Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI # 686: HUKUM BEKERJA DI KILANG KONDOM
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI # 686: HUKUM BEKERJA DI KILANG KONDOM

 

 

SOALAN

Assalamualaikum, apakah hukum bekerja di kilang kondom dan terlibat dalam aktiviti produktiviti?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Setiap umat Islam dituntut untuk mencari rezeki yang halal lagi baik. Rezeki yang halal bermaksud memperolehi rezeki dengan cara yang tidak diharamkan oleh Allah atau dengan cara yang tidak bertentangan dengan syariat. Allah SWT berfirman:

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّـهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.”

(Surah al-Baqarah: 172)

 

Demikian juga hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

 

أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا اللَّهَ وَأَجْمِلُوا فِي الطَّلَبِ فَإِنَّ نَفْسًا لَنْ تَمُوتَ حَتَّى تَسْتَوْفِيَ رِزْقَهَا وَإِنْ أَبْطَأَ عَنْهَا فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَجْمِلُوا فِي الطَّلَبِ خُذُوا مَا حَلَّ وَدَعُوا مَا حَرُمَ

Maksudnya: “Wahai manusia, bertakwalah kamu kepada Allah dan tempuhilah jalan yang baik dalam mencari rezeki kerana sesungguhnya tidaklah seorang hamba itu akan mati sehingga dia benar-benar telah habis rezekinya, walaupun terlambat datangnya. Maka bertakwalah kepada Allah dan tempuhlah jalan yang baik dalam mencari rezeki. Tempuhlah jalan-jalan mencari rezeki yang halal dan tinggalkan yang haram.”

Riwayat Ibnu Majah (2227)

 

Berdasarkan nas-nas di atas, jelas menunjukkan kepada kita sebagai seorang Islam, kewajipan mencari rezeki yang halal adalah penting dan daruriyyat. Hal ini kerana setiap perkara yang haram yang tumbuh di dalam darah daging umat manusia ini, maka tempat terutama baginya adalah di neraka. Hal ini berpandukan kepada hadis Nabi SAW:

 

لاَ يَرْبُو لَحْمٌ نَبَتَ مِنْ سُحْتٍ إِلاَّ كَانَتِ النَّارُ أَوْلَى بِهِ

Maksudnya: “Tidak ada daging yang tumbuh dari as-suht, kecuali neraka lebih layak baginya.”

Riwayat al-Tirmizi (614)

 

Bagi umat Islam, ulama’ telah membahaskan berkaitan hukum al-‘azl. al-‘azl  bermaksud mencabut penis (kemaluan) setelah penetrasi agar air mani tertumpah di luar faraj. (Rujuk Fath al-Bari, 9/305)

 

Penggunaan kondom adalah sama tujuannya dengan ‘azl iaitu untuk melakukan pancutan di luar faraj bagi tujuan untuk menentukan keturunan. (Sila rujuk artikel Irsyad al-Fatwa Ke-146: Hukum Merancang Keluarga Kerana Berpendapatan Rendah) Dalam isu ini, ulama’ telah berbeza pandangan berkaitan hukumnya namun pendapat yang paling kuat mengatakan mubah (harus) bagi ‘azal ini. Justeru, perkara ini dapat dikiaskan juga dengan penggunaan kondom pada masa kini dengan perbuatan azal ini selagimana persetubuhan yang dilakukan itu adalah mubah (bersama isteri) dan bukanlah persetubuhan yang haram (zina).

 

Merujuk kepada persoalan di atas, hukum bekerja di kilang perusahaan kondom adalah dibolehkan. Hal ini kerana, kondom itu sendiri adalah dibolehkan di sisi Islam. Sekalipun kita tidak mengetahui adakah kondom itu akan digunakan di atas jalan yang betul ataupun tidak, kita tidak dipertanggungjawabkan atas perbuatan orang lain. Umat Islam tidak akan dihukum di atas dosa yang dilakukan oleh orang lain. Firman Allah SWT:

 

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ

Maksudnya: “Dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)”

(Surah al-An’am: 164)

 

KESIMPULAN

Dalam isu ini, kami melihat bahawa dibolehkan dan diharuskan kepada mana-mana umat Islam untuk mencari rezeki di kilang-kilang pembuatan kondom. Ini kerana jika diteliti, sesungguhnya kilang pembuatan kondom ini tidaklah melanggar mana-mana syariat Islam. Jika didapati kilang-kilang seperti ini melanggar syariat seperti menggunakan unsur-unsur yang diharamkan semasa pemprosesan, maka hukumnya akan berubah kepada haram.

 

Jika didapati kilang-kilang pemprosesan akan membekalkan produk-produk (kondom) yang telah siap ke tempat-tempat maksiat seperti disko atau pusat-pusat pelacuran secara jelas, maka hukumnya di sini adalah haram untuk bekerja di kilang tersebut. Kepada umat Islam, carilah kerja yang dapat mendatangkan rezeki yang halal lagi baik kerana sesungguhnya setiap rezeki yang diterima akan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT, dari manakah rezeki itu datang, halal atau tidak dan ke manakah rezeki tersebut akan disalurkan.

 

Wallahua’lam.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *