Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #1581 : BERDUAAN DENGAN INSTRUCTOR KETIKA LATIHAN MEMANDU ADAKAH DIANGGAP KHALWAT ?
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1581 : BERDUAAN DENGAN INSTRUCTOR KETIKA LATIHAN MEMANDU ADAKAH DIANGGAP KHALWAT ?

Download PDF

AK1581

Soalan :

Assalamu’alaikum ustaz, ketika ujian latihan memandu sekiranya murid dan instructor (pengajar) berlainan jantina berada berduaan dalam kereta adakah ini dianggap sebagai khalwat ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Khalwat dari sudut bahasa berasal dari sunyinya sesebuah tempat atau sesuatu. Dari sudut tidak ada seorang atau sesuatu pun di dalamnya. Justeru, apabila para fuqaha membincangkan isu khalwat, mereka merujuk kepada perbuatan berdua-duaannya seorang lelaki dan seorang perempuan yang bukan mahram di sesuatu tempat.

Perbuatan berdua-duaan dengan pasangan yang bukan mahram merupakan suatu perbuatan yang ditegah dalam agama. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ

Maksudnya: Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya.

Riwayat Muslim (1341)

Imam Al-Nawawi Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini beliau berkata: Maksud hadis ini adalah: ‘’Janganlah seorang lelaki itu duduk berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengannya mahramnya. Dan sekiranya seorang lelaki ajnabi itu berkhalwat bersama-sama dengan wanita ajnabiyyah tanpa ada yang ketiga maka perbuatan itu adalah haram secara sepakat para ulama. Demikianlah juga (hukumnya) jika bersama-sama perempuan tersebut seseorang yang mereka tidak berasa malu dengannya disebabkan kecilnya dia seperti seorang kanak-kanak lelaki berusia dua atau tiga tahun dan seumpamanya maka kewujudan anak tersebut sama seperti tidak ada orang’’. Rujuk Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (9/109).

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, kami kemukakan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata :

جَاءَتِ امْرَأَةٌ مِنَ الأَنْصَارِ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَخَلاَ بِهَا فَقَالَ ‏وَاللَّهِ إِنَّكُنَّ لأَحَبُّ النَّاسِ إِلَىَّ

Maksudnya : Seorang perempuan dari kalangan Ansar telah datang kepada Nabi S.A.W lalu baginda berkhalwat dengannya (dari sudut baginda mengajak perempuan tersebut ke tepi). Lalu baginda bersabda : ‘’Demi Allah sesungguhnya kamu (golongan Ansar) merupakan manusia yang paling aku sayang’’.

Riwayat Al-Bukhari (5234)

Imam al-Bukhari meletakkan hadis ini di dalam kitabnya Sahih al-Bukhari di bawah bab ‘’Keharusan seorang lelaki untuk berduaan dengan seorang perempuan dalam keberadaan ramai orang’’. Manakala Imam Ibn Battal pula mengongsikan faedah feqh yang diperoleh dari hadis ini yang menyebut : ‘’Tidak mengapa bagi seorang yang ‘alim dan juga seorang lelaki yang dikenali dengan kesolehan untuk berduaan dengan seorang perempuan di suatu sudut berasingan di sisi orang ramai, lalu perempuan tersebut dapat menceritakan permasalahan-permasalahan yang dihadapinya serta bertanyakan perkara-perkara peribadi yang dihadapinya dalam isu agama’’. Rujuk Syarah Sahih Al-Bukhari, Ibn Battal (7/360).

Hadis di atas jika diteliti dari sudut keadaan dan situasi, Rasulullah S.A.W pada asalnya bersama dengan beberapa orang yakni baginda tidak bersendirian. Kemudian datang seorang perempuan dari kalangan Ansar kepada baginda S.A.W. Ini jelas berdasarkan kata-kata Anas bin Malik فَخَلاَ بِهَا iaitu kemudian baginda pergi ke satu sudut kawasan dan berduaan bersama perempuan tersebut. Hal ini dibenarkan kerana Rasulullah S.A.W dan perempuan tersebut masih dapat dilihat oleh orang ramai pada ketika itu meskipun mereka tidak mendengar secara keseluruhan apakah yang diperbualkan antara baginda dan perempuan itu.

Manakala Imam Ibn Hajar al-Asqalani pula berkata : Tidak boleh bersendirian dengannya (orang perempuan) dari sudut peribadi mereka terhijab dari pandangan orang ramai. (Sekiranya orang ramai dapat melihat mereka maka boleh untuk mereka berdua bersendirian). Begitu juga (dibolehkan bersendirian) meskipun orang ramai tidak mendengar perbualan mereka, sekiranya yang dibualkan itu merupakan suatu perkara yang orang perempuan itu rasa malu untuk menyebutnya di hadapan orang ramai. Rujuk Fath al-Bari, Ibn Hajar (9/333).

Penutup

Sebagai kesimpulan, setelah kami meneliti beberapa nas dan hujahan di atas kami menyatakan bahawa hukum berduaan antara instructor (pengajar) lelaki dan murid perempuan atau sebaliknya di dalam kereta semasa kelas latihan memandu adalah dibolehkan. Ini kerana di dalam kawasan latihan memandu tersebut terdapat orang ramai yang boleh melihat ke arah mereka berdua. Demikian juga sekiranya sulit untuk memilih guru-guru yang sama jantina sebagai tenaga pengajar dalam keadaan kekurangan tenaga pengajar atau seumpamanya.

Meskipun begitu, kami menyatakan bahawa perlulah dijaga batasan pergaulan semasa dalam kenderaan tersebut, dari sudut tidak dibenarkan mengadakan persentuhan tanpa sebab dalam keadaan tersebut. Hendaklah kita sebagai mukmin yang takut kepada Allah untuk sedar dan merasai bahawa Allah S.W.T Maha Tahu dan Maha Melihat ke atas setiap perbuatan yang kita lakukan.

Kami juga mencadangkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan, sekiranya ada ruang untuk dibenarkan kepada pelajar memandu perempuan untuk membawa rakan atau mahram semasa dalam proses pembelajaran, nescayalah ini lebih baik serta menepati tuntutan syarak.

Akhir kalam, kami berdoa semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1586 : IMAM PAKAI BAJU SINGKAT NAMPAK AURAT SEMASA SOLAT

  Soalan : Assalamu’alaikum ustaz, apa patut saya lakukan kalau saya melihat aurat imam terdedah …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *