Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #795 : KAITAN ANTARA BERPESAN DENGAN KEBENARAN DAN BERPESAN DENGAN KESABARAN
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #795 : KAITAN ANTARA BERPESAN DENGAN KEBENARAN DAN BERPESAN DENGAN KESABARAN

Download PDF

Soalan

Apakah kaitan di antara berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran sepertimana yang disebut dalam surah al-Asr?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Firman Allah SWT:

وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ﴿٣﴾

Maksudnya: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian – Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

(Surah al-Asr:1-3)

Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata: Kebenaran adalah satu daripada empat rukun yang dapat melepaskan manusia daripada kerugian di dunia dan di akhirat. Keempat-empat rukun itu adalah, beriman, beramal soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

Hubungan antara berpesan-pesan dengan kesabaran dan berpesan-pesan dengan kebenaran adalah, bagi menunjukkan amanah kebenaran itu begitu berat dan bebanan yang besar. Selain itu, jalannya dipenuhi dengan kebencian dan ditumbuhi duri-duri. Oleh itu, sesiapa pun perlu memperkasakan diri dengan kebenaran yang dikhabarkan kepadanya bagi memantapkan diri dengan kesabaran semasa berada di jalan itu.

Maka, kebenaran itu tidak akan berjaya tanpa sifat sabar dan sesebuah jemaah itu tidak akan menjadi hebat tanpa saling berpesan-pesan pada kebenaran dan kesabaran. (Lihat al-Sobru fi al-Quran – Mukjizat Sabar dalam al-Quran, oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 126-127)

Ini adalah seperti yang dinasihatkan Luqman kepada anaknya:

يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنكَرِ وَاصْبِرْ عَلَىٰ مَا أَصَابَكَ ۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ

Maksudnya: “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.

(Surah Luqman: 17)

Dalam menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, kita pasti berdepan dengan kejahatan-kejahatan manusia. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya pesanan-pesanan Luqmanul Hakim dikaitkan dengan kesabaran atas apa yang menimpa seseorang. Ini menguatkan lagi pengertian yang dijelaskan sebelum ini.

Antara kehebatan sabar di sini adalah, lafaz ‘saling berpesan’ diulang-ulang dan ia tidak hanya dihubungkan dengan kebenaran tanpa mengulangi sighah al-tafa’ul. Ini kerana, ‘berpesan-pesan’ adalah peringatan dan penguat kepada kesabaran serta ia mempunyai kedudukan yang tersendiri. Di samping itu, berpesan-pesan itu adalah asal dan bukan cabang.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepaada kita kesabaran dalam melaksanakan segala ketaatan kepada-Nya serta dalam menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Amin.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-283: KESAN DARIPADA WUDHUK

    Soalan: Apakah maksud maksud hadith seperti putih di kepala kuda?   Jawapan: Alhamdulillah, …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *