Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #831: HUKUM DAHULUKAN SOLAT HAJAT MENGATASI SOLAT RAWATIB SETELAH SELESAI SOLAT FARDHU
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #831: HUKUM DAHULUKAN SOLAT HAJAT MENGATASI SOLAT RAWATIB SETELAH SELESAI SOLAT FARDHU

Download PDF

 

Soalan:

Assalamualaikum Ustaz, apakah hukum apabila kita terus menunaikan solat hajat setelah selesai solat fardhu ? Atau adakah perlu solat sunat rawatib iaitu solat ba’diyah terlebih dahulu ?

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Kedudukan Solat Hajat

Berkenaan dengan isu ini, kami menyatakan bahawa para ulama berbeza pendapat berkenaan hukum solat hajat. Ini kerana, dalil yang dijadikan hujah dalam isu ini diperselisihi status hukumnya. Sebahagian berpendapat bahawa hadis tersebut dhaif, dan tidak boleh untuk dijadikan hujah ke atas pensyariatan solat hajat. Manakala sebahagian yang lain berpandangan bahawa hadis tersebut boleh dikuatkan dengan syawahidnya, dan mereka turut menyatakan bahawa solat hajat ini termasuk di bawah fadhail al a’maal yang boleh menggunakan hadis dhaif sekiranya ia tergolong di bawah asal yang thabit.

Penjelasan panjang lebar berkenaan isu solat hajat ini telah pun kami sebutkan di dalam artikel Al Kafi Siri ke-656 yang boleh ditekuni melalui pautan berikut https://bit.ly/2NJy6tQ

Definisi Solat Rawatib Dan Kedudukannya

Dalam mazhab Al-Syafie, Imam al-Khatib al-Syarbini mendefinisikan rawatib sebagai solat yang mengikut solat-solat fardhu. Hikmah perlaksanaan solat-solat ini adalah untuk menyempurnakan atau melengkapkan kekurangan yang terhasil dari solat fardhu seperti tidak khusyuk dan juga meninggalkan tadabbur ke atas bacaan ayat Al-Quran. Lihat Al-Iqna’, Al Khatib Al-Syarbini (1/115).

Berdasarkan takrifan yang disebutkan di atas, solat rawatib adalah solat yang terikat dengan solat fardhu sama ada ia dilakukan sebelum solat fardhu iaitu yang dinamakan sebagai solat qabliyyah atau dilakukan setelah solat fardhu iaitu yang disebut sebagai solat ba’diyah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

أَفْضَلُ الصَّلاَةِ بَعْدَ الصَّلاَةِ الْمَكْتُوبَةِ الصَّلاَةُ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ

Maksudnya: Seafdhal-afdhal solat selepas solat fardhu adalah solat pada pertengahan malam.

Riwayat Muslim (1163)

Imam Ibn Rajab Al Hanbali Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis berikut berkata: Iaitu maksudnya (sebaik-baik solat) selepas solat fardhu dan yang mengikutinya dari solat solat sunat rawatib. Sesungguhnya solat rawatib sebelum dan selepas solat fardhu adalah lebih afdhal dari qiyamullail di sisi jumhur para ulama kerana keterikatannya dengan solat solat fardhu. Rujuk Lathaif al Maarif, Ibn Rajab (1/34).

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa dari sudut hukum adalah dibolehkan solat hajat selepas sahaja dilakukan solat fardhu dan solat ba’diyah pula boleh dilakukan selama mana masih berada di dalam waktunya.

Namun sebaik-baiknya adalah dengan mengikut urutan yang diajar oleh Rasulullah SAW iaitu solat fardhu diiringi dengan solat rawatib. Malah, jika dijadikan solat fardhu dan solat rawatib itu sebagai wasilah kita hendak memohon hajat juga dibenarkan. Wallahua`lam.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

AL-KAFI #855 : SOLAT SUNAT KIFARATUL BAULI

Soalan : Assalamualaikum ustaz. Saya ingin bertanya. Saya menerima 1 mesej menerusi aplikasi whatsapp berkaitan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *