Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #866 : BOLEHKAH BERKAHWIN DENGAN IBU SAUDARA KEPADA ISTERI
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #866 : BOLEHKAH BERKAHWIN DENGAN IBU SAUDARA KEPADA ISTERI

Download PDF

af866 33687424 compressed

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Semoga ustaz sihat sentiasa. Saya ada satu soalan. Bolehkah saya berkahwin dengan Ibu saudara isteri saya. Apakah dibenarkan di dalam Islam?. Mohon penjelasan dari ustaz.

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Pengharaman berkahwin dengan wanita tertentu terbahagi kepada dua. Yang pertama ialah Muabbad iaitu haram untuk bernikah selama-lamanya. Yang kedua ialah tahrim muaqqat iaitu haram berkahwin buat sementara waktu disebabkan ada faktor-faktor yang menghalang. Jika ia tetap dilakukan maka ia tergolong di dalam akad yang batil dan tidak sah pernikahan tersebut.

al-Quran tidak menjelaskan berkenaan hukum dengan Ibu saudara kepada isteri. Apa yang dijelaskan di dalam al-Quran adalah berkenaan larangan berkahwin dengan dua beradik sekaligus. Firman Allah :

وَأَن تَجْمَعُوا۟ بَيْنَ ٱلْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ

Maksud :” Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu.”

(Surah al-Nisa : 23)

Namun hukum ini telah diperincikan oleh Nabi saw di dalam satu riwayat daripada Jabir :

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ تُنْكَحَ الْمَرْأَةُ عَلَى عَمَّتِهَا أَوْ خَالَتِهَا

Maksudnya :” Rasulullah saw melarang dari dinikahi perempuan bersama Ibu saudara sebelah ayahnya atau ibu saudara sebelah ibunya.”

Riwayat al-Bukhari (5108),Muslim(3506)

Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa tiada ahli ilmu yang berselisih tentang larangan berkahwin dan menghimpunkan di antara seorang perempuan dan ibu saudaranya.

Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (25/290)

Di dalam riwayat yang lain daripada Abu Hurairah bahawa Nabi saw memperincikan lagi hukum ini. Nabi saw bersabda :

لَا تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ عَلَى عَمَّتِهَا وَلَا الْعَمَّةُ عَلَى بِنْتِ أَخِيهَا وَلَا الْمَرْأَةُ عَلَى خَالَتِهَا وَلَا الْخَالَةُ عَلَى بِنْتِ أُخْتِهَا وَلَا تُنْكَحُ الْكُبْرَى عَلَى الصُّغْرَى وَلَا الصُّغْرَى عَلَى الْكُبْرَى

Maksudnya :” Jangan dinikahi perempuan bersama ibu saudaranya. Juga jangan dinikahi ibu saudara bersama anak perempuan saudaranya. Begitu juga jangan dinikahi perempuan bersama dengan ibu saudara sebelah ibunya. Jangan juga dinikahi yang besar(ibu-ibu saudara sebelah ibu atau bapa) bersama dengan yang kecil dan juga yang kecil bersama yang besar.”

Riwayat al-Tirmizi (1045). Abu Daud (2065) & al-Nasaie (3294)

Melalui dua riwayat ini, jelas dan terang bahawa tidak boleh menikahi ibu saudara kepada isteri. Namun adakah pengharaman ini secara muabbad iaitu tidak boleh dikahwini selama-lamanya?. Para ulama secara keseluruhannya menyatakan bahawa pengharaman ini bukanlah pengharaman secara muabbad namun ia termasuk di dalam kategori muaqqat iaitu bersifat sementara yang mana ianya adalah disebabkan oleh faktor-faktor tertentu. Iaitu tidak boleh dinikahi selagi mana ikatan kita dengan isteri masih wujud. Kaedah yang masyhur dalam kalangan fuqaha menyatakan :

يحرم الجمعُ بين كل امرأتين بينهما قرابةٌ لو كانت إحداهما رجلا لم يجز له الزواج بالأخرى

Maksudnya :” Haram untuk menggabungkan (berkahwin sekaligus) di antara dua perempuan yang mempunyai pertalian. Jika salah satunya telah dikahwini tidak boleh mengahwini yang lain.”

Akan tetapi, jika isteri saudara meninggal dunia atau ditalakkan sehingga habis tempoh iddah. Maka pada saat itu, dibenarkan kepada saudara untuk berkahwin dengan ibu saudaranya.

Hikmah di sebalik pengharaman menggabungkan di antara isteri dan ibu saudaranya.

Hikmah di sebalik pengharaman ini telah dijelaskan oleh Nabi saw di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas. Kata Ibnu Abbas :

أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َنَهَى أَنْ تُزَوَّجَ الْمَرْأَةُ عَلَى الْعَمَّةِ وَعَلَى الْخَالَةِ، وَقَالَ: إِنَّكُمْ إِنْ فَعَلْتُمْ ذَلِكَ قَطَعْتُمْ أَرْحَامَكُمْ

Maksudnya :”Sesungguhnya Rasulullah saw melarang seorang lelaki dari mengahwini seorang perempuan bersama dengan ibu saudara sebelah ayah dan ibunya. Nabi bersabda : Jika kalian melakukan perkara demikian, kalian akan memutuskan hubungan kalian (iaitu sesama keluarga).”

Riwayat al-Tabarani (11763) di dalam al-Mu’jam al-Kabir & Ibnu Hibban (4116)

Ianya membawa makna bahawa pengharaman tersebut jika dilanggar akan menyebabkan kacau bilau di dalam hubungan sesama keluarga.

Sheikh al-Maraghi berkata :

“Illah yang terdapat di dala larangan tersebut ialah boleh memutuskan silaturrahim yang mana Allah perintahkan untuk disambungkan.”

Rujuk Tafsir al-Maraghi (4/217)

Hakikatnya, pengharaman tersebut adalah kerana ingin menjaga hubungan kekeluargaan. Bukankah jika perkara yang diharamkan tersebut tetap dilakukan akan melahirkan sifat hasad,kebencian. Islam ingin menghalang perkara tersebut dari terjadi.

Kesimpulannya, tidak boleh berkahwin dengan ibu saudara kepada isteri saudara selagi mana ikatan masih ada di antara saudara dan isteri. Jika isteri saudara meninggal dunia atau ditalakkan sehingga habis iddah, maka pada ketika itu barulah dihalalkan ibu saudara kepada isteri saudara.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman dalam beragama. Wallahu’alam.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

BAYAN LINNAS SIRI KE- 154 : PENDIRIAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN BERHUBUNG ISU POLIS EVO 2

Mukadimah Sekitar seminggu yang lalu, saya didatangi YBhg. Dato’ Khairul Anwar Salleh, Naib Presiden Bahagian …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *