Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #809 : HUKUM MENYIMPAN JANGGUT

Download PDF

 

Soalan

Apa hukum menyimpan janggut?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Dalam bahasa arab, janggut disebut sebagai lihyah. Syeikh Ibn Sidah dalam Lisan al-Arab menyatakan: “Lihyah merupakan suatu nama yang merangkumi jenis bulu yang tumbuh atas kedua-dua pipi dan dagu.”

Imam al-Tirmizi dalam Syamail Muhammadiyyah ada menyebutkan mengenai sifat janggut Rasulullah iaitu tebal dan lebat. Malah menurut sebuah hadis, diriwayatkan:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- …كَثِيرَ شَعْرِ اللِّحْيَةِ

Maksudnya: “Adalah janggut Rasulullah SAW sangat lebat.”

 Riwayat Muslim (6230)

Justeru, berdasarkan hadis tersebut, kita dapat fahami berkenaan saranan dan galakan untuk memelihara dan menjaga janggut termasuk jambang.

Rasulullah SAW bersabda:

خَالِفُوا الْمُشْرِكِينَ أَحْفُوا الشَّوَارِبَ، وَأَوْفُوا اللِّحَى

Maksudnya: Hendaklah kamu menyalahi kaum Musyrik. Pendekkanlah misai dan biarkanlah (peliharalah) janggut.”

Riwayat Muslim (259)

Para ulama’ telah khilaf berkenaan dengan hukum memelihara janggut.

  • Hukumnya adalah wajib. Inilah pendapat jumhur fuqaha’ dan sebahagian ulama’ mazhab Syafi’ie.
  • Hukumnya adalah sunat. Ini sebahagaina daripada ulama’ Mazhab Syafi’e.

Kami nyatakan di sini beberapa pandangan fuqaha’ Syafi’e:

  • Syeikhul Islam Zakaria al-Ansari berkata: ” Makruh (mencabutnya) iaitu jangut pada awal pertumbuhannya, sebab mengutamakan ketampanan (kekacakan) dan keelokan paras rupa”. (Lihat Asna al-Mathalib, 1/551)
  • Syeikh al-Ramli berkata: “Pernyataan (dan makruh mencabutnya), iaitu janggut. Dan seumpamanya, adalah mencukurnya.”
  • Al-Hulaimi di dalam kitabnya Al Minha berkata: “Tidaklah boleh (haram) bagi seseorang mencukur jangutnya dan juga kedua-dua bulu kening. Ini adalah pendapat yang lemah. (Lihat Hasyiyah Asna Al-Mathalib, 1/551)
  • Imam Ibnu Hajar al-Haitami berkata: “mereka kemukakan di sini berkenaan dengan masalah janggut, dan seumpamanya tentang beberapa perkara yang dimakruhkan, di antaranya: mencabutnya, dan mencukurnya (janggut). Demikian juga, kedua-dua bulu kening. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 9/375-376)
  • Syeikh Ibnu Qasim al-Ubbadi berkata: “Perkataannya (diharamkan), berbeza pendapat dengan pendapat yang kuat (muktamad), Di dalam Syarah al-Ubad terdapat faedah ; kedua-dua Imam, al-Nawawi dan al-Rafi’e berpendapat hukumnya makruh mencukur janggut.” (Lihat Hasyiyah Tuhfat al Muhtaj, 9/375-376)
  • Al-Bujairimi berkata: “Sesungguhnya mencukur janggut itu adalah dimakruhkan walaupun daripada lelaki , bukan haram. (Lihat Hasyiyah al-Bujairimi, 4/346)

 

Setelah meneliti kenyataan, kami menyatakan bahawa menyimpan janggut adalah sunat dan sayugia dilaksanakan oleh mereka yang mempunyai janggut dan tiada sebarang larangan serta tegahan oleh mana-mana pihak.

Walaupun begitu, perlu diingat mereka yang ingin menyimpan janggut hendaklah merapikannya dan memeliharanya dengan sebaik mungkin supaya tidak dilihat kusut masai, serebeh dan banyak kritikan orang ramai terhadapnya. Ini menatijahkan penampilan yang salah dalam menterjemahkan perintah Nabi SAW dan berlawanan dengan sifat serta perlakuan Nabi terhadap janggutnya. Sebahagian ulama’ menghujahkan dengan pandangan Ibnu Umar R.Anhuma yang mana janggutnya cuma segenggam.

Semoga Allah kurniakan kita kefahaman yang baik tentang Sunnah dan dapat mengamalkannya dengan sebaik mungkin.

Rujuk juga: AL-KAFI #809 : HUKUM MENYIMPAN JANGGUT IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-190 : HUKUM MENCUKUR JANGGUT ATAS ARAHAN MAJIKAN

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

AL-KAFI #855 : SOLAT SUNAT KIFARATUL BAULI

Soalan : Assalamualaikum ustaz. Saya ingin bertanya. Saya menerima 1 mesej menerusi aplikasi whatsapp berkaitan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *