Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #746: JAMAK SOLAT DISEBABKAN SIBUK MELAYAN TETAMU
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #746: JAMAK SOLAT DISEBABKAN SIBUK MELAYAN TETAMU

 

 

Soalan: Apakah dibolehkan menjamakkan solat pada hari keraian atau kenduri disebabkan kesibukan melayan tetamu?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Melihat kepada persoalan di atas, suka bagi kami untuk memulakan persoalan ini dengan menyatakan antara sebab-sebab yang dibenarkan untuk seseorang itu menjamakkan solat. Berikut adalah beberapa sebab yang diletakkan oleh para ulama’: [Lihat: al-Taqrirat al-Sadidah, 318]

 

  • Bermusafir (dengan tujuan yang harus)
  • Hujan (yang lebat sehingga memudharatkan)
  • Sakit

 

Di samping itu juga, kita dituntut untuk mendirikan solat di dalam waktu-waktunya sebagaimana firman Allah SWT:

 

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

[Surah al-Nisa’: 103]

Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

 

Bagi menjawab persoalan di atas, melayan tetamu tidak dikira sebagai satu keuzuran yang dibenarkan oleh syarak untuk menjamakkan antara dua solat. Justeru, kami cenderung kepada tidak dibenarkan untuk menjamakkan solat dalam situasi sebegini kerana tujuannya menjamakkan di antara dua solat tersebut tidak termasuk di dalam sebab-sebab yang dibenarkan untuk jamak. Ini kerana, kita dibenarkan untuk solat di mana-mana sahaja asalkan tempat tersebut bersih jika timbul kesukaran untuk mendapat ruang solat. Tambahan pula, terdapat sebuah hadith yang melarang perbuatan menjamakkan solat dengan tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak walaupun hadith ini adalah dhaif tetapi maknanya adalah sahih menurut Imam Ibn Abd al-Bar di dalam al-Tamhid iaitu:

 

  • Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ جَمَعَ بَيْنَ الصَّلَاتَيْنِ مِنْ غَيْرِ عُذْرٍ فَقَدْ أَتَى بَابًا مِنْ أَبْوَابِ الكَبَائِرِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menjamakkan antara dua solat tanpa uzur maka dia telah mendatangi satu pintu daripada pintu-pintu dosa besar.” [Riwayat al-Tirmizi (188)][Hadith ini adalah dhaif disebabkan terdapat seorang perawi yang didhaifkan oleh ahli hadith]

 

Imam al-Tirmizi berkata, beramal dengannya di sisi ahli ilmu adalah dengan tidak menjamakkan di antara dua solat melainkan ketika dalam permusafiran atau ketika di Arafah. Sebahagian ahli ilmu memberi keringanan daripada kalangan Tabi’in bahawa dibenarkan menjamakkan di antara dua solat bagi orang yang sakit. Pendapat ini dikatakan oleh Imam Ahmad dan Ishaq. Selain itu, telah berkata sebahagian ahli ilmu dibolehkkan menjamakkan di antara dua solat ketika hujan dan ini juga disebutkan oleh Imam al-Syafie, Ahmad dan Ishaq.

 

Penutup

Kesimpulannya, sekali lagi kami inginkan tegaskan bahawa menjamakkan di antara dua solat tanpa sebab adalah haram dan berdosa jika melakukannya juga melainkan dengan sebab-sebab yang dibenarkan oleh syarak. Di samping itu juga, kami mengesyorkan agar disediakan ruang khas untuk mendirikan solat serta kelengkapan solat seperti sejadah, tikar dan sebagainya. Hal ini, akan menambahkan lagi keberkatan dan keserian majlis. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang mendirikan solat di awal waktu. Amin.

 

Wallahua’lam

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *