Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #1583 : HUKUM MENGGUNAKAN SABUN WANGI SEMASA IHRAM
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1583 : HUKUM MENGGUNAKAN SABUN WANGI SEMASA IHRAM

Download PDF

af1583 compressed 

Soalan:

Apakah hukum menggunakan sabun yang wangi semasa ihram?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Antara perkara yang diharamkan ke atas orang yang berihram untuk dilakukan semasa ihram ialah tatoyyub (berwangi-wangian). Memakai wangi-wangian boleh berlaku dalam empat senario:

  • Tabakhkhur (perasapan): seperti berwangi menggunakan kayu Oud yang dibakar.
  • Istihlak (peleburan): seperti memakai air mawar dan kolon.
  • Mencium baunya: seperti bunga mawar dan bau-bauan.
  • Membawanya: seperti kasturi dan seumpamanya.

Larangan ini berasal daripada hadis riwayat Abdullah bin Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah ﷺ bersabda tentang larangan sewaktu ihram, antaranya:

وَلَا تَلْبَسُوا شَيْئًا مَسَّهُ زَعْفَرَانٌ وَلَا الْوَرْسُ

Maksudnya: “Dan janganlah kalian memakai pakaian yang disentuh za`faran dan al-wars (herba yang biasa dijadikan wangian – pent.)”

Riwayat al-Bukhari (1838) dan Muslim (1177)

Pelanggaran larangan ini mewajibkan ke atas orang yang berihram itu untuk membayar dam al-takhyir wa al-taqdir, selain daripada perlu menyempurnakan haji atau umrahnya, bertaubat, menghilangkan bau-bauan itu dengan segera dan boleh dikenakan ta`zir. 504 pelaksanaan dam itu punya boleh dipilih daripada tiga yang berikut:

  • Menyembelih seekor syah (kambing biri-biri)
  • Puasa tiga hari
  • Bersedekah kepada enam orang miskin dengan setiap seorang mendapat separuh sa` (gantang).

Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah Qism Ibadat (hlm. 504 & 518)

Para ulama khilaf pada hukum penggunaan sabun wangi semasa ihram. Berkata Syeikh Wahbah al-Zuhaili:

 وَيَجُوزُ الاغْتِسَالُ وَلَوْ بالصَّابُونِ عِنْدَ الشَّافِعيةِ وَالْحَنَابَلَة، وَلاَ يجوزُ بالصابون ونحوِهِ عنْدَ الْحَنَفِية، ويَغْتَسِلُ عنْدَ الْمَالِكِية لِلتَّبَرُّدِ لاَ لِلتَّنْظِيفِ

 “Dan diharuskan untuk mandi, walaupun dengan menggunakan sabun di sisi Syafieyyah dan Hanabilah, dan tidak diharuskan dengan sabun, dan seumpamanya, di sisi Hanafiyyah. Di sisi Malikiyyah orang yang berihram itu hanya mandi untuk tujuan menyejukkan badan dan bukan untuk membersihkan diri.”

Rujuk al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (3/2300)

Berkata Syeikh Abdurrahman al-Jaziri: “Diharuskan bagi orang yang berihram untuk membasuh kepala dan badannya dengan air untuk menghilangkan kekotoran dengan syarat tidak mandi menggunakan bahan yang boleh membunuh parasit badan. Justeru, dibenarkan untuk mandi menggunakan sabun, dan seumpamanya, daripada jenis bahan pencuci yang tidak membunuh parasit, sekalipun ia memiliki bau yang wangi, di sisi Syafieyyah dan Hanabilah.”

Rujuk al-Fiqh `Ala al-Madzahib al-Arba`ah (1/588)

Disebut dalam kitab al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (26/303): “Para ulama Hanafiyyah mengatakan dengan jelas bahawa tidak mengapa kepada orang yang berihram untuk menggunakan sabun. Perkara Ibn Abidin yang menukilkan perkataan dalam kita al-Fath: Jika seseorang itu mandi menggunakan sabun dan hurdh (pokok seumpama asynan, yang digunakan untuk membersihkan badan) maka tidak ada riwayat tentang. Mereka berkata: Tiada apa-apa padanya, kerana ia bukannya pewangi dan tidak membunuh parasit (yang boleh dikenakan fidyah – pent.) kemudian dia (Ibn Abidin) berkata: Keputusan daripada penta`lilan itu ialah tidak diwajibkan dam atau sedekah secara sepakat. Berkata pengarah al-Zahiiriyyah: Para ulama berijmak bahawa tidak ada apa-apa menggunakannya. Inilah keputusan yang dalam difahami daripada perkataan sekalian ulama tentang sabun kebiasaan yang dipakai, bahawa ia tidak dianggap sebagai pewangi, kerana orang yang berihram hanya dilarang menggunakan pewangi. Tentang isu ini tidak ada nas mengenainya.”

Syeikh Muhammad al-Zuhaili dalam al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/322) jelas menyatakan bahawa penggunaan sabun wangi adalah dilarang semasa ihram. Namun begitu, jika wangian itu melalui proses istihlak (menghilang) dalam bahan yang ia bercampur dengannya, sehingga tidak kekal bagi bahan itu bau, rasa dan warna, seperti yang kebiasaan terdapat pada ubat-ubatan, maka diharuskan penggunaannya dan memakannya, serta tidak dikenakan fidyah. Tetapi jika bau wangi itu berkekalan pada bahan yang menghilang, secara zahir atau tersembunyi, tetapi bau itu datang kembali apabila direnjis air ke atasnya, maka itu dikenakan fidyah, kerana tujuan utama larangan ini bau wangi, begitu juga jika kekal rasanya kerana itu menunjukkan bau wangi itu kekal. Rujuk al-Mu`tamad (2/323).

Imam al-Nawawi menyebut dalam kitab al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah (ms. 158): “dan diharamkan penggunaan celak yang berbau wangi, ubat urat yang berbau wangi, dan haram memakan makanan yang berbau wangi, wanginya kuat pada rasa dan baunya. Namun jika bau itu menghilang maka tidak mengapa.”

Sebahagian ulama mengambil langkah berhati-hati agar meninggalkan terus penggunaan sabun wangi. Berkata Syeikh al-Habib Muhammad bin Umar al-Syatiri dalam Syarah Yaqut al-Nafis (hlm. 342): Dan tidak dibenarkan mandi selepas ihram dengan sabun yang memiliki bau wangi, kerana bau tersebut sengaja diletakkan di dalamnya dengan tujuan berwangian, atau dengan tujuan melunturkan kotoran dan mewangikan, maka lebih utama ke atas orang yang berihram untuk berhati-hati dan menggunakan sabun yang tidak ada bau wangi.”

Manakala menurut Dar al-Ifta Jordan dalam fatwa no. (3522) berkenaan soalan memakai sabun berbau harum semasa ihram, antaranya dijawab: “dan wujudnya bau-bauan yang wangi dalam sabun dan seumpamanya adalah tidak memudaratkan (yakni ihram); kerana wangian itu bukan tujuan sabun. Sebaliknya ia hanya bau-bauan wangi yang wujud secara mengikut. Bau wangi ini tidak dilarang di sisi fuqaha.”

Berkas Mufti Negara Mesir, Syeikh Atiyyah al-Saqar pernah ditanya berkenaan isu kebersihan sewaktu ihram dan beliau menjawab: “dan para fuqaha’ membenarkan penggunaan sabun dan selainnya daripada jenis bahan-bahan yang boleh menghilangkan kekotoran semasa ihram. Di sisi Syafieyyah dan Hanabilah dibenarkan untuk mandi dengan sabun yang memiliki bau yang wangi kerana tujuan sabun ialah kebersihan dan bukan berwangian. Tentang isu ini, ramai daripada kalangan manusia yang memahami nas-nas secara salah sehingga mereka menegah daripada mandi dan menukar baju serta mengajak untuk kekal dalam pakaian yang sedia ada sehingga selepas tamatnya amalan-amalan haji dan menunggu balik ke negara masing-masing. Mereka menyangka perbuatan ini adalah sebahagian daripada agama, sedangkan kadang-kadang keluar bauan yang busuk daripada mereka, khususnya pada Hari-Hari al-Hurr. Sebenarnya dengan berkelakuan sedemikian mereka mencipta peluang untuk wujudnya pelbagai penyakit, dan menyakiti orang lain dengan bau-bauan yang tidak menyenangkan.”

Rujuk Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah (9/318)

Dalam buku Soal Jawab Ibadat haji, Umrah dan Ziarah yang dikeluarkan oleh Ahli-Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (YH-JAKIM) pada tahun 2017 dalam muka surat 69 menyebut: “Memakai ubat gigi, minyak-minyak ubat dan sabun mandi hukumnya adalah harus walaupun jika ada berbau wangi kerana penggunaannya bukan kerana berwangi-wangi (تطيب) begitu juga sabun mandi jika digunakan semata-mata dengan maksud membersih (تنظيف) adalah harus.”

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa penggunaan sabun wangi semasa ihram adalah diharuskan dengan alasan dan syarat berikut:

  • Wangian yang ada di dalam sabun itu bukanlah tujuan penggunaan sabun, sebaliknya hanyalah pengikut sahaja. Kaedah fiqh menyebut:

يُغْتَفَرُ فِي التَّوَابِعِ مَا لَا يُغْتَفَرُ فِي غَيْرِهَ

Maksudnya: “Dimaafkan pada perkara-perkara yang mengikut apa yang tidak dimaafkan pada selainnya.”

Kaedah lain menyebut:

يُغْتَفَرُ فِي الشَّيْءِ ضِمْنًا مَا لَا يُغْتَفَرُ فِيهِ قَصْدًا

Maksudnya: “Dimaafkan pada perkara yang terkandung, apa yang tidak dimaafkan pada perkara yang sama jika menjadi tujuan.”

Rujuk al-Asybah wa al-Nazhair oleh Imam al-Suyuti (ms. 120)

  • Keharusan penggunaannya diqiyas memakan makanan yang berbau sedap seperti epal dan cengkih. Rujuk Bayan Li Al-Haj Siri Ke 40 : Makan Cengkih Semasa Ihram Tidak Dikenakan Dam.
  • Penggunaan sabun itu mestilah dengan niat membersihkan diri dan bukannya untuk berwangi-wangian.
  • Hendaklah bau wangi di dalam sabun itu tidak begitu kuat dan boleh istihlak (menghilang) dan tidak kekal seperti bahan pewangi yang diharamkan.
  • Sebaiknya ditinggalkan penggunaan sabun wangi semasa ihram untuk meraikan khilaf dan gunakanlah alat pembersih yang tidak berbau wangi yang ada di pasaran melainkan jika tidak ada pilihan atau keadaan memerlukan.

Wallahua’lam.

Semoga Allah ﷻ menerima amalan-amalan ibadat kita. Amin.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1586 : IMAM PAKAI BAJU SINGKAT NAMPAK AURAT SEMASA SOLAT

  Soalan : Assalamu’alaikum ustaz, apa patut saya lakukan kalau saya melihat aurat imam terdedah …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *