Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #825 : BERDOA AGAR DIMATIKAN KERANA SAKIT
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #825 : BERDOA AGAR DIMATIKAN KERANA SAKIT

Download PDF

Soalan

Apa hukum seseorang berdoa kepada Allah agar dimatikan kerana tidak tahan menanggung penyakit yang berpanjangan?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Suhaib R.A, Rasulullah SAW bersabda:

عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Maksudnya“Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”

Riwayat Muslim (7692)

Imam al-Tibi sepertimana dinukilkan oleh Imam al-Munawi, berkata: “Keadaan seorang mukmin itu semuanya baik. Perkara ini hanya didapati pada seorang mukmin. Ia tidak ditemui pada orang kafir mahupun munafik. Keajaibannya adalah ketika dia diberi kesenangan dalam bentuk kesihatan, keselamatan, harta dan kedudukan, kemudian dia bersyukur kepada Allah atas kurniaan tersebut, maka dia akan dicatat sebagai orang yang bersyukur. Ketika dia ditimpa musibah, kemudian dia bersabar, maka dia akan dicatat sebagai orang-orang yang bersabar.  (Lihat Faidh al-Qadir, 4/302)

 

Menjawab persoalan yang dikemukakan, makruh bagi seseorang berdoa kepada Allah agar dimatikan kerana tidak tahan menanggung sakit yang dihadapinya. Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَتَمَنَّيَنَّ أَحَدُكُمُ الْمَوْتَ لِضُرٍّ نَزَلَ بِهِ

Maksudnya“Janganlah seorang daripada kamu menginginkan dan bercita-cita untuk mati disebabkan kemudaratan yang menimpanya.

Riwayat Muslim (6990)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَتَمَنَّى أَحَدُكُمُ الْمَوْتَ وَلاَ يَدْعُ بِهِ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَهُ إِنَّهُ إِذَا مَاتَ أَحَدُكُمُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ وَإِنَّهُ لاَ يَزِيدُ الْمُؤْمِنَ عُمْرُهُ إِلاَّ خَيْرًا

MaksudnyaJanganlah salah seorang di antara kamu mengharapkan kematian. Janganlah meminta kematian sebelum datang waktunya. Apabila salah seorang di antara kamu meninggal, maka terputuslah amalnya. Sesungguhnya tidak bertambah umur seorang mukmin kecuali kebaikan”.

Riwayat Muslim (6995)

Manakala dalam lafaz mengikut al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَتَمَنَّى أَحَدُكُمْ الْمَوْتَ إِمَّا مُحْسِنًا فَلَعَلَّهُ يَزْدَادُ وَإِمَّا مُسِيئًا فَلَعَلَّهُ يَسْتَعْتِبُ

Maksudnya“Janganlah salah seorang daripada kamu mengharapkan kematian kerana jika dia seorang yang berbuat baik, maka barangkali kebaikannya akan bertambah. Jika dia adalah seorang yang  suka berbuat kejahatan pula, barangkali dia akan berubah.”

Riwayat al-Bukhari (7235)

Al-Hafiz Ibn Hajar ketika mensyarahkan hadis di atas, menukilkan daripada Imam al-Nawawi yang berkata: “Pada hadis ini terlihat jelas bahawa dimakruhkan mengharap kematian lantaran mudarat yang menimpanya atau penderitaan kerana perbuatan musuhnya, dan yang sejenisnya dari sukarnya kehidupan dunia. (Lihat Fath al-Bari, 20/279)

Tetapi di sana ada beberapa pengecualian untuk berdoa supaya diambil nyawa. Iaitu jika seseorang bimbangkan kerugian atau fitnah pada kelangsungan agamanya, maka tidak makruh mengharapkan kematian. Inilah yang difahami daripada hadis di atas. Begitu pula beberapa salaf telah melakukannya. (Lihat Fath al-Bari, 20/279)

  • Ini sebagaimana doa Saidina Umar al-Khattab R.A:

اللَّهُمَّ كَبِرَتْ سِنِّي وَضَعُفَتْ قُوَّتِي وَانْتَشَرَتْ رَعِيَّتِي فَاقْبِضْنِي إِلَيْكَ غَيْرَ مُضَيِّعٍ وَلاَ مُفَرِّطٍ

Maksudnya”Ya Allah! Umurku telah tua, kekuatanku telah lemah, rakyatku semakin ramai, maka cabutlah nyawaku tanpa kesengsaraan”

Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’ (2405)

  • Begitu juga sepertimana yang berlaku kepada Saidatina Maryam tatkala dia tahu akan diuji dengan kelahiran anak tanpa bapa. Hal ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

فَأَجَاءَهَا الْمَخَاضُ إِلَىٰ جِذْعِ النَّخْلَةِ قَالَتْ يَا لَيْتَنِي مِتُّ قَبْلَ هَـٰذَا وَكُنتُ نَسْيًا مَّنسِيًّا

Maksudnya(Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!

(Surah Maryam: 23)

Ibnu Kathir berkata: Di dalamnya mengandungi dalil tentang dibolehkan mengharapkan kematian di saat terjadinya fitnah. Hal ini kerana Maryam mengetahui bahawa dia akan diuji dengan anak yang dilahirkannya ini berupa hilangnya dukungan manusia dan sikap mereka yang tidak akan membenarkan cerita yang disampaikannya. Setelah dahulunya dia adalah seorang ahli ibadah, kini menurut pandangan mereka, dia adalah seorang pelacur dan penzina. Maka dia pun mengucapkan: (يَا لَيْتَنِي مِتُّ قَبْلَ هَـٰذَا) “alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini,” sebelum kejadian ini. (وَكُنتُ نَسْيًا مَّنسِيًّا) “dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!,” iaitu aku tidak diciptakan dan tidak menjadi sesuatu apa pun. Itulah pendapat Ibnu Abbas. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/323)

 

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, adalah makruh bagi seseorang mengharapkan kematian kerana tidak tahan menanggung kesakitan yang dihadapinya. Namun, perkara ini dikecualikan dalam keadaan seseorang bimbang terjadi fitnah pada agamanya. Hal ini sebagaimana yang telah dinyatakan.

Hendaklah seseorang bersabar serta sentiasa memohon pertolongan dan kekuatan daripada Allah SWT. Namun sekiranya terpaksa ucapkanlah sepertimana yang diajar oleh Baginda Nabi SAW:

اللَّهُمَّ أَحْيِنِى مَا كَانَتِ الْحَيَاةُ خَيْرًا لِى وَتَوَفَّنِى إِذَا كَانَتِ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِى

Maksudnya“Ya Allah teruskanlah kehidupanku sekiranya hidup itu lebih baik bagiku dan cabutlah nyawaku sekiranya kematian lebih baik buatku.”

Riwayat Muslim (6990)

Wallahua’lam.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

AL-KAFI #855 : SOLAT SUNAT KIFARATUL BAULI

Soalan : Assalamualaikum ustaz. Saya ingin bertanya. Saya menerima 1 mesej menerusi aplikasi whatsapp berkaitan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *