Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #833: I'TIKAF DI SURAU DIRI JUMAAT DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #833: I'TIKAF DI SURAU DIRI JUMAAT DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN

Download PDF

Soalan

Jika kita berada di dalam majlis ilmu di dalam surau diri Jumaat, bolehkah kita berniat iktikaf kerana saya ada dengar iktikaf hanya untuk 10 malam terakhir Ramadhan?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Allah SWT berfirman:

وَلَا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ

Maksudnya: Dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid.

(Surah al-Baqarah: 187)

Ibn Kathir berkata: Ali bin Abi Talhah meriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa ayat ini berkenaan dengan seseorang yang beri’tikaf di dalam masjid pada bulan Ramadhan atau di luar bulan Ramadhan, Allah SWT mengharamkannya mencampuri isteri pada malam atau siang hari sehingga dia menyelesaikan i’tikafnya.  (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/208)

I’tikaf dari segi bahasa ialah tetap dan tenteram dengan sesuatu. Manakala menurut syara’, i’tikaf ialah berada di dalam masjid dengan niat tertentu. I’tikaf dikira sah sekiranya memenuhi dua syarat:

  • Niat : Yakni berniat pada permulaan i’tikaf, iaitu berniat berada di dalam masjid selama tempoh yang tertentu dengan tujuan beribadat kerana melaksanakan sunnah. Sesiapa yang masuk ke dalam masjid dengan niat keduniaan atau tanpa sebarang tujuan, perbuatannya itu tidak dianggap i’tikaf dari segi syara’.
  • Berada di dalam masjid dalam tempoh yang dikira i’tikaf pada anggapan umum. Termasuk juga dalam syarat ini ialah syarat-syarat harus tinggal di dalam masjid, iaitu suci daripada janabah, haidh, nifas dan tiada sebarang najis pada pakaian dan badan yang boleh mengotori masjid.

I’tikaf seseorang dikira batal apabila keluar daripada masjid tanpa sebab. Namun, i’tikaf tidak batal sekiranya dia keluar dengan bersebab dan masuk semula ke dalam masjid. Ia dianggap sama hukumnya dengan i’tikaf yang berterusan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/119-120)

Adab-Adab I’tikaf

Kami nukilkan juga disini sebahagian daripada adab-adab i’tikaf:

  • Orang yang beri’tikaf sunat membuat amalan yang mentaati Allah SWT, seperti berzikir, membaca al-Quran dan membincangkan ilmu pengetahuan. Ini kerana amalan itu lebih sesuai untuk mencapai tujuan i’tikaf tersebut.
  • Beri’tikaf serta puasa adalah afdhal dan lebih mampu menguasai keinginan nafsu, menumpukan fikiran dan membersihkan jiwa.
  • Beri’tikaf di masjid, yang didirikan solat Jumaat.
  • Jangan bercakap-cakap kecuali perkara yang baik. Jangan memaki, mengumpat, mengacum dan berbual-bual perkara yang tidak berfaedah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/122)

Untuk maklumat lanjut, kami pernah menjawab berkenaan iktikaf dalam Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadhan #79: Iktikaf: Pengertian Dan Persoalan Berkaitan[1]

Surau Diri Jumaat

Di Malaysia, terdapat satu istilah yang digunakan kepada surau yang diberikan padanya kebenaran oleh pihak berkuasa untuk mendirikan solat Jumaat. Istilah bagi surau tersebut adalah “Surau Diri Jumaat” bagi melambangkan bahawa surau tersebut ada menunaikan solat Jumaat.

Jika kita melihat kepada perbahasan sebelum ini dalam IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-103 : HUKUM MENUNAIKAN SOLAT SUNAT TAHIYYATUL MASJID DI SURAU DIRI JUMAATkita telah melihat bahawa masjid telah diberikan definisinya yang tersendiri mengikut hukum syara’ dan kita juga telah mengetahui bahawa istilah surau tidak pernah wujud di dalam Bahasa Arab dan menyebabkan para ulama’ dan fuqaha’ tidak pernah membincangkannya. Namun, apabila kita melihat kepada fungsi sesetengah surau yang ada di Malaysia, kita dapati bahawa ianya menepati ciri-ciri sebuah masjid.

Sesetengah surau di Malaysia padanya dilaungkan azan, ditunaikan solat lima waktu berjemaah di dalamnya, bahkan surau-surau ini ada carta organisasinya yang tersendiri dari sudut pentadbiran dan juga bangunan yang sesuai. Surau-surau ini juga telah didaftarkan dengan jabatan-jabatan agama negeri masing-masing untuk mendapatkan pengesahan seterusnya mula beroperasi. Surau-surau seperti ini wujud di kawasan perumahan awam yang mana apabila pihak pemaju ingin memajukan sesuatu kawasan yang majoritinya beragama Islam, maka sebidang tanah telah diperuntukkan untuk dibinakan surau atau masjid yang mana tanah itu akan diambil alih pengurusannya oleh majlis atau jabatan agama yang terbabit. Atas dasar ini, kami melihat, meskipun asal pada namanya adalah surau namun ianya telah menepati ciri-ciri masjid yang telah ditetapkan di sisi para ulama’.

Berdasarkan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-96 yang telah bersidang pada 24 Februari 2016 yang bersetuju untuk membenarkan ditunaikan solat sunat tahiyyatul masjid di surau diri Jumaat, maka kami juga cenderung untuk menyatakan dibolehkan i’tikaf di surau Diri Jumaat dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan). Adapun mereka yang di luar Wilayah Persekutuan, hendaklah mengikut fatwa yang telah ditetapkan di negeri masing-masing.

Semoga pencerahan ini mendapat kefahaman yang jelas berkenaan dengan isu i’tikaf. Amin.

____________________________

[1] Lihat http://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-khas-ramadhan-cat/1051-irsyad-al-fatwa-khas-ramadhan-79-iktikaf-pengertian-dan-persoalan-berkaitan

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-315: ISTERI KEPADA PEMBESAR MESIR DI DALAM SURAH YUSUF

        Soalan: Siapakah “امْرَأَتُ الْعَزِيزِ” (isteri kepada pembesar Mesir) di dalam surah …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *