Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL KAFI #827 : HUKUM BERWUDUK LAMA TANPA NIAT MEMBAZIR
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL KAFI #827 : HUKUM BERWUDUK LAMA TANPA NIAT MEMBAZIR

Download PDF

Soalan:

Assalamualaikum Ustaz, saya ingin bertanya adakah menjadi kesalahan kalau saya berwuduk dalam masa yang lama dengan tiada niat untuk membazir ?

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Dalam isu berwuduk, terdapat sebuah riwayat yang menyebut akan larangan israf (berlebihan) dalam menggunakan air bagi tujuan tersebut. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Amru bin Al Ash R.Anhuma beliau berkata:

‎أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ مَرَّ بِسَعْدٍ وَهُوَ يَتَوَضَّأُ فَقَالَ ‏”‏ مَا هَذَا السَّرَفُ ‏”‏ ‏.‏ فَقَالَ أَفِي الْوُضُوءِ إِسْرَافٌ قَالَ ‏”‏ نَعَمْ وَإِنْ كُنْتَ عَلَى نَهَرٍ جَارٍ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W lalu di suatu kawasan dan melihat Sa’ad sedang berwuduk, lalu baginda bersabda: “Kenapakah israf (berlebihan) ini ?” Maka Sa’ad menjawab: Adakah pada wuduk juga terdapat israf ? Lalu baginda menjawab: “Ya, sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir”.

Riwayat Ibn Majah (425)

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa perbuatan israf dalam berwuduk itu jelas ditegur dan dilarang oleh Rasulullah S.A.W. sekalipun kuantiti air itu berada dalam jumlah yang banyak seperti di laut, sungai, dan seumpamanya.

Syeikh Mulla Ali Al-Qari Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini beliau berkata: Iaitu beliau israf dalam wuduknya sama ada dalam perbuatan wuduk seperti menambah dari tiga kali basuhan, ataupun israf pada kadar seperti menambah lebih dari kadar yang diperlukan dalam penggunaan air.

Beliau juga berkata: Tidak ada kebaikan pada israf (berlebihan), dan tidak ada israf pada kebaikan. Beliau (Abdullah bin Amru) menyangka bahawa tidak ada israf pada hal ketaatan dan ibadah. Lalu baginda bersabda: “Ya ada israf padanya. Sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir”.

Ini kerana pada perbuatan tersebut terdapatnya israf pada waktu dan pensia-siaan terhadap umur. Atau melampau had syar’ie (dalam wuduk) seperti yang telah disebutkan. Rujuk Mirqat al-Mafatih, Mulla Ali Al-Qari (2/421).

Sebahagian ulama menyatakan bahawa israf dan membazir itu adalah suatu perkataan yang sama maksudnya. Namun terdapat juga para ulama yang membezakan maksud keduanya itu. Ini seperti yang dinyatakan oleh Imam Al-Jurjani iaitu: Israf merupakan penggunaan ke atas sesuatu yang perlu secara berlebihan dari kadar keperluan. Manakala membazir pula penggunaan ke atas sesuatu yang tidak perlu. Rujuk Al-Ta’rifat, Al-Jurjani (Hlm. 24).

Syor Dan Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan beberapa syor dan kenyataan berikut:

  1. Berwuduk dalam masa yang lama, sekiranya ia dilakukan kerana faktor was-was, maka ini adalah perbuatan yang perlu dijauhkan. Ini kerana, was-was adalah penyakit yang perlu dielakkan dan kita hendaklah sentiasa yakin dan pasti terhadap setiap ibadah yang dikerjakan.

 

  1. Berwuduk dalam tempoh yang lama, meskipun tidak berniat untuk membazir air, ia tetap juga suatu pembaziran terhadap masa. Ini kerana, tujuan seseorang itu berwuduk antaranya adalah untuk mendirikan solat. Justeru, sekiranya seseorang berlama-lama dalam wuduk pastilah akan mendatangkan implikasi melewatkan solat dari waktunya, dan itu merupakan suatu perbuatan yang buruk.

 

Akhir kalam, kami menyatakan bahawa mengambil masa yang lama dalam berwuduk melebih kadar kebiasaan adalah dilarang. Hendaklah kita mengambil wuduk dengan meraikan anggota wajib dan sunat serta tidak melebihi kadar air dan masa sehingga membawa kepada melewatkan solat. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

AL-KAFI #855 : SOLAT SUNAT KIFARATUL BAULI

Soalan : Assalamualaikum ustaz. Saya ingin bertanya. Saya menerima 1 mesej menerusi aplikasi whatsapp berkaitan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *