Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #849 : ANTARA ADAB BERASMARA SUAMI ISTERI
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #849 : ANTARA ADAB BERASMARA SUAMI ISTERI

af849 compressed

Soalan:

Assalamu’alaikum ustaz. minta maaf jika bertanya soalan begini sebab memang nak tahu. apa hukum oral seks? hukum suami/isteri menjilat kemaluan pasangan? minta maaf lagi sekali atas persoalan ini.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Disunatkan untuk bermain-main secara seksual antara suami dan isteri secara intim dan mesra, dengan syarat selagi mana tidak membawa kepada kerosakan. Ini berdalilkan firman Allah Taala:

نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ ۖ

Maksudnya: “Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu;”

(Surah al-Baqarah: 223)

Daripada Jabir bin Abdullah SAW, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هَلَّا تَزَوَّجْتَ بِكْرًا تُلاَعِبُهَا وَتُلاَعِبُكَ

Maksudnya: “Mengapakah engkau tidak berkahwin dengan anak dara yang engkau boleh bermain dengannya dan dia bermain dengan engkau?”

Riwayat al-Bukhari (no.2967)

Justeru, para ulama juga menyatakan bahawa harus hukumnya bagi seorang suami untuk menyentuh dan bermain-main dengan alat sulit isterinya, secara seksual dan makruf, bukan dengan cara yang merosakkan. Perkara ini disebut oleh Syeikh Zainuddin al-Malibari, murid Imam Ibn Hajar al-Haitami, dalam kitabnya Fath al-Mu`in (hlm. 482) :

يجوز للزوج كل تمتع منها بما سوى حلقة دبرها ولو بمص بظره

Maksudnya: “Diharuskan bagi seorang suami itu menikmati secara seksual akan tubuh isterinya, selain daripada lubang dubur (liwat), sekalipun dengan menghisap biji kelentitnya.”

Berdasarkan kenyataan ini, kami cenderung untuk menyatakan bahawa hukum menjilat alat sulit isteri adalah diharuskan dengan syarat tidak membawa kepada penyakit dan masalah kesihatan, dilakukan secara konsensual atau suka-sama-suka dan tidak membawa kepada kerosakan. Begitu juga bagi isteri terhadap suami.[1] Apatahlagi pada zaman sekarang yang terdedah dengan pelbagai fitnah syahwat seperti penzinaan, pelacuran dan pornografi, sebarang teknik untuk menambahkan lagi kualiti hubungan seksual antara suami dan isteri amatlah wajar dilakukan, selagi mana tidak melibatkan perkara yang haram seperti liwat dan menelan najis.

Wallahua’lam.

 

Nota hujung:

[1] Walau bagaimanapun, Seksyen 377A Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi kesalahan seorang lelaki yang memasukkan alat sulitnya ke mulut orang lain, sekalipun dengan isterinya.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *