٰعِبَادِىَ ٱلَّذِينَ أَسْرَفُوا۟ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا۟ مِن رَّحْمَةِ ٱللَّـهِ ۚ إِنَّ ٱللَّـهَ يَغْفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ

Maksudnya :” Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Zumar :53)

Wallahu’alam

:

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

BAYAN LINNAS SIRI KE- 154 : PENDIRIAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN BERHUBUNG ISU POLIS EVO 2

Mukadimah Sekitar seminggu yang lalu, saya didatangi YBhg. Dato’ Khairul Anwar Salleh, Naib Presiden Bahagian …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *