Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #854: HUKUM ORANG KAYA MENERIMA WAKAF
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #854: HUKUM ORANG KAYA MENERIMA WAKAF

 

new-piktochart_33005529.png

SOALAN

Adakah orang kaya berhak dan layak untuk menerima harta wakaf?

JAWAPAN

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Islam satu agama yang menganjurkan kepada penganutnya agar sentiasa berusaha dalam meningkatkan taraf ekonomi. Allah SWT telah berfirman:

فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِن فَضْلِ اللَّـهِ وَاذْكُرُوا اللَّـههَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”

(Surah al-Jumuah : 10)

Imam al-Baghawi dalam menafsirkan ayat ini menyebut bahawa kita disuruh untuk bertebaran dalam mencari rezeki Allah SWT dalam bentuk perniagaan atau menyelesaikan apa-apa urusan dunia. (Rujuk Tafsir al-Baghawi, 8/123) Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa apa-apa rezeki yang datangnya daripada Allah SWT. (Rujuk Tafsir al-Qurtubi, 18/108)

Imam Hassan al-Banna menyatakan  dalam prinsip pertama kesempurnaan Islam ialah umatnya perlu mempunyai kesungguhan dalam mencari rezeki atau berusaha dalam memperolehi kekayaan daripada rezeki Allah SWT.(Rujuk al-Nahj al-Mubin  li Syarh al-Usul al-‘Isyrin, hlm. 33)   

Menjawab kepada persoalan di atas, orang kaya ialah mereka yang tidak layak untuk menerima zakat disebabkan oleh harta yang dimilikinya atau pendapatannya atau kemampuannya memberi nafakah kepada orang lain. (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, 3/206) Dalam konsep wakaf pula, syarak membenarkan serta mengharuskan pemberian harta wakaf kepada orang kaya. (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, 3/204) Ini kerana konsep harta wakaf adalah berbeza dengan pengagihan harta zakat yang telah ditetapkan di dalam al-Quran. Ini bermaksud, sekalipun orang kaya tidak boleh menerima zakat, namun mereka berhak untuk menerima harta wakaf. (Rujuk Murghi al-Muhtaj, 3/513)

KESIMPULAN

Dalam isu ini, kami melihat bahawa syarak membenarkan serta mengharuskan pemberian harta wakaf kepada golongan kaya. Ini kerana golongan kaya juga adalah termasuk dalam mereka yang berhak untuk memiliki harta serta dibolehkan bagi mereka untuk menerima sedekah. Justeru, hukum memberi wakaf kepada orang kaya adalah sah dan dibolehkan oleh syarak. Namun begitu, golongan kaya ini tidak berhak untuk menerima zakat sahaja.

Semoga dengan penjelasan ini memberi kita kefahaman dalam memahami agama Islam dengan lebih baik. Amin.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *