Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #841 : HUKUM MEWAKAFKAN HARTA YANG DIMILIKI BERSAMA
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #841 : HUKUM MEWAKAFKAN HARTA YANG DIMILIKI BERSAMA

AK841.PNG

SOALAN

Persoalan saya ialah saya mempunyai kebun buah-buahan yang dikongsi separuh-separuh bersama dengan adik saya. Namun begitu, adik saya ingin mewakafkan bahagiannya dalam kebun tersebut. Adakah perkara ini dibenarkan oleh syarak kerana saya juga memiliki sebahagian daripada kebun tersebut?

JAWAPAN

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Mewakafkan harta adalah antara amalan yang amat dituntut di dalam Islam. Ini kerana, ganjaran pahala yang berterusan akan diperolehi bagi mereka yang melakukan amalan tersebut ikhlas kerana Allah SWT. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّـهَ بِهِ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

(Surah Ali-Imran : 92)

Demikian juga hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

‏ إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ وَعِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ وَوَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Apabila matinya seorang insan, terputuslah amalnya kecuali tiga, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.”

Riwayat Muslim (1631) dan al-Nasai’e (3651)

Wakaf itu sendiri bermaksud menahan sesuatu harta yang tidak susut fizikalnya serta boleh digunakan dan diambil manfaat darinya dengan cara menyerahkan hak miliknya kepada seorang pengguna yang harus dan wujud. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 2/376)

Menjawab kepada isu di atas, harta musya’ atau harta yang dikongsi bersama adalah dibolehkan serta diharuskan syarak untuk diwakafkan sekalipun hanya melibatkan sebahagian harta sahaja. Ini termasuk harta yang boleh dialih seperti kereta atau tidak boleh di alih seperti kebun, tanah dan lain-lain.(Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, 3/198) Ini berdasrkan kepada sebuah hadis berikut:

Daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Umar R.A telah berkata kepada Nabi SAW:

إِنَّ الْمِائَةَ سَهْمٍ الَّتِي لِي بِخَيْبَرَ لَمْ أُصِبْ مَالاً قَطُّ أَعْجَبَ إِلَىَّ مِنْهَا قَدْ أَرَدْتُ أَنْ أَتَصَدَّقَ بِهَا ‏.‏ فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ احْبِسْ أَصْلَهَا وَسَبِّلْ ثَمَرَتَهَا ‏”‏ ‏

Maksudnya: “Seratus bahagian yang saya perolehi di Khaibar merupakan harta yang amat saya kagumi dan saya mahu sedekahkannya. Lantas, Nabi SAW bersabda: “Wakafkanlah tanahnya dan sedekahkan hasil buah-buahannya.

Riwayat al-Nasai’e (3603)

Berdasarkan kepada mafhum hadis di atas, kita dibolehkan untuk mewakafkan harta yang dimiliki secara bersama selagimana harta tersebut adalah termasuk dalam harta yang boleh diwakafkan serta dikira bernilai disisi syarak. Ini kerana harta yang tidak susut nilai fizikalnya serta boleh mendatangkan manfaat sahaja yang boleh diwakafkan di sisi syarak.

KESIMPULAN

Dalam isu ini, kami berpandangan bahawa harus dan dibolehkan bagi seorang pemilik harta perkongsian seperti kebun buah-buahan di atas untuk mewakafkan bahagian yang dimilikinya. Hal ini kerana, amalan tersebut hanyalah bermatlamatkan mencari reda dan mendekatkan diri kepada Allah SWT semata-mata dan bukanlah untuk mencari habuan serta keuntungan di dunia. Justeru, perbuatan tersebut adalah sah dan diangkat disisi Allah SWT.

Semoga dengan penjelasan yang diberikan ini memberi manfaat kepada kita semua dalam memahami agama Islam dengan lebih baik. Amin.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *