Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #836 : HUKUM SENDAWA DI DALAM SOLAT
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #836 : HUKUM SENDAWA DI DALAM SOLAT

Download PDF

Soalan:

Assalamualaikum, saya ingin bertanya berkenaan hukum seseorang itu sendawa di dalam solatnya. Adakah ia membatalkan solat sama seperti jika seseorang itu terkentut ?

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Definisi Sendawa

Dalam kitab Al-Syeikh Abu al-Abbas ‘Ali al-Fayyumi mendefinisikan sendawa sebagai: Suara berserta angin yang keluar dari mulut disebabkan kekenyangan. Rujuk Al-Misbah Al-Munir, Al-Fayyumi (1/102).

Manakala dalam kitab Al Tanwir Syarah al-Jami’ al-Saghir mendefinisikan sendawa dengan: Angin yang keluar dari perut ketika ia penuh (kenyang). Rujuk Al-Tanwir,  Al-Son’aani (8/152).

Menurut Kamus Dewan pula, sendawa adalah bunyi seperti meneguk yang keluar dari kerongkongan kerana kekenyangan dan lain-lain. Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat.

Perbahasan Hukum Sendawa

Secara asasnya, sendawa itu sendiri merupakan satu perbuatan yang pernah ditegur oleh Rasulullah S.A.W. Tanpa mengira sama ada sendawa itu di dalam solat mahupun di luar solat. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma beliau berkata:

‎تَجَشَّأَ رَجُلٌ عِنْدَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ ‏‏ كُفَّ عَنَّا جُشَاءَكَ فَإِنَّ أَكْثَرَهُمْ شِبَعًا فِي الدُّنْيَا أَطْوَلُهُمْ جُوعًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: Seorang lelaki sendawa di sisi Rasulullah S.A.W, lalu baginda bersabda: Jauhilah sendawa kamu dari kami kerana sesungguhnya mereka yang paling banyak kenyangnya di dunia adalah mereka yang paling lapar pada hari kiamat.

Riwayat Al-Tirmizi (2478)

Hadis di atas ini menunjukkan bahawa perbuatan sendawa itu dilarang dari sudut larangan ke atas perbuatan yang membawa kepada sendawa itu sendiri.

Imam al Manawi apabila mensyarahkan hadis ini beliau berkata: Larangan sendawa merupakan larangan ke atas sebabnya iaitu kekenyangan yang berlebihan dan ia merupakan sesuatu yang tercela dari sudut perubatan dan juga syarak. Rujuk Faidhul Qadir, Al Munawi (5/11).

Namun ini hanyalah merujuk kepada sendawa yang terhasil dari perbuatan makan secara berlebihan. Ia sebenarnya merupakan suatu perbuatan yang tidak baik kerana biasanya kekenyangan yang berlebihan akan membawa kepada perbuatan perbuatan negatif yang lain seperti malas dalam beribadat dan mendorong untuk melakukan maksiat.

Adapun sendawa yang terhasil bukan secara sengaja, seperti faktor badan berangin dan seumpamanya maka ini tidaklah menjadi suatu kesalahan. Namun di antara adab adalah seseorang itu tidak sendawa dengan sengaja di hadapan orang lain.

Sendawa Dalam Solat

Isu ini mempunyai perbahasannya yang tersendiri di sisi para fuqaha dari sudut adakah sendawa itu menyebabkan terbatalnya solat seseorang atau tidak.

Secara asasnya, sendawa tidaklah termasuk dalam perkara yang membatalkan solat seperti yang dijelaskan dalam beberapa riwayat yang sahih. Ini bermakna, tidak terdapat petunjuk syarak yang menyatakan bahawa sendawa itu menyebabkan solat pelakunya terbatal.

Namun, ada sebahagian fuqaha melakukan qiyas dengan mengatakan bahawa sekiranya di luar solat pun Rasulullah S.A.W menegah perbuatan sendawa maka apatah lagi di dalam solat.

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa sendawa tidaklah membatalkan solat. Namun ia adalah satu perbuatan yang kurang adab di dalam solat, bahkan boleh membawa kepada hukum makruh sekiranya menghasilkan bau-bauan yang mengganggu para jemaah. Manakala persoalan adakah sendawa sama kesannya seperti kentut di dalam solat, maka jawapannya adalah tidak sama. Ini kerana, kentut itu merujuk kepada sesuatu yang keluar dari dubur seseorang dan ini tidak sama keadaannya dengan sendawa.

Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita has dalam beragama. Ameen.

 

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

AL-KAFI #855 : SOLAT SUNAT KIFARATUL BAULI

Soalan : Assalamualaikum ustaz. Saya ingin bertanya. Saya menerima 1 mesej menerusi aplikasi whatsapp berkaitan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *