Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #798 : APA ITU TUNANG?

Download PDF

Soalan :

Assalamualaikum Tuan Mufti saya hendak bertanya mengenai bab pertunangan. Ada ustaz menyebut jika kita menyatakan ingin menjadikan seorang gadis ini sebagai isteri dan dia bersetuju maka ia dikira menjadi tunangan kita dan mengenai merisik dan memakai cincin itu hanya  adat orang melayu. Betul ke?. Mohon pencerahan.

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Allah swt berfirman :

وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا عَرَّضْتُم بِهِۦ مِنْ خِطْبَةِ ٱلنِّسَآءِ

Maksudnya :” Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam idah).”

(Surah al-Baqarah : 235)

Ayat ini walaupun menceritakan akan keharusan meminang wanita yang masih di dalam iddah, akan tetapi keumuman ayat ini memberi isyarat akan keharusan meminang wanita yang ingin dinikahi.

al-Khatib al-Syarbini mendefiniskan khitbah atau peminangan sebagai pertanyaan untuk melangsungkan pernikahan dari seorang lelaki kepada si perempuan.

Rujuk Mughni al-Muhtaj (3/135)

Sheikh Dr Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan الخِطبة  iaitu meminang adalah seorang lelaki meminta untuk berkahwin dengan seorang perempuan dengan menggunakan cara boleh difahami.

Rujuk al-Tafsir al-Munir (2/376)

Secara ringkasnya, meminang adalah menyatakan keinginan untuk berkahwin kepada seorang perempuan. Ini adalah berdasarkan perbuatan Nabi saw yang meminang Aisyah dan Baginda juga pernah meminang Hafsah.

Namun begitu perlu juga diingat. Ada beberapa jenis perempuan yang tidak boleh dikhitbah iaitu :

  1. Perempuan yang masih di dalam iddah raj’iyyah walaupun secara sindiran (ta’rid)
  2. Perempuan yang sudah menjadi tunangan orang lain. Ini adalah berdasarkan hadis Nabi saw oleh Ibnu Umar. Kata beliau :

 

نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَبِيعَ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ وَلَا يَخْطُبَ الرَّجُلُ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ حَتَّى يَتْرُكَ الْخَاطِبُ قَبْلَهُ أَوْ يَأْذَنَ لَهُ الْخَاطِبُ

Maksudnya :” Nabi saw melarang berjual beli di atas jualan sebahagian dari kamu dan (Nabi juga melarang) seorang lelaki meminang tunangan saudaranya sehinggalah dia meninggalkan tunangannya ataupun diizinkan oleh saudaranya (untuk meminang perempuan tersebut).”

Riwayat al-Bukhari (5142)

Al-Khatib al-Syaribini menyatakan larangan tersebut dikeluarkan adalah kerana ianya sesuatu yang boleh menyakitkan orang lain.

Rujuk Mughni al-Muhtaj (4/159)

Adapun adat-adat kebiasaan seperti bertukar cincin, membawa dulang ke rumah si perempuan dan lain-lain adalah merupakan adat yang harus dan tidak bercanggah dengan Islam. Ia hanya sebagai simbolik dan tanda keseriusan untuk menjadikan perempuan tersebut sebagai isteri.  Selagi mana adat tersebut tidak berlanggar dengan syarak maka ianya adalah perkara yang harus. Perkara tersebut juga perlulah dipersetujui bersama dan ia perlulah diikuti serta beriltizam dengannya. Sabda Nabi saw :

الْمُسْلِمُونَ عِنْدَ شُرُوطِهِمْ إِلاَّ شَرْطًا حَرَّمَ حَلاَلاً أَوْ شَرْطًا أَحَلَّ حَرَامًا

Maksudnya :” Orang Muslim berpegang dengan syarat mereka (yang telah dipersetujui) kecuali syarat yang mengharamkan perkara yang halal dan syarat yang menghalalkan perkara yang haram.”

Riwayat al-Baihaqi ( 11762) di dalam Sunannya.

Namun, perkara yang perlu difahami dan diteliti, pertunangan bukanlah lesen untuk bergaul secara bebas. Perlakuan seperti keluar berdua ke kompleks membeli belah, makan bersama-sama dan lain adalah sama sekali dilarang. Ini kerana lelaki dan perempuan yang bertunang masih lagi dianggap sebagai orang asing.  Apatah lagi duduk berdua-duaan di dalam tempat yang sunyi. Ini berdasarkan sabdaan Nabi saw :

وَلاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ, فَإِنَّ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ

Maksudnya :” Janganlah seorang lelaki berkhalwat (duduk berduaan) dengan seorang perempuan kerana pihak yang ketiga adalah syaitan.”

Riwayat Imam Ahmad (179) di dalam Musnadnya.

Wallahu’alam.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-285: FADHILAT BERCELAK HARI ASYURA’

          Soalan: Apakah status hadith ini?   مَنِ اكْتَحَلَ بِالإِثْمِدِ يَوْمَ …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *