Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #1679: HUKUM MEMPELAJARI ILMU SELAIN ILMU AGAMA
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1679: HUKUM MEMPELAJARI ILMU SELAIN ILMU AGAMA

alkafi1679

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum kita mempelajari ilmu lain (ilmu duniawi) selain ilmu agama seperti ilmu perubatan, ilmu perniagaan dan lain-lain? Adakah dibenarkan dalam Islam? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala limpahan nikmat dan kurniaNya. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari Akhirat.

Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah S.W.T:

فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

MaksudnyaOleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

Surah al-Taubah (122)

Pada ayat ini, Allah S.W.T dengan jelas menyatakan suruhan untuk sebahagian umat Islam mempelajari ilmu agama dan kemudiannya mengajarkannya pada orang ramai. Syeikh al-Sa’di ketika mentafsirkan ayat ini berkata bahawa Allah S.W.T menyuruh sebahagian daripada umatnya untuk mempelajari ilmu syarak dan mempelajari larangan-larangan agama, memahami rahsia-rahsianya, dan mempelajari juga ilmu selainnya dan seterusnya mengajar kaumnya setelah sebahagian dari mereka yang lain pulang (dari berjihad). [Lihat: Tafsir al-Sa’di; hlm.355].

Menuntut ilmu adalah suatu perkara yang dituntut dalam agama. Bahkan terdapat banyak dalil dari al-Quran dan juga al-Sunnah serta kalam para ulama’ dan hukama’ (cerdik pandai) berkenaan kelebihan mereka yang menuntut ilmu. Perkara ini ada kami bahaskan dalam artikel kami yang bertajuk Irsyad al-Hadith Siri Ke-109: Kelebihan Menuntut Ilmu.

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, berkenaan hukum mempelajari ilmu duniawi yakni ilmu selain ilmu syarak, Imam al-Ghazali menyebut di dalam kitabnya, menyampaikan ilmu merupakan fardhu kifayah, sedia maklum bahawa kefardhuan ini tidak membezakan antara satu dengan yang lain melainkan dengan cara melihat kepada bahagian-bahagian ilmu. Ilmu terbahagi kepada dua jenis iaitu syar’iyyah dan bukan syar’iyyah. Ilmu syarak ialah ilmu yang diperolehi dari para nabi, manakala ilmu bukan syarak terbahagi kepada ilmu mahmudah (baik) dan juga ilmu mazmumah (buruk) dan juga mubah (harus). Ilmu-ilmu mahmudah ini adalah ilmu yang berkaitan dengan kebaikan di dunia seperti ilmu perubatan dan ilmu perhitungan. Maka inilah yang tergolong dalam fardhu kifayah, iaitu bukan menjadi kewajipan namun ia menjadi keutamaan. Adapun fardhu kifayah kerana ia adalah ilmu yang diperlukan untuk menguruskan urusan dunia seperti perubatan, ia penting untuk menjaga keperluan badan dan jasmani, kemudian contoh lain adalah seperti ilmu perhitungan, ia juga penting dalam bidang muamalat dan juga pembahagian harta pusaka dan sebagainya. Dan kesemua ilmu ini sekiranya tidak ada yang mempelajarinya (atau hilang dari sesebuah negeri) maka akan mendatangkan kesusahan kepada para penduduknya.

 [Lihat: Ihya’ ‘Ulum al-Din; 1/16-17]

Imam al-Nawawi menukilkan hal ini di dalam kitabnya yang masyhur:

وَأَمَّا مَا لَيْسَ عِلْمًا شَرْعِيًّا وَيُحْتَاجُ إلَيْهِ فِي قِوَامِ أَمْرِ الدُّنْيَا كَالطِّبِّ وَالْحِسَابِ فَفَرْضُ كِفَايَةٍ أَيْضًا

Maksudnya: Adapun ilmu selain ilmu syarak, dan diperlukan untuk menguruskan urusan dunia seperti ilmu perubatan dan ilmu perhitungan, maka ia adalah fardhu kifayah.

[Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab; 1/26]

Sebagaimana maklum, fardhu kifayah merupakan perbuatan yang wajib dilaksanakan oleh seseorang atau sekumpulan anggota masyarakat Islam, tanpa melihat pada siapa yang mengerjakannya. Apabila ia telah dilakukan, maka gugurlah kewajipan ke atas orang Muslim yang lain. Tetapi sekiranya tidak ada yang melakukannya, maka semua orang berdosa. Maka, dapat difahami di sini, fardhu merangkumi pelbagai bidang dan ruang lingkup yang luas melibatkan seluruh aspek kehidupan seperti ekonomi, politik, perundangan, ketenteraan dan lain-lain lagi. [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 32/96].

Bukan itu sahaja, mempelajari ilmu selain ilmu agama boleh dikaitkan juga dengan niat si penuntut, dari sudut sekiranya seseorang itu mempelajari ilmu duniawi seperti perniagaan dengan niat dan tujuan yang tidak baik yakni untuk menghancurkan Islam atau ingin menganiaya orang Islam, maka ia sememangnya tidak dibenarkan syarak, bahkan hukum mempelajarinya boleh jatuh kepada hukum haram berdasarkan kepada Sadd al-Zari’ah iaitu mencegah perkara-perkara harus yang boleh membawa kepada yang haram. Ini juga berdasarkan kepada kaedah masyhur:

ما أدى إلى الحرام فهو حرام

MaksudnyaApa sahaja yang membawa kepada yang haram, maka ia haram.

Penutup

Kesimpulannya, kami menyatakan bahawa hukum mempelajari ilmu selain ilmu agama adalah fardhu kifayah, sekiranya sudah ada yang mempelajarinya maka kewajipan itu gugur ke atas semua, maka jika ada yang ingin mempelajarinya juga maka ia dibenarkan, namun mestilah diikat dengan beberapa dawabith atau syarat antaranya:

  • Mestilah mempelajari ilmu tersebut dengan niat yang baik dan ikhlas.
  • Mestilah mempelajari ilmu itu dengan cara dan juga panduan yang betul sepertimana yang telah ditetapkan syarak.
  • Tidak menggunakan ilmu tersebut ke arah kemaksiatan dan juga perkara-perkara yang mungkar.

Akhir kalam, kami mendoakan agar Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami agamaNya, memberikan kekuatan dan juga keikhlasan kepada kita dalam menuntut ilmu serta memberkati segala amal perbuatan kita.

Wallahua’lam.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *