Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #770: MAJLIS AKAD NIKAH DI MASJID

Download PDF

Soalan:

Apakah hukum majlis akad nikah di masjid?

Jawapan:

Alhamdulillah pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Secara asasnya, mengadakan upacara akad nikah di masjid atau di mana-mana tempat yang sesuai adalah dibolehkan. Berkaitan upacara akad nikah di masjid, Islam membenarkan perkara ini. Hal ini boleh dilihat sepertimana yang disebut dalam sebuah hadis bahawa Nabi SAW menikahkan seorang perempuan di dalam masjid.

Daripada Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:

أَعْلِنُوا هَذَا النِّكَاحَ ، وَاجْعَلُوهُ فِي الْمَسَاجِدِ ، وَاضْرِبُوا عَلَيْهِ بِالدُّفُوفِ

Maksudnya: “Hebahkanlah akan pernikahan ini dan lakukanlah ia di masjid, dan palulah (raikannya) dengan memukul gendang (di luar masjid).”

Riwayat al-Tirmizi (1089) dan al-Baihaqi
(15095) dalam al-Sunan al-Kubra. Imam
al-Tirmizi berkata: Hadis Hasan Gharib.

Imam al-Munawi Rahimahullah berkata hadis ini menunjukkan bahawa akad nikah di masjid tidaklah dibenci. Beliau berkata:

وفيه أن عقد النكاح في المسجد لا يكره بخلاف البيع ونحوه

Maksudnya: “Pada hadis ini menunjukkan bahawa melangsungkan akad nikah di masjid tidaklah dibenci, berbeza dengan jual beli dan yang semisalnya.”

(Rujuk al-Taisir bi al-Syarh al-Jaami’ al-Soghir, 1/353)

Berdasarkan hadis di atas juga, jumhur fuqaha’ telah mengharuskan akad nikah di masjid untuk keberkatan, dan untuk menghebahkannya. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 37/214)

Ibnu Hajar al-Haitami berkata:

أَخَذَ الْبَغَوِيّ وَغَيْرُهُ مِنْهُ أَنَّهُ سُنَّةٌ فِي الْعُرْسِ

Maksudnya: “al-Baghawi dan lain-lain mengeluarkan hukum daripada mengambil hadis ini bahawa ia adalah perkara sunat di dalam perkahwinan.”

(Rujuk Tuhfah al-Muhtaj, 14/229)

Berdasarkan persoalan yang diajukan, kami berpendapat adalah dibolehkan untuk mengadakan akad nikah di masjid. Namun, hendaklah dijaga etika dan adab-adab serta peraturan yang telah ditetapkan ketika mana berada di masjid.

Antara adab-adabnya adalah sebagaimana berikut:

  • Melakukan ibadat-ibadat sunat seperti berwuduk, berniat iktikaf dan menunaikan solat sunat tahiyyatul masjid dua rakaat sebelum duduk.
  • Memelihara adab berpakaian seperti memakai pakaian yang suci dan bersih dan menutup aurat.
  • Memelihara adab berhias dan berdandan dengan tidak berlebihan dan keterlaluan dalam berhias.
  • Menjaga larangan-larangan seperti larangan memasuki masjid lelaki dan wanita yang berhadas besar, termasuk bagi wanita yang sedang dalam haid.

Untuk mendapatkan gambaran lebih terperinci berkenaan perkara ini, kami sarankan agar saudara merujuk kepada garis panduan yang telah disediakan oleh JAKIM bertajuk Upacara Akad Nikah Di Masjid Dan Perkara-Perkara Yang Berkaitan Dengannya di pautan berikut: https://goo.gl/VNDSrq

Selain itu, kami ingin turut mencadangkan agar diwujudkan ruangan khas yang bukan di ruangan solat untuk mengadakan upacara akad nikah. Hal ini bagi memudahkan perempuan yang berada dalam keadaan haid yang ingin turut serta bersama-sama dalam upacara tersebut.

Sebagai penutup, kami sertakan juga di sini keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-95 yang bersidang pada 16 hingga 18 Jun 2011. Muzakarah telah membincangkan Hukum Upacara Akad Nikah di Masjid dan keputusannya adalah seperti yang berikut:

  • Muzakarah berpandangan bahawa Jumhur ulama’ telah memperakukan bahawa upacara akad nikah dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid. Bahkan ulama’ mazhab Syafie berpendapat adalah sunat dan digalakkan untuk melaksanakan akad nikah di masjid.
  • Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa melakukan upacara akad nikah di masjid atau surau adalah disunatkan untuk mendapat keberkatan. Walau bagaimanapun, kedua-kedua pihak bagi pengantin lelaki dan perempuan yang turut menyertai upacara akad nikah tersebut hendaklah menjaga adab dan mematuhi peraturan semasa berada di dalam masjid atau surau berkenaan.

Wallahua’lam.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-283: KESAN DARIPADA WUDHUK

    Soalan: Apakah maksud maksud hadith seperti putih di kepala kuda?   Jawapan: Alhamdulillah, …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *