Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / AL-KAFI #1580: BOLEHKAH ANAK TIRI MENDAPAT HARTA PUSAKA?
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1580: BOLEHKAH ANAK TIRI MENDAPAT HARTA PUSAKA?

abg tiri

AL-KAFI #1580: BOLEHKAH ANAK TIRI MENDAPAT HARTA PUSAKA?

Soalan

Assalamualaikum. Saya minta agar panel dapat menjawab soalan saya. Arwah emak saya telah terlanjur dengan orang lain dan mengandung sebelum berkahwin dengan ayah saya, tetapi emak saya bersalin selepas berkahwin dengan ayah saya dan mengurniakan anak lelaki. Setelah emak dan ayah saya meninggal, adakah abang tiri saya akan dapat hak harta pusaka ayah saya? Saya memohon agar pihak panel dapat menjawab soalan saya secepat mungkin. Sekian.

Jawapan

Waalaikumussalam wrm wbt. Semoga Allah mengampuni segala dosa ibu bapa kita dan menerima segala taubat yang dilakukan mereka sewaktu hidup di dunia.

Pertamanya, bagi memastikan seseorang itu layak mendapat bahagian daripada harta pusaka, mereka hendaklah mempunyai perkaitan atau disebut sebab perwarisan mereka dengan si mati. Mengikut Undang-Undang Pusaka Islam, terdapat tiga sebab perwarisan iaitu nasab (pertalian darah), perkahwinan dan al-walā’. Fokus perbincangan akan tertumpu berkaitan nasab dan perkahwinan sahaja berdasarkan situasi soalan di atas yang melibatkan isteri, anak kandung dan anak tiri.

Nasab bermaksud hubungan kekeluargaan antara pewaris (si mati) dan waris-waris yang berlaku melalui pertalian darah. Mereka terdiri daripada al-furuʿ (anak dan cucu), al-usūl (bapa dan datuk), al-ḥawāshiyy (adik-beradik dan pakcik & makcik) serta lain-lain yang berkaitan.

Keduanya, hubungan yang terhasil melalui pertalian darah atau perkahwinan mempunyai perbezaan antara satu sama lain daripada sudut penerimaan harta pusaka. Mereka yang lebih akrab susur galurnya kepada si mati akan tersenarai sebagai penerima utama harta pusaka. Ini kerana, ketetapan kadar yang ditetapkan Allah berbeza-beza bergantung keutamaan, tanggungjawab dan susunan kekeluargaan.

Penerima pusaka boleh dibahagikan kepada tiga kelompok utama mengikut turutan; ashāb al-furūd, al-‘asabah, dan dhawi al-arḥām. Pengertiannya:

  • Ashāb al-furūd – Ahli waris yang paling utama didahulukan dalam pembahagian dan penerimaan harta. Golongan ini merupakan ahli waris yang telah ditetapkan bahagian atau saham mereka dalam pembahagian pusaka menurut al-Quran, al-Sunnah dan ijmak. Contohnya, suami, isteri dan anak perempuan.
  • al-‘Asabah – Ahli waris yang menerima keseluruhan harta pusaka jika tiada ashāb al-furūd atau menerima baki pusaka sekiranya mempunyai lebihan selepas diagihkan kepada ashāb al-furūd. Contohnya, anak lelaki.
  • Dhawi al-arḥām – Ahli waris selain ashāb al-furūd dan al-‘asabah yang tidak ditentukan hak pewarisan harta pusaka dalam al-Quran, sunnah atau ijmak. Contohnya, cucu lelaki dari jalur anak perempuan si mati.

[Lihat: al-Mawarith fi al-Shariah al-Islamiyyah, m/s 37]

Melihat situasi di atas, abang tiri penanya yang juga merangkap anak tiri si mati tidak mendapat bahagian daripada harta pusaka. Alasannya kerana tidak memenuhi kriteria perwarisan harta seperti pertalian darah, perkahwinan mahupun wala’. Seperti kita sedia maklum, anak tiri tidak mempunyai pertalian darah dengan bapa tirinya.

Namun perlu diingatkan, walaupun anak tiri tidak mendapat bahagian daripada harta pusaka, tidaklah menghalang adik-beradik tiri lain yang mendapat bahagian harta pusaka untuk melakukan amal jariah dengan membantu meringankan beban dan kesusahan melalui pemberian wang saku, makanan dan lain-lain kepada mereka secara sukarela.

Hayatilah saranan Nabi agar memberikan keutamaan bantuan kepada kaum kerabat berbanding orang lain. Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Salman bin Amir R.A, Nabi SAW telah bersabda:

‏الصَّدَقَة عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةْ، وَعَلَى ذِي الْرحم ثنتان‏:‏ صَدَقَةْ وَصِلَةْ

Maksudnya: Zakat kepada orang miskin diberikan fadhilat zakat manakala kepada ahli kerabat diberikan dua fadhilat; iaitu zakat dan silaturrahim.

Riwayat al-Nasai’e (2582) dan Ibn Majah (1844)

Akhirnya, apabila agama mengehadkan suatu perkara, agama juga membuka seribu macam pintu kebaikan yang lain. Rebutlah peluang kebaikan tersebut, moga-moga dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan hidup, insyaAllah.

Wallahua’lam.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *